Thursday, October 18, 2018

Menteri: Terpulang kepada rakyat untuk berhenti ‘bermimpi’ miliki lebuh raya tanpa tol

Mohamad Fadli
-October 18, 2018 11:18 AM

Baru Bian dilaporkan berkata, keputusan berhubung penghapusan tol lebuh raya akan diketahui dalam 2 hingga 3 bulan lagi.

KUALA LUMPUR: Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata terpulang kepada rakyat sekiranya mahu berhenti “bermimpi” untuk memiliki lebuh raya tanpa kutipan tol di negara ini.

Beliau berkata dasar kerajaan jelas dan telah membuat keputusan tidak akan melaksanakan lebuh raya tanpa mengenakan kutipan tol sehingga kewangan negara stabil dan dipulihkan sampai satu tahap yang sihat.

“Itu keputusan kerajaan sekarang. Soalan dibangkitan sama ada rakyat Malaysia (behenti) bermimpi itu terpulang kepada rakyat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari (PAS) yang bertanya, berdasarkan kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini adakah rakyat Malaysia sudah boleh berhenti bermimpi memiliki lebuh raya tanpa tol di negara ini.

Pada 13 Oktober lalu, Dr Mahathir berkata pembinaan lebuh raya tanpa mengenakan kutipan tol tidak mungkin dapat diwujudkan.

Dr Mahathir mendedahkan, beliau sebenarnya tidak bersetuju dengan janji hapuskan tol di dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

Janji ke-6 dalam manifesto PH menyatakan gabungan itu akan mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuh raya dan berunding untuk mendapatkan harga terbaik bagi mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir menghapuskan kutipan tol secara berperingkat.

Halaman 29 manifesto PH menyatakan ia akan mengambil alih konsesi lebuh raya dengan memberi pampasan adil kepada syarikat konsesi.

Perdana menteri sebelum ini berkata, kerajaan PH perlu menyemak semula beberapa perkara dalam manifestonya kerana sebahagian janji itu akan mendatangkan kerugian sangat besar jika dilaksanakan.

Awal bulan ini, Baru Bian dilaporkan berkata, keputusan berhubung penghapusan tol lebuh raya akan diketahui dalam 2 hingga 3 bulan lagi.

Beliau berkata, pihaknya sudah menerima beberapa cadangan syarikat konsesi lebuh raya terlibat dan akan menilai semua cadangan itu sebelum membuat sebarang keputusan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-