Thursday, September 6, 2018

Tidak cerminkan keadilan dalam Islam

MOHD HAFIZ ISMAIL
6 SEPTEMBER 2018

Foto - FB Dr. Mahathir bin Mohamad

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan hukuman sebat yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu terhadap pasangan kekasih lesbian (musahaqah) tidak mencerminkan keadilan dan timbang rasa oleh Islam.

Menurutnya, umum mengetahui ia adalah kesalahan pertama pasangan tersebut dan mereka sepatutnya diberikan nasihat serta tidak terus dijatuhkan hukuman sebat sehingga diketahui seluruh negara.

Menurutnya, perkara tersebut akan memberi gambaran buruk kepada agama Islam itu sendiri.

"Sebab itu kami berpendapat bahawa, kalaupun ada kes-kes yang semacam ini, pertimbangan hendaklah diberi kepada keadaan tertentu yang mana dalam Islam kita boleh menjatuhkan hukum yang lebih ringan sementara kita memberi nasihat dan sebagainya.

"Amatlah penting kita menunjuk agama Islam ini bukanlah agama yang bengis yang suka menjatuhkan hukum-hukum yang berat yang mengaibkan orang. Ini bukan cara-cara yang digalakkan oleh agama Islam," katanya dalam satu rakaman video yang dimuat naik di laman Facebook miliknya, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menyatakan pandangan kerajaan PH selepas perkara tersebut dibawa ke dalam Mesyuarat Kabinet.

Isnin lalu, pasangan kekasih lesbian dihukum sebat di hadapan lebih 150 orang ramai di dalam Dewan Bicara 2, di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu.

Hukuman enam sebatan oleh dua tukang sebat wanita dari Penjara Kajang, Selangor bertauliah berjalan lancar.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan lesbian dihukum sebat depan khalayak]

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, kerajaan berharap semua pihak berhati-hati agar tidak mempamerkan Islam sebagai agama yang tidak ada tolak ansur dan tidak bertimbang rasa.

"Sedangkan kita selalu, apabila bermula (memulakan) sesuatu dengan Bismillahirrahmanirrahim, iaitu dengan nama ALLAH yang maha pemurah lagi maha mengasihani tetapi kita tunjuk seolah-seolah dalam Islam ini tidak ada perasaan pemurah sama sekali.

"Inilah pendapat kerajaan PH pada mesyuaratnya hari ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-