Sunday, October 14, 2018

Jual daging babi: Penganjur sengaja cetus sensiviti kaum

ainulillia 
14/10/2018

Sejak kerajaan PH tadbir negara, hubungan masyarakat pelbagai bangsa mula dirosakkan: PAS


Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 5 Safar 1440H, Ahad Jualan masakan daging babi secara terbuka pada Pesta Tastefully Melaka yang dianjurkan di Melaka International Trade Centre (MITC) dilihat seolah-olah bermotif dan disengajakan, kata Ketua Pemuda PAS Melaka, Ustaz Ahmad Bilal Rahudin.

Beliau berkata, penganjur seakan mahu mengusik dan mempersenda sensitiviti yang boleh menimbulkan ketidakharmonian antara kaum di negara ini.

Walaupun, penganjur telah memohon maaf dengan alasan terlepas pandang terhadap perkara itu, namun, katanya, alasan itu terlalu dangkal dan sukar diterima.

“Seolah-olah ekspo tersebut tiada pendaftaran, pemerhatian, penyeliaan dan penguatkuasaan selama empat hari ia berlangsung.

“Adakah alasan diberikan itu merupakan satu pengakuan bahawa ianya kecuaian penganjur atau makluman berlakunya pelanggaran peraturan oleh peserta ekspo?,” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pihak MITC dalam satu kenyataan semalam memohon maaf kepada orang awam kerana terlepas pandang mengenai isu makanan tidak halal yang dijual di dalam ekspo yang berlangsung bermula 11 Oktober hingga hari ini.

Katanya, susulan aduan orang ramai, pihak MITC telah mengarahkan gerai yang menjual produk tidak halal tersebut ditutup kerana dikhuatiri kebersihannya dan juga atas isu keselamatan.

Mengulas lanjut perkara itu, Ustaz Ahmad Bilal berkata, kejadian seumpama itu tidak pernah timbul selama ini, tetapi mutakhir sejak ditadbir Kerajaan Pakatan Harapan (PH), hubungan antara masyarakat pelbagai bangsa sudah mula dirosakkan.

Katanya, teraju politik bagaikan kuasa untuk satu-satu pihak menunjukkan keangkuhan, lalu bersikap biadab dengan menjurangkan lagi perbezaan sedia ada, sekali gus menggugat ketenteraman awam.

“Pada Julai lalu juga berlaku kejadian hidangan daging khinzir pada Anugerah Pencapaian Kecemerlangan Agro Malaysia di Sekolah Pay Fong yang turut dihadiri pelbagai kaum.

“Malah sebelum dari itu, berlaku ketidakpedulian dan keengganan banyak pengusaha hotel di Melaka untuk mengambil dan mematuhi prosedur Sijil Halal Jakim yang dilihat bagai mencabar kewibawaan pihak berkaitan.

“Itu tidak termasuk pernah ada cubaan untuk menganjurkan pesta arak mega dan himpunan Evangelis Kristian terbesar di negeri ini sikit masa dahulu,” katanya.

Beliau menegaskan, walaupun keterbukaan terhadap hak anutan dan melaksanakan amalan agama serta budaya kaum perlu diberi, namun ia tidak wajar sama sekali menjejaskan pihak lain pula.

Katanya, hubungan berpaksi saling hormat, tolak ansur dan memahami wajib dipelihara agar tidak ada yang terasing atau didiskriminasi, apatah lagi dicabuli kesejahteraan hidupnya.

“Oleh itu, kami menuntut siasatan terhadap kes ini, seterusnya tindakan tegas sewajarnya ke atas pihak berkaitan, serta langkah-langkah agar ia tidak berulang lagi.

“Kami juga menasihatkan semua pihak supaya lebih peka dan sensitif terhadap soal agama dan kaum, selain tidak cuba berkelakuan sewenang-wenangnya hingga mencalar dan merenggangkan hubungan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-