Showing posts with label Tuan Ibrahim Tuan Man. Show all posts
Showing posts with label Tuan Ibrahim Tuan Man. Show all posts

Thursday, October 19, 2023

Tuan Ibrahim terkejut PAS tak tawan Selangor pada PRN

malaysiakini.com
Shakira Buang
Diterbitkan: Oct 19, 2023 8:33 AM
Kegagalan Perikatan Nasional (PN) menawan Selangor pada pilihan raya negeri (PRN) Ogos lalu merupakan “kejutan” buat PAS.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ini kerana sasaran awal pihaknya adalah PN akan dapat menawan Selangor sekali gus memerintah negeri termaju di Malaysia itu.

“Kita pun terkejut sebab kenapa kita tak boleh memerintah Selangor. Sasaran awal memang kita (akan) memerintah Selangor, Pahang dan Perak. Sebenarnya dalam strategi kita, kita yakin (mampu tawan tiga negeri ini),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Pemuda PAS kali ke 64 di Shah Alam, malam tadi.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata demikian mengulas penganjuran muktamar di Shah Alam yang dilihat sebagai fokus utama PN untuk menawan Selangor.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata penganjuran muktamar di Selangor adalah sebagai penghargaan atas pencapaian PN di Selangor pada PRN lalu.

“Muktamar pada kali ini kita buat di Selangor kerana penghargaan kita kepada Selangor telah mencapai pencapaian cemerlang baru-baru ini yang menyumbang 11 (kerusi).

“Keduanya kebetulan kita sedang bersidang Parlimen dan muktamar kali ini ialah muktamar pemilihan parti.

“Biasanya, kita buat keputusan pemilihan ini diadakan di negeri yang bebaslah. Biasa, sama ada di Selangor atau pun Wilayah Persekutuan dan saya rasa itu akan menambahkan semangat khususnya kepada ahli-ahli PAS di Selangor. Insya-Allah,” katanya.

Pada PRN yang berlangsung Ogos lalu PN menguasai 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Manakala, Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) memenangi 34 kerusi dan kekal mentadbir Selangor.

Tuesday, August 1, 2023

Umno akan ‘makan kawan’ bila semakin berkuasa, Tuan Ibrahim beri amaran

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters - 01 Aug 2023

Timbalan presiden PAS itu berkata, partinya membantu Umno bangkit selepas tewas dalam PRU14 lalu.
Tuan Ibrahim Tuan Man berucap dalam ceramah di Lenggeng, Negeri Sembilan malam tadi.

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man memberi amaran Umno akan mengkhianati kawannya apabila parti itu semakin berkuasa.

Beliau memberi contoh Umno menarik sokongan terhadap Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin ketika menjadi perdana menteri dan Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar Perak.

“Jika tuan-tuan perhati, bila masa Umno rasa dia kuat, dia lawan, dia makan kawan sendiri. Di Perak dia tarik sokongan, undi tak percaya pada Peja (Faizal) akhirnya tukar (menteri besar) kepada Umno.

“Di persekutuan, mereka tarik sokongan pada Muhyiddin walaupun duduk dalam Kabinet sama, bincang sama-sama. Waktu susah bersama-sama, bila senang, 15 orang (Ahli Parlimen) tarik sokongan pada Muhyiddin,” katanya dalam ceramah di Lenggeng, Negeri Sembilan malam tadi.

Tuan Ibrahim berkata, PAS turut membantu Umno ketika dalam susah, termasuk pada PRK DUN Rantau.

“Bila Umno kalah, PAS satu-satunya parti yang datang membantu. Kita pernah mengecam Umno, tetapi akhirnya saya beritahu semua tolong sokong Umno,” katanya.

Muhyiddin dilantik perdana menteri susulan Langkah Sheraton pada Februari 2020 yang menyebabkan kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad tumbang selepas 22 bulan berkuasa.

Bagaimanapun, Muhyiddin memegang jawatan itu hanya selama 17 bulan, sebelum Ahli Parlimen Umno menarik sokongan terhadapnya dan kerajaan diterajui Perikatan Nasional.

Beliau digantikan Naib Presiden Umno ketika itu, Ismail Sabri Yaakob susulan kompromi antara Barisan Nasional dan PN.

Monday, May 29, 2023

Wakil kerajaan jumpa Tuan Ibrahim tawar kerjasama juga

agendaily.com
29/05/2023
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan ada beberapa pihak menghubungi dan menemuinya bagi membuat tawaran sama seperti yang didedahkan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini.

Dakwa Tuan Ibrahim, tawaran menyertai kerajaan perpaduan itu disampaikan wakil kerajaan yang bertemu dengannya sendiri.

“Pertama saya sahkan apa yang dinyatakan oleh presiden, bahkan mereka (wakil kerajaan perpaduan) juga bertemu dengan saya menyampaikan tawaran itu.

“Namun kami nyatakan pendirian kekal bersama Perikatan Nasional (PN) sebagaimana janji semasa kempen dan kami tidak akan berbohong dengan pengundi,” katanya, lapor BH.

Pengesahan itu dibuat dua hari selepas pendedahan Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN berkait tawaran kerjasama dalam kerajaan campuran PH-BN tersebut.

Menurut Abdul Hadi tawaran dibuat individu penting dalam kerajaan campuran itu atas alasan parti Islam tersebut memiliki kerusi paling banyak jika dibandingkan parti-parti lain seperti DAP, PKR dan UMNO.

“PKR 30 sahaja, dalam keadaan itu 19 kerusi PKR Melayu, DAP tiga orang Melayu, kerajaan didominasi oleh bukan Melayu,” kata Ahli Parlimen Marang itu.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata tawaran itu hadir susulan data menunjukkan sokongan pengundi Melayu kepada PN jauh mengatasi PH.

“Itu pun dalam situasi rakyat ditipu dengan janji BN tidak akan bersama Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan DAP, demikian juga janji PH tidak akan bersama BN.

