Showing posts with label Menteri Kerja Raya. Show all posts
Showing posts with label Menteri Kerja Raya. Show all posts

Wednesday, January 29, 2025

Pusingan U dasar jejas kredibiliti kerajaan, kata penganalisis

freemalaysiatoday.com
Minderjeet Kaur
-29 Jan 2025, 

Menurut seorang ahli akademik, ‘u-turn’ kerajaan berkenaan dasar berkait tol musim perayaan mungkin berpunca pelbagai pendapat politik dalam Jemaah Menteri.
Minggu lepas, kerajaan mengumumkan tidak lagi memberikan pengecualian tol bagi musim perayaan mulai tahun ini, namun 3 hari kemudian, diskaun 50% bagi caj tol sempena Tahun Baharu Cina sebaliknya diumumkan.

PETALING JAYA: Pendirian berbolak-balik berkenaan dua dasar yang diumumkan baru-baru ini membangkitkan kebimbangan mengenai proses membuat keputusan kerajaan, dengan penganalisis memberi amaran bahawa ketidaktekalan sedemikian boleh menghakis kepercayaan dan keyakinan rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pusat Pendidikan Pasaran Carmelo Ferlito berkata, tindakan ‘u-turn’ oleh kerajaan itu ‘bermasalah’ dan memberikan gambaran bahawa Putrajaya tunduk pada tekanan awam.
     Carmelo Ferlito.
Katanya, respons reaktif sedemikian menjejaskan kredibiliti kerajaan dan mencetuskan ketidaktentuan dalam kalangan pihak berkepentingan.

“Tidak boleh asyik umum sesuatu, kemudian ‘u-turn’. Sikap berbolak-balik sebegini menjejaskan kepercayaan rakyat dan tanggapan pada keseriusan pentadbiran,” katanya kepada FMT.

Ferlito mengakui, kerajaan harus sentiasa peka terhadap pendapat umum, tetapi katanya, pihak berkepentingan perlu dilibatkan sebelum sebarang pengumuman dibuat.
Wong Chin Huat.
Ahli sains politik Wong Chin Huat daripada Universiti Sunway berkata, langkah bolak-balik berkenaan dasar menjadi petanda kerajaan tidak dapat membuat keputusan, yang akan memberi kesan terhadap kewibawaan dan kredibilitinya.

Menurut Wong, kerajaan mesti menyediakan rakyat untuk menerima keputusan yang tidak popular melalui rundingan dan pengumuman awal. Rundingan awam, katanya, membantu kerajaan meraih sokongan dan mengurangkan tindak balas negatif.

“Ketelusan adalah penting dalam mewajarkan keputusan yang mungkin tidak disenangi semua pihak,” kata Wong.

Minggu lepas, kerajaan mengumumkan tidak lagi memberikan pengecualian tol bagi musim perayaan mulai tahun ini. Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata, pengecualian itu akan digantikan dengan ‘pendekatan yang lebih bersasar’.

Bagaimanapun, tiga hari kemudian, kerajaan sebaliknya mengumumkan akan memberi diskaun 50% bagi caj tol sempena Tahun Baharu Cina.

Jemaah Menteri juga minggu lepas membatalkan pelaksanaan projek rintis Waktu Bekerja Berlainan (WBB) bagi petugas kesihatan, untuk ‘memberi laluan kepada kajian yang lebih mendalam dan menyeluruh’.

Keputusan membatalkan skim WBB yang pada mulanya dirancang dilaksanakan di tujuh hospital mulai bulan depan itu dibuat berikutan bantahan oleh pelbagai pihak berkepentingan.
Syed Arabi Idid.
Syed Arabi Idid daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, tindakan bolak-balik itu ‘sangat luar biasa’.

“Ini menimbulkan ketidaktentuan dalam kalangan rakyat tentang keseriusan kerajaan dalam penggubalan dasar, terutamanya apabila (dasar-dasar) dibatalkan dalam tempoh (hanya) beberapa hari,” katanya kepada FMT.

