Showing posts with label hukuman sebat. Show all posts
Showing posts with label hukuman sebat. Show all posts

Thursday, November 29, 2018

Hukuman sebat tiada tempat dalam masyarakat bertamadun, kata peguam

Ainaa Aiman
-November 29, 2018 12:07 PM


PETALING JAYA: Peguam hak asasi manusia menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) menimbang semula keputusan untuk mengekalkan sebatan sebagai satu bentuk hukuman.

Pengarah Undang-undang Fortify Rights, Eric Paulsen memberitahu FMT, hukuman sebat merupakan penyeksaan dan ia “kejam, tidak berperikemanusiaan dan menghina” di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

“Sebat tidak mempunyai tempat dalam mana-mana masyarakat bertamadun pada zaman ini,” katanya sambil menambah ia menyebabkan penghinaan dan memberi kesan psikologi jangka panjang kepada mereka yang dikenakan hukuman tersebut.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin memberitahu Dewan Rakyat semalam, kerajaan akan mengekalkan hukuman sebatan sivil itu tetapi ia sedang mengkajinya.

“Setakat ini belum ada keputusan kerajaan memansuhkan hukuman sebatan sebab hukuman ini sudah lama ada dalam negara.

“Adakah kita mahu mengubahnya? Di bawah undang-undang yang ada, hakim boleh menggunakan budi bicara untuk menggantikan sebatan dengan hukuman penjara, jika mereka mendapati sebatan itu menjejaskan orang tersebut,” katanya.

Paulsen bagaimanapun mempersoalkan janji manifesto PH dalam Perkara 26 yang menyatakan ia akan menjadikan hak asasi manusia dihormati di dunia, mengatakan ia mustahil untuk dipenuhi jika hukuman sebat dikekalkan.

“Kerajaan juga menyatakan ia berhasrat untuk meratifikasi Konvensyen mengenai Penyeksaan (CAT). Tentunya tidak konsisten jika hukuman sebat dikekalkan, kerana di bawah CAT, sebatan ditafsirkan dengan jelas sebagai penyeksaan,” katanya.

Latheefa Koya yang mengetuai lawyers for Liberty, turut mempersoalkan bagaimana sebatan dibenarkan bagi kes imigresen, sambil menambah ia adalah kesalahan pentadbiran.

Beliau menggesa kerajaan menghapuskan sepenuhnya hukuman sebat tetapi berkata jika ia hanya boleh dilakukan secara berperingkat, hukuman untuk kesalahan imigresen harus dikeluarkan.

Peguam Syarie Nizam Bashir memberitahu FMT, hukuman sebat adalah satu bentuk hukuman yang wujud dalam undang-undang sivil dan Islam.

Beliau menambah perdebatan mengenai pemansuhannya merentasi kedua-dua undang-undang Tuhan dan dunia.

“Bagaimanapun, kena kita ingat undang-undang Tuhan di Malaysia hanya menyatakan undang-undang taazir, atau hukuman berdasarkan budi bicara hakim, perdebatan menjadi lebih mudah dan kita boleh menumpukan pada tujuan utama sistem keadilan jenayah, iaitu untuk memulihkan pesalah,” katanya sambil menambah sistem keadilan jenayah Islam lebih kepada pencegahan berbanding bersifat menghukum.

Beliau berkata jika tujuan pemansuhan adalah untuk memulihkan pesalah, terdapat banyak alternatif lain untuk mencapai matlamat itu.

Thursday, September 6, 2018

Tidak cerminkan keadilan dalam Islam

MOHD HAFIZ ISMAIL
6 SEPTEMBER 2018

Foto - FB Dr. Mahathir bin Mohamad

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan hukuman sebat yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu terhadap pasangan kekasih lesbian (musahaqah) tidak mencerminkan keadilan dan timbang rasa oleh Islam.

Menurutnya, umum mengetahui ia adalah kesalahan pertama pasangan tersebut dan mereka sepatutnya diberikan nasihat serta tidak terus dijatuhkan hukuman sebat sehingga diketahui seluruh negara.

Menurutnya, perkara tersebut akan memberi gambaran buruk kepada agama Islam itu sendiri.

"Sebab itu kami berpendapat bahawa, kalaupun ada kes-kes yang semacam ini, pertimbangan hendaklah diberi kepada keadaan tertentu yang mana dalam Islam kita boleh menjatuhkan hukum yang lebih ringan sementara kita memberi nasihat dan sebagainya.

"Amatlah penting kita menunjuk agama Islam ini bukanlah agama yang bengis yang suka menjatuhkan hukum-hukum yang berat yang mengaibkan orang. Ini bukan cara-cara yang digalakkan oleh agama Islam," katanya dalam satu rakaman video yang dimuat naik di laman Facebook miliknya, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menyatakan pandangan kerajaan PH selepas perkara tersebut dibawa ke dalam Mesyuarat Kabinet.

Isnin lalu, pasangan kekasih lesbian dihukum sebat di hadapan lebih 150 orang ramai di dalam Dewan Bicara 2, di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu.

