Sunday, October 14, 2018

Hutang negara hanya alasan burukkan BN

NURULFATIHA MUAH
14 OKTOBER 2018

Najib Tun Razak. Foto - Bernama

SHAH ALAM - PH didakwa menggunakan propaganda hutang RM1 trilion bagi memburukkan kerajaan BN sebelum ini, selain sebagai alasan untuk menjual aset negara, memperkenalkan cukai-cukai baharu dan menarik balik bantuan rakyat.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa, pakar Bank Dunia jelas menyatakan hutang Malaysia tidak meletakkan negara pada keadaan bahaya seperti digembar-gemburkan kerajaan hari ini.

"PH tahu ini, tetapi mahu terus gunakan propaganda ini. Pakar Bank Dunia bukan senang ditipu oleh propaganda," katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook peribadinya hari ini.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, menerusi pemerhatiannya, ramai rakyat Malaysia tidak bertanya kenapa hutang negara diumumkan kerajaan PH selepas PRU14 sebagai cukup-cukup RM1 trilion.

Beliau berkata, istilah trilion digunakan PH sangat sensasi dan menakutkan orang ramai, selain mudah untuk diputar belit.

Katanya, hutang rasmi kerajaan adalah RM688 bilion sahaja, namun untuk menaikkan menjadi RM1 trilion, kerajaan PH turut masukkan jaminan hutang (contingent liability) sebanyak RM199 bilion ke dalamnya.

"Tetapi hutang bon untuk membiayai Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang kini RM40 bilion tidak pula dimasukkan ke dalam angka RM199 bilion ini. Ini ialah sebab angka propaganda RM1 trilion sudah tercapai dan tidak perlu lagi memasukkan jaminan hutang PTPN dan lain-lain lagi ke dalamnya.

"Angka RM199 bilion ini juga termasuk RM38 bilion untuk 1MDB sedangkan hutang 1MDB yang sebenar bukan begitu banyak dan mempunyai aset-aset tertentu seperti Bandar Malaysia, Tun Razak Exchange (TRX) dan tanah di Pulau Pinang yang nilainya juga berpuluh bilion. Apa sudah terjadi dengan aset-aset ini? Nilai semua aset ini sudah menjadi kosong?," katanya.

Menurutnya, berdasarkan laporan terkini Bank Negara Malaysia (BNM) yang merupakan agensi utama untuk melaporkan secara rasmi kewangan kerajaan, hutang negara dilapor sebagai RM725 bilion pada akhir suku kedua 2018, berbanding RM688 bilion pada akhir tahun 2017.

"Takkan BNM mahu menipu? Dan tidak ada pula pengubahan terhadap jumlah RM688 bilion itu.

"Ya, hutang naik juga apabila PH jadi kerajaan dan dijangka akan naik lagi bagi suku ketiga kerana saya lihat pinjaman baru untuk bulan Julai dan Ogos adalah sekitar RM10 bilion," katanya.

Ketika masih menjadi perdana menteri, Najib berkata, defisit bajet kerajaan telah terkawal dan menurun lapan tahun berturut-turut selepas negara mengalami kesan teruk pada krisis ekonomi global, 2007 hingga 2012.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-