Showing posts with label Raja-Raja. Show all posts
Showing posts with label Raja-Raja. Show all posts

Sunday, September 8, 2024

Muhyiddin: Perjuangan Bersatu pertahan hak bumiputera, Islam dilabel 3R

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 8, 2024 8:15 PM
Perjuangan Bersatu untuk mempertahankan hak bumiputera dan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan tanpa mengganggu hak etnik dan agama lain dilabelkan sebagai kesalahan 3R (kaum, agama, dan raja), kata Muhyiddin Yassin.

Presiden Bersatu itu berkata ia berlanjutan sehingga mereka dituduh menghasut dan dibawa ke mahkamah.

“Ironinya, kerajaan ini ketika di zaman pembangkang dahulu kuat memperjuangkan hak dan kebebasan rakyat atas nama reformasi. Hari ini mereka menjadi diktator paling rakus.

"Meraka tanpa segan silu menggunakan instrumen undang-undang dan institusi kerajaan untuk menyekat kebebasan bersuara rakyat, khususnya lawan politik mereka," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini, sempena ulang tahun ke-8 Bersatu.

Muhyiddin berkata kerajaan berbuat demikian untuk kepentingan politik dan terus kekal berkuasa dengan naratif politik yang menurutnya "tidak mengiktiraf kedudukan bangsa pribumi sebagai bangsa teras di negara ini".

“Kerana itulah mereka begitu rakus menyekat kebebasan kita untuk menyuarakan hak orang Melayu dan bumiputera serta kedudukan Islam sepertimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas perjuangan parti kita.

"Mereka melakukan perkara ini dengan cara yang paling kotor, paling tidak demokratik dan paling tidak berperlembagaan. Tindakan mencabul hak kebebasan rakyat ini bakal menjerumuskan Malaysia ke gaung negara diktator.

"Namun mereka tidak peduli kerana kebimbangan mereka hanya satu. Selagi mana kita bersuara, selagi itulah perancangan songsang mereka akan terencat,” katanya lagi.

Pada 27 Ogos, Muhyiddin mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas tuduhan menghasut di Mahkamah Sesyen Gua Musang di Kelantan.

Pertuduhan terhadap presiden Bersatu itu dirangka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan berhubung ucapannya di Felda Perasu di Kelantan pada 14 Ogos, menjelang PRK Nenggiri.

Pengarah Lawyers for Liberty Zaid Malek menyelar pertuduhan itu, dan mengingatkan bahawa mempersoalkan atau mengkritik pelaksanaan kuasa perlembagaan oleh Yang di-Pertuan Agong bukanlah tindakan menghasut kerana raja bukanlah pemerintah feudal di negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan.

Dalam kenyataannya hari ini, Muhyiddin berkata walaupun Bersatu baru berusia lapan tahun, rantai perjuangan parti itu mempunyai sejarah yang panjang dan amat penting kepada kelangsungan bangsa dan tanah air di masa hadapan

"Sebagai sebuah parti nasionalis yang inklusif, Bersatu menjulang dan mempertahankan identiti Malaysia sebagai sebuah negara yang berteraskan masyarakat pribumi dan pada masa yang sama menghormati hak-hak yang sah bagi semua kaum.

"Ini adalah asas perpaduan dan keharmonian Malaysia yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial yang dicapai sebelum merdeka lagi.

"Di atas asas inilah kita membina sebuah negara yang aman, harmoni dan makmur. Di atas asas ini jugalah kita mengekalkan kestabilan politik dan memacu kemajuan negara yang rakyatnya berbilang kaum dan agama. Sejak berdekad lamanya, inilah model kejayaan Malaysia.

"Namun, asas ini semakin dicabar secara terang dan halus," katanya.

