Showing posts with label PRK Port Dickson. Show all posts
Showing posts with label PRK Port Dickson. Show all posts

Sunday, October 14, 2018

Tiada kuasa boleh halang Anwar pimpin negara, kata Nazri

Robin Augustin
-October 14, 2018 12:20 AM


PETALING JAYA: Bekas menteri pelancongan dan ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Port Dickson ialah kehendak Tuhan dan tiada kuasa yang dapat menghalang presiden PKR itu daripada mengambil alih jawatan perdana menteri.

“Orang boleh buat apa saja, tetapi tidak boleh cabar kehendak Tuhan. Beliau telah dipenjarakan, didakwa melakukan bermacam-macam.

“Ini kehendak Tuhan untuk beliau memimpin negara,” kata Nazri selepas Anwar diisytiharkan memenangi pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson dengan majoriti lebih besar daripada bekas ahli Parlimen kerusi itu, Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada pilihan raya umum ke-14 lalu.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, beliau “amat gembira” dengan kemenangan Anwar di Port Dickson , di mana beliau meraih kira-kira 70% daripada semua undi untuk menewaskan 6 calon lain.

“Saya menantikan beliau kembali ke Parlimen kerana ia lebih mudah bekerja dengan Anwar dalam hal ehwal negara,” katanya kepada FMT.

“Malaysia amat memerlukan beliau sekarang.”

Nazri berkata, hanya Anwar boleh “mengembalikan negara ke landasan betul” dan ada banyak kebencian serta ketidakyakinan di kalangan rakyat sejak pilihan raya umum 9 Mei lalu yang memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH).

Beliau turut memuji Anwar “tidak berdendam” kerana memaafkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anwar dipecat daripada Kabinet oleh Dr Mahathir yang merupakan perdana menteri pada 1998, sebelum didakwa dengan pertuduhan meliwat dan penyalahgunaan kuasa.

Nazri yang menyokong Anwar secara terbuka sebelum kempen Port Dickson bermula berkata, beliau bersyukur Umno tidak menyertai PRK kali ini.

Tetapi, pemimpin Umno yang lantang itu enggan memberitahu sama ada partinya akan bekerjasama dengan Anwar.

“Beliau tidak pernah meninggalkan Umno, beliau dipecat. Saya sentiasa menyokong beliau, cuma saya memilih tidak meninggalkan Umno.”

‘Anwar perlu belajar cara rendah hati’

Sementara itu, peguam Siti Kasim berkata, keputusan PRK Port Dickson tidak mengejutkan kerana Anwar mendapat sokongan pemimpin kanan PH, termasuk Dr Mahathir.

“Saya harap beliau belajar cara rendah hati dan memahami kelemahannya dalam kerja itu. Saya harap beliau berubah dan memahami Malaysia untuk rakyat Malaysia,” katanya kepada FMT.

Siti yang sering memberi amaran kepada orang ramai berhubung sejarah “radikal” Anwar berkata, ketua umum PH itu perlu “memimpin orang Melayu keluar daripada kehidupan berdasarkan agama melampau dan ke dalam kemodenan”.

“Ini masanya untuk beliau berbuat demikian,” katanya yang mengkritik “Langkah Port Dickson” dengan memaksa PRK diadakan di kerusi Parlimen Negeri Sembilan itu.

Pengalaman manis

Calon bebas, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendapat undi paling sedikit menerima kekalahannya dengan hati terbuka.

“Apa yang pasti ialah ini pengalaman manis,” katanya yang sekadar mendapat 82 undi.

“Saya masih muda. Ini bukan pengakhirannya, perjalanan saya baru bermula. Apa yang pasti ialah saya akan meneruskan perjuangan dan prinsip saya,” kata bekas pembantu Anwar itu yang menjadi tumpuan dalam kes liwat menyebabkan Anwar dipenjarakan pada 2015.

Saturday, October 13, 2018

Anwar angkat sumpah Isnin ini

MUHAMMAD AFHAM RAMLI
13 OKTOBER 2018

Anwar bersama beberapa pemimpin tertinggi PKR dalam sidang media di BGU, di sini.

PORT DICKSON - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen pada Isnin ini.

Anwar yang baru memenangi kerusi Parlimen Port Dickson berkata, beliau akan terus berkhidmat sebagai ahli Parlimen dan berkhidmat bersama rakan senior seperti Lim Kit Siang untuk menjadikan agenda reformasi berkesan.

"Saya baru menelefon Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan beliau amat gembira dengan keputusan ini.

"Saya percaya semangat kemuafakatan PH dapat dipertingkatkan," katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama PH, di sini, tadi.

Turut hadir adalah beberapa pimpinan tertinggi PKR iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Rafizi Ramli, Aminuddin Harun dan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.

Terdahulu, Anwar telah diumumkan sebagai pemenang dalam PRK Port Dickson selepas menewakan enam pencabarnya dari Pas dan Bebas dengan majoriti undi sebanyak 31,016 undi.

Diikuti calon Pas, Mohd Nazari Mokhtar yang mendapat 7,456 undi, calon Bebas, Tan Sri Isa Samad (4,230 undi), Stevie Chan Keng Leong (337 undi), Lau Seck Yan (214 undi), Kan Chee Yuen (154 undi) dan Mohd Saiful Bukhari Azlan hanya mendapat 82 undi.

Anwar berkata, keputusan itu cukup memuaskan hati kami yang bertungkus lumus bekerja seluruh peringkat pusat dan negeri.

Katanya, pengundi Port Dickson telah memberikan kepercayaan kepada beliau dan PH untuk mengundinya.

"Keputusan itu di luar jangkaan kerana undi popular mencecah 70 peratus sedangkan undi popular PRU hanya mencecah 48 peratus. Ini menggambarkan kepercayaan semua kaum memihak kepada PH.

"Dua kawasan Dun yang kita tewas PRU lalu telah kita menang dengan penuh bergaya. Ada beberapa hal yang diperhatikan seperti undi Melayu di beberapa kawasan tewas tipis kini berjaya menang dengan jumlah yang besar, malah undi tentera yang dulu tidak memihak pada kita telah bertambah 122 peratus," katanya.

Mengulas adakah kemenangan ini disebabkan beliau menerima undian daripada penyokong Umno, Anwar berkata, beliau melihat secara keseluruhan tentang hal itu.

"Secara keseluruhannya kita nampak sokongan yang penuh, mungkin daripada pengundi Umno," katanya.

Anwar mendahului undi

SARINAH MAT KASIM
13 OKTOBER 2018

Anwar

PORT DICKSON - Calon Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendahului enam pesaingnya pada PRK Port Dickson.

Keputusan tidak rasmi yang dipaparkan di Bilik Gerakan Utama PH setakat 7 malam, menyaksikan Anwar memperoleh majoriti 10,371 undi dengan jumlah undi 14,233 undi, diikuti calon Pas, Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar yang mendapat 3,862 undi.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad, yang bertanding atas tiket Bebas memperoleh 1,817 undi manakala bekas pembantu peribadi Anwar mendapat 65 undi.

Calon Bebas lain, Stevie Chan mendapat 173 undi, Lau Seck Yan (107), Kan Chee Yuen (81).

Petugas SPR, orang lain lebih ramai dari pengundi - Saiful

Bernama 
Diterbitkan 13 Okt 2018, 3:13 petang 


PRK PD | Calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson Mohd Saiful Bukhari Azlan mendakwa jumlah petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak lain yang tidak berkenaan lebih ramai berbanding jumlah pengundi yang hadir di pusat pembuangan undi.

Katanya perkara itu berdasarkan pemantauannya di beberapa pusat daerah mengundi setakat tengah hari tadi.

"Ini menunjukkan isyarat bahawa mereka tidak bersetuju dengan sebab pilihan raya ini diadakan," kata bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, di Port Dickson.

Pada masa sama, Mohd Saiful Bukhari menyeru calon-calon yang bertanding agar turut bersama-samanya menggesa pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebelum pusat pengundian ditutup pada 5.30 petang ini.

Sementara itu, Anwar yang bertanding sebagai calon Pakatan Harapan (PH) pada PRK ini berharap lebih ramai pengundi berbuat demikian mulai tengah hari ini.

“Harapnya mereka akan keluar pada sebelah petang kerana sesetengah hotel memberi pelepasan kepada staf mereka pada sebelah petang,” katanya kepada Bernama selepas melawat ke Pusat Pengundian Sekolah Kebangsaan Intan Perdana di Port Dickson hari ini.

Sehingga 12 tengah hari tadi, jumlah peratusan keluar mengundi adalah sekitar 34 peratus.