Kepelbagaian politik jadi punca

Provos Universiti Sains dan Teknologi Malaysia Barjoyai Bardai berkata, bolak-balik dasar berpunca daripada komposisi politik Jemaah Menteri yang pelbagai.
Barjoyai Bardai.
Katanya, keputusan menteri-menteri dalam kerajaan sekarang, yang datangnya daripada pelbagai parti, lazimnya mencerminkan kepentingan asas politik dan pihak berkepentingan mereka.

“Ini mewujudkan senario di mana keputusan seorang menteri mungkin dicabar oleh menteri daripada parti atau pihak berkepentingan lain,” katanya.

Beliau menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengambil peranan sebagai ‘ketua perunding’ untuk menguruskan pelbagai jangkaan dalam Jemaah Menteri. Katanya, penting bagi Anwar menguruskan kepelbagaian jangkaan itu bagi memastikan gabungannya utuh.

Beliau bagaimanapun mengakui jadual kerja perdana menteri di luar negara boleh menyekat pembuatan keputusan yang berkesan di dalam negara.

“Kerajaan harus lebih kerap mengadakan mesyuarat Jemaah Menteri dalam talian supaya setiap menteri sepakat,” katanya.

“Perkara ini akan memastikan komunikasi yang lebih baik dan membolehkan perdana menteri sentiasa maklum mengenai hal ehwal dalaman yang penting.”

Tuesday, January 21, 2025

Tol percuma pada musim perayaan tak bantu atasi kesesakan jalan - TPM

malaysiakini.com
B Nantha Kumar
Diterbitkan: Jan 21, 2025 10:48 PM
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata pengguna jalan raya perlu merancang perjalanan mereka kerana kerajaan tidak lagi memberikan pengecualian tol semasa musim perayaan.

Menurutnya pemberian tol percuma semasa musim perayaan tidak membantu mengatasi masalah kesesakan jalan raya, selain kerajaan perlu membelanjakan RM35 juta sehari sebagai pampasan konsesi tol.

"Walaupun ia tidak melibatkan pampasan tunai secara langsung, tetapi konsesi itu terpaksa dipanjangkan dan ini tidak menyelesaikan masalah kesesakan lebuh raya yang bertol.

"Jadi keputusan untuk menghentikan pemberian tol percuma adalah keputusan jemaah menteri hasil daripada saranan menteri kerja raya," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR) diminta mengulas keputusan kerajaan memutuskan untuk menghentikan pemberian tol percuma bersempena musim perayaan.

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata ketetapan yang diputuskan pada mesyuarat Kabinet tahun lepas itu bagaimanapun akan diganti dengan pendekatan yang lebih bersasar.

Dalam pada itu Ahmad Zahid meminta orang ramai merancang perjalanan mereka susulan penghapusan tol percuma ketika musim perayaan.

"Yang penting ialah gelagat ataupun tingkah laku untuk kita menggunakan jalan raya mesti berubah sekarang ini.

"Kita mesti menukar (fikiran) kepada memperolehi diskaun ataupun diberikan tol percuma itu sebagai hadiah. Tetapi, apabila tidak ada hadiah, kita mesti menukar cara berkenderaan apabila sampai musim-musim perayaan.

"Kita mesti menjadualkan kepulangan kita ke destinasi dan untuk pulang ke bandar raya ataupun ke destinasi rumah mereka itu, memang boleh disesuaikan," katanya.

Friday, September 27, 2024

Kutipan tol Lebuh Raya WCE Seksyen 1 mulai Isnin

kosmo.com.my
Oleh KOSMO!
27 September 2024, 9:01 pm

Lebuh Raya WCE Seksyen 1 memudahkan pengguna ke bandar utama di selatan Lembah Klang seperti Putrajaya, Bangi dan Kajang. - Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

PETALING JAYA – Kutipan tol bagi Jajaran Seksyen 1 yang menghubungkan Persimpangan Bertingkat Banting ke Persimpangan Bertingkat Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) akan bermula pada Isnin ini, pukul 12.01 tengah malam.

