Wednesday, October 24, 2018

Jangan hukum jutaan Melayu bernaung bawah UMNO - Mohamad

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi
Emel tuty@nstp.com.my

DATUK Seri Mohamad Hasan. - Foto NSTP

SEREMBAN: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, yakin dapat memulihkan semula UMNO dan menjadikan parti itu kembali relevan di Malaysia.

Beliau berkata, kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa UMNO sudah tiada dan tidak lagi memperjuangkan nasib agama, bangsa dan negara kecuali mempertahankan Datuk Seri Najib Razak adalah tidak benar.

“UMNO masih wujud, berfungsi dan bergerak sebagai parti politik terbesar di Malaysia.

“Malah UMNO secara hakikatnya mempunyai lebih ramai ahli, pengundi dan lebih banyak kerusi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, walaupun terdapat beberapa Ahli Parlimen UMNO bertindak meninggalkan parti, tetapi setakat ini tidak berlaku gerakan besar-besar meninggalkan UMNO.

“Saya akui UMNO berada dalam keadaan yang lemah dan susut pengaruhnya ketika ini.

“Tetapi dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lalu kita mengambil keputusan untuk merawat, memulih dan membangunkan semula UMNO sebagai gerakan kebaikan untuk bangsa Melayu dan Malaysia,” katanya.

Mohamad berkata, walaupun sebelum ini terdapat beberapa pemimpin UMNO yang melakukan kesalahan, tetapi itu bukan alasan untuk menjatuhkan hukuman.

“Janganlah kita menghukum jutaan orang Melayu yang bernaung di bawah UMNO.

“Mereka adalah ahli biasa yang tinggal di seluruh pelusuk tanah air dan tidak melakukan kesalahan,” katanya.

Justeru katanya, beliau dan pimpinan lain tekad untuk memulihkan parti itu dan memastikannya menjadi lebih baik daripada sebelum ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-