“Bahkan Anwar menyatakan kalau harapkan untuk melihat gabungan dengan BN , sila cari presiden lain daripada beliau. Ini kenyataan semasa kempen,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melenting susulan pendedahan Abdul Hadi dan menemplak Ahli Parlimen Marang itu agar tidak perasan ditawarkan kerjasama tersebut.

Monday, March 13, 2023

Tuan Ibrahim nafi desas-desus PAS nak putus dengan PN

malaysiakini.com
Alyaa Alhadjri
Diterbitkan: Mar 13, 2023 3:21 PM
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menolak khabar angin yang tersebar di kalangan orang-orang politik bahawa parti itu merancang untuk keluar daripada Perikatan Nasional.

Ketika ditemui di parlimen hari ini, pemimpin PAS itu menafikan pernah mendengar perkara sedemikian.

"Tak ada, tidak pernah timbul pun," kata ahli parlimen Kubang Kerian itu.

Tidak jelas bagaimana khabar angin itu bermula dan Malaysiakini tidak dapat mengesahkan kesahihannya.
Gambar fail, pimpinan PN.
Bagaimanapun, desas-desus itu bertiup kencang selepas pemimpin PAS tidak hadir dalam AGM Bersatu pada hujung minggu lalu.

Ditanya mengenai perkara ini, Tuan Ibrahim berkata ia cuma soal pertembungan jadual sahaja.

"Kami pun dah maklum. Ada jemputan tapi kebetulan PAS kawasan sekarang tengah mesyuarat agung.

"Kebanyakan pimpinan (PAS) dah maklum kepada pimpinan tertinggi Bersatu bahawa kebetulan (mesyuarat) hari sama.
"Sebahagian daripada kami merasmikan mesyuarat agung kawasan-kawasan.

“Saya sendiri semalam (ke) lima kawasan," jelas Tuan Ibrahim.

Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Ke-4 Sayap Pemuda Bersatu pada Sabtu menyaksikan kehadiran beberapa pemimpin Pemuda PAS serta pimpinan Pemuda Gerakan yang menjadi tuan rumah AGM di ibu pejabat parti mereka, Menara PGRM, di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, tiada tokoh terkemuka PAS yang dilihat semasa perhimpunan badan induk Bersatu pada Ahad bersama Gerakan dan SAPP sebagai rakan Perikatan Nasional.

Friday, February 17, 2023

PAS pertimbang tawar kerusi DUN kepada KJ, kata Timbalan Presiden

agendaily.com
17/02/2023
Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

PAS mempertimbangkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sesuai untuk bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun berkata, sehingga kini parti itu belum menerima sebarang permohonan daripada Khairy.

“PAS juga tetap terbuka menerima bekas Ketua Pemuda UMNO itu.

“PAS dan Perikatan Nasional (PN) turut mengalu-alukan tokoh atau ahli daripada parti lain yang tidak bersetuju dalam muafakat politik parti mereka,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Bangunan Tahfiz Al Ikhwan Serta Pecah Tanah Fasa II di Kota Bharu hari ini.

Khairy yang menjadi calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dipecat daripada UMNO baru-baru ini, pernah menyatakan minat untuk bertanding di kerusi DUN di Selangor.

Ketika ditanya mengenai pembahagian kerusi pada PRN, Tuan Ibrahim memberitahu, PAS belum membincangkan perkara itu dan menyerahkannya kepada majlis tertinggi dan jawatankuasa perunding parti.

Bagaimanapun katanya, PAS sudah melakukan simulasi umum untuk memberi fokus kepada negeri yang boleh dimenangi pada PRN akan datang.

Untuk rekod, enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijangka mengadakan PRN masing-masing selepas Jun depan.

“Calon muka baharu kira-kira 40 peratus dan kita minta Muslimah dan Pemuda boleh menyenaraikan nama yang sesuai untuk tapisan sebagai calon,” katanya lapor Sinar.

Tuan Ibrahim turut memberitahu, PAS menerima purata seramai 5,000 ahli baharu setiap sebulan dengan sebahagian besarnya ialah orang muda.

Wednesday, June 12, 2019

Hukum pemuda mengaku terlibat video homoseks mirip menteri, kata Tuan Ibrahim

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa agar isu video skandal seks pemuda bersama mirip seorang menteri diselesaikan segera.
 — Foto oleh Shafwan Zaidon

KUALA LUMPUR, 12 Jun — Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa mahkamah Syariah di Sabah mengambil tindakan segera terhadap pemuda bernama Haziq Aziz yang mengaku terlibat dengan skandal seks bersama mirip seorang menteri.

Jelas Tuan Ibrahim, tindakan segera perlu diambil bagi mengelak perkara lebih buruk sekaligus memberi tumpuan terhadap isu yang lebih penting.

“Sehubungan dengan pengakuan individu tertentu yang membuat pengakuan, maka PAS menggesa Mahkamah Syariah Sabah perlu menghukum individu tersebut atas pengakuan beliau.

“PAS menggesa agar seluruh kepimpinan dan ahli menumpukan kepada perkara yang memberi manfaat kepada ummah.

“Di saat pelbagai kemelut ekonomi dan sosial yang dihadapi rakyat, PAS perlu tampil menjadi agen yang membantu bukan menghabiskan masa dan tenaga kepada perkara yang tidak bermanfaat,” katanya.

Haziq hari ini mengaku terlibat dalam skandal video homoseks didakwa membabitkan seorang menteri.

Pengakuan itu dibuat menerusi video 33 saat di Facebook awal pagi tadi sambil menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat menteri terbabit.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menggesa agar video berkenaan tidak disebarkan kerana tidak dapat dipastikan kesahihannya.

“Pandangan saya kita harus kekal berpegang kepada prinsip Islam untuk mengelakkan diri daripada turut menyebarkannya agar tidak dilaknat Allah dan dibuka keaiban kita di dunia dan di akhirat kelak.

“Lebih membimbangkan jika video tersebut adalah palsu, pastinya dosanya lebih besar dan laknat Allah yang lebih berat bakal menimpa kita,” katanya.