Selain Anwar dan Mohd Saiful Bukhari, lima lagi calon mencuba nasib pada PRK ini iaitu calon PAS Lt. Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar serta empat calon Bebas termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

PRK diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah melepaskan jawatan pada 12 Sept lalu bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding dalam usaha kembali ke Dewan Rakyat.

Keputusan PRK ini yang akan diumumkan di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson dijangka diketahui pada 10 malam ini.

- Bernama

PAS kata HARAPAN lebih dasyat dari Umno

Shakira Buang
Diterbitkan 12 Okt 2018, 11:17 malam


PRK PD | Meskipun baru enam bulan mentadbir negara, namun Pakatan Harapan (HARAPAN) sudah disifatkan sebagai pemerintah paling dasyat berbanding dengan Umno.

Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Nik Zawawi Nik Mohd Salleh berkata ini kerana kerajaan HARAPAN telah berbohong kepada rakyat yang mengundi mereka.

“Selepas mencecah hampir 100 hari PRU14 melabuhkan tirainya, masyarakat nak lihat perubahan berlaku," katanya.

Nik Zawawi berkata demikian dalam siri ceramah di Ma'ahad Tahfiz At-Thohiriyah, di Taman Selasih, Port Dickson, malam ini.

Tambahnya, pentadbiran HARAPAN juga menunjukkan mereka lebih dahsyat dalam pengurusan ekonomi berbanding BN.

"HARAPAN lebih dahsyat daripada Umno dan BN. Dari segi ekonomi lagi dahsyat...tentunya kita yakin rakyat dalam negara bila mereka silap pilih, dengan sikap berani tukar kerajaan, cuma mereka tersasar," katanya.

Nik Zawawi berkata, disebabkan itu PAS mengambil keputusan meletakkan calon mereka walaupun mengakui bukan mudah untuk memenangi kerusi itu.

"Sebab itu kita tampilkan PAS dengan janji manifesto kita, kita sentiasa tawarkan agenda Islam.

"Betul kalau menang kita tak mampu ubah kerajaan tapi kemenangan PAS di Port Dickson akan memberi bacaan politik baru kepada negara.

"Kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan bertukar tangan, atau politik akan baca kerajaan HARAPAN akan jatuh di tengah jalan sebelum PRU15," katanya, dalam ceramah kempen terakhir sebelum tamat tempoh berkempen tengah malam ini.

Selar PM

Nik Zawawi juga turut menyelar kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung cadangan pelaksanaan cukai baru bagi membantu kerajaan melunaskan hutang negara.

"Perdana menteri baru cakap nak perkenal sistem cukai lain, bukan nak mansuh SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) tapi tambah lagi cukai. Katanya tidak menyusahkan rakyat, dia nak minta cukai dengan siapa, lembu, ayam, kambing?" Soalnya.

PRK Port Dickson dijadualkan berlangsung esok, selepas tamat tempoh 14 hari berkempen, bermula penamaan calon pada 29 September lalu.

PAS meletakkan calon veteran tentera berpangkat leftenan kolonel, Mohd Nazari Mokhtar untuk menentang calon Pakatan Harapan Anwar Ibrahim, yang dijangka bakal memenangi PRK itu.

Kajian Institut Darul Ehsan (IDE) menjangkakan Anwar akan menang 74 peratus undi manakala Ilham Center menjangkakan ketua umum PKR itu menang dengan 64 peratus undi.

Ilham Center ramal PAS hilang deposit

IDE menjangkakan PAS akan memperolehi 11 peratus undi daripada keseluruhan 75,770 pengundi di Parlimen Port Dickson.

Kajian Ilham Center pula menjangkakan PAS akan hilang deposit di kerusi itu, disebabkan jentera parti yang lumpuh.

"Ada menyebut lawan kita boleh menang, dia tak sebut dengan mudah, ada sebut gergasi besar boleh tumbang.

"Kita bukan isu nak melawan Anwar atau calon lain, kita masuk bertanding di Port Dickson kerana ingin tunjuk kepada masyarakat perjuangan kita sampai bila-bila," kata Nik Zawawi lagi.

Terdahulu lebih 100 anggota PAS mengadakan solat hajat bagi memohon Allah melindungi dan memberi kemenangan kepada calon parti Islam itu pada PRK Port Dickson, esok.

Solat hajat itu turut disusuli dengan zikir, doa munajat dan taujihat perdana.

Solat berkenaan diimamkan oleh Nik Zawawi

Hadir sama Mursyidul Am PAS Datuk Hashim Jasin, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Mahfodz Mohamed, calon PAS bagi PRK Port Dickson, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar.

Tuesday, October 9, 2018

BERSIH gesa Anwar tangguh acara makan malam percuma

Diterbitkan 9 Okt 2018, 2:53 petang


PRK PD | BERSIH menggesa Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menangguhkan majlis makan malam percuma untuk 3,000 hingga 4,000 tetamu di Lukut sehingga selepas pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson pada 13 Okt.

Acara itu dijadualkan diadakan pada malam Khamis ini.

"Makan malam seperti ini tidak berbeza dari majlis Jho Low di Pulau Pinang pada pilihan raya umum ke-13," katanya dalam satu kenyataan pada petang ini.

Badan pemantau pilihan raya itu berkata pada pilihan raya kecil Sungai Kandis 4 Ogos lalu, pesta durian percuma ditangguhkan selepas pilihan raya kecil itu untuk mengelakkan sebarang pelanggaran undang-undang pilihan raya.

"Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya melarang makanan, minuman, pencuci mulut atau peruntukan untuk mendorong pengundi mengundi calon tertentu," tambahnya.

Selain itu, BERSIH juga berkata Seksyen 19 akta yang sama mengehadkan perbelanjaan sebanyak RM200,000 bagi kempen pilihan raya untuk kerusi parlimen.

"Oleh itu, perbelanjaan pada konsert percuma di Port Dickson semasa pilihan raya hendaklah ditanggung oleh calon, ejen pilihan raya atau orang yang diberi kuasa oleh ejen pilihan raya dan dimasukkan ke dalam penyata kewangan perbelanjaan kempen pilihan raya calon," katanya.

Sebelum ini, Anwar mengkritik SPR dan BERSIH selepas pertubuhan itu mempersoalkan kehadirannya pada konsert yang dianjurkan oleh Kelab Anwar Ibrahim (AIC), Pertubuhan Khidmat Kebajikan Masyarakat Madani dan Muafakat Anak Muda Port Dickson pada 6 Okt lalu.

Keesokan harinya, Anwar menjelaskan kenyataannya dan menyatakan beliau tetap menghormati peranan SPR dan BERSIH.

BERSIH berkata, ia mengambil perhatian terhadap cadangan Anwar agar badan itu dan SPR memastikan bahawa calon dan pengundi dapat berhubung antara satu sama lain secara lancar dalam kempen pilihan raya.

"BERSIH memang menggalakkan interaksi antara calon dan pengundi dalam kempen pilihan raya. Bagaimanapun, kami juga ingin mengulangi bahawa aktiviti-aktiviti ini tidak boleh dilakukan dengan melanggar prinsip-prinsip antarabangsa berhubung pilihan raya yang bebas dan adil.

"Prinsip-prinsip ini, antara lain, menghendaki semua pihak yang berkepentingan dalam pilihan raya memastikan bahawa ia bebas daripada segala bentuk suapan dan membeli undi, pertandingan di padang yang rata antara calon dan parti politik, pentadbiran yang neutral dan tidak menyalahgunakan jentera kerajaan," tambahnya.

BERSIH berkata ia juga menyokong gesaan Pengerusi SPR Azhar Harun bahawa jika Anwar dibenarkan memasuki kem tentera untuk berkempen, calon lain juga harus diberi layanan yang sama.

"Jika tidak, Kementerian Pertahanan dilihat menyalahgunakan jentera kerajaan untuk calon Pakatan Harapan," katanya.

Mahathir lelaki terbaik pimpin negara - Anwar

Badrul Hafizan Mat Isa
09 Oktober 2018 12:00 AM
DR. MAHATHIR Mohamad dan Anwar Ibrahim berkongsi pentas yang sama dalam Ceramah Mega Mahathir Anwar Gandingan Mantap Pakatan Harapan di PD Waterfront, Port Dickson, malam tadi. - UTUSAN ONLINE/ABD. RAZAK AID

PORT DICKSON 8 Okt. - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui bahawa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad merupakan individu terbaik untuk memimpin negara ketika ini.

Jelas calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson itu lagi, kepimpinan kerajaan terdahulu telah merosakkan semua institusi termasuk yang diasaskan untuk memelihara kepentingan rakyat.

"Kesemua institusi yang bermasalah itu mesti dipulihkan dan mesti ditekan supaya kembali menjalankan tugas. Dalam keadaan sekarang lebih baik Tun Mahathir yang pimpin negara.