Menerusi pengumuman oleh West Coast Expressway (WCE), kadar tol di Seksyen 1 Lebuh Raya WCE berintegrasi sepenuhnya dengan Lebuh Raya SKVE melalui Persimpangan Tanjung Dua Belas.

“Kadar tol yang dikenakan telah mengambil kira keseluruhan perjalanan pengguna, termasuk bahagian perjalanan di Lebuh Raya SKVE.

“Kutipan tol Seksyen 1 ini akan dilaksanakan secara elektronik sepenuhnya menggunakan kad Touch ‘N Go, Smart Tag dan RFID,” menurut kenyataan WCE hari ini.

Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan untuk memastikan baki e-wallet dan kad Touch ‘N Go mencukupi sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan sebarang kesulitan semasa melalui plaza tol.

Terdahulu, jajaran sepanjang 12.5 kilometer itu dibuka secara rasmi oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada 31 Ogos lalu dan beroperasi secara percuma selama sebulan.

 – KOSMO! ONLINE

Thursday, December 12, 2019

Baru optimis 30 peratus tender kementerian dikhas pada Bumiputera


BERITA

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata kementeriannya akan memastikan 30 peratus tender diberikan kepada kontraktor Bumiputera menjelang tahun hadapan.

Beliau berkata jaminan itu selaras dengan pengumuman Belanjawan 2020 yang dibentang pada 11 Oktober lalu.

“Kementerian memang optimis, bagi saya sebagai menteri Kerja Raya, saya faham akan cabaran dihadapi kontraktor Bumiputera.

“Saya akan cuba yang terbaik untuk memenuhi kehendak mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di majlis makan malam kontraktor Bumiputera di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya di majlis tersebut, Baru menjelaskan bahawa kerajaan akan terus memastikan kebajikan kontraktor dan meletakkan sasaran 30 peratus setiap tender kementerian bagi kontraktor Bumiputera.

Sebelum ini Menteri Kewangan Lim Guan Eng dilapor berkata, setakat Ogos tahun ini syarikat Bumiputera berjaya memperoleh kontrak projek baru kerajaan melalui tender bernilai lebih RM3.6 bilion.

Sementara itu, Baru juga menjelaskan bahawa kabinet meminta supaya maklumat terperinci pengambilalihan syarikat konsesi lebuh raya Plus Malaysia Berhad (PLUS) dikemukakan sekali lagi.

Tambahnya, ini juga merupakan arahan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bagi menyemak semula perkara tersebut sebelum sebarang keputusan dibuat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita sama ada isu tersebut dibangkitkan dalam mesyuarat khas kabinet Isnin lalu.

Untuk rekod, kementerian kerja raya sebelum ini mengesahkan menerima lima tawaran bagi mengambil alih kepentingan dalam konsesi PLUS.

Baru juga menjelaskan lima syarikat tersebut adalah Widad Business Group, RRJ Capital, Maju Holding, Khazanah Nasional Berhad dan ahli perniagaan Tan Sri Halim Saad.

Menurutnya lagi, semua tawaran tersebut akan dinilai dan dikaji sebelum dibentangkan kepada kabinet dalam masa terdekat.

Thursday, October 18, 2018

Menteri: Terpulang kepada rakyat untuk berhenti ‘bermimpi’ miliki lebuh raya tanpa tol

Mohamad Fadli
-October 18, 2018 11:18 AM

Baru Bian dilaporkan berkata, keputusan berhubung penghapusan tol lebuh raya akan diketahui dalam 2 hingga 3 bulan lagi.

KUALA LUMPUR: Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata terpulang kepada rakyat sekiranya mahu berhenti “bermimpi” untuk memiliki lebuh raya tanpa kutipan tol di negara ini.

Beliau berkata dasar kerajaan jelas dan telah membuat keputusan tidak akan melaksanakan lebuh raya tanpa mengenakan kutipan tol sehingga kewangan negara stabil dan dipulihkan sampai satu tahap yang sihat.