Sunday, September 3, 2023

DAP mesti tinggalkan ‘Malaysian Malaysia’ jika benar junjung Perlembagaan

ismaweb.net
Siti Hafidah
03/09/2023

Pejuang kemerdekaan dulu tolak asimilasi pilih integrasi kaum bina negara
BANGI, 17 Safar 1445H, Ahad – DAP perlu meninggalkan perjuangan Malaysian Malaysia sekiranya parti itu benar-benar menjunjung Perlembagaan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil berkata, kenyataan pemimpin DAP bahawa mereka menjunjung Perlembagaan namun masih memperjuangkan Malaysian Malaysia suatu perkara yang bercanggah.

Ini kerana katanya, ideologi Malaysian Malaysia adalah tidak selari dengan Perlembagaan Malaysia.

“Perlembagaan Malaysia melindungi hak keistimewaan orang-orang Melayu, agama Islam dan Raja-raja Melayu.

“Sebaliknya dalam Malaysian Malaysia tiada keistimewaan-keistimewaan ini malah ideologi ini menentang keistimewaan-keistimewaan ini, sebagaimana tiada keistimewaan orang-orang Melayu dan tiada Raja-raja Melayu di Singapura,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Isham berkata, pejuang kemerdekaan dahulu menolak asimilasi kaum sebaliknya memilih untuk membina negara dengan integrasi kaum.

Jelasnya, dengan integrasi kaum setiap kaum boleh mengekalkan cara hidup dan adat resam mereka sendiri tanpa diasimilasi dan hidup bersama dengan harmoni.

“Dahulu orang-orang Melayu dan UMNO telah bangkit menentang Malayan Union atau ‘Perpaduan Malaya’ dan kita telah berjaya mencapai kemerdekaan. Kemudian kita telah bangkit menentang asimilasi ‘Malaysian Malaysia’ yang dibawa Parti Tindakan Rakyat (PAP) walaupun itu menyebabkan perpisahan kita dengan Singapura.

“Kita memperjuangkan integrasi kaum, menjunjung Perlembagaan dan menolak asimilasi Malaysian Malaysia,” katanya.

Rentetan itu, beliau menegaskan, rakyat yang ingin hidup secara harmoni dan pada masa sama mengekalkan adat resam, budaya dan cara hidup etnik mereka perlu menolak asimilasi Malaysian Malaysia ini.

“Ini termasuklah DAP jika mereka benar-benar mahu menjunjung Perlembagaan,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menegaskan tiada keperluan untuk partinya menggugurkan slogan ‘Malaysian Malaysia’ seperti didesak sesetengah pihak.

Menurutnya, prinsip itu juga telah dijelaskan dan dipersetujui secara bersama sebelum Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibentuk sebelum ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Wednesday, April 21, 2021

Persoal darurat, Tun M didakwa masih gila kuasa?

ismaweb.net

Memang darurat menyusahkan tapi tidak sampai mahu derhaka kepada Agong


BANGI, 9 Ramadan 1442H, Rabu – “Benarkah majoriti orang Melayu benar-benar marah kepada raja-raja Melayu khususnya kepada Yang di-Pertuan Agong?

“Atau sebenarnya hanya Tun M seorang bersama beberapa kerat daripada kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang gila kuasa sahaja, mahu merampas semula kuasa daripada kerajaan yang dikatakan ‘tebuk atap’?”

Demikian persoalan dilontarkan Ketua Komunikasi dan Multimedia Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Rashidi Haris berhubung Perisytiharan Proklamasi Darurat yang didakwa Tun Dr Mahathir Mohamad sedikit sebanyak telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan orang Melayu.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, orang Melayu mula meluahkan perasaan marah di laman media sosial kerana mendakwa mereka mula menderita akibat pelaksanaan Proklamasi Darurat.

“Orang Melayu biasa tidak akan derhaka kepada raja tetapi sekarang orang Melayu mula berasa marah kepada istana.

“Kita dapat mengikuti (berhubung perkara ini) di media sosial. Ini sangat luar biasa untuk orang Melayu, untuk menentang pemerintah kita,” katanya.

Berikutan itu, Haji Rashidi menyifatkan dakwaan Dr Mahathir yang seolah-olah mahu menyalahkan orang Melayu sebagai aneh.

“Memang darurat ini menyusahkan tetapi tidaklah sampai mahu menderhaka kepada YDPA.