Saturday, May 4, 2019

'Ribuan demo sebab Islam terancam' - Tuan Ibrahim

Shakira Buang, Anne Muhammad dan Alya Alhajri
Diterbitkan Hari ini 5:42 petang


Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata sekiranya Islam tidak terancam, maka mustahil ribuan hadir berdemonstrasi pada hari ini.

Ini katanya, diadakan kerana rakyat menyedari kedudukan Islam semakin terancam di bawah pentadbiran PH.

“Kalau Islam tak ditekan dan tidak terancam, mustahil ribuan hadir hari ini. Jadi, kita berhimpun kerana kita menyedari ancaman yang berlaku kepada Islam dalam negara kita.

“Dan perhimpunan kita hari ini adalah untuk memberi amaran kepada golongan yang sedang bekerja keras menghalang Islam. Kita berhimpun untuk beri amaran dan peringatan bahawa umat Islam tidak berdiam diri,” katanya ketika berucap pada perhimpunan mempertahankan Islam, anjuran Gerakan Pembela Ummah hari ini.

Timbalan presiden PAS juga berkata himpunan mempertahankan kedaulatan Islam hari ini tidak akan berakhir begitu sahaja.

Sebaliknya, kata beliau suatu memorandum akan dihantar kepada Yang diPertuan Agong (YDPA), Majlis Raja-Raja Melayu dan parlimen bagi memperincikan isu-isu seperti Statut Rom, isu kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, Bahasa Kebangsaan dan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Jangan hantar Zakir Naik pulang ke India
Dalam ucapan Tuan Ibrahim, beliau juga turut memberi amaran supaya kerajaan tidak menghantar pendakwah kontroversi, Zakir Naik pulang ke India.

“Tolong pertahan Zakir Naik, kita desak kerajaan jangan sesekali hantar Zakir Naik pulang ke India,” katanya.

Kerajaan India baru-baru ini secara rasmi mendakwa Zakir terlibat dengan tuduhan pengubahan wang haram.
Zakir yang menetap di Malaysia sejak 2017, dituduh memperoleh aset berkaitan jenayah bernilai AS$28 juta, namun beliau menafikan dakwaan berkenaan, lapor BBC.

Susulan itu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan mengkaji tuduhan tersebut sebelum tindakan selanjutnya diambil atau sebaliknya menyerahkan kepada kerajaan India bertindak.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki ketika berucap menegaskan perhimpunan hari ini cuma permulaan kepada perhimpunan lebih besar.

Katanya, rakyat tidak boleh menerima jika institusi raja-raja Melayu dipermainkan.

“Terbaru raja-raja Melayu dihina, dalam perlembagaan kita kena pertahankan institusi raja-raja dan pertahankan martabat serta kesucian Islam.

“(Ada) kata raja Melayu perompak, dalam forum itu ada Peguam Negara Negara Tommy Thomas. Kita mesti desak Tommy Thomas letak jawatan. Dia tak layak jadi peguam negara, dia biarkan raja Melayu dihina,” katanya.

Malaysiakini hari ini melaporkan sekitar 1,000 peserta himpunan mempertahankan kedaulatan Islam, anjuran Gerakan Pembela Ummah.

Bagaimanapun, sumber polis Dang Wangi memaklumkan jumlah kehadiran peserta yang hadir lebih 3,000 orang.

Sementara itu, penganjur Gerakan Pembela Ummah (Ummah) berkata perhimpunan kali ini berjaya menarik kehadiran 10,000 peserta.

Tuesday, October 2, 2018

Tuan Ibrahim: Tak salah orang Islam masuk kuil, terima kalungan


Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu tidak mempertikai mana-mana orang Islam yang mahu ke rumah ibadat agama lain selagi tidak mengikuti upacara agama itu.

Menurut Harakahdaily, beliau berkata Islam tidak mengharamkan penganutnya untuk memasuki rumah ibadat agama lain.

Tuan Ibrahim menjadikan Saidina Umar Al-Khattab sebagai contoh yang diketahui pernah memasuki gereja di Palestin.

Katanya lagi, menerima kalungan dengan tujuan meraikan - seperti budaya penganut Hindu yang memakaikan kalung kepada tetamu - juga dibolehkan.

"Yang menjadi kesalahan (selain mengikuti upacara agama) adalah memakai pakaian agama bukan Islam, itu tidak dibolehkan dalam Islam," katanya lagi seperti dipetik.

Kenyataan itu selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengkritik Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkannya sebagai "tidak konsisten" dalam sikap dan pendekatannya ketika berdepan kelompok yang berlainan.
Berucap dalam ceramah perdana pertama PAS bagi kempen PRK Port Dickson 29 September lalu, Abdul Hadi berkata Anwar akan menunjukkan sisi keagamaan dalam dirinya jika berada di masjid, tetapi akan berpakaian seperti Sikh ketika di rumah ibadat agama itu dan menari tarian India apabila bersama masyarakat India.

Membalas kritikan itu, Anwar berkata beliau sudah berbuat demikian ketika Pakatan Rakyat masih wujud dan malah ada anggota PAS yang bersama-samanya ketika itu.

"Dulu ketika saya pergi (ke program di kuil) semasa Pakatan Rakyat (masih ada), boleh. Sekarang tak boleh," katanya.

Anwar juga menjelaskan kunjungan beliau ke rumah ibadat agama lain bukan untuk bersembahyang tetapi hanya hadir ke program kebudayaan.

Sunday, September 16, 2018

PAS ‘PELAMPUNG’ PENYELAMAT UMNO

By watan
on September 16, 2018

“PAS akan menjadi pelampung yang menyelamatkan UMNO daripada hanyut.”

Kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, itu seharusnya menghilangkan kegusaran segelintir pihak dalam parti berhubung kerjasama dengan UMNO yang rancak kedengaran kebelakangan ini.

Beliau berkata, ada pihak dalam PAS melahirkan kebimbangan kalau-kalau PAS tidak lebih daripada ‘pelampung’ yang bakal dipergunakan UMNO.