"Saya sebut ini dengan ikhlas dan saya mengenali beliau, saya anggapnya sebagai bapa dan ketua, saya lawan dia tetapi kini saya terima dia sebagai lelaki terbaik untuk memimpin negara ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Ceramah Mega Mahathir Anwar Gandingan Mantap Harapan Malaysia, di sini malam tadi.

Yang hadir sama, Dr. Mahathir serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Menteri Besar, Aminuddin Harun.

Sementara itu, Anwar menzahirkan penghargaan kepada Dr. Mahathir yang sudi ke Port Dickson membantunya dalam kempen PRK Parlimen tersebut.

"Sebagai Perdana Menteri, beliau tidak pernah datang ke pilihan raya kecil, maknanya apabila beliau datang ke Port Dickson, saya rasa kasih kasih yang dulu semarak semula.

"Saya tahu, saya kenal dia, orangnya tegas, walaupun senyum dan sifatnya keras, kalau dia ambil apa-apa keputusan, keputusan itu setelah mengambil kira pelbagai pertimbangan dan memikirkan kepentingan rakyat dan negara, untuk itu saya hormat kamu tuan," katanya.

Tambah Anwar lagi, gandingan beliau dahulu bersama Dr. Mahathir disifatkan sebagai gandingan luar biasa.

"Gandingan kami antara gandingan yang bersejarah, berkhidmat di bawah Tun Mahathir, pengawasan dan didikan beliau sehingga menjadi Timbalan Perdana Menteri, gandingan yang luar biasa mantapnya. Kemudian kami bergelut, bertarung sengit begitu lama lepas itu kami berpakat semula.

"Saya menemui semula Tun Mahathir selepas 18 tahun dan saya terkesan seorang negarawan dapat meninggalkan perasaan dan masalah yang lalu semata-mata tekad kami bersama bergandingan untuk selamatkan Malaysia," katanya.

AGC bantah permohonan isytihar Anwar tak layak tanding

Diterbitkan 9 Okt 2018, 12:51 tengah hari


Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini membuat bantahan awal terhadap permohonan seorang pengundi Port Dickson yang mempersoalkan kesahihan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan bersama-sama dengan Shamsul Bolhassan dari AGC memberitahu pemberita bahawa Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur tidak mempunyai bidang kuasa berbuat demikian.

Sebaliknya, penguni itu, Noraziah Mohd Shariff sepatutnya memfailkan perkara atau kes itu menerusi petisyen pilihan raya yang akan didengar oleh Mahkamah Pilihan Raya.

Bantahan itu dibuat oleh AGC yang bertindak mewakili Lembaga Pengampunan selain permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membatalkan saman pemula bagi menuntut perisytiharan bahawa beliau tidak berhak untuk bertanding di mana-mana kerusi Parlimen sehingga tempoh hilang kelayakannya tamat disebabkan status pengampunannya yang dipertikaikan.

Hakim Datuk Azizah Nawawi kemudian menetapkan 8 November sebagai tarikh untuk mendengar bantahan awal itu dan permohonan mengketepikan saman berkenaan memandangkan peguam Noraziah M Reza Hassan, baru menerima dokumen tersebut semalam.

Semalam, Peguam J Leela yang bertindak bagi pihak Anwar memberitahu Malaysiakini bahawa anak guamnya memohon untuk mengketepikan Noraziah atas alasan dia tidak mempunyai locus standi dan permohonan berkenaan adalah remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Noraziah memfailkan permohonan itu pada 28 Sept lepas melalui firma guaman, Tetuan Raja Riza & Associates di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur selaku pemohon dan menamakan Anwar responden pertama dan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan responden kedua.

Beliau, yang juga pengundi di Port Dickson turut memohon untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dalam perkara pengampunan Anwar adalah tidak menepati perlembagaan.

Beliau turut memfailkan sijil perakuan segera supaya permohonan itu dapat didengar secepat mungkin oleh mahkamah sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson yang dijadual 13 Okt ini diadakan memandangkan Anwar akan menjadi calon.

Pemohon turut memohon perisytiharan bahawa pengampunan yang diberikan kepada Anwar adalah tidak membatalkan hilang kelayakannya untuk menjadi ahli Parlimen berikutan sabitan salah yang dimilikinya.

Selain itu, beliau memohon perisytiharan bahawa pengampunan yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah terbatal memandangkan Lembaga Pengampunan yang menasihati Baginda tidak ditubuhkan selaras dengan Artikel 42(5) Perlembagaan Persekutuan.

Noraziah mengemukakan permohonan itu dengan alasan Perkara 48(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa seseorang yang disabitkan dengan kesalahan jenayah dan dijatuhkan hukuman penjara lebih setahun atau denda tidak kurang RM2,000 adalah hilang kelayakan untuk menjadi ahli Parlimen.

Pemohon juga berkata, pada 16 Mei lepas, Anwar dilepaskan setelah menjalani hukuman penjara lima tahun berhubung sabitan jenayah kes liwat yang menjadikannya hilang kelayakan untuk menjadi ahli Parlimen namun atas nasihat responden kedua, Baginda telah memberikan pengampunan kepada Anwar.

Dalam hal ini, pemohon mendakwa, Sultan Muhammad V hanya memberi pengampunan kepada Anwar namun Baginda tidak pernah membatalkan hilang kelayakan responden pertama itu seperti yang diperuntukkan oleh Artikel 48(1).

Selain itu, dakwanya, responden kedua telah ditubuhkan tanpa mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan berikutan ketiadaan Menteri Wilayah dan Peguam Negara pada masa mesyuarat pengampunan dijalankan.

Anwar: Kasih terbekam saya, Dr M semarak semula

Shakira Buang
Diterbitkan 8 Okt 2018, 11:42 malam 


Calon Pakatan Harapan pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan penghargaannya kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ekoran kehadirannya ke parlimen itu, malam ini.

Menurut Anwar yang juga Presiden PKR, kehadiran Dr Mahathir itu juga adalah kerana ‘semaraknya kasih yang terbekam sejak dulu’.

“Sebagai perdana menteri, beliau tak pernah datang kempen PRK. Bila dia datang sini, saya rasalah kasih yang terbekam dulu semarak semula.

“Saya tahu dia tegas walaupun nampak selalu senyum dan sikapnya juga keras. Bila dia ambil keputusan, ia selepas mengambil kira pelbagai perkara.

“Untuk semua itu, saya berikan penghormatan saya kepada anda Dr Mahathir,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Ceramah Mega Mahathir-Anwar Gandingan Mantap Harapan Malaysia di Waterfront, Port Dickson, malam ini.

Malah, Anwar juga turut mendedahkan beliau menyayangi pemimpin berusia 93 tahun itu dan menganggap Dr Mahathir umpama bapanya.

Menegaskan perkara itu, Anwar berkata beliau merasakan Dr Mahathir merupakan individu paling tepat untuk memimpin Malaysia pada masa sekarang.

“Dalam keadaan sekarang lebih baik Dr Mahathir pimpin negara ini. Saya sebut ini dengan ikhlas.

“Saya sayangkan beliau seperti bapa dan pemimpin. Sekarang, saya terima beliau adalah individu terbaik untuk memimpin Malaysia,” katanya ketika berucap di dalam ceramah tersebut.

Tambah Anwar, gandingan Dr Mahathir - Anwar merupakan antara yang bersejarah dan gandingan yang "luar biasa mantapnya".

Jelasnya, selepas bersengketa agak lama, Anwar memaklumkan dia terkesan apabila seorang negarawan dapat tinggalkan semuanya demi membantu selamatkan negara dan rakyat.

“Saya bertemu semula Dr Mahathir selepas 18 tahun di penjara. Saya terkesan seorang negarawan dapat tinggalkan semua demi tekad membantu negara dan rakyat.

“Tak ramai pemimpin dan negarawan dunia mempunyai ketokohan seperti Dr Mahathir,” ujarnya.

Monday, October 8, 2018

Anwar mohon batal saman pengisytiharan tak layak bertanding

Diterbitkan 8 Okt 2018, 4:29 petang


Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula bagi menuntut perisytiharan bahawa beliau tidak berhak untuk bertanding di mana-mana kerusi Parlimen sehingga tempoh hilang kelayakannya tamat disebabkan status pengampunannya yang dipertikaikan.

Peguam J. Leela yang bertindak bagi pihak Anwar, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menang tanpa bertanding pada pemilihan parti itu, memaklumkan bahawa permohonan untuk membatalkan saman pemula yang difailkan Noraziah Mohd Shariff,38, itu dibuat atas dua sebab iaitu tiada locus standi dan tidak adil.