Hukuman enam sebatan oleh dua tukang sebat wanita dari Penjara Kajang, Selangor bertauliah berjalan lancar.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan lesbian dihukum sebat depan khalayak]

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, kerajaan berharap semua pihak berhati-hati agar tidak mempamerkan Islam sebagai agama yang tidak ada tolak ansur dan tidak bertimbang rasa.

"Sedangkan kita selalu, apabila bermula (memulakan) sesuatu dengan Bismillahirrahmanirrahim, iaitu dengan nama ALLAH yang maha pemurah lagi maha mengasihani tetapi kita tunjuk seolah-seolah dalam Islam ini tidak ada perasaan pemurah sama sekali.

"Inilah pendapat kerajaan PH pada mesyuaratnya hari ini," katanya.

Tuesday, September 4, 2018

Sebat di khalayak sukar diterima - Anwar


Menghukum seperti menjatuhkan hukuman sebat di khalayak tanpa melalui proses dan kefahaman betul serta tanpa belas kasihan tidak diterima rakyat Malaysia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden PKR berkata, tersebut perlu ditangani berhati-hati kerana akan timbul tuduhan bahawa mereka yang tidak bersetuju dengan hukuman sebat terhadap pesalah syariah sebagai anti-Islam.

"Jika anda cuai dalam memberi kenyataan dalam perkara ini, anda akan dilabel sebagai anti undang-undang syariah, anda dilabel sebagai sekular dan sebagainya.

"Jika perkara ini berlaku akan timbul pergeseran lain dalam kalangan masyarakat Islam," beliau dipetik sebagai berkata oleh Astro Awani.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita dalam sidang media di Persidangan Ketua Pegawai Eksekutif Filipina 2018 di Manila hari ini.

Anwar juga dilapor berkata tidak bersetuju dengan tindakan menjatuhkan hukuman sebat itu kerana ia merupakan penindasan.

"Jika timbul isu berkaitan kesalahan sedemikian perlu ada satu bentuk penjelasan yang mencukupi, pendedahan atau pendidikan kepada masyarakat," katanya seperti dilaporkan.

Semalam, pasangan lesbian 32 dan 22 tahun disebat enam kali dalam dewan di mahkamah syariah di Terengganu setelah disabitkan bersalah cuba melakukan hubungan seks sejenis di dalam kereta.

Sebatan itu dikatakan yang pertama seumpamanya berlaku di negara ini.

Thursday, July 13, 2017

Stadium, masjid antara lokasi pesalah syariah boleh disebat

Oleh NOR AFIQAH MAT NOR dan EDDY HAMIDI
Seorang peniaga wanita di Aceh, Indonesia dijatuhi hukuman sebat di depan khalayak ramai kerana didapati bersalah menjual minuman keras. Kelantan juga akan melaksanakan undang-undang seumpama itu tidak lama lagi.

KOTA BHARU Hukuman sebat ke atas pesalah jenayah syariah di Kelantan akan dilaksanakan mengikut kaedah dan pendekatan sepertimana yang dilakukan di penjara di negara ini.

Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Mohamad berkata, apa yang berbeza, pindaan tersebut hanya melibatkan lokasi pelaksanaan hukuman.

Menurut beliau, sebelum ini, hukuman sebat hanya dilaksa­nakan di penjara dan bukannya di khalayak ramai seperti yang diluluskan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017).

“Apa yang berbeza ialah mahkamah akan menentukan mana-mana lokasi sesuai di khalayak ramai dan selamat seperti stadium atau masjid untuk me­laksanakan hukuman sebat terhadap pesalahnya.

“Kita masih mengekalkan kaedah sama termasuk cara sebatan, jenis rotan dan ukuran rotan.

“Pelaksanaan hukuman itu juga mesti diluluskan oleh pegawai daripada Jabatan Kesihatan dan hukuman sebatan tersebut turut dihadiri oleh doktor,” kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0713&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz4mfMW6Lma
Hakcipta terpelihara

Thursday, April 14, 2016

Aceh sebat wanita bukan muslim jual arak

GAMBAR HIASAN

SEORANG wanita warga emas yang bukan beragama Islam dijatuhi hukuman sebat sebanyak 30 kali atas kesalahan menjual minuman beralkohol di wilayah Acheh, Indonesia.

Ini merupakan kali pertama pihak berkuasa di Acheh menjatuhkan hukuman sedemikian terhadap orang bukan Islam di negeri yang terkenal dengan pelaksanaan ketat hukum Hudud itu.

Wanita berusia 60 tahun yang beragama Kristian itu disebat dengan rotan di hadapan ratusan orang awam bersama-sama satu lagi pasangan Muslim yang melakukan perbuatan zina.

Walaupun hukuman syariah itu hanya tertakluk kepada umat Islam, namun menurut wakil pihak berkuasa, Lili Suparli, hukuman itu juga boleh dikenakan terhadap individu bukan Muslim mengikut keadaan dan situasi.

“Ini merupakan kes pertama dicatatkan orang bukan Islam dihukum mengikut undang-undang agama Islam,” katanya.

