Wednesday, October 10, 2018

Atas nama tazkirah

Senduksiku Keluang | Diterbitkan 10 Okt 2018, 1:05 petang


ULASAN| "Kalau di negeri Selangor, sudah tentu Anwar Ibrahim kena akan marah dengan Tuanku Sultan Selangor," kata seorang rakan kepada penulis, hari minggu lalu.

Memang tidak salah kata rakan penulis ini. Seingat penulis, penguatkuasaan cukup tegas di negara ini untuk tidak membenarkan surau atau masjid dijadikan pentas politik.

Malah, boleh dikatakan hampir setiap negeri telah meletakkan syarat sesiapa yang ingin memberi tazkirah, ceramah atau ucapan di masjid hendaklah mendapat tauliah daripada jabatan agama Islam negeri.

Ketegasan itu terbukti sehinggakan seorang mufti dari negeri lain ditahan pihak berkuasa agama kerana memberi kuliah tanpa tauliah di sebuah negeri lain.

Namun apa yang berlaku sepanjang tempoh kempen pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson amat menghairankan.

Ini kerana calon PRK Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat bebas berceramah di masjid dan surau sekitar Parlimen Port Dickson sepanjang tempoh kempen.

Semakan di laman Facebook, Anwar sudah memberikan ceramah atas nama tazkirah di Masjid Jamek Pasir Panjang, Masjid Linggi, Surau Jamaliah Taman Intan Duyung, Masjid Qariah Bagan Pinang, Masjid Jamek Port Dickson dan Masjid Kariah Kampung Sawah di Sunggala, Port Dickson.

Penulis tidak rasa calon lain boleh berceramah atau memberi tazkirah Maal Hijrah sebegitu bebas seperti Anwar di masjid-masjid mahu pun surau sekitar Port Dickson.

Mungkin Anwar atau sosok Pakatan Harapan akan tegar mempertahankan apa yang dibincang di masjid itu bukanlah ceramah politik, namun harus dingat bahawa Anwar tetap calon pilihan raya.

Tentunya ada unsur politik di situ dan sekali lagi penulis tidak rasa Anwar mempunyai tauliah daripada Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (JAINS) untuk menyampaikan tazkirah, ceramah atau pun kuliah.

Sekiranya Anwar menggunakan alasan sudah mendapat kebenaran daripada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan untuk bercakap di masjid, lebih baik Anwar menyemak semula perkara itu.

Port Dickson bawah jajahan Dato' Klana Petra, Undang Sungei Ujong dan beliau adalah ketua agama Islam bagi seluruh jajahannya meliputi Nilai, Seremban dan Port Dickson. Yang di-Pertuan Besar hanya berkuasa di Seri Menanti, itu pun tertakluk persetujuan Pembesar-pembesar Memerintah bagi negeri berkenaan.

Penulis amat yakin Anwar tidak mendapat kebenaran bercakap di masjid di Port Dickson kerana baru-baru ini, seorang pembesar adat kanan yang punya kuasa dalam hal ehwal agama Islam di Sungei Ujong telah bercakap dengan penulis dan menyuarakan rasa kurang senang berhubung tindak tanduk Anwar memberi tazkirah dalam masjid.

Pembesar adat kurang senang?

Malah, rasa kurang senang pembesar adat kanan itu juga dilontarkan terhadap Pejabat Menteri Besar yang dilihat membenarkan perkara terbabit.

"Masjid dan surau di jajahan Sungei Ujong termasuk Port Dickson perlu bebas daripada unsur politik. Bagi sesiapa yang memberi ceramah mesti mendapatkan tauliah atau kebenaran dari pihak berkuasa agama dahulu," kata pembesar adat ini kepada penulis.

Difahamkan, memang ada permohonan PKR sebelum hari penamaan calon untuk membolehkan Anwar berceramah atau bertazkirah dalam masjid dan surau di Port Dickson, tetapi ditolak pihak berkuasa agama negeri.

Justeru, bagaimana Anwar boleh bebas bercakap di masjid-masjid dan surau sekitar Port Dickson? Atas keizinan siapa jika Dato' Klana Petra, Undang Sungei Ujong tidak memberi kebenaran?

Mohon pencerahan, kerana amatlah tidak manis masjid dan surau dipergunakan bagi tujuan politik, bukan beribadah. Tindakan sebegini hanya menyemarakkan lagi sentimen negatif Melayu ke atas kerajaan.

Sekiranya terbukti tiada izin daripada yang hak, adalah dimohon pihak berkuasa agama negeri bertindak tegas seperti Raja-raja Melayu dari negeri lain.

Penulis masih ingat lagi bagaimana tegasnya Sultan Selangor menjaga masjid dan surau di Selangor. Memang kagum.

SENDUKSIKU KELUANG sedang giat menyelidik kearifan tempatan berkaitan mistik, tulah, kuasa dan daulat Raja-raja dan Pembesar-pembesar Memerintah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-