“Itu keputusan kerajaan sekarang. Soalan dibangkitan sama ada rakyat Malaysia (behenti) bermimpi itu terpulang kepada rakyat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari (PAS) yang bertanya, berdasarkan kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini adakah rakyat Malaysia sudah boleh berhenti bermimpi memiliki lebuh raya tanpa tol di negara ini.

Pada 13 Oktober lalu, Dr Mahathir berkata pembinaan lebuh raya tanpa mengenakan kutipan tol tidak mungkin dapat diwujudkan.

Dr Mahathir mendedahkan, beliau sebenarnya tidak bersetuju dengan janji hapuskan tol di dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

Janji ke-6 dalam manifesto PH menyatakan gabungan itu akan mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuh raya dan berunding untuk mendapatkan harga terbaik bagi mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir menghapuskan kutipan tol secara berperingkat.

Halaman 29 manifesto PH menyatakan ia akan mengambil alih konsesi lebuh raya dengan memberi pampasan adil kepada syarikat konsesi.

Perdana menteri sebelum ini berkata, kerajaan PH perlu menyemak semula beberapa perkara dalam manifestonya kerana sebahagian janji itu akan mendatangkan kerugian sangat besar jika dilaksanakan.

Awal bulan ini, Baru Bian dilaporkan berkata, keputusan berhubung penghapusan tol lebuh raya akan diketahui dalam 2 hingga 3 bulan lagi.

Beliau berkata, pihaknya sudah menerima beberapa cadangan syarikat konsesi lebuh raya terlibat dan akan menilai semua cadangan itu sebelum membuat sebarang keputusan.

Thursday, July 12, 2018

‘Agak mustahil’ mansuh tol dalam masa 100 hari, kata timbalan menteri

Khairil Ashraf | July 12, 2018

PH dalam manifesto pilihan raya umum Mei lepas antara lain menjanjikan pemansuhan tol secara berperingkat dan akan mengambil alih konsesi tol dengan memberi pampasan adil kepada syarikat yang berkaitan.
Anuar berkata, pemansuhan tol mengambil masa dan tidak semestinya dalam tempoh 100 hari.

PETALING JAYA: Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir berpandangan adalah “agak mustahil” untuk memansuhkan tol dengan hanya tinggal kurang daripada 50 hari daripada 100 hari janji Pakatan Harapan (PH) untuk melakukannya.
Mohd Anuar Mohd Tahir

Beliau berkata, pemansuhan tol mengambil masa dan tidak semestinya dalam tempoh 100 hari.

“Banyak aspek dari segi perundangan dan sebagainya mesti diambil kira sebelum proses itu boleh berjalan.

“Cuma jangkaan berharap (pemansuhan tol) boleh berlaku dalam tempoh beberapa hari. Agak mustahil,” katanya ketika dihubungi FMT baru-baru ini.

PH dalam manifestonya sebelum pilihan raya umum Mei lepas antara lain menjanjikan pemansuhan tol secara berperingkat.

Dalam manifestonya juga, PH juga berjanji akan mengambil alih konsesi tol dengan memberi pampasan yang adil kepada syarikat yang berkaitan.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Temerloh dariada parti Amanah itu bagaimanapun berkata, mereka tetap komited dengan janji untuk memansuhkan tol.

“Kita rasa rakyat sudah cukup lama dibebani oleh tol ini. Cuma tidak semudah itu, ia adalah perkara besar melibatkan wang berbilion ringgit, melibatkan ribuan orang yang bekerja dan sebagainya.

“Tapi komitmen tetap komitmen. Cuma kita akan lakukan sepertimana yang kita sebut secara berperingkat dan secara berstruktur. Ia akan berlaku dalam tempoh 5 tahun tempoh pentadbiran kita,” katanya.

Anuar berkata, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng juga akan mengeluarkan kenyataan dari semasa ke semasa mengenai isu pemansuhan tol.

