Datuk Seri Najib Tun Razak tidak setuju Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad menggunakan isu pembayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai contoh untuk menyatakan kaum Melayu sebagai malas dan tidak bertanggungjawab.
Najib berkata sejak 10 tahun lepas prestasi pembayaran semula PTPTN tidak begitu memuaskan antaranya disebabkan hasutan dari pihak pembangkang ketika itu yang menjanjikan pemansuhan hutang PTPTN sekiranya menang pilihan raya umum.
“Dalam isu PTPTN bukan sahaja kaum Melayu tidak membayar tetapi ramai juga peminjam dari kalangan kaum-kaum lain yang menerima pinjaman PTPTN kerana termakan hasutan Pakatan.
“Hakikatnya, Pakatan yang merosakkan PTPTN dan mereka tidak patut menggunakan isu ini sebagai alasan untuk menyalahkan satu kaum sahaja. Maka, Pakatan perlu bertanggungjawab terhadap tindakan ramai yang tak mahu membayar pinjaman PTPTN,” kata Najib.
Najib berkata, oleh kerana kerajaan Pakatan Harapan tidak akan memansuhkan hutang PTPTN seperti dijanjikan beliau menyeru kepada semua peminjam tak kira bangsa untuk menunaikan tanggungjawab mereka membayar balik pinjaman mengikut kemampuan masing-masing.
Ini agar lebih ramai lagi pelajar-pelajar boleh mendapat bantuan PTPTN pada masa depan.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.