Sunday, October 14, 2018

Najib tuduh HARAPAN menipu untuk berkuasa

Diterbitkan 14 Okt 2018, 3:48 petang


Datuk Seri Najib Razak berkata pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) sebenarnya sudah maklum keadaan kewangan negara semasa merangka manifesto menjelang pilihan raya umum (PRU) pada 9 Mei lalu.

Kata Najib setiap tahun kedudukan kewangan negara ada dipaparkan kepada umum dan anggota parlimen mempunyai salinan dokumen berkaitan.

Jika tidak pun kata bekas perdana menteri itu anggota parlimen atau pemimpin HARAPAN boleh membuat carian di laman sesawang rasmi kerajaan.

Malah Najib menambah, sesetengah pemimpin HARAPAN sendiri adalah bekas orang atasan kerajaan BN.

"Mereka tahu (kedudukan kewangan negara). Malah ramai pemimpin mereka bekas pemimpin kerajaan BN," katanya yang mengetuai BN namun gagal mendapat mandat untuk membolehkan mereka kekal menjadi kerajaan selepas PRU ke-14 lalu.

Najib berkata demikian sebagai mengulas pengakuan HARAPAN bahawa ada antara janji mereka dalam manifesto tidak dapat dilaksanakan kerana faktor kewangan.

Menulis di media sosial Najib berkata pemimpin HARAPAN menjelajah ke seluruh negara dengan mendakwa negara akan bankrap dan ekonominya tenat.

Penipuan mana satu

Namun pada masa sama katanya HARAPAN mendakwa kerajaan mampu menghapuskan tol, menurunkan harga minyak serta janji-janji lain.

"Sekarang ni keluar pula kenyataan kata bahawa semasa HARAPAN membuat manifesto, mereka menyangka kewangan negara cukup untuk hapus tol," katanya.

Untuk rekod janji menghapuskan tol bagi lebuh raya di negara ini terkandung dalam manifesto HARAPAN tetapi ia bukan sebahagian daripada 10 janji yang diikrarkan untuk dilaksanakan dalam tempoh 100 hari pemerintahannya.

Mengenai minyak pula HARAPAN hanya berjanji untuk menstabilkan harganya dan memperkenalkan subsidi petrol secara bersasar.

Ikrar untuk menurunkan serta-merta harga minyak pula tidak dibuat menjelang PRU ke-14 lalu.
Pada 12 Okt lalu pula Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui kerajaan tidak mampu menyediakan lebuh raya tanpa tol di negara ini.

Malahan katanya beliau tidak bersetuju janji tersebut dijadikan sebahagian daripada manifesto HARAPAN.

Justeru Najib membangkitkan persoalan, "penipuan" mana yang akan dipertahankan oleh HARAPAN ketika ini.

"Jadi mana satu penipuan yang mereka nak terus tegakkan sekarang?

"Kalau negara nak bankrap dulu, macam mana mereka boleh terfikir nak hapuskan tol?" katanya.

Tambah ketua Umno Pekan itu amat menyedihkan apabila kerajaan HARAPAN meminta rakyat berkorban dan melupakan manifesto mereka.

"Demi siapa?

"Selepas menang kuasa di tangan dengan penipuan, mereka kini selesa.

"Apakah kita terima begitu sahaja?" katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-