Katanya, PAS akan memastikan dasar dan asas perjuangannya sentiasa terpelihara, walaupun bergandingan dalam perkara tertentu dengan UMNO.

“PAS tidak akan menjadi ‘pelampung’ kepada kemungkaran, sebaliknya pelampung yang menyelamatkan mereka (UMNO).

“Kita nak selamatkan mereka daripada ‘hanyut’, seperti mana dituntut Islam,” katanya ketika menggulung perbahasan pada Muktamar PAS ke-64 di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, pada Ahad.

Tuan Ibrahim turut mengulas kenyataan MCA yang mendakwa ikatan Barisan Nasional (BN) bakal terlerai kerana UMNO bakal bekerjasama dengan PAS.

“PAS wujud sejak 67 tahun lalu, parti kita mematuhi undang-undang negara dan Perlembagaan.

“Kita masih memerintah Kelantan dan Terengganu serta pernah juga berkuasa di Kedah.

“Lihat rekod prestasi kita. PAS bukan parti ekstrim tetapi MCA mempunyai masalah kerana kita membawa nama Islam,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, PAS tidak akan menentang MCA secara fizikal, tetapi akan memberi penjelasan dan berkomunikasi dengan mereka.

“Kita mesti sabar dan istiqamah, bukan macam ada kawan kita yang meninggalkan parti.

“Saya yakin Islam akan kembali memerintah dunia menerusi akhlak dan tindakan mulia, bukannya peperangan dan kekerasan,” katanya.

Wartawan Watan-Online

Friday, September 7, 2018

Rotan: Fokus sebat atau LGBT? - Pas

SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR
6 SEPTEMBER 2018

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

SHAH ALAM - Pas kesal terhadap kenyataan Kabinet berhubung kes rotan yang dijalankan oleh mahkamah tinggi syariah di Terengganu.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kenyataan Kabinet jelas mempertikaikan bidang kuasa mahkamah syariah negeri yang berada di luar bidang kuasa kerajaan Pusat.

"Pas menyeru kerajaan PH memberikan kesempatan kepada negeri-negeri melaksanakan hukum syarak yang berada di bawah bidang kuasa negeri, bukan mempertikaikannya.

"Apa yang dikesalkan ialah yang disensasikan dan difokuskan ialah hukuman sebat itu dan bukannya kebimbangan terhadap perbuatan LGBT yang semakin berleluasa, meskipun ia suatu kesalahan jenayah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyatakan hukuman sebat yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu terhadap pasangan kekasih lesbian (musahaqah) tidak mencerminkan keadilan dan timbang rasa oleh Islam.

Dr Mahathir berkata, umum mengetahui ia adalah kesalahan pertama pasangan tersebut dan mereka sepatutnya diberikan nasihat serta tidak terus dijatuhkan hukuman sebat sehingga diketahui oleh seluruh negara.

Menurut Tuan Ibrahim, tindakan melaksanakan hukuman rotan di khalayak ramai adalah selaras dengan perintah ALLAH SWT dalam Surah An-Nur Ayat 2.

"Apakah melaksanakan hukum yang diperintah oleh Allah boleh dianggap zalim, kejam dan tidak berperikemanusiaan? Jangan kita mendahului ALLAH dan Rasul dalam urusan hidup dunia ini," katanya.

Katanya, hukuman ke atas pesalah dengan enam kali sebatan syarie langsung tidak menyakiti apa lagi mencederakan pesalah.

"Ia sekadar memalukan dan yang lebih penting ialah dia bertaubat dan memohon keampunan ALLAH di atas kesalahannya. Bukan sahaja itu, hukum syarak juga mempunyai nilai pencegahan ke atas masyarakat di mana penyaksian ke atas hukuman itulah nilai pencegahan kepada orang ramai agar tidak melakukan kesalahan yang sama.

"Ini berbeza dengan sebatan sivil yang ternyata gagal mencegah perbuatan jenayah kerana ia dilakukan secara tertutup. Kegerunan hanya ada kepada yang melakukan jenayah, bukan bersifat mencegah mereka yang belum atau berhasrat melakukan jenayah," katanya.

Thursday, September 6, 2018

Sebat: PAS nasihat Kabinet jangan dahului Allah, Rasul dalam urusan dunia

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
06/09/2018

Sebatan sivil nyata gagal cegah perbuatan jenayah kerana ia dilakukan secara tertutup


BANGI, 25 Zulhijjah 1439H, Khamis – Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man meluahkan rasa kesal terhadap kenyataan Kabinet yang mengkritik hukuman sebatan dijalankan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, baru-baru ini.

Beliau berkata, kenyataan Kabinet jelas mempertikaikan bidang kuasa Mahkamah Syariah negeri yang berada di luar bidang kuasa kerajaaan pusat.

Walhal, katanya, pesalah itu sendiri telah mengaku kesalahannya dan sedia dihukum sebagai tanda kesal di atas apa yang telah dilakukannya.

“Mereka juga diberi peluang untuk membuat rayuan dan mahkamah sedia menimbang rayuannya. Namun mereka tidak merayu dan sedia menerima hukuman.

“Tindakan melaksanakan hukuman rotan di khalayak ramai adalah selaras dengan perintah Allah dalam Surah An-Nur, ayat 2.

“Apakah melaksanakan hukum yang diperintah oleh Allah boleh dianggap zalim, kejam dan tidak berperikemanusiaan? Jangan kita mendahului Allah dan Rasul dalam urusan hidup dunia ini,” tegasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Kabinet memutuskan hukuman sebat terhadap dua pesalah wanita di Terengganu, baru-baru ini tidak mencerminkan keadilan dan timbang rasa oleh agama Islam.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata, kes dua wanita yang dihukum sebat adalah kes pertama bagi mereka dan biasanya dalam kes pertama mereka perlu diberkan nasihat dan tidak seterusnya melakukan (hukuman) sebat sehingga diketahui oleh seluruh negara.