“Kerana rakyat tahu tindakan sewajarnya dilakukan saat pandemik COVID-19 ini sedang menular dalam negara ialah ketegasan mematuhi SOP mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan kepada Ismaweb.net, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Haji Rashidi yang juga Ketua Aktivis Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) meminta rakyat peka dan tidak cepat melatah dengan provokasi Dr Mahathir yang bijak membuat persepsi pelbagai dan memanipulasi suasana politik.

“Pihak Istana pula perlu memberikan perhatian sewajarnya terhadap konflik politik negara hari ini, jangan diabaikan kerana ia sedikit sebanyak boleh memberi kesan terhadap institusi raja-raja Melayu ini,” sarannya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Tuesday, January 5, 2021

Parti politik kerajaan hilang arah, sudah seperti normalisasi negara Arab-Israel?

ismaweb.net

Mereka lupa Perlembagaan yang daulatkan Melayu, Islam, Raja-Raja


BANGI, 21 Jamadilawal 1442H, Selasa – Kemelut politik yang tidak berkesudahan menjadi bukti jelas parti-parti Melayu dan Islam pada hari ini sudah hilang arah.

Lebih mendukacitakan apabila parti-parti politik dalam kerajaan sekarang seolah-olah mengorak langkah sama seperti normalisasi negara Arab dengan Israel yang menjadi buah mulut sejak akhir-akhir ini.

Perkara itu dapat dilihat apabila ada yang mula membuat perbincangan dengan parti pembangkang yang cauvinis dan sekular, menyepi dari tuntutan-tuntutan yang begitu mereka lantang sebelum berkuasa.

Atas kononnya kepentingan negara dan perpaduan kaum, mereka mula meratib konsep yang dibawa oleh pembangkang demi kuasa.

Bukan sahaja lupa tugas mereka sebagai khalifah, Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Datuk Dr Ir Badrulhisham Abdul Aziz berkata, mereka juga lupa Perlembagaan negara yang dengan terang dan jelas mendaulatkan Melayu, Islam dan Raja-Raja.

“Bukan sahaja perjuangan membela rakyat sudah tidak ada dalam kamus mereka, malah perjuangan menegakkan sebuah negara Islam yang mendapat keredaan Allah tiada lagi dalam perancangan dan agenda mereka.

“Musuh-musuh Islam sedang bersenang lenang dan bertepuk tangan melihat kejayaan perancangan mereka dalam melemahkan perjuangan dan juga melihat kepada perpecahan di kalangan mereka disebabkan ego dan perebutan kuasa di antara mereka,” katanya dalam kenyataan.

Atas dasar itu, beliau meminta rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu Islam istiqamah dalam perjuangan untuk menegakkan kalimah Allah dan usaha mengukuhkan perpaduan dan persaudaraan.

“Kita kena bangun untuk mengeluarkan umat dari kemelut hari ini dan membina satu kekuatan politik, ekonomi, sains teknologi dan sosial demi survival umat pada masa akan datang.

“Jangan beri peluang lagi kepada parti-parti yang hanya memikirkan kuasa semata-mata, yang berusaha melepaskan diri dari sistem keadilan; membawa agenda asing; baik mereka yang memerintah selama 60 tahun atau mereka yang berkuasa selama 22 bulan.

“Itu kerana mereka bukanlah pilihan terbaik untuk rakyat Malaysia dalam menerajui kepimpinan negara tercinta ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Monday, April 29, 2019

Hina Raja-Raja: Apakah AG akan dakwa diri sendiri, soal Umno

News | Diterbitkan Hari ini 7:01 malam 


Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki mengalu-alukan kesedian pihak polis untuk menyiasat sebuah forum membibcangkan Statut Rom di Universiti Malaya (UM) baru-baru ini yang didakwa bukan sahaja menghasut tetapi menghina institusi Raja-Raja.

Walau bagaimanapun, Asyraf Wajdi memmbangkitkan persoalan siapakah yang akan membuat pendakwaan terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas selepas polis selesai menjalankan siasatannya.

