Saturday, October 6, 2018

Mungkin tiada lagi operasi antikhalwat di premis peribadi

Diterbitkan 6 Okt 2018, 12:01 tengah hari


Jabatan agama Islam negeri-negeri mungkin tidak lagi menjalankan serbuan ke atas premis persendirian yang disyaki menjadi lokasi khalwat atau maksiat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof berkata pihaknya percaya apa yang dilakukan oleh orang Islam di tempat tertutup bukan urusan kerajaan.

"Katakanlah anda melakukan sesuatu maksiat secara peribadi, dalam ruangan peribadi, saya takkan masuk campur.

"Sebagai contoh mengambil arak salah untuk orang Islam tetapi kalau seseorang itu meminumnya dalam tempat peribadi maka di pihak kerajaan saya takkan campur tangan," katanya dalam temu bual yang disiarkan The Star hari ini.

Menurut beliau apa yang menjadi kebimbangan kerajaan ialah sesuatu tindakan atau kesalahan yang dilakukan di khalayak ramai sehingga mengganggu sensitiviti atau menyentuh isu perundangan atau jenayah.

Katanya jika keadaan itu berlaku barulah kerajaan akan masuk campur.

Katanya pihak berkuasa Islam bukanlah mahu menjadi polis moral tetapi kerana ingin memastikan ruang awam sentiasa terpelihara.

Berfikiran konservatif

Keadaan sama, kata Mujahid, berlaku pada kes-kes yang melibatkan insiden disyaki khalwat.

Menurut anggota parlimen Parit Buntar itu beliau berharap kejadian seperti memecahkan pintu premis bagi menangkap suspek khalwat tidak lagi berlaku pada masa depan.

"Isu penguatkuasaan ke atas kesalahan khalwat disalahgunakan dan dalam sesetengah kes, dieksploitasi.

"Penting untuk mereka (pegawai penguat kuasa) tidak campur tangan dalam ruang individu," katanya.

Mengakui tindakan membuat serbuan sebegitu terletak dalam bidang kuasa jabatan agama Islam negeri, Mujahid menjelaskan, beliau sedang berhubung dengan agensi terbabit untuk meyakinkan mereka supaya mengambil pendirian sama dengan Putrajaya.

Dalam temu bual itu Mujahid juga mengakui beliau berdepan tugas berat untuk mengubah imej kementerian yang diketuainya sekarang.

The Star kemudian memetik kenyataan Mujahid yang berhasrat mengubah pemikiran kakitangan kerajaan yang "berfikiran konservatif" dengan berhasrat mempertahankan Islam mengikut kefahaman mereka saja.

Pada masa sama katanya beliau perlu bertegas dengan prinsip Islam sebagai rahmatan lil alamin(rahmat untuk seluruh alam).

"Naratif kami mengenai Islam akan diterjemah ke dalam dasar-dasar kerajaan, semua kegiatan perundangan Islam dan hubungan dengan agama lain.

"Kecintaan kepada Islam tidak mengancam kepentingan orang ramai atau perpaduan dan keharmonian negara," katanya.

[Baca berita penuh]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-