Katanya, hukuman itu memberi gambaran yang buruk kepada agama Islam.

Mengulas lanjut kenyataan itu, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, seringkali apa yang dikenalkan sebagai hukuman syarak (walau belum menepati sepenuhnya apa yang diperintah oleh Allah), dikritik dan dipertikaikan oleh sebahagian umat Islam dengan pelbagai tuduhan.

Sedangkan, katanya, hukuman tersebut jauh lebih ringan daripada sebatan dalam penjara, yang juga ternyata gagal mencegah jenayah berbanding hukuman syarak yang mahu mencegah jenayah dalam masyarakat.

“Hukuman ke atas pesalah yang ringan dengan enam kali sebatan syarie tidak langsung menyakiti apalagi mencederakan pesalah. Ia sekadar memalukan dan yang lebih penting ialah ia bertaubat dan memohon keampunan Allah di atas kesalahannya.

“Bukan sahaja itu, hukum syarak juga mempunyai nilai pencegahan ke atas masyarakat di mana penyaksian ke atas hukuman itulah nilai pencegahan kepada orang ramai agar tidak melakukan kesalahan yang sama.

“Ini berbeza dengan sebatan sivil yang ternyata gagal mencegah perbuatan jenayah kerana ia dilakukan secara tertutup. Kegerunan hanya ada kepada yang melakukan jenayah, bukan bersifat mencegah mereka yang belum atau berhasrat melakukan jenayah,” katanya.

Justeru, PAS menyeru kerajaan PH memberikan kesempatan kepada negeri-negeri melaksanakan hukum syarak yang berada di bawah bidang kuasa negeri, bukan mempertikaikannya.

Monday, July 30, 2018

Sempatkah PH kotakan janji 100 hari?

JANATUL FIRDAUS YAACOB & 
MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY
30 JULAI 2018

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR - Mustahil kerajaan melaksanakan manifesto 10 janji dalam 100 hari berdasarkan apa yang telah dicapai setakat ini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tidak banyak janji daripada asas perjanjian PH selesai menjelang tempoh 100 hari.

Menurutnya, beliau memahami kekangan yang dihadapi kerajaan terutama dalam menggubal perkara tertentu untuk melaksanakan manifesto tersebut.

"Contoh janji kerajaan mahu hapuskan hutang peneroka Felda dan tol.

"Saya pelik macam mana mereka boleh buat manifesto sebegitu sedangkan ia sememangnya sukar untuk dilaksanakan," katanya.

Beliau juga turut merasakan kerajaan memerlukan waktu yang lama untuk melaksanakan kesemua manifesto tersebut.

"Bagaimanapun caranya, janji itu perlu dilaksanakan. Saya lihat rakyat buat perubahan besar menumbangkan BN kerana PH sudah berjanji.

"Tetapi sehingga sekarang, sudah 83 hari, rakyat berhak marah dan perlu penilaian semula terhadap jani tersebut," katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, setakat hari ke-83 pentadbiran Kerajaan PH, rakyat dan pembangkang masih menanti kemampuan 10 manifesto itu dilaksanakan menjelang hari ke-100.

"Pada hari 101 nanti kita akan persoalkan semula janji-janji ini.

"Namun setakat ini, kita tak nampak apa-apa yang ditunaikan lagi.

Ahli Parlimen Parit Sulong itu juga menyatakan, setiap kali ditanya usaha kerajaan untuk melunaskan janji-janji itu mereka akan bangkit kononnya hutang negara masih banyak sebab itu manifesto masih belum dilaksankan lagi.

"Bila dah berjanji kenalah tunaikan, kalau buat manifesto mesti dalam rangka kemampuan sesuatu part itu, tapi tak dibuat begitu.

"Kalau tak boleh tunaikan, janji itu akan bertukar angan-angan sajalah. Janji manifesto bukan gula-gula kosong kepada rakyat supaya dipilih rakyat, jangan menipu," ujarnya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menepis isu dimainkan BN sepanjang kempen PRK Dun Sungai Kandis, kononnya kerajaan PH gagal melaksana manifesto PRU14 lepas dan mempertahankan hak orang Melayu serta Islam.

Sebaliknya, Presiden PKR itu secara sinis bertanyakan semula kepada BN tempoh PH menjadi kerajaan Persekutuan berbanding BN yang sebelum ini menerajui pentadbiran kerajaan.

Friday, June 1, 2018

Sertai PAS, Tuan Ibrahim pelawa ahli Umno

Bernama
June 1, 2018

Timbalan Presiden PAS itu berkata, partinya sentiasa membuka pintu kepada ahli Umno kerana pada masa sama parti itu tidak akan membentuk kerjasama dengan Umno.
Tuan Ibrahim berkata, pada PRU lepas rakyat menolak BN dan atas sebab itu PAS membuka pintu kepada BN dan Umno untuk menyertai parti itu.

ALOR SETAR: PAS mempelawa ahli Umno menyertai parti itu untuk membentuk gabungan yang kuat selepas parti berteraskan bangsa Melayu itu tewas besar pada pilihan paya umum (PRU) 9 Mei lepas.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu sentiasa membuka pintu kepada ahli Umno untuk berbuat demikian kerana pada masa sama tidak mungkin parti itu akan membentuk kerjasama dengan Umno.

“Saya sudah lama ajak mereka (ahli Umno) masuk PAS. Bila mereka sudah hilang kuasa pada PRU lalu, saya rasa sudah tiba masanya untuk mereka sertai PAS, bukan PAS sertai Umno.