Leela berkata demikian ketika dihubungi pemberita di Kuala Lumpur hari ini dan turut memaklumkan permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azizah Nawawi, esok.

Noraziah memfailkan permohonan itu pada 28 Sept lepas melalui firma guaman, Tetuan Raja Riza & Associates di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur selaku pemohon dan menamakan Anwar responden pertama dan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan responden kedua.

Beliau, yang juga pengundi di Port Dickson turut memohon untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dalam perkara pengampunan Anwar adalah tidak menepati perlembagaan.

Beliau turut memfailkan sijil perakuan segera supaya permohonan itu dapat didengar secepat mungkin oleh mahkamah sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson yang dijadual 13 Okt ini diadakan memandangkan Anwar akan menjadi calon.

Pemohon turut memohon perisytiharan bahawa pengampunan yang diberikan kepada Anwar adalah tidak membatalkan hilang kelayakannya untuk menjadi ahli Parlimen berikutan sabitan salah yang dimilikinya.

Selain itu, beliau memohon perisytiharan bahawa pengampunan yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah terbatal memandangkan Lembaga Pengampunan yang menasihati Baginda tidak ditubuhkan selaras dengan Artikel 42(5) Perlembagaan Persekutuan.

Noraziah mengemukakan permohonan itu dengan alasan Perkara 48(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa seseorang yang disabitkan dengan kesalahan jenayah dan dijatuhkan hukuman penjara lebih setahun atau denda tidak kurang RM2,000 adalah hilang kelayakan untuk menjadi ahli Parlimen.

Pemohon juga berkata, pada 16 Mei lepas, Anwar dilepaskan setelah menjalani hukuman penjara lima tahun berhubung sabitan jenayah kes liwat yang menjadikannya hilang kelayakan untuk menjadi ahli Parlimen namun atas nasihat responden kedua, Baginda telah memberikan pengampunan kepada Anwar.

Dalam hal ini, pemohon mendakwa, Sultan Muhammad V hanya memberi pengampunan kepada Anwar namun Baginda tidak pernah membatalkan hilang kelayakan responden pertama itu seperti yang diperuntukkan oleh Artikel 48(1).

Selain itu, dakwanya, responden kedua telah ditubuhkan tanpa mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan berikutan ketiadaan Menteri Wilayah dan Peguam Negara pada masa mesyuarat pengampunan dijalankan.

- Bernama

Liwat: Dakwaan Saiful terhadap Anwar, peguam berbeza pendapat

Melissa Chin
-October 8, 2018 11:06 AM

Saiful berkata beliau tiada pilihan selain bercakap tentang isu tersebut bagi menjawab soalan hadirin.

PETALING JAYA: Peguam bebrbeza pendapat sama ada Saiful Bukhari Azlan, seorang calon Bebas dalam pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson, melakukan kesalahan apabila membangkitkan tuduhan liwat beliau terhadap bekas ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga bertanding dalam PRK sama yang sedang berjalan.

Saiful sebelum ini bekata beliau tidak akan membangkitkan isu tersebut dalam kempennya. Bagaimanapun beliau memberitahu khalayak dalam satu ceramah semalam bahawa beliau bersumpah 3 kali bagi mempertahankan dakwaanya terhadap Anwar.

Saiful kemudiannya berkata beliau tiada pilihan selain bercakap tentang isu tersebut bagi menjawab soalan hadirin.

Peguam Akbardin Abdul Kader berkata, Saiful tidak membuat tuduhan baru terhadap Anwar tetapi hanya mengulangi keterangannya di mahkamah bahawa pemimpin PKR itu meliwatnya.

“Selain itu, Mahkamah Persekutuan mengesahkan sabitan Anwar. Jadi walaupun beliau diampunkan, itu tidak membersihkannya daripada perbuatan tersebut.

“Dengan kata lain, sabitan Anwar masih kekal. Saiful tidak melaukan kesalahan dengan mengulanginya,” katanya kepada FMT.

Akbardin menambah pengampunan ditakrifkan sebagai kemaafan, yang termasuk di bawah kasihan belas.

“Kasihan belas terpakai apabila semua jalan undang-undang tamat. Jadi tidak benar jika dikatakan pengampunan membawa maksud pesalah tidak pernah melakukan kesalahan itu.”

Pada Mac 2014 Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan membebaskan Anwar daripada sabitan meliwat bekas pembantunya Saiful.

Pada 10 Feb 2015, Mahkamah Persekutuan mengesahkan keputusan itu dan menjatuhi hukuman 5 tahun penjara ke atas Anwar.

Pada 16 Mei tahun ini, Anwar diberikan pengampunan Diraja oleh Yang Dipertuan Agong.

Peguam Nizam Bashir menolak pandangan Akbardin dengan berkata, pengampunan Anwar memadamkan pensabitan beliau.

Beliau memberitahu FMT, pemimpin PKR itu tidak lagi boleh dituduh oleh Saiful melakukan kesalahan tersebut.

“Jika kita melihat contoh di Singapura, keputusan pengampunan memadamkan sabitan. Ini yang penting

“Bila seseorang diampunkan, maka individu tersebut tidak lagi boleh dituduh melakukan kesalahan tersebut.

Beliau berkata, di negara lain, wujud pembezaan antara pengampunan yang diberikan kerana tidak bersalah dengan pengampunan untuk tujuan lain.

Kategori pertama memadamkan kedua-dua hukuman dan kesalahan, katanya.

“Pengampunan sedemikian sebenarnya adalah satu pembebasan dan mempunyai semua kesan pembebasan.”

Bagaimanapun pengampunan yang diberikan untuk tujuan lain hanya memadamkan hukuman, bukan kesalahan, kata beliau.

Kata beliau, ini bermakna pengampunan tersebut bukan pembebasan dan keputusan mahkamah kekal, walaupun pesalah dilepaskan daripada kesan undang-undang keputusan tersebut.

“Ini termasuklah bebas daripada pemenjaraan seterusnya, hukuman lain bagi jenayah itu atau apa-apa kesan lain seperti kehilangan hak sivil,” katanya.

Berhubung soalan sama pembezaan itu terpakai di Malaysia, Nizam berkata, soalan itu “sukar dijawab” berikutan perbezaan antara Perkara 42 perlembagaan yang menggunakan perkataan “pengampunan”, dengan ceraian 6(1)(e) Jadual Kelapan perlembagaan persekutuan yang menggunakan frasa “pengampunan bebas”.

Cabaran terbesar Anwar di Port Dickson

Kow Gah Chie & Wong Kai Hui
Diterbitkan 8 Okt 2018, 9:05 pagi 


ANALISIS | Calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menetapkan sasaran untuk mendapatkan undi majoriti yang tinggi dalam pilihan raya kecil Port Dickson dalam usahanya untuk menawan kerusi itu.

Walaupun tidak memberikan angka yang tepat, dilaporkan bahawa beliau mahu mendapatkan undi majoriti sekurang-kurangnya menyamai 17,710 undi yang diterima bekas anggota parlimen, Datuk Danyal Balagopal Abdullah.

"Bila umum berita, Pilihan Rakyat Kecil Port Dickson dimenangi Anwar dengan 220 undi, tak sedaplah," katanya dalam satu ceramah.

Untuk memperoleh mandat seperti bekas anggota parlimen berkenaan, Anwar perlu memastikan kadar keluar mengundi melebihi 80 peratus.

Dalam pilihan raya kecil pada Jun 2000, kadar keluar mengundi di Port Dickson (dikenali sebagai Teluk Kemang pada masa itu), hanya mencatatkan 66.14 peratus.

Dalam analisis ini, Malaysiakini akan meneroka cabaran yang dihadapi pasukan Anwar untuk meyakinkan para pengundi agar keluar menunaikan kewajipan mereka.

Menurut petugas parti, peratusan pengundi luar di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Port Dickson berkisar antara 20 peratus dan 50 peratus iaitu Chuah (50 peratus), Linggi (40 peratus), Bagan Pinang (20 peratus), Lukut (28 peratus) dan Sri Tanjung (25 peratus).

Peratusan pengundi luar dikaitkan dengan ekonomi tempatan.

Pantai Port Dickson menjadi destinasi percutian popular bagi pelancong tempatan pada tahun 1990-an dan menarik ramai rakyat Singapura melabur di kawasan peranginan itu.

Pembinaan hotel dan pusat peranginan ditangguhkan selepas krisis kewangan Asia pada tahun 1997 dan beberapa projek terbengkalai sehingga hari ini.

Walaupun industri pelancongan bergelut untuk kembali ke zaman seperti dahulu, industri pelancongan masih berjalan seperti biasa di beberapa kawasan yang terletak dalam kerusi DUN Bagan Pinang dan Sri Tanjung.

