22 SEPTEMBER 2018
Tengku Razaleigh Hamzah
KUALA LUMPUR - Tidak ada keperluan untuk Umno menempatkan calonnya dalam perebutan kerusi PRK Port Dickson menentang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana persepsi negatif rakyat terhadap Umno masih belum pulih.
Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah berkata, bukan sahaja rakyat dan pengundi di Port Dickson, malah jentera parti juga masih belum bersemangat untuk bekerja bersungguh-sungguh selepas kekalahan teruk dalam PRU14, 9 Mei lalu.
“Tidak wajar tanding, kita baru kalah. Mood orang terhadap Umno ini masih tidak baik. Jadi moral orang-orang kita pun tidak begitu bersungguh untuk bekerja dalam pilihan raya.
“Secara tradisinya pun kerusi itu bukan kerusi Umno daripada dulu lagi bermula wakil rakyat pertama tahun 1955 dahulu sampai sekarang.
“Jadi mengapa kita hendak pergi bertanding di situ? Kita tidak ada kekuatan di situ,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Langgak Golf, hari ini.
PRK Port Dickson akan diadakan pada 13 Oktober depan selepas penyandangnya, Danyal Balagopal Abdullah melepaskan jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding dan kembali semula ke Dewan Rakyat.
Bahkan, Ahli Parlimen Gua Musang itu, menegaskan tiada faedah untuk Umno bertanding untuk menang dalam PRK Port Dickson sedangkan pada masa yang sama kehilangan beberapa ahli Parlimen yang bertindak keluar parti.
“Lagipun kalau menang, bagaimana pula (ahli Parlimen Jeli) Mustapa Mohamed yang sudah menang, kemudian lari?
“Apa faedah kalau hendak menang satu kerana ganti dua (ahli Parlimen) lari ataupun empat lari? Tidak munasabah,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.