Friday, October 19, 2018

Dokumen Kerajaan PH Akui Hutang Negara RM688 Bilion, Bukannya 1 Trilion – Najib

SUARA TV
Suara Tanpa Sempadan
Abdul Mursyid
October 19, 2018


PEKAN – Kenyataan pemimpin kerajaan yang sering mendakwa hutang negara berjumlah RM1 trilion akan menyebabkan Malaysia rugi kerana boleh menimbulkan kesangsian dalam kalangan pelabur terhadap keadaan ekonomi negara.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11(RMK-11) bagi 2016 sehingga 2020 dibentangkan di Dewan Rakyat semalam, membuktikan hutang negara berjumlah RM688 bilion mengikut tarif antarabangsa.

Beliau berkata, definisi hutang RM1 trilion yang sering disebut pemimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mengikut tarif antarabangsa kerana memasukkan dua unsur tambahan iaitu liabiliti luar jangka serta pembayaran pajakan.

“Dokumen PH semalam mengesahkan apa yang BN perkatakan selama ini, saya tidak pernah berganjak bahawa itulah (RM688 bilion) hutang negara sebenar.

“Kalau sebut RM1 trilion, ini akan mendatangkan reaksi dalam kalangan pelabur dan pasaran global sangsi dengan keadaan ekonomi negara kita yang hanya akan merugikan Malaysia.

“Apa pun kita hendak buat walaupun hendak main politik, jangan korbankan kepentingan negara,” katanya pada media selepas makan tengah hari dan meninjau Medan Makan D’ Kuala Pahang dekat sini, hari ini.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, berkata Kajian Separuh Penggal RMK-11 yang dibentangkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam juga membuktikan bahawa hutang negara yang berada pada tahap 50.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kini semakin menguncup berbanding 54 peratus tiga tahun lalu.

“Ini juga bererti bahawa satu lagi tuduhan mereka bahawa kerajaan BN boros adalah tidak benar sebab kalau boros hutang kita meningkat tetapi hutang kita sebaliknya menguncup.

“Ia bermakna kerajaan terdahulu sudah mentadbir negara dengan sikap bertanggungjawab… kita tidak boleh mengurangkan secara mendadak sebab perlu pinjaman untuk pembangunan negara,” katanya. 
BH

Berikut kenyataan penuh Datuk Seri Najib dipetik dari laman Facebook beliau.

Kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) untuk tahun 2016 sehingga 2020 telah diedar dan dibentangkan di Dewan Rakyat semalam.

Yang peliknya ialah kajian rasmi Kerajaan PH ini berpendapat bahawa prestasi ekonomi Malaysia adalah baik untuk 2016 dan 2017 walaupun dalam tahun-tahun ini, PH sendiri pernah berulang-kali memberitahu rakyat bahawa Malaysia sudah hancur dan di dalam krisis.

Kajian itu juga mengesahkan hutang kerajaan ialah pada tahap RM688 bilion pada akhir tahun 2017 manakala nisbah hutang dan defisit kerajaan di bawah BN juga menurun setiap tahun sehingga 2017.

Bagaimanapun selepas mengambil alih kerajaan, PH sudah mengubah sasaran RMK11 di mana unjuran pertumbuhan ekonomi setiap tahun telah direndahkan kepada 4.5% hingga 5% berbanding 5% hingga 6% sebelum ini.

Kadar dan jumlah pelaburan swasta dan kerajaan juga dirancang untuk berkurang pada tempoh ini.

Yang paling aneh ialah, Kerajaan PH juga berkata defisit kerajaan akan diteruskan, malah akan turut dinaikkan sehingga -3% pada tahun 2020 berbanding 0.6% dibawah BN.

Jangkaan untuk kerajaan mengalami defisit yang lebih tinggi dan berterusan ini bermakna kerajaan sudah merancang untuk meminjam lebih banyak wang.

Bagaimana hendak mengurangkan hutang negara yang mereka sering sebut sebagai RM1 trilion jika kita terus meminjam dan akan meminjam dengan lebih banyak untuk menampung defisit yang dinaikkan?

Ini matematik ataupun rancangan ekonomi jenis salah titik perpuluhan hantam sahaja ke?

Adakah ini bermakna bahawa strategi PH untuk menyelamatkan negara dan mengurangkan hutang ialah dengan mengurangkan kadar pelaburan, kadar pertumbuhan ekonomi dan menaikkan hutang negara?

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-