Wednesday, October 10, 2018

SEMUA PIHAK TERMASUK RAJA PERLU PATUH PERATURAN – TUN M

By watan on October 10, 2018

Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan semua pihak baik pemerintah atau Raja-raja, perlu mematuhi undang-undang kerana ia penting dalam proses pemulihan pemerintahan negara yang sedang dilaksanakan.

Perdana Menteri berkata, ketika mengingatkan tentang keluhuran undang-undang yang merupakan satu daripada Rukun Negara, beliau berkata, ketidakpatuhan terhadap undang-undang boleh menyebabkan huru-hara dan menyukarkan proses pemulihan.

“Setiap satu perbuatan kita perlu mengikut undang-undang dan peraturan.

“Bagi Perdana Menteri atau Raja, menteri atau pegawai pentadbir atau polis, tentera, segala tindakan perlu mengikut peraturan-peraturan. Jika tidak mengikut peraturan, maka akan berlaku huru-hara dalam negara kita.

“Ini amat penting sekali kerana kita sedang cuba memulihkan kerajaan pemerintah di dalam negara ini. Jika tidak berpandukan kepada undang-undang, maka pemulihan negara tidak akan berlaku,” katanya ketika berucap pada perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana di Putrajaya, pada Rabu.

Mahathir berkata, kerajaan memerlukan undang-undang yang luhur dan mulia, serta yang menjunjung keadilan undang-undang yang tidak menekankan atau mengetepikan mana-mana pihak.

Menurut Mahathir, tidak ada mana-mana pihak yang boleh membuat sesuka hati atau apa sahaja kerana berkuasa walaupun di peringkat Raja mahupun pemerintah.

Katanya, bangsa bertamadun menerima undang-undang dan peraturan untuk kelangsungan hidup dan pembangunan bangsa.

“Kita tahu kita adalah satu bangsa bertamadun. Orang yang bertamadun, tidak bergerak tanpa peraturan dan undang-undang. Jika kita tidak iktiraf peraturan atau undang-undang, maka kita tidak boleh mendakwa kita bangsa bertamadun,” katanya.

Mahathir berkata, walaupun Malaysia merupakan negara demokrasi, perkara utama adalah semua pihak perlu mematuhi undang-undang yang melindungi rakyat, Raja dan pemerintahan.

Katanya, hanya undang-undang yang benar-benar melindungi semua pihak perlu diteruskan dan diamalkan.

“Undang-undang perlu adil kepada semua pihak. Kalau kita tahu kadang-kadang ada undang-undang yang menekan atau membuat kepincangan dalam kalangan rakyat, maka ia perlu disemak sama ada adil atau tidak. Kalau tidak adil, maka undang-undang itu perlu dimansuhkan atau diperbetulkan,” katanya.

“Dalam negara kita, banyak pihak berkuasa. Raja sedikit sebanyak berkuasa. Tetapi kuasa itu terhad mengikut undang-undang negara. Walaupun kerajaan diberi kuasa, kuasa bukan boleh digunakan sewenang-wenangnya, dan kuasa itu mesti dilaksanakan mengikut undang-undang negara,” katanya.

Menurut Mahathir, pengasingan kuasa dalam negara dibahagikan kepada tiga iaitu legislatif, eksekutif dan kehakiman yang menjadi keutamaan dalam negara demokrasi, dan tidak ada mana-mana pihak boleh berkuasa tanpa mengambil kira hak kuasa lain.

“Jika benar berlaku sesuatu bertentangan undang-undang, hakim yang menentukan benar atau tidak terhadap perkara yang bertentangan dengan undang-undang. Pihak hakim tidak perlu takut apabila menjalankan tugas secara adil,” katanya.

Menurut Mahathir, pemilihan hakim dan jawatan tertentu juga akan diberikan kepada Parlimen untuk menapis calon-calon sebelum dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Sumber BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-