Wednesday, October 10, 2018

Tidak ada cukai tak beban rakyat

SITI AZIELAH WAHI
10 OKTOBER 2018

Gambar hiasan.

PUTRAJAYA - "Tidak ada cukai yang tidak membebankan rakyat," kata penganalisis ekonomi, Dr Bahyah Baba ketika diminta mengulas kenyataan perdana menteri Tun Dr Mahathir hari ini yang sedang mengkaji untuk memperkenalkan cukai tanpa bebankan rakyat.

Sebaliknya Dr Bahyah berkata walau apa cara sekalipun, cukai akan tetap terbeban kapada rakyat sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Menurutnya, sekiranya cukai tersebut dikenakan kepada penjual, atau tambahan cukai kepada pengusaha, mereka akan turunkan cukai itu kepada rakyat.

"Rakyat akan terbeban juga. Kalau tambahan cukai kepada pengusaha, mereka akan pas cukai kepada pengguna.

"Mana ada cukai tidak bebankan rakyat. Akhirnya pengguna juga terjejas, saya tidak setuju dengan beliau (Tun Mahathir)," katanya kepada Sinar Harian.

[ARTIKEL BERKAITAN:Kerajaan kena cari dana lain bayar hutang, kata Tun M]

Bahyah berkata, kerajaan hari ini sepatutnya tidak memansuhkan GST dan memperkenalkan SST.

"Sepatutnya GST tidak dibubarkan. Rakyat sudah terbiasa dengan cukai itu dan ia nyata membantu tambah pendapatan kerajaan.

"Kesan SST yang diperkenalkan hari ini, mengakibatkan harga barang yang sama naik malah lebih mahal berbanding GST," katanya.

Bahyah berkata, kerajaan sepatutnya tidak lagi mengenakan cukai kepada rakyat sebaliknya mencari jalan untuk mengurangkan kos kehidupan.

"Kerajaan sepatutnya mencari jalan untuk membantu rakyat bukan menambah cukai yang membebankan rakyat.

"Kerajaan patut tumpu perhatian bagaimana nak menambah baik kehidupan rakyat, dan memikirkan bagaimana untuk menjana ekonomi negara dan bukannya sentiasa mencari salah kerajaan terdahulu," tegasnya.

Antara lain, katanya kerajaan perlu memikirkan mekanisma yang perlu dilakukan untuk tambah pengeluaran, termasuk dengan cara memberi intensif supaya lebih banyak pelabur asing masuk ke negara ini.

"Sekarang ini apa yang mereka lakukan telah menakutkan pemain industri. Kerajaan patut fokus bagaimana untuk menaikkan nilai ringgit kerana nilai ringgit ketika ini terlalu teruk," katanya.

Tambahnya apa yang dilakukan kerajaan terdahulu dalam menguruskan hutang negara adalah cukup baik.

"Kerajaan terdahulu sudah lakukan yang terbaik. Hutang dibayar mengikut masa. Semua negara berhutang. Tiada negara yang tidak berhutang malah hutang yang dicatatkan oleh Singapura lebih banyak," ujarnya.

Sehubungan itu katanya langkah segera perlu dilakukan kerajaan untuk menaikkan semula ekonomi negara tanpa membebankan rakyat dengan mengenakan cukai.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-