Selain itu, terdapat juga ladang kelapa sawit, tiga kilang penapis minyak dan loji kuasa di kawasan berkenaan.

Sasaran 70 peratus keluar mengundi

Chuah, memegang rekod dengan peratusan tertinggi pengundi luar.

Menurut Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, Yek Diew Ching, kesan kemerosotan ekonomi di Chuah masih dirasai sehingga kini.

Chuah menempatkan industri perternakan babi terbesar pada yang menghadapi masalah akibat virus Nipah pada tahun 1999.

"Mereka berpindah ke Kuala Lumpur, Singapura dan Johor Bahru. Generasi muda mendapat pekerjaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang berjarak 20 minit," katanya.

Yek berkata tiga pilihan raya kecil selepas pilihan raya umum pada 9 Mei telah mencatatkan jumlah pengundi di bawah 50 peratus dan ini merupakan satu cabaran kepada pasukan Anwar.

"Masalah utama Anwar terletak pada pengundi, bukan pencabarnya," katanya kepada Malaysiakini.

Selain membuat rayuan melalui media sosial, Yek berkata HARAPAN juga menggunakan pendekatan "Ketua 50" di mana semua anggota parti yang ditugaskan akan bertanggungjawab terhadap 50 orang pengundi, yang antara lain bagi menggesa mereka pulang mengundi.

Beliau mengakui pendekatan ini serupa dengan "Ketua 10" Umno, di mana seorang ahli ditugaskan untuk menjaga 10 orang di kawasan kejiranan mereka, dengan salah satu matlamatnya untuk memastikan mereka mengundi BN pada pilihan raya umum.

"Kami perlu berusaha keras, kami berharap dapat mencapai peratusan jumlah pengundi dari 60 peratus hingga 70 peratus."

Selain itu, Yek berkata terdapat pengundi yang telah merancang percutian mereka pada hari mengundi nanti.

"Saya diberitahu 10 bas akan berlepas pada hari mengundi untuk mengambil bahagian dalam Festival Sembilan Maharaja Dewa di Thailand. Saya tidak fikir mereka akan mengundi," katanya.

Sementara itu, ADUN Sri Tanjung M Ravi berkata HARAPAN memiliki cara tersendiri untuk "menarik" pengundi.

"Pasukan kami melawat rumah ke rumah dan mendapat butiran pengundi luar. Kami menghubungi atau menghantar kiriman WhatsApp kepada mereka.

"Kami merayu penyertaan mereka kerana ini bukan pilihan raya biasa, jangan anggap Anwar pasti akan menang, bukan hanya untuk undi Anwar, kita mengundi untuk perdana menteri masa depan," katanya.

Bagaimanapun, Ravi berkata antara cabaran dihadapi adalah tempoh berkempen selama 13 hari tidak berlangsung sewaktu musim cuti.

Katanya, petugas HARAPAN di Bagan Pinang juga melakukan lawatan rumah ke rumah untuk mengenal pasti pengundi luar dan menghubungi mereka satu persatu.

"Kami memiliki 20 peratus pengundi luar dan kami berhubung dengan mereka," kata Md Nordin Ismail, yang bertanggungjawab terhadap kempen di kerusi DUN Bagan Pinang.

"Seramai 80 peratus pengundi luar yang dihubungi kata mereka akan pulang untuk mengundi tetapi selebihnya tidak," katanya.

Majoriti besar tidak realistik

Sementara itu, ADUN Lukut, Choo Ken Hwa berkata pihaknya berusaha menjelaskan kepada pengundi mengenai kepentingan mengadakan pilihan raya kecil ini.

"Kami menjelaskan betapa pentingnya pilihan raya kecil ini. Pengundi mengundi untuk masa depan Port Dickson, seperti kita mengundi untuk kerajaan baru. Dunia juga memerhatikan pilihan raya kecil ini," kata Choo.

Menurut Choo , DAP menyasarkan 60 peratus pengundi dari kawasan Lukut akan keluar mengundi.

Walaupun jentera Anwar tetap yakin, sumber lain berkata adalah tidak realistik bagi Anwar untuk memperoleh majoriti undi yang besar seperti Danyal.

Sumber itu berkata, bakal presiden PKR itu 'bertuah' jika menang dengan majoriti 10,000 undi dalam pertandingan tujuh penjuru.

Dalam tinjauan oleh Malaysiakini, hanya pengundi yang anak-anak mereka kini bekerja di Kuala Lumpur berjanji untuk pulang, manakala mereka yang bekerja dan belajar di kawasan lebih jauh tidak akan berbuat demikian.

Chow Ket Mee, penyokong HARAPAN berusia 67 tahun di Kampung Jimah, berkata tiga anaknya yang bekerja di Lembah Klang berjanji untuk pulang mengundi.

"Mereka akan kembali pada malam Jumaat dan mengundi pada hari Sabtu. Mereka pulang setiap minggu kerana ia tidak jauh," katanya.

Shee Boon Than, pemilik kedai runcit berusia 47 tahun di Lukut, pula berkata kedua-dua anaknya yang sedang belajar di Jepun dan Taiwan, tidak dapat pulang ke rumah.

"Mereka mengikutiti pilihan raya kecil itu, tetapi mereka tidak akan pulang ke rumah. Tiket penerbangan mahal, saya rasa kita semua mesti keluar mengundi. Kita mahukan ahli parlimen yang cemerlang," katanya.

Namun, Shee tetap skeptikal mengenai rancangan Anwar untuk membangunkan Port Dickson disebabkan hutang kerajaan dan pertumbuhan ekonomi yang perlahan.

[Baca berita penuh]

Sunday, October 7, 2018

Mantan CJ: Bolehkah bekas banduan bertanding pilihan raya?

Diterbitkan 7 Okt 2018, 11:20 malam | Dikemaskini 7 Okt 2018, 11:34 malam

Yang di-Pertuan Agong tidak perlu bertindak berdasarkan nasihat Lembaga Pengampunan untuk membatalkan kehilangan kelayakan seseorang banduan daripada bertanding pilihan raya, kata bekas ketua hakim negara Tun Abdul Hamid Mohamad.

Beliau berkata Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan memang memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong kuasa untuk "memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum" (grant pardons, reprieves, respites) terhadap semua kesalahan di dalam negara mengikut nasihat Lembaga Pengampunan.

Namun, kata Abdul Hamid Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan juga memberikan kuasa untuk membatalkan kehilangan kelayakan bertanding.

"Lembaga Pengampunan ditubuh di bawah Perkara 42 untuk tujuan perkara tersebut sahaja. Tidak disebut sama ada dalam Perkara 42 atau 48 bahawa ia terpakai bagi Perkara 48.

"Lagi pula pembatalan kehilangan kelayakan bukanlah satu pengampunan yang dimaksudkan oleh Perkara 42.

"Oleh itu, saya berpendapat, baginda tidak perlu melakukannya atas nasihat Lembaga Pengampunan. Sama ada baginda perlu melakukannya atas nasihat Perdana Menteri adalah satu perkara lain.

"Maka, seorang yang kehilangan kelayakan menjadi ahli parlimen di bawah Perkara 48(1)(e) yang tidak mendapat pengampunan bebas, boleh memohon untuk diberi pembatalan kehilangan kelayakan mengikut Perkara 48(3).

Pengampunan bebas layak jadi PM

"Jika dia mendapat pembatalan kehilangan kelayakan mengikut Perkara 48, walaupun dia tidak mendapat pengampunan bebas di bawah Perkara 42, dia boleh bertanding dari dalam penjara dan menjadi seorang ahli parlimen walau pun dia terus menjalani hukuman penjara.

"Malah, dia boleh menjadi perdana menteri jika partinya menang majoriti," kata beliau dalam hantaran blognya hari ini.

Beliau berkata demikian di tengah-tengah pertikaian di mahkamah yang memohon pengisytiharan calon PRK Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tidak layak bertanding kerana terdapat kecacatan dalam pengampunan kesalahan liwatnya.

Pengundi Port Dickson, Noraziah Mohd Shariff berkata Lembaga Pengampunan tidak dibentuk berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz sebelum ini berkata Anwar dibeirkan "pengampunan penuh" tetapi Hamid memaklumkan istilah itu tidak digunakan dalam perlembagaan negara.

Hamid juga berkata di bawah Perkara 42, perlembagaan tidak mentakrifkan "pengampunan bebas." Justeru, katanya terserah kepada mahkamah untuk memutuskan maksud "pengampunan bebas" dan "pengampunan penuh" serta jika kedua istilah memberikan erti yang sama.

Hantaran penuh blog bekas CJ

Malaysiakini menerbitkan semula secara penuh hantaran Hamid di blognya yang berjudul "Pengampunan dan pembatalan kehilangan kelayakan untuk menjadi ahli parlimen" di bawah ini:

Perkara 42(1) Perlembagaan, antara lain, memperuntukkan:

42. (1) Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan …yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan…”.