“Kabinet akan membincangkan isu ini dari semasa ke semasa dan sebarang tindakan yang akan diambil akan diberitahu kepada media,” katanya.

Monday, October 24, 2016

'Kos ECRL RM55b macam nak bina landasan emas'

SALWANI MD ZAIN :
Mahfuz Omar
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menggesa satu siasatan menyeluruh (audit) atau ditubuhkan jawatankuasa khas bagi menilai rasional kos pembinaan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dengan harga RM55 bilion seperti yang diumumkan dalam Bajet 2017.

Beliau mendakwa, pengumuman itu walaupun nampak seolah-olah projek untuk menjaga kebajikan rakyat namun masih banyak persoalan yang perlu diperincikan.

"Di manakah rasionalnya apabila kos pembinaan bernilai RM55 bilion, ini bermakna 1 kilometer boleh dianggarkan mencecah RM91 juta, sedangkan landasan berkembar dari Negeri Sembilan ke Johor Bharu hanya berjumlah lebih kurang RM3 juta secara keseluruhannya. Jadi saya minta satu jawatankuasa khas parlimen mesti buat semakan," katanya ketika ditemui Sinar Harian, hari ini.

Mahfuz berkata, timbul tanda tanya apabila pada 26 Julai 2016, Menteri Kerja Raya menafikan laporan dari Sarawak Report yang mendakwa Putrajaya akan menaikkan harga pembinaan itu daripada RM30 bilion kepada RM60 bilion.

"Dukacita apabila menteri terbabit menafikan dengan alasan Kabinet belum mengadakan sebarang perbincangan pada Julai 2016.

"Saya hairan bagaimana Menteri Kerja Raya yang menafikan laporan itu tiba-tiba projek ini boleh masuk dalam bajet dengan nilai harga RM55 bilion, kurang RM5 bilion daripada laporan Sarawak Report," katanya.

Dakwa Mahfuz, walaupun dinafikan, beliau melihat perkara ini hampir ada persamaan dengan laporan dari Sarawak Report.

"Bagi saya adakah ini satu perbelanjaan kos landasan yang paling mahal dalam dunia? Saya tak tahu lah mungkin kerajaan nak bina rel tu daripada emas ke atau besi buruk.

"Sebab itu bila diumumkan projek-projek yang dilihat sebagai menampakkan pemberian itu kepada rakyat saya masih persoalkan," katanya.

Pada pembentangan Bajet 2017 Jumaat lalu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan beberapa peruntukan untuk menyejahterakan rakyat termasuklah meningkatkan taraf pengangkutan awam.

Salah satu tumpuan itu adalah kepada pelaksanaan projek rel baharu ECRL sepanjang 600km yang menghubungkan Lembah Klang ke Pantai Timur dengan kos RM55 bilion.

Saturday, June 13, 2015

'Saya kesal ada pihak bocorkan maklumat kenaikan tol' - PM Najib

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bercakap kepada pemberita selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) lewat malam tadi. - Foto TRP/Azrol Ali

KUALA LUMPUR, 13 Jun:

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kesal dengan tindakan pihak yang membocorkan maklumat berkenaan kenaikan kadar tol yang dibincangkan di dalam mesyuarat kabinet.

Menurut Najib, beliau kesal dengan tindakan tersebut memandangkan perkara berkenaan masih dalam peringkat perbincangan.

“Jadi apa jua kebocoran yang keluar daripada Kabinet, sebenarnya belum muktamad.

“Malangnya berlaku kebocoran di media sosial… ia sangat-sangat malang kerana ada pihak yang tidak beretika dan mereka telah mengkhianati kepercayaan sebagai anggota kerajaan,” katanya di dalam sidang media selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) lewat malam tadi.

Beliau bagaimanapun mengakui perkara itu dibincangkan di dalam kabinet dan akan dimuktamadkan dalam tempoh beberapa minggu dari sekarang.

Semalam, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof melalui satu kenyataan berkata bahawa kabinet membincangkan isu mengenai implikasi kenaikan kadar tol bagi tahun 2015.