"Persoalannya apa akan berlaku selepas kertas siasatan di peringkat PDRM selesai dan diangkat ke Pejabat Peguam Negara?

“Apakah Peguam Negara akan mendakwa dirinya sendiri? soal Ayraf dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, katanya adalah lebih beretika jika Tommy meletakkan jawatan selaku peguam negara sebelum dipecat oleh Yang di-Pertuan Agong.
"Bagi Pemuda Umno, Tommy Thomas sudah tidak layak memegang jawatan peguam negara kerana beliau boleh dianggap bersubahat bahkan langsung tidak mempertahankan Raja-raja Melayu tatkala panelis forum menyalah gunakan kebebasan bersuara yang mereka miliki untuk menukar forum awam ini menjadi satu medan terbuka bagi membangkitkan kebencian dan penghinaan terhadap Raja-raja Melayu di hadapan peguam negara tersebut,” katanya.

Hari ini, Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya akan memanggil beberapa individu yang dikaitkan dengan forum itu termasuk penganjur untuk memberi keterangan.

Katanya siasatan setakat ini dilakukan di bawah Akta Hasutan dan pihaknya akan melihat sekiranya terdapat undang-undang berkaitan yang boleh digunakan bagi membantu siasatan.

Selain Tommy, antara yang hadir pada forum yang diadakan di Universiti Malaya itu adalah Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR Syed Husin Ali, penyelaras koordinator G25 Noor Farida Ariffin, pakar perlembagaan Shad Saleem Faruqi dan peguam Lim Wei Jiet.
Mengulas lanjut, Asyraf juga menyenaraikan tiga kebencian dan penghinaan utama terhadap Raja-Raja yang dikatakan berlaku dalam forum itu.

Pertama, katanya, mendakwa Raja-Raja merasa terancam dan tidak memberi perkenan kepada ratifikasi Statut Rom kerana mahu melindungi diri mereka daripada jenayah kemanusiaan yang mereka lakukan.

Kedua, mendakwa Raja-Raja dari Johor ke Perlis bukan keturunan Raja sebenarnya tetapi adalah keturunan daripada orang yang diletakkan sebagai Raja oleh British. Ketiga, mendakwa Raja-Raja menentang, menceroboh dan melanggar perlembagaan negara, termasuk dianggap sebagai antara perompak kekayaan negara.

Wednesday, January 2, 2019

Undang-undang terpakai pada semua: Raja, menteri, rakyat biasa - PM

Diterbitkan Hari ini 10:32 malam 


Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menegaskan tiada peruntukan yang mengecualikan sesiapapun daripada kedaulatan undang-undang.

Perdana menteri berkata kedaulatan undang-undang terpakai kepada semua orang, daripada Raja-raja sehinggalah kepada perdana menteri dan menteri-menteri, kepada penjawat awam serta rakyat biasa.

“Bagi Raja-raja terdapat mahkamah khas tetapi undang-undangnya adalah sama seperti undang-undang yang terpakai bagi rakyat biasa. Raja-raja juga mesti menghormati undang-undang.

“Kita telah bersetuju bahawa Malaysia menerima demokrasi, iaitu pemerintahan oleh rakyat dan untuk rakyat. Ini dicapai melalui persetujuan bersama, dalam bentuk demokrasi berparlimen dengan raja berperlembagaan di peringkat negeri dan persekutuan.

“Ke arah ini, perlembagaan dan undang-undang di peringkat yang berlainan telah disebarluaskan. Malangnya beberapa perlanggaran undang-undang telah dilakukan tanpa tindakan diambil oleh agensi penguatkuasaan undang-undang.

"Dalam kata lain, kedaulatan undang-undang telah tidak diendahkan,” katanya dalam catatan terkini blog chedet.cc malam ini.

Tak adil, rakyat merana

Dr Mahathir menyatakan kebimbangannya apabila melihat pelanggaran undang-undang dilakukan secara terang-terangan atas kepercayaan salah bahawa kekebalan telah diberikan.

