WAWANCARA | Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan terburu-buru mahu menjadi perdana menteri sehingga tergamak mendesak penyandang sekarang berundur.
Kata presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu beliau yakin Anwar akan tetap menghormati kemampuan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.
Menurut Muhyiddin ketika ini ada terlalu banyak masalah negara yang perlu diselesaikan oleh Dr Mahathir. Malah katanya jika mahu disenaraikan tugas yang perlu diselesaikan itu boleh mencecah ratusan jumlahnya.
"Tapi bagi saya, selagi hubungan antara pimpinan baik, saya tak nampak akan ada perebutan kuasa," katanya.
Muhyiddin ditemui Malaysiakini pada sesi wawancara khas di kediamannya di Kuala Lumpur semalam. Turut serta dalam pertemuan tersebut ialah wakil Sinar Harian.
Anwar asalnya dipersetujui pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk diangkat menjadi perdana menteri Malaysia jika pakatan pembangkang - ketika itu - berjaya mengalahkan BN dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14.
Bagaimanapun dengan penubuhan BERSATU dan kemasukan parti itu menyertai HARAPAN - ditambah pula faktor Anwar masih dipenjara - gabungan terbabit sepakat menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri.
Keadaan mesti kukuh
Anwar pula akan dinaikkan sebagai perdana menteri kelapan bagi menggantikan Dr Mahathir. Namun setakat ini tiada tarikh jelas atau muktamad bila peralihan kuasa itu akan berlangsung.
Untuk membolehkan ia berlaku Anwar terlebih dahulu perlu dibawa ke Dewan Rakyat sebagai anggota parlimen. Ia dijangka akan berlaku selewat-lewatnya Oktober ini melalui pilihan raya kecil.
Pada masa sama sesetengah pihak berasa curiga peralihan kuasa itu akan berlaku, terutama apabila mengambil kira sejarah hubungan Anwar dan Dr Mahathir kira-kira 20 tahun lalu.
Kata Muhyiddin kata sepakat yang dicapai pemimpin tertinggi HARAPAN sebelum PRU ke-14 lalu masih kekal dan tidak ada sebarang pertikaian mengenainya.
Beliau juga mengakui Anwar mempunyai ciri-ciri yang layak untuk menjadi perdana menteri.
"Saya rapat dengan beliau sebagai rakan lama," katanya.
Menurut Muhyiddin lagi, semua orang juga tahu Anwar memiliki banyak pengalaman dan akan dijadikan perdana menteri apabila tiba masanya nanti.
"Saya harap proses peralihan berjalan dengan cukup teratur sebab apabila transisi itu berlaku pada masa yang sesuai, keadaannya mesti lebih kukuh.
"Selagi Dr Mahathir masih sihat, boleh jalankan tugas, saya tak fikir Anwar akan berkata: turun sekarang, saya nak ambil alih," katanya.
Wawancara ini turut dijayakan oleh Norman Goh, Hariz Mohd, Grace Aisyah dan wakil Sinar Harian
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.