Dalam kenyataan yang sama, beliau meminta agar mana-mana pihak termasuk media untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kenaikan kadar tol.

Dalam perkembangan yang berbeza, Najib yang juga selaku Pengerusi BN menggesa ahli-ahli parti berkenaan untuk terus mengukuhkan hubungan khususnya di peringkat bahagian.

“Kerjasama di dalam BN di peringkat tertinggi tiada masalah. Cuma bagi di peringkat bahagian, kita minta semua pemimpin BN buat usaha yang lebih untuk selesaikan masalah sesama sendiri.

“Kalau tidak ada masalah, kukuhkan hubungan sesama mereka supaya lebih mantap dan serasi,” tegas beliau lagi.

Mesyuarat Dewan Tertinggi BN dalam masa yang sama turut membincangkan mengenai kejadian gempa bumi di Ranau baru-baru ini.

Jelasnya, pihak kerajaan akan berusaha untuk membantu malim-malim Gunung Kinabalu bagi tempoh tiga bulan gunung berkenaan ditutup untuk menjalankan operasi membaik pulih.

“Kita akan beri pengharagaan dan anugerah kepada mereka yang terlibat dalam membantu mangsa-mangsa gempa bumi ini termasuk malim-malim gunung, polis, anggota bomba dan lain-lain lagi selain daripada mereka yang terkorban.”

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/06/13/saya-kesal-ada-pihak-bocorkan-maklumat-kenaikan-tol-pm-najib/#ixzz3cuMcwRzF

Sunday, November 9, 2014

Tiada jaminan lebuhraya Pan-Borneo tanpa tol, jawapan Menteri Kerja Raya bercanggah


SANDAKAN, 8 NOV: Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof memberikan jawapan bercanggah bahawa tiada tol dikenakan ke atas pengguna lebuhraya Pan-Borneo, kata Ahli Parlimen Sandakan, Stephen Wong Tien Fatt.

Kata Stephen, menurut jawapan yang diperolehinya dalam perbahasan Belanjawan 2015, Kementerian Kerja Raya tidak dapat memberi jaminan bahawa tiada tol dikenakan keatas pengguna lebuhraya Pan-Borneo.

“Ini jelas menunjukkan sikap tidak konsisten kerajaan Barisan Nasional. Mengapa menteri pada awalnya mengatakan tiada tol, kemudian tidak memberi jaminan tiada tol dikenakan,” kata Stephen dalam satu kenyataan.

Fadillah dalam satu kenyataan seperti dilaporkan Bernama pada 11 Oktober lalu berkata, lebuh raya yang akan melibatkan pembinaan empat lorong bagi kemudahan rakyat Sabah dan Sarawak itu akan dibina tanpa tol.

Lebuhraya Pan Borneo melibatkan jajaran Sarawak sepanjang 936 kilometer dan jajaran Sabah sepanjang 727 kilometer dibina dengan kos berjumlah RM27 bilion.

Dalam pada itu kata Stephen, difahamkan kontrak pembinaan lebuhraya Pan-Borneo akan diberikan kepada UEM-MMC melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI), sama seperti Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di semenanjung Malaysia

Tegasnya, kontrak harus diberikan kepada syarikat tempatan untuk membantu meningkat taraf ekonomi penduduk setempat.

“Ini adalah mengenai kesaksamaan peluang, Keutamaan bagi projek di Sabah harus diberikan kepada penduduk di negeri ini yang berkelayakan melalui tender terbuka.

“Tender tertutup hanyalah satu daripada cara untuk mengambil untung ‘atas angin’ dan punca berlakunya rasuah,” tegas Stephen,

Tambahnya, sidang Dewan Undangan Negeri Sabah yang akan membentangkan belanjawan 2015 bermula Isnin depan wajar membincangkan perkara tersebut, termasuk kualiti lebuhraya Pan-Borneo, peruntukan pembinaan dan hal berkaitan kepada rakyat negeri ini. – Roketkini.com

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-