Acheh mula mengaplikasikan hukuman hudud sejak 2001. – MYNEWSHUB.CC

Thursday, March 10, 2016

Kelantan kaji sebat pesalah syariah di khalayak ramai

Kerajaan Kelantan akan membuat kajian bagi melaksanakan hukuman sebat enam rotan bagi kesalahan zina di khalayak ramai bagi menimbulkan rasa gerun orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Nassurudin Daud berkata hukuman sebat bagi kesalahan syariah sebelum ini dijalankan di penjara.

“Dalam al-Quran ada disebut orang mukmin boleh melihat hukuman sebat yang dijalankan. Oleh itu kita akan membuat kajian mengenai cadangan itu,” katanya pada persidangan Dun hari ini, lapor Harakah Daily.

Semalam Datuk Hassan Mohamood (PAS-Tawang) mencadangkan kerajaan negeri menjalankan hukuman sebat enam rotan ke atas kesalahan zina di tempat terbuka.

Tahun lepas Mahkamah Tinggi Sabah menjatuhkan hukuman sebat ke atas seorang lelaki yang disabit kesalahan zina di pekarangan mahkamah itu dengan disaksikan 40 jemputan khas.

Nassurudin juga berkata Kelantan merupakan negeri pertama mewujudkan Jabatan Pendakwaan Syariah di negara ini yang diasingkan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan.

Menjelaskan mengenai dakwaan Datuk Husam Musa (PAS-Salor) penangguhan pelantikan penghulu di Dun Salor, katanya ia dibuat bagi menyelesaikan beberapa isu.

“Penghulu merupakan lantikan politik. Kalau ada masalah berbangkit kita selesaikan dahulu. Lantikan politik mesti diambil kira orang memberi sokongan kepada jemaah kita.

“Penghulu memegang amanah besar kerajaan, jadi wajar lantikan bagi jawatan politik kita tangguh sementara bagi menyelesaikan perkara berbangkit

“Pertemuan telah diadakan. Tidak timbul soal zalim dalam isu ini,” ujarnya.

Sunday, June 28, 2015

PAS tetap laksana Hudud di Kelantan - Hadi


KEPALA BATAS, 28 Jun:

PAS akan meneruskan agenda untuk melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan, demikian ditegaskan Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata walaupun ada sesetengah pihak yang menolak pelaksanaan undang-undang hudud, PAS tidak akan berganjak malah mengorak langkah dengan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) bagi membolehkan sebahagian undang-undang hudud dapat dilaksanakan di negeri itu.

“Dalam hal ini, PAS mengambil sikap untuk mengajak manusia secara damai. PAS tak mahu berkelahi. Malangnya ada orang yang nak ajak berkelahi, nak ajak berlawan. Biarlah…biar dia sahaja yang bersuara kita bawa agenda kita.

“Biar anjing menyalak, serigala menyalak…qabilah berjalan terus sampai ke destinasi, matlamat yang dituju.

“Ini slogan yang kita bawa, salaklah dia nak salak pun. Saya terpaksa sebut perkataan salak ini sebab dia melawan hukum Tuhan. Kita akan terus bawa agenda ini, kita tidak akan berganjak,” katanya pada ceramah perdana kepimpinan PAS Pusat di Markas Tarbiyah PAS negeri, Pongsu Seribu di sini malam tadi.

Turut hadir Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS Idris Ahmad, Ketua Penerangan PAS Pusat Nasrudin Hassan Tantawi dan barisan kepimpinan PAS negeri Pulau Pinang.

Abdul Hadi sekali lagi mengulangi bahawa undang-undang hudud bukan untuk menyeksa penjenayah sebaliknya ia bertujuan mendidik penjenayah selain membela mangsa yang dizalimi.

“Sebagai contoh hukuman sebat. Kita tak boleh samakan hukuman sebat yang ada dalam penjara hari ini dengan hukuman sebat dalam Islam di mana sekali sebat bukan kulit sahaja yang pecah isi juga yang pecah.

“Hukuman sebat dalam Islam ini pukul tak boleh sampai memecahkan kulit, tak boleh menyeksa tetapi mendidik penjenayah dan menakutkan bakal penjenayah. Bunyinya seratus sebatan, tapi sebatannya tidak memecahkan kulit,” katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim mengingatkan anggota-anggota PAS untuk menjaga setiap tutur kata agar tidak merosakkan nama baik parti yang mempunyai adab, akhlak dan peraturan yang perlu dijaga setiap anggota parti.

“Kita kena ingat bahawa selagi kita ikat diri kita di jalan Islam menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga nama baik Islam, nama baik jemaah dan perjuangan yang kita bawa.

“Jangan kita tiba-tiba duduk dalam jemaah dan kita mengkritik jemaah yang kita duduk itu. Ia tidak mencerminkan kebaikan akhlak kita kerana seorang yangbaik tidak akan keluar daripada mulutnya melainkan kebaikan,” katanya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/06/28/pas-tetap-laksana-hudud-di-kelantan-hadi/#ixzz3eKSzhOeA

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-