BRIM, gaji penjawat awam naik walaupun ada GST, kata Najib
tyrazalhe 11/09/2018
BANGI, 1 Muharram 1439H, Selasa – Datuk Seri Najib Razak hari ini mempersoalkan sebab kerajaan Pakatan Harapan (PH) menggantikan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST), sedangkan harga barang masih tidak turun.
Membidas semula kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam, bekas perdana menteri itu mempertikaikan pelaksanaan SST, apabila Guan Eng mendakwa dia turut dikenakan cukai enam peratus bagi kuih pau sewaktu zaman GST.
“Persoalan saya, jika sama kenapa nak tukar sistem cukai sedangkan apabila GST dimansuhkan, harga barang tidak turun?
“Bukankah Guan Eng pernah kata beberapa kali, bahawa cukai SST hanya dikenakan pada pengilang sahaja dan bukan pengguna. Saya bukan pengilang, mengapa saya kena cukai enam peratus pula?,” soalnya dalam catatan di Facebook, hari ini.
Mempertahankan sistem percukaian GST, beliau berkata, peniaga tidak dapat mengelak atau lari daripada dikenakan cukai, malah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bantuan lain, gaji dan bonus penjawat juga semakin ditingkatkan.
Berbeza dengan SST, Najib berkata, sistem cukai itu hanya menurunkan dan bakal memansuhkan BR1M, selain bantuan lain turut disekat dan bonus kepada penjawat awam dibatalkan.
“Satu lagi, jika Guan Eng memeriksa resit daripada kedai pau ini, minuman pun dikenakan cukai enam peratus.
“Saya minum ‘ice lemon tea’ di sana. Mengikut jadual SST yang terbaru, cukai jualan ke atas ‘ice lemon tea’ ialah 10 peratus bermakna apabila kedai itu beli ‘ice lemon tea’ daripada pengilang, cukai sudah termasuk secara tersembunyi dalam harganya.
“Bermakna, dengan tambahan enam peratus dikenakan kedai itu, saya membayar 10+6 peratus cukai, lebih tinggi daripada GST enam peratus,” katanya.
Semalam, Guan Eng dilaporkan membidas Najib selepas memuat naik rungutan dan terus mempertikaikan pelaksanaan cukai SST dikenakan ke atas pemilik gerai pau di Tanjung Malim.
“Bila beliau kenakan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) tak mahu membuat rungutan tetapi apabila SST diperkenalkan semula tiba-tiba bekas Menteri Kewangan merungut, sedangkan peratusan kadar cukai bagi kedai makan adalah sama,” sindir Guan Eng.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.