"Hasilnya boleh diramalkan dan rakyat merana akibat ketidakadilan. Perniagaan tidak boleh dijalankan dengan baik. Harta benda dirampas. Tindakan luar biasa dan salah telah dilakukan," katanya.

Dr Mahathir berkata aduan awam terhadap mereka yang mencabuli kedaulatan undang-undang adalah sah dan tidak melanggar mana-mana perundangan, malah tidak boleh dianggap sebagai hasutan.

"Mereka akan dianggap sebagai kebebasan berucap. Rakyat boleh membuat laporan terhadap perkara ini atau secara terang-terangan bercakap mengenainya," katanya.

Dr Mahathir juga menegaskan bahawa undang-undang asas Malaysia ialah perlembagaan dan ia merupakan badan undang-undang menyeluruh yang menentukan struktur undang-undang Malaysia daripada Yang di-Pertuan Agong hingga kepada Raja-raja Negeri, kepada kerajaan persekutuan dan negeri serta badan-badan yang diberi kuasa untuk memerintah dan menguatkuasakan.

Najib tak endah undang-undang

Beliau berkata semua undang-undang lain diperoleh daripada perlembagaan dan tiada undang-undang yang dalam apa jua cara sekali pun menafikan perlembagaan mungkin diisytiharkan.

Perdana menteri berkata antara matlamat paling penting Pakatan Harapan ketika dalam perjuangaannya untuk menggulingkan kerajaan kleptokratik Najib Razak adalah memulihkan semula kedaulatan undang-undang.

“Najib tidak mengendahkan undang-undang apabila ia sesuai dengan dirinya. Malah undang-undang telah disalahgunakan untuk menindas rakyat.

"Daripada melindung rakyat, undang-undang telah mendedahkan rakyat kepada ketakutan yang tidak diketahui tetapi nyata,” katanya.

Dr Mahathir turut menegaskan kerajaan Pakatan Harapan akan menjunjung undang-undang dan hak rakyat serta menegakkan kedaulatan undang-undang.

- Bernama

Wednesday, October 10, 2018

SEMUA PIHAK TERMASUK RAJA PERLU PATUH PERATURAN – TUN M

By watan on October 10, 2018

Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan semua pihak baik pemerintah atau Raja-raja, perlu mematuhi undang-undang kerana ia penting dalam proses pemulihan pemerintahan negara yang sedang dilaksanakan.

Perdana Menteri berkata, ketika mengingatkan tentang keluhuran undang-undang yang merupakan satu daripada Rukun Negara, beliau berkata, ketidakpatuhan terhadap undang-undang boleh menyebabkan huru-hara dan menyukarkan proses pemulihan.

“Setiap satu perbuatan kita perlu mengikut undang-undang dan peraturan.

“Bagi Perdana Menteri atau Raja, menteri atau pegawai pentadbir atau polis, tentera, segala tindakan perlu mengikut peraturan-peraturan. Jika tidak mengikut peraturan, maka akan berlaku huru-hara dalam negara kita.

“Ini amat penting sekali kerana kita sedang cuba memulihkan kerajaan pemerintah di dalam negara ini. Jika tidak berpandukan kepada undang-undang, maka pemulihan negara tidak akan berlaku,” katanya ketika berucap pada perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana di Putrajaya, pada Rabu.

Mahathir berkata, kerajaan memerlukan undang-undang yang luhur dan mulia, serta yang menjunjung keadilan undang-undang yang tidak menekankan atau mengetepikan mana-mana pihak.

Menurut Mahathir, tidak ada mana-mana pihak yang boleh membuat sesuka hati atau apa sahaja kerana berkuasa walaupun di peringkat Raja mahupun pemerintah.

Katanya, bangsa bertamadun menerima undang-undang dan peraturan untuk kelangsungan hidup dan pembangunan bangsa.

“Kita tahu kita adalah satu bangsa bertamadun. Orang yang bertamadun, tidak bergerak tanpa peraturan dan undang-undang. Jika kita tidak iktiraf peraturan atau undang-undang, maka kita tidak boleh mendakwa kita bangsa bertamadun,” katanya.