Dalam Bahasa Inggeris, bahasa rasmi Perlembagaan, kata-kata ampun, tunda hukum dan lega hukum itu adalah “pardons, reprieves and respites”. Oleh sebab bahasa rasmi Perlembagaan adalah bahasa Inggeris, eloklah kita lihat makna perkatan-perkataan “pardon, reprieve dan respite” itu.

Cambridge English Dictionary menjelaskan makna “pardon” seperti berikut: “If someone who has committed a crime is pardoned, that person is officially forgiven and their punishment is stopped.” (Jika seseorang telah melakukan satu kesalahan jenayah diampunkan, orang itu dengan rasminya dimaafkan dan hukuman ke atasnya dihentikan.)

“Reprieve” bererti “to stop or delay the punishment, especially by death, of a prisoner.” (“Repreive” bererti menghentikan atau melambatkan hukuman, terutama sekali hukuman mati, seorang pesalah).

“Respite” bererti “to postpone a sentence, etc” (“Respite” bererti menangguhkan hukuman dan sebagainya.)

Makna bertindih tiga perkataan

Dapat diperhatikan bahawa ketiga-tiga perkataan itu mempunyai makna yang bertindih. Juga dapat diperhatikan bagaimana penterjemah Perlembagaan menghadapi masalah menterjemahnya.

Bagi tujuan kita, memadailah jika dikatakan bahawa di bawah Perkara 42 itu, berbagai-bagai jenis “pengampunan” boleh diberi. Misalnya, jika seseorang yang belum menjalani hukuman penjara “diampunkan”, dia tidak perlu menjalani hukuman itu.

Jika dia telah menjalani sebahagian daripada hukuman penjara yang di kenakan ke atasnya, dia tidak perlu menjalani baki hukumannya. Hukuman yang dijatuhkan ke atas seseorang pesalah boleh ditangguh, seperti hukuman mati.

Atau hukuman ke atasnya boleh digantikan dengan hukuman yang lebih ringan. Hukuman penjara juga boleh dipendekkan.

Jika seseorang itu diberi pengampunan dan dibebaskan serta merta, maka ertinya, dari saat keputusan itu dibuat, dia tidak perlu lagi menjalani hukuman penjara itu.

Tiada kata "pengampunan penuh" dalam perlembagaan

Kata-kata “pengampunan penuh” tidak digunakan dalam perlembagaan. Jika Lembaga Pengampunan memberi “pengampunan penuh dan pembebasan serta merta”, makna yang boleh diberi ialah bahawa pesalah itu diampunkan kesalahannya dan dia dibebaskan daripada menjalani hukuman yang sedang dijalaninya dengan serta merta.

Pemberian pardon, reprieve dan respite itu tidak bererti sabitan dan hukuman yang dikenakan ke atas pesalah itu di mansuhkan atau dipadamkan daripada rekod mahkamah. Peritah itu kekal, cuma pesalah itu diampunkan atau dimaafkan daripada menjalani hukumannya.

Pengampunan itu tidak boleh disamakan dengan perintah mahkamah to set aside(mengenepikan), quash (membatalkan), atau deklarasi null and void (tak sah dan batal). Hanya mahkamah yang boleh membuat perintah-perintah itu.

Perhatikan bahawa Perkara 42 tidak menyebut langsung hubungan pengampunan di bawah perkara itu dengan kelayakan atau pembatalan kehilangan kelayakan seseorang ahli Parlimen. Tetapi, ia dikaitkan oleh Perkara 48(1)(e).

Perkara 48(1) memperuntukkan:

48. (1) Tertakluk kepada peruntukan Perkara ini, seseorang hilang kelayakan untuk menjadi ahli mana-mana satu Majlis Parlimen jika—
…..

(e). dia telah disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Wilayah-wilayah Persekutuan …. dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit dan dia tidak mendapat pengampunan bebas; atau
……….

(3) Kehilangan kelayakan seseorang di bawah perenggan…. (e) Fasal (1) boleh dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong…”

Perkara 48 (1)(e) menyebut apa yang menyebabkan seorang itu hilang kelayakan. Ia juga menyebut pengecualiannya iaitu jika orang itu mendapat pengampunan bebas. (free pardon). Anehnya, perkataan “pengampunan bebas” tidak digunakan dalam Perkara 42.

Tugas mahkamah taksirkan

Kesan kedua-dua peruntukan itu, apabila dibaca bersamaan, ialah:

1. Seseorang itu hilang kelayakan untuk menjadi ahli Parlimen jika dia telah disabitkan atas suatu kesalahan dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit. (Perkara 48(1)(e)).

2. Jika dia mendapat pengampunan bebas, dia tidak hilang kelayakan itu. (Pekara 48(1)(e)).

3. Jika dia tidak mendapat pengampunan bebas, kehilangan kelayakan itu boleh dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong. (Perkara 48(3)).

Apakah ertinya “pengampunan bebas”? Ini tidak ditafsirkan. Bolehkah ia disamakan dengan “pengampunan penuh”? Ini adalah tugas mahkamah untuk mentafsirkannya.”

Di bawah Perkara 42, Yang di-Pertuan Agong memberi pengampunan atas nasihat Lembaga Pengampunan. Adakah dalam membatalkan kehilangan kelayakan juga, baginda dikehendaki melakukannya atas nasihat Lembaga Pengampunan?

Lembaga Pengampunan ditubuh di bawah Perkara 42 untuk tujuan perkara tersebut sahaja. Tidak disebut sama ada dalam Perkara 42 atau 48 bahawa ia terpakai bagi Perkara 48. Lagi pula pembatalan kehilangan kelayakan bukanlah satu pengampunan yang dimaksudkan oleh Perkara 42.

Nasihat Lembaga Pengampunan

Oleh itu, saya berpendapat, baginda tidak perlu melakukannya atas nasihat Lembaga Pengampunan. Sama ada baginda perlu melakukannya atas nasihat perdana menteri adalah satu perkara lain.

Maka, seorang yang kehilangan kelayakan menjadi ahli parlimen di bawah Perkara 48(1)(e) yang tidak mendapat pengampunan bebas, boleh memohon untuk diberi pembatalan kehilangan kelayakan mengikut Perkara 48(3).

Jika dia mendapat pembatalan kehilangan kelayakan mengikut Perkara 48, walaupun dia tidak mendapat pengampunan bebas di bawah Perkara 42, dia boleh bertanding dari dalam penjara dan menjadi seorang ahli parlimen walau pun dia terus menjalani hukuman penjara. Malah, dia boleh menjadi perdana menteri jika partinya menang majoriti!

Bagaimana dia akan menghadiri persidangan parlimen adalah perkara lain. Penguasa penjara patut memberi kemudahan kepadanya.

Bagaimana dia akan menjalankan tugas sebagai perdana menteri jika dia menjadi perdana menteri?

Kita tidak perlu memikirkan pilihan-pihan lain. Jika seorang banduan boleh diberi “pengampunan penuh” hanya untuk bertanding untuk menjadi ahli parlimen, dan selepas itu (mungkin) menjadi perdana menteri, seorang banduan yang partinya telah menang majoriti (jika itu berlaku) dan dipersetujui oleh partinya untuk menjadi perdana menteri tentulah berada di kedudukan yang lebih kuat untuk diberi pengampunan bebas!

Berdasarkan precedent yang ada, apakah alasan untuk menolaknya? Sama ada orang ramai mahukan seorang yang disabitkan kesalahan menjadi perdana menteri adalah perkara lain.

ANWAR PERSENDA INSTITUSI DIRAJA – HADI

By watan 
on October 7, 2018


PAS menyifatkan keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson sebagai menghina dan mempersenda institusi diraja yang memberi pengampunan terhadapnya.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata ini kerana pengampunan yang diterima Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) itu tidak melayakkannya untuk bertanding dalam PRK.

“Jangan salah guna kuasa Raja, jangan seret istana dalam politik, calon PH hilang kelayakan untuk bertanding.

“Sepatutnya Tuanku tidak diseret kerana ia boleh mencatatkan sistem…,” katanya ketika sidang media di markaz PAS di Port Dickson, petang Ahad.

Hadir sama Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, Nain Presiden PAS, Datuk Iskandar Samad dan calon PAS bagi PRK Port Dickson, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar .

Sementara itu, Takiyuddin menegaskan berdasarkan peruntukan undang-undang Anwar yang mendapat ‘full pardon’ tidak layak bertanding melainkan beliau mendapat ‘free pardon’.