“Apa yang berlaku pada PRU lepas ialah rakyat tolak Barisan Nasional (BN), jadi atas sebab itu kita buka pintu kepada BN dan Umno untuk sertai PAS,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Himpunan Kesyukuran Pasca PRU14 di Kompleks PAS Kedah, malam tadi.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, bahawa Umno dan PAS perlu bergabung dan membentuk kerjasama yang dapat memberikan cabaran kepada Pakatan Harapan (PH) dan pada masa sama menjaga kepentingan orang Melayu.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim menyatakan kesediaan PAS sekiranya dijemput menganggotai jawatankuasa yang bakal ditubuhkan kerajaan bagi melihat dan mengkaji semula peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Saya minta kerajaan kekalkan peranan Jakim selain mempertingkatkan jabatan itu. Jakim mendapat pengiktirafan dunia apabila cop halalnya diiktiraf, selain jabatan tersebut bertanggungjawab menyelaras isu-isu agama Islam dan sistem perundangan negara,” katanya.

Berhubung tawaran PAS kepada PH untuk mewujudkan kerajaan gabungan di Kedah, beliau berkata perkara itu disuarakan bagi mengelak daripada berlakunya pilihan raya negeri (PRN) berikutan isu perlantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Itu jalan keluar yang ada, tetapi kalau mereka tidak terima kita sedia untuk hadapi PRN. Tetapi rakyat baru sahaja selesai mengundi, jadi kalau boleh kita ingin elak PRN daripada berlaku. Kita lihat sahaja keputusannya nanti,” katanya.

Terdahulu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, timbul sedikit kesulitan berhubung pelantikan jawatan Speaker di DUN Kedah berikutan PH yang membentuk kerajaan negeri memperoleh 18 kerusi DUN menyamai jumlah 18 kerusi dimiliki PAS dan BN, iaitu masing-masing 15 dan 3 kerusi.

Sunday, May 20, 2018

Pas sedia jadi rakan dialog kerajaan Persekutuan

Badrul Hafizan Mat Isa
20 Mei 2018 1:00 PM

TUAN IBRAHIM TUAN MAN

KUALA LUMPUR 20 Mei - Pas bersedia untuk menjadi rakan dialog kepada Kerajaan Persekutuan yang diterajui Pakatan Harapan bagi melaksanakan pembangunan negara yang cemerlang.

Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sejajar dengan konsep federalisme yang menekankan pentingnya hubungan yang baik antara kerajaan Pusat dan negeri, Pas akan meneruskan kerjasama yang baik dengan kerajaan Pusat.

“Malah lebih daripada itu, Pas bersedia menjadi rakan dialog dalam membangunkan negara di bawah konsep taawun siyasi.

“Selaras dengan budaya politik matang dan sejahtera yang menjadi pendekatan Pas kini, Pas akan menyokong dasar kerajaan yang mendorong ke arah kebaikan dan ketaqwaan kepada Allah manakala di sudut yang lain Pas sedia menjadi pembangkang yang konstruktif dan berkesan ke arah kesejahteraan dan pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi laman Facebook miliknya hari ini.

Tambah Tuan Ibrahim lagi, pendekatan politik semak dan imbang ini akan membantu kerajaan dalam melaksanakan pembangunan negara yang cemerlang.

“Pas dengan dasar Islam yang dibawa akan memperkasakan suasana harmoni antara kaum, memperkasakan jati diri rakyat Malaysia khasnya dalam kalangan umat Islam.

“Walaupun Pas bukan sebahagian daripada Pakatan Harapan yang menerajui negara, namun kejayaan Pas di dua negeri iaitu Terengganu dan Kelantan, memperoleh sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan 18 ahli Parlimen dengan sokongan lebih dua juta pengundi bukanlah angka yang kecil. Maka langkah terbaik ialah menjadikan Pas rakan dialog di negeri dan Persekutuan,” katanya.

Katanya lagi, kini seluruh rakyat mengharapkan semua parti politik bergerak ke hadapan bagi menjamin segala janji dan manifesto kerajaan dilaksanakan.

“Budaya politik konflik, fitnah dan bertembung perlu ditinggalkan dan hanya melahirkan sikap bosan dan menyampah dalam kalangan rakyat.

“Peranan Pas sebagai rakan dialog dan juga pembangkang yang berkesan pastinya adalah situasi menang-menang untuk rakyat dan kerajaan Persekutuan yang ditunjangi oleh Pakatan Harapan,” katanya.

Friday, May 4, 2018

Pas kecam dakwaan Wan Azizah

WARTAWAN SINAR HARIAN
4 MEI 2018

Tuan Ibrahim Tuan Man

SHAH ALAM - Pas mengecam kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mendakwa parti itu menarik diri daripada pencalonan bagi Dun Rantau bagi memberi laluan kepada BN.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia adalah kenyataan fitnah dan berniat jahat yang semakin sebati dengan perangai Pakatan Harapan (Harapan).

"Pas dan Gagasan Sejahtera sememangnya tidak meletakkan calon untuk Dun Rantau kerana faktor setempat seperti kebolehan untuk menang dan komposisi pengundi yang mana menjadikan ia bukan kerusi strategik untuk ditandingi.

"Kami berpandangan bahawa kenyataan jahat dan fitnah daripada Presiden PKR itu hanya untuk mengelirukan rakyat dengan niat untuk memburukkan Pas dengan menggunakan budaya politik yang amat tidak bertamadun," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada dakwaan Wan Azizah dalam ceramahnya di Indera Mahkota.

Tuan Ibrahim berkata, PKR seharusnya menjawab dakwaan kerjasama dengan BN di sebalik layanan istimewa kepada pimpinan parti itu dan keluarganya untuk bertemu Datuk Seri Anwar Ibrahim serta akses mengeluarkan kenyataan tanpa sebarang halangan.

"Presiden PKR juga harus menjawab apakah beliau setuju dengan kata-kata Tun Dr Mahathir Mohamad (Pengerusi Harapan) mengenai Anwar ketika temuramah bersama The Guardian baru-baru ini.

"Pas sehingga hari ini mempercayai Anwar difitnah sehingga dipenjarakan," katanya.

Beliau turut mengajukan persoalan berhubung kawasan-kawasan di mana calon PKR ditolak pencalonannya.

"Apakah PKR akan menyuruh penyokongnya memberikan kemenangan kepada BN atau Pas?" soalnya.