Mahathir berkata, walaupun Malaysia merupakan negara demokrasi, perkara utama adalah semua pihak perlu mematuhi undang-undang yang melindungi rakyat, Raja dan pemerintahan.

Katanya, hanya undang-undang yang benar-benar melindungi semua pihak perlu diteruskan dan diamalkan.

“Undang-undang perlu adil kepada semua pihak. Kalau kita tahu kadang-kadang ada undang-undang yang menekan atau membuat kepincangan dalam kalangan rakyat, maka ia perlu disemak sama ada adil atau tidak. Kalau tidak adil, maka undang-undang itu perlu dimansuhkan atau diperbetulkan,” katanya.

“Dalam negara kita, banyak pihak berkuasa. Raja sedikit sebanyak berkuasa. Tetapi kuasa itu terhad mengikut undang-undang negara. Walaupun kerajaan diberi kuasa, kuasa bukan boleh digunakan sewenang-wenangnya, dan kuasa itu mesti dilaksanakan mengikut undang-undang negara,” katanya.

Menurut Mahathir, pengasingan kuasa dalam negara dibahagikan kepada tiga iaitu legislatif, eksekutif dan kehakiman yang menjadi keutamaan dalam negara demokrasi, dan tidak ada mana-mana pihak boleh berkuasa tanpa mengambil kira hak kuasa lain.

“Jika benar berlaku sesuatu bertentangan undang-undang, hakim yang menentukan benar atau tidak terhadap perkara yang bertentangan dengan undang-undang. Pihak hakim tidak perlu takut apabila menjalankan tugas secara adil,” katanya.

Menurut Mahathir, pemilihan hakim dan jawatan tertentu juga akan diberikan kepada Parlimen untuk menapis calon-calon sebelum dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Sumber BERNAMA

Tuesday, November 25, 2014

Pegang kuasa sejak Merdeka, bagaimana Melayu dan Islam boleh terancam?


KUALA LUMPUR, 25 NOV: Tak masuk akal mengatakan orang Melayu dan agama Islam di Malaysia diancam, selepas 57 tahun negara dikuasai Umno yang kononnya mempertahankan Melayu, kata Sasterawan Negara Datuk A Samad Said.

Beliau berkata, sejak merdeka, pemerintahan tertinggi serta jawatan penting dalam pentadbiran negara dikuasai ‘bangsawan’ Melayu dari Umno

“Kata-kata bahawa orang Melayu dan Islam kini sedang terancam sukar masuk otak saya.

“Sejak merdeka, Perdana Menteri semuanya Melayu, Timbalan Perdana Menteri semuanya Melayu, Menteri Dalam Negeri semuanya Melayu, malah Menteri Besar kebanyakannya Melayu.

“Ini tidak termasuk Raja-raja Melayu, tentera dan polis yang majoritinya orang Melayu,” katanya yang lebih dikenali ramai dengan nama ‘Pak Samad’ dalam forum ‘Adakah Melayu dan Islam diancam?’ anjuran Roketkini 24 November lalu.

Justeru itu, tiada alasan untuk mana-mana pihak mengeluarkan dakwaan sedemikian melainkan untuk mendapatkan sokongan politik semata-mata.

Beliau menyangkal dakwaan antaranya ahli Majlis Tertinggi Umno Tan Sri Ibrahim Abu Shah yang berkata masa depan Melayu ‘gelap dan malang’ jika Umno tidak lagi memerintah negara.

Manakala Presiden Ikatan Muslim Malaysia Abdullah Zaik menyifatkan rasa terancam orang Melayu adalah perkara sihat.

Jika dakwaan tersebut benar kata Pak Samad, pihak yang harus memikul tanggungjawab adalah golongan ‘bangsawan’ Melayu yang gagal memainkan peranan.

“Apakah mereka yang ramai di puncak (kuasa) ini begitu ‘lembik’, hingga menyebabkan orang Melayu terancam?” soal Pak Samad. – Roketkini.com

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-