Malah, Bekas Ketua Hakim Negara yang cukup dikagumi, Tun Abdul Hamid Mohamad sendiri pernah menjelaskan perkara itu.

Takiyuddin turut memetik kenyataan Abdul Hamid yang berbunyi: “Mereka yang mendapat ‘full pardon’ walaupun duduk di luar penjara, tetapi tidak layak bertanding berbanding yang mendapat ‘free pardon’ tetap layak bertanding walaupun dalam penjara”.

Oleh itu katanya, PAS menggesa mahkamah menyegerakan semakan mahkamah berhubung kelayakan Anwar yang dikemukan oleh seorang pengundi.

Wartawan Watan-Online

HADI AJAK MAHATHIR BERFORUM DI PORT DICKSON

By watan 
on October 7, 2018


Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak mempunyai masalah dengan kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membantu kempen Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Malah kata Abdul Hadi, beliau juga sedia berforum dengan Perdana Menteri pada kempen PRK itu.

Beliau berkata, agak menyimpang daripada kebiasaan ataupun tradisi apabila Perdana Menteri terpaksa turun berkempen bagi membantu bakal Perdana Menteri.

“Saya kalau berforum dengan Perdana Menteri pun lagi boleh,” katanya pada sidang media di markaz PAS di Port Dickson, petang Ahad.

Mahathir dijadualkan akan turun berkempen ke Port Dickson Isnin malam bagi menarik lebih ramai sokongan pengundi kepada Anwar.

Ini kerana ketika ini mood rakyat ataupun pengundi Port Dickson terhadap Anwar agak suram dan dijangka akan memperoleh kemenangan dengan majoriti kecil.

Wartawan Watan-Online

Anwar tak layan Saiful

Oleh Syed Umar Ariff dan Ifwan Tun Tuah
cnews@nstp.com.my
DATUK Seri Anwar Ibrahim menghadiri program motivasi santai bersama Datuk Fazley Yaakob di Port Dickson, hari ini. - Foto BERNAMA

PORT DICKSON: Calon Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, enggan melayan serangan peribadi mengaitkan namanya, termasuk cubaan mengungkit kesalahan liwat membabitkan dirinya, sebelum ini.

“Biarlah dia... biarlah dia,” kata Ketua Umum PKR itu ringkas apabila ditanya mengenai tindakan calon Bebas, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, mempertahankan dakwaan kejadian liwat membabitkan Anwar dan dirinya pada 2008, benar-benar berlaku.

Saiful Bukhari yang juga bekas pembantu peribadi Anwar, pada ceramah kelompok pertamanya di Kampung Teluk Pelanduk di sini, malam tadi, mendakwa sudah bersumpah tiga kali bagi mempertahankan dakwaannya itu berbanding Anwar.

Ditanya sama ada tindakan Saiful itu tidak profesional kerana sudah berjanji untuk tidak menggunakan kisah lama sebagai bahan kempen, Anwar hanya mengangguk tanda bersetuju.

Saiful Bukhari pada hari penamaan calon 29 September lalu, memberi komitmen untuk tidak mengungkit kontroversi lalu sebagai bahan kempennya dalam PRK ini.

Pada Jun 2008, Saiful membuat laporan polis mendakwa diliwat Anwar di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.

Pada Februari 2015, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap Anwar selepas didapati bersalah, namun beliau mendapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei lalu.

Anwar ditemui pemberita selepas menghadiri program motivasi santai bersama Datuk Fazley Yaakob di sini, hari ini.

Pada program itu, Anwar turut meluangkan masa menyertai gimik persembahan seni manisan ‘Sweet Table’ bersama Fazley.

Kempen PRK PD: Anwar paling menonjol

Bernama | Diterbitkan 7 Okt 2018, 10:38 pagi


PRK PD | Tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson memasuki minggu kedua dengan kejutan pengumuman Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad akan turun padang berkempen bersama calon parti berkenaan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Justeru, Anwar, 71, begitu teruja dengan kedatangan perdana menteri ketujuh itu dan akan dijadualkan berkongsi pentas berucap pada Isnin malam selepas 20 tahun.

"Kalau beliau hadir inilah kali pertama saya kembali satu pentas dan kita akan gegarkan Port Dickson setelah 20 tahun," katanya semasa berucap pada majlis minum petang bersama komuniti nelayan di Kampung Telok Kemang di Port Dickson semalam.

Anwar, dengan reputasi sebagai bekas timbalan perdana menteri dan ketua umum PKR, dilihat mempunyai kelebihan, dengan jentera parti yang diketuai Pengarah Pilihan Raya HARAPAN Aminuddin Harun bertungkus lumus menyusun program antara tujuh hingga 10 program sehari bermula dari pagi sehingga tengah malam.

Malah, sejak hari pertama lagi Anwar bijak menawan hati pengundi pelbagai kaum di Port Dickson dengan lawatan ke Kuil Sikh petang hari penamaan lagi, selain ke pesta tanglung, menyampaikan tazkirah di masjid, dan juga program kebudayaan masyarakat India mengikut jadual program.

Gelagatnya yang menari seperti mendiang superstar filem Tamil M.G.R. di atas pentas pada pesta kebudyaaan masyarakat itu tentunya menarik perhatian kaum India menunjukkan betapa dekatnya mereka di hati Anwar.

Jadual kempen Anwar diatur cukup baik yang mana biasanya beliau akan bermula seawal 8.00 pagi dengan bersarapan dan mengadakan tinjauan mesra di lokasi-lokasi tumpuan orang ramai di pusat bandar atau kawasan berhampiran.

Pada tengahari dan petang Anwar mengadakan program ramah mesra dan santai dengan penduduk tempatan, manakala sebelah malam beliau mengadakan ceramah di dua atau tiga lokasi yang biasanya berakhir tengah malam.

Dalam beberapa siri ceramahnya, Anwar yang telah dipersetujui menggantikan Tun Dr Mahathir sebagai perdana menteri kelapan membawakan pelbagai isu antara mengenai masalah kewangan negara, tujuan beliau bertanding di Port Dickson dan perkara yang akan dilakukan jika dipilih menjadi wakil rakyat kawasan itu.

Beliau juga menuntut pengundi di Port Dickson untuk keluar mengundi beramai-ramai pada 13 Okt ini dan memberikan kemenangan bergaya kepadanya yang juga Ketua Umum PKR.

"Dalam pilihan raya kalau menang satu undi juga dikira sebagai menang, tapi kalau saya menang nanti dengan majoriti kecil, malulah saya. Ada ramai pihak yang akan mengata saya nanti," kata beliau dalam satu ceramahnya di Kampung Baharu, di Port Dickson baru-baru ini.

Sementara itu, enam calon lain yang bertanding dalam pilihan raya itu yang sebelum ini memulakan kempen sedikit perlahan berbanding Anwar, kini dilihat sudah mengatur program kempen masing-masing dengan baik terutama dua lawan utama Anwar iaitu calon bebas bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Samad dan calon PAS Lt. Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar.

Empat lagi calon Bebas, bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, personaliti media sosial Stevie Chan Keng Leong, pakar perunding pengurusan Kan Chee Yuen dan bekas pensyarah universiti swasta Lau Seck Yan pula mengadakan program kempen yang agak terhad.

Faktor kewangan dan tiada jentera kempen menyebabkan mereka terpaksa menumpukan kempen masing-masing kepada program santai dengan bertemu pengundi selain menyebarkan risalah di lokasi-lokasi tumpuan.

"Ini kerana kita tiada banyak wang untuk buat program seperti ceramah umum melainkan turun dari satu tempat ke tempat berjumpa dengan pengundi," kata Stevie Chan.

Mohd Isa, bekas menteri besar Negeri Sembilan selama 22 tahun pula memilih untuk mengadakan kunjungan kerumah pengundi kerana mendakwa lebih selesa dengan cara itu yang dianggapnya lebih efektif.

Kehadiran Mohd Isa, yang hanya mengumumkan untuk bertanding dua hari sebelum tarikh penamaan calon agak mengejutkan kerana sebagai anggota Umno beliau terpaksa meletakkan jawatan sebagai anggota parti untuk bertanding kerana Umno sudah menyatakan mereka memboikot PRK berkenaan.

Mohd Saiful Bukhari pula melancarkan tabung dan merayu sumbangan daripada orang ramai untuk membantunya meneruskan kempen sehingga hari pengundian 13 Okt ini, sehingga kini, beliau sudah mengumpul RM2,500.

Dua lagi calon bebas, Lau, yang satu-satunya calon wanita dan menggunakan logo arnab dan Kan, yang menggunakan logo pen dilihat tidak begitu agresif, kemungkinan kerana jentera kempen yang kecil dan sederhana tanpa majlis ceramah.