Thursday, April 19, 2018

PAS selaras lafaz baiah di seluruh negara - Tuan Ibrahim

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

TUMPAT -- PAS menyelaraskan lafaz baiah terhadap semua calonnya yang akan bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini termasuk mengenai lafaz taklik cerai talak tiga, kata Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim berkata Majlis Syura memutuskan tidak ada perbezaan baiah di antara semua negeri termasuk Kelantan yang membuat tambahan lafaz taklik cerai talak tiga sebagaimana yang dilaksanakan pada PRU13.

"Manakala bagi parti komponen dalam Gagasan Sejahtera dan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) pula, mereka akan menandatangani surat aku janji untuk patuh dan setia pada pilihan rakyat, tidak khianat dan istiqamah dengan perjuangan parti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Solat Hajat dan Ceramah Perdana Pra Pengisytiharan Calon di perkarangan Pasar Wakaf Bharu di sini, Rabu malam.

Katanya majlis melafaz baiah dan menandatangani akur janji itu akan diadakan sehari sebelum hari penamaan calon pada 28 April ini.

"Biasanya calon yang sudah disahkan bertanding akan dikumpulkan bersama (di setiap negeri) sebelum taklimat presiden dibacakan. Kemudian kita bagi watikah bersama dengan baiah sebelum ia ditandatangani oleh calon," katanya.

Ditanya mengenai antara faktor yang menyebabkan seseorang calon itu digugurkan daripada bertanding pada pilihanraya umum, Tuan Ibrahim berkata ia bukan disebabkan oleh prestasi calon tersebut.

"Tetapi kerana ada yang dah lama berkhidmat, ada yang tarik diri serta nak beri peluang kepada orang baharu untuk berkhidmat," katanya.

Sebelum ini, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelaboran Mohamad Zaki Ibrahim digugurkan daripada senarai calon yang akan bertanding mewakili PAS pada PRU14 selepas tiga penggal berkhidmat di kawasan tersebut.

-- BERNAMA

Sunday, March 18, 2018

PAS sasar 'Sabah Sejahtera' tanpa hudud

Tracy Patrick

Tuan Ibrahim (5 dari kiri) dan Aminuddin (4 dari kiri) di pelancaran manifesto Sabah.

KOTA KINABALU:
   PAS berkata ia akan memperjuangkan hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), ketika parti Islamis itu melancarkan manifesto yang tidak menyebut tentang syariah atau hudud, isu-isu yang diperjuangkan oleh pemimpin parti itu di Semenanjung.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata dokumen itu, yang mengandungi 10 perkara teras, dirumuskan dengan mengambil kira keperluan dan aspirasi rakyat Sabah.

“Kita sudah melalui 17 pilihan raya dan masih ada orang hidup dalam kemiskinan yang teruk di Sabah,” katanya selepas melancarkan manifesto itu di Batu Sapi, Sandakan semalam.

“Kerajaan PAS akan memastikan prasarana asas disediakan untuk rakyat,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata partinya juga akan memberi penekanan pada soal pemilikan tanah untuk membantu rakyat hidup dalam keadaan selamat.

“Di Sabah, ramai orang kehilangan tanah kerana diberikan kepada pemaju atau dijual pada harga yang terlalu tinggi,” katanya.

Bertemakan “Sabah Sejahtera”, manifesto itu berkata hak Sabah menurut MA63 akan dikembalikan kepada negeri itu kerana kerajaan PAS akan mengiktiraf status istimewa Sabah dan Sarawak sebagai akan rakan kongsi Tanah Melayu.

Manifesto itu berkata kerajaan PAS akan membolehkan 100% sumber negeri digunakan untuk pembangunan Sabah.

Ia juga berjanji untuk memberikan autonomi penuh kepada Sabah untuk menguruskan hasil cukai, dan memansuhkan GST yang diperkenalkan pada 2015.

Parti itu juga berjanji untuk menjamin hak orang bukan Islam mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tubuh negeri.

Perkara teras lain termasuk menyediakan peluang pekerjaan, pembangunan luar bandar, pendidikan dan keselamatan, termasuk melawan tuntutan-tuntutan dari Filipina ke atas Sabah.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Sabah Aminuddin Aling berkata senarai penuh calon parti bagi negeri itu hanya akan diumumkan oleh kepimpinan pusat.

Pada pilihan raya umum 2013, PAS bertanding dan tewas 2 kerusi Parlimen dan 9 kerusi DUN di Sabah, termasuk hilang deposit di Pitas dan Bugaya.

Pesuruhjaya ketika itu, Hamzah Abdullah kemudian menyertai Amanah, parti pecahan yang ditubuhkan bekas pemimpin PAS pada 2015.

Sunday, January 21, 2018

PAS enggan layan polemik siapa wajar jadi PM

TUAN IBRAHIM: Isu siapa layak jadi Perdana Menteri tidak perlu diperbesarkan kerana rakyat sendiri telah muak dengan soal perebutan jawatan yang berlaku dalam kalangan pakatan pembangkang. - Foto BERNAMA

TEMERLOH: Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan parti itu lebih mengutamakan hak rakyat dan menyelesaikan masalah mereka dan bukan soal siapa yang layak menjadi perdana menteri.

Beliau menegaskan perkara itu ketika diminta mengulas persoalan yang dibangkitkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung calon perdana menteri pilihan PAS.

Menurutnya lagi, isu berkenaan tidak perlu diperbesarkan kerana rakyat sendiri telah muak dengan soal perebutan jawatan yang berlaku dalam kalangan pakatan pembangkang termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara.

"Allah akan beri kekuasaan kepada sesiapa yang dikehendakiNYA, kadangkala kita calon orang ini, ia belum tentu akan jadi (pemimpin)...mungkin sampai ajal dan sebagainya.

"Apabila sampai waktu kita akan lihat...kita mempunyai tokoh yang jelas, jadi tak perlulah perbesarkan isu ini sehingga timbul polemik politik," katanya ketika ditemui selepas Fastaqim 2.3 Himpunan 12,000 Jentera PAS Pahang di Kompleks Al Makmur, Kerdau di sini, malam tadi.

