Wednesday, October 31, 2018

Subsidi: Setiap hari kerajaan hina rakyat, kata Najib

FMT Reporters
-October 31, 2018 10:24 PM


PETALING JAYA: Bekas perdana menteri hari ini membidas kerajaan kerana berterusan menghina rakyat, kali ini kerana subsidi.

Datuk Seri Najib Razak tidak berpuas hati dengan kenyataan yang membayangkan subsidi akan dihentikan kerana ia menyebabkan rakyat tak mampu berfikir dan tidak boleh berdikari.

“Kerajaan Barisan Nasional tak pernah kata pemberian bantuan atau subsidi untuk menggantikan gaji atau pendapatan.

“Kita buat sebagai ‘social safety net’ untuk bantu mereka lengkapkan apa yang mungkin kurang daripada pendapatan harian. Inikah yang dimaksudkan subsidi buat rakyat tak mampu berfikir?

“Seorang penerima bantuan mesin jahit boleh meniaga dari rumah, tak perlu kerja malam, dia cukup gembira. Inikah yang dimaksudkan subsidi buat rakyat tak mampu berdikari?

“Setiap hari rakyat dihina. Apa sebenarnya kerajaan hari ini buat untuk negara, untuk rakyat?” katanya di Facebook.

Beliau seterusnya mengingatkan kerajaan bahawa ketika ini harga barangan makin naik, ekonomi makin teruk, ringgit makin jatuh dan pendapatan negara berkurangan apabila GST digantikan dengan SST.

Perdana menteri hari ini dilapor berkata subsidi hanya membuatkan seseorang tidak mampu berfikir dan tidak boleh berdikari.

Utusan Online memetik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai berkata kerajaan kini tidak lagi seperti kerajaan terdahulu yang selalu memberi subsidi kepada kebanyakan rakyat.

“Lihat saja kerajaan terdahulu, mereka memberi wang kepada golongan miskin dan golongan itu tidak perlu bekerja. Walaupun tidak bekerja, tetap mendapat RM500 (Bantuan Rakyat 1Malaysia).

“Jika Malaysia terus menjadi sedemikian, tidak lama lagi, semua orang tidak akan mampu berfikir, tidak boleh bergerak dan tidak boleh melakukan kerja dengan sendiri kerana terlalu bergantung kepada subsidi,” katanya kepada pemberita di Menara MITI hari.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-