Dari segi 'perang bendera dan poster’ pada PRK ini, jelas agak hambar apabila hanya beberapa kawasan kecil sahaja dilihat memacakkan bendera merah HARAPAN dan bendera hijau PAS.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, pada 12 Sept lepas bagi membolehkan Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Mei lepas, Danyal Balagopal, 68, memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S.Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Parlimen Port Dickson memiliki 75,770 pengundi berdaftar yang layak mengundi pada PRK ini, yang terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (dua peratus).

- Bernama

Saturday, October 6, 2018

Anwar pamer bakat menari aksi MGR


Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja pandai berpidato menyakinkan rakyat malah beliau memiliki bakat terpendam apabila memperagakan rentak tarian ala pelakon lagenda filem Tamil, MGR, pada majlis Malam Kebudayaan India di Bukit Pelanduk, di Port Dickson, malam tadi.

Calon Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson itu menyajikan tarian itu hampir tiga minit dengan iringan penghibur tempatan yang mendengangkan lagu daripada filem lakonan MG Ramachandran (MGR) di Dewan Orang Ramai Kampung India, di situ.

Hampir 500 penduduk setempat yang hadir pada program kempen PRK itu teruja dengan aksi Ketua Umum PKR itu serta memberi tepukan gemuruh.

Majlis tersebut ​​​​​​hadiri oleh isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. yang juga Presiden PKR dan Timbalan Perdana Menteri serta bekas anggota Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah.

“Malam ini saya gembira sikit, MGR punya lagu saya memang boleh menari dan hafal sedikit lirik,” kata Anwar yang berucap selepas ‘persembahannya’ itu.

Dalam pada itu, Anwar turut menyeru masyarakat setempat untuk keluar beramai-ramai pada hari pengundian 13 Okt nanti bagi memberi kemenangan dengan majoriti yang besar kepadanya.

Katanya, dalam tiga pilihan raya kecil sebelum ini di Selangor jumlah keluar mengundi sangat rendah dan keadaan sama tidak harus berulang di Port Dickson.

Sementara itu, Dr Wan Azizah, yang turut berucap pada majlis itu, berkata PRK Port Dickson adalah peluang untuk Anwar kembali ke Parlimen selepas dinafikan hak itu sejak sekian lama.

Katanya, negara memerlukan seorang pemimpin seperti Anwar yang amat memahami erti kesusahan yang dihadapi oleh rakyat.

“Dia mahu menawarkan khidmat untuk negara ini walaupun sebelum ini dia mendapat banyak tawaran kerjaya di luar negara tetapi dia memilih untuk kekal di negara ini kerana mahu berkhidmat kepada rakyat dan negara,” katanya.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh Danyal pada 12 Sept lepas bagi memberi laluan kepada Anwar untuk kembali semula ke Dewan Rakyat.

- Bernama

Ampun bebas atau ampun penuh? Surat Tommy Thomas cetus debat tentang kelayakan Anwar

FMT Reporters
-October 5, 2018 11:32 PM

Peguam Takiyuddin Hassan berkata “pengampunan penuh” yang diberi kepada Anwar tidak cukup membatalkan larangan berpolitik 5 tahun.

PETALING JAYA: Surat oleh Peguam Negara Tommy Thomas untuk mengesahkan kelayakan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding sebagai calon pilihan raya kecil Port Dickson nampaknya gagal meredakan kekhuatiran tentang butiran pengampuan diraja yang diberikan kepada pemimpin PKR itu Mei lepas.

Sebaliknya, kenyataan oleh seorang peguam PAS 2 hari lepas mencetuskan perdebatan baharu tentang pencalonan Anwar, yang mungkin melarat menjadi pertikaian tentang kesamaran dalam Perlembagaan.

Takiyuddin Hassan, yang juga setiausaha agung PAS berkata, “pengampunan penuh” yang diberi kepada Anwar itu, seperti yang disebut Thomas dalam suratnya kepada Siti Zabedah Kasim, tidak cukup untuk membatalkan larangan berpolitik 5 tahun ke atas Anwar.

Pada 16 Mei, Anwar, yang dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun selepas disabit kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, diberikan pengampunan diraja oleh Yang di-Pertuan Agong.

Ia bukan sahaja membolehkan Anwar dibebaskan lebih awal, tetapi juga membuka laluan kepadanya untuk kembali ke Parlimen, langkah penting dalam usaha Pakatan Harapan melaksanakan perjanjian dalam kalangan pimpinan iaitu mengangkat beliau sebagai perdana menteri selepas Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kandungan surat diraja yang memberikan pengampunan kepada Anwar itu bagaimanapun dipertikaikan Siti Kasim, yang ingin mengetahui pengampunan itu secara khusus.

Surat daripada Thomas kepadanya menyatakan Anwar layak bertanding pilihan raya itu.

“Lembaga Pengampuan menasihatkan pengampunan penuh dipertimbangkan untuk Anwar. Agong memberikan pengampunan penuh kepada Anwar.

“Demikian itu, oleh sebab Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, kelayakan Anwar untuk bertanding sebagai calon pada pilihan raya kecil kawasan Port Dickson akan datang tidak terbatal,” kata Thomas dalam surat itu.

Pengampunan penuh atau pengampunan bebas?

Takiyuddin berkata penjelasan Thomas iaitu Anwar diberi “pengampuan penuh” hanya membolehkan dia dibebaskan lebih awal.

Beliau berkata Anwar masih perlu “pengampunan bebas” untuk membolehkan dia layak bertanding untuk jawatan politik.

“Isunya sekarang ini, Anwar tidak diberi pengampunan bebas tetapi hanya dibenarkan dan diberikan pembebasan serta merta kepada beliau berkuatkuasa 16 Mei 2018 setelah disetujui oleh Agong Sultan Muhammad V atas nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Penulis blog Syed Akbar Ali berkata penjelasan Takiyuddin menunjukkan pengampunan Anwar belum memenuhi Perkara 48 Perlembagaan, dan menambah Thomas “terburu-buru” menjawab Siti Kasim.

“Peguam negara sepatutya periksa semua perkara berkaitan dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk Perkara 48 dan selepas itu barulah menjawab surat Siti Kasim,” kata Syed Akbar, dan menambah Thomas tidak patut mengeluarkan sebarang komen tentang perkara itu sementara menunggu cabaran undang-undang terhadap kelayakan Anwar.

“Satu kes mahkamah difailkan di Mahkamah Tinggi untuk mengistyiharkan Anwar tidak layak bertanding untuk kerusi Parlimen Port Dickson,” katanya, merujuk kepada langkah seorang pengundi, Noraziah Mohd Shariff memohon Anwar diisytiharkan tidak layak bertanding pilihan raya kecil Port Dickson.

“Peguam negara membincangkan perkara ini diluar mahkamah akan menjadi subjudis. Adalah amat sukar untuk peguam negara membincangkan kes yang sudah dibawa ke mahkamah,” tambahnya.

Noraziah antara lain mempersoalkan Lembaga Pengampunan itu, mengatakan ia tidak ditubuhkan mengikut Perkara 42(5) Perlembagaan.

Dalam afidavitnya, dia berkata walaupun Anwar menerima pengampunan, ia belum membatalkan kehilangan kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya.

Beliau berkata Lembaga Pengampunan tidak terbentuk lengkap semasa ia mencapai keputusan itu selepas pilihan raya umum 9 Mei, kerana bekas peguam negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali serta menteri wilayah persekutuan tidak hadir.

Takiyuddin ketika dihubungi berkata hanya mahkamah boleh menentukan isu ini.

“Mahkamah perlu menentukan persoalan undang-undang ini. Seorang pengundi sudah memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang disokong oleh perakuan tindakan segera,” katanya.

Friday, October 5, 2018

Dr M turun padang untuk Anwar minggu depan

Faisal Asyraf 
Dikemaskini 5 Okt 2018, 1:26 petang


Perdana Menteri Datuk Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyertai kempen Pakatan Harapan dalam pilihan raya kecil Port Dickson.

Keputusan itu dibuat di tengah-tengah khabar angin berkaitan hubungannya dengan calon HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang disebut-sebut bakal penggantinya sebagai perdana menteri.

Mahathir berkata beliau dan pemimpin kanan HARAPAN akan turun padang ke kawasan peranginan itu pada 8 Oktober ini.

Katanya, beliau berbuat demikian kerana terdapat cakap-cakap berkaitan hubungannya dengan Anwar, musuh lama yang kini menjadi sekutu.

Mahathir sebelum ini berkata beliau biasanya tidak turun berkempen sebagai perdana menteri.

Kali terakhir Mahathir berkempen dalam pilihan raya kecil pada 2009 di Bukit Gantang. Beliau ketika itu masih menyokong BN.

[Baca berita asal]

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-