Turut hadir Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin.

Selasa lepas, Tun Mahathir mempersoalkan pendirian PAS sama ada menyokong beliau sebagai calon perdana menteri atau Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut beliau perkara itu penting untuk dinyatakan kerana ia akan menggambarkan sama ada parti itu boleh menang atau tidak dan sama ada calon mereka akan mendapat sokongan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Sebelum itu, Hadi dalam ceramahnya pada himpunan itu, turut menyatakan soal siapa yang menjadi ketua atau perdana menteri adalah ketentuan Allah.

"Kita bukan mahu berebut jadi pemimpin...tetapi mahu Islam memimpin, menyelamatkan negara, menyelamatkan umat manusia, ini matlamat utama perjuangan kita," katanya.

Sementara itu, mengulas persiapan PRU14, Hashim pula berkata kesemua jentera parti itu telah bersiap sedia termasuk tentang soal calon.

"Majlis Syura dah pun menapis nama calon termasuk soal kelayakannya. Saya rasa dah selesailah. Sekarang ini kita pulangkan balik (senarai nama) kepada negeri untuk ditentukan kelayakannya, tetapi calon peringkat Parlimen, Majlis Syura akan putuskan," katanya.

Mengenai persiapan PAS Pahang menghadapi PRU14, Pesuruhjayanya Rosli Jabar berkata usaha untuk memastikan rakyat dapat memiliki rumah sendiri adalah antara tawaran yang dikemukakan parti itu dalam manifesto mereka.

Selain itu, wanita kelahiran Pahang atau yang bermastautin di sini bagi tempoh tertentu, yang melahirkan anak akan menerima ganjaran dalam bentuk wang tunai atau barangan manakala anak yang lahir pula akan mendapat sumbangan wang tunai RM100 dalam bentuk simpanan.

Bagi golongan miskin, PAS Pahang menawarkan pemberian barangan keperluan asas seperti beras, tepung dan gula secara percuma setiap bulan manakala golongan belia ditawarkan bantuan untuk membangunkan tanah terbiar.

"Kami menyedari golongan muda turut terbeban dengan kos perkahwinan yang semakin meningkat dan PAS Pahang sedia menganjurkan program walimah perdana iaitu perkahwinan beramai-ramai kepada semua, termasuk kepada bukan Islam," katanya pada rakaman video sempena program itu.

Sehubungan itu, Rosli yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur berharap rakyat Pahang akan melakukan gelombang perubahan bagi membuktikan PAS bukan parti terpinggir di Pahang.

-- BERNAMA

Saturday, January 20, 2018

Tukar individu tidak jamin negara lebih baik - Tuan Ibrahim

By watan


“Tukar (Datuk Seri) Najib, nak naikkan (Tun Dr) Mahathir (Mohamad)..lagi teruk,” luah Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurutnya, tindakan menukar individu bukan jaminan negara menjadi lebih baik sebaliknya adalah dengan menukar dasar yang mampu membawa negara ke arah kebaikan.

“Komitmen kita mahu tukar dasar. Sebab melalui sirah nabi sendiri Baginda tunjukkan di mana semua perkara mungkar yang berlaku adalah berpunca dari kerosakan dasar.

“Apabila akidah kita betul maka akan betul ekonomi, politik, sistem sosial dan undang-undang. Sebaliknya jika akidah rosak maka semuanya akan rosak,”katanya pada sesi Dialog Perdana yang dianjurkan PAS kawasan Tenggara di Dewan Chon Moi, Kota Tinggi malam semalam (Khamis).

Hadir sama, Timbalan Presiden Ikatan Bangsa Malaysia, Datuk Seri Badri Abd Rahman; Setiausaha Kehormat Persatuan Cina Muslim Malaysia, Dr Ann Wan Seng; Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin dan Yang Dipertua PAS Tenggara, Nazari Mokhtar.

Jelasnya lagi, Pakatan Harapan (Harapan) dan BN sendiri tidak bersedia untuk mengubah dasar negara dan satu-satunya muafakat politik untuk mengubah dasar negara adalah melalui Gagasan Sejahtera.

Beliau juga berkata, apa yang berlaku dalam Harapan dan pergolakan BN menyebabkan PAS dalam Gagasan Sejahtera tiada sebarang masalah untuk berbincang mengenai kerusi dan calon PRU14 bersama rakan politiknya.

“Jawatan kita tak bincang sebab apa? kambing belum bela lagi jadi tak usah bincang nak bahagi untung berapa.

“Apa yang penting kita fokus kebajikan rakyat, selesai masalah rakyat Insya-ALLAH rakyat akan beri harapan pada parti yang menjaga dan memelihara hak mereka dan itu adalah parti Pas bersama Gagasan Sejahtera,” katanya lagi.

Wartawan Watan-Online

Monday, November 27, 2017

Lompat parti Amiruddin diingatkan baiah dilafaz


Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan baiah yang pernah dilafazkan oleh Datuk Amirudin Hamzah setelaah beliau isytihar keluar parti mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semalam.

Tuan Ibrahim dipetik berkata, beliau terkejut dengan keputusan Amiruddin itu kerana Amiruddin dianggapnya seoang yang mudah di bawa berbincang dan tidak bermasalah dalam parti.

“Secara peribadi saya terkejut dengan tindakan beliau tetapi Pas menghormati keputusannya.

“Namun beliau masih mempunyai beberapa tanggungjawab dalam baiah yang beliau lafazkan,” katanya sebagaimana dilapor Malaysiakini semalam.

Wakil rakyat Pas, sama ada di peringkat Dun mahupun Parlimen, dikatakan perlu membuat baiah yang perkahwinan mereka akan jatuh talak jika mereka meninggalkan Pas.

Amiruddin dalam sidang media bersama Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan pimpinan Kedah, semalam mengumumkan penyertaannya ke Bersatu secara rasmi.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-