Monday, October 15, 2018

Tidak mudah Anwar jadi PM mudah



Selepas tiga tahun, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhir­nya kembali semula ke Parlimen.

Jika sebelum ini beliau berperanan sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, ‘kepula­ngan’ Presiden PKR itu kali ini pula dengan harapan besar melunaskan cita-cita tertangguh untuk menjadi Perdana Menteri.

Kemenangan bergaya di Parlimen Port Dickson sudah tentu meletakkan Anwar di landasan yang betul untuk merealisasikan hasratnya itu.

Namun, banyak pihak berpandangan bukan mudah untuk Anwar menggapai cita-cita tersebut kerana pelbagai ranjau dan cabaran dijangka ditempuhi.

Ramai skeptikal de­ngan peralihan kuasa yang diuar-uar bakal berlaku sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun ini, lebih-lebih lagi mengambil kira individu yang berjanji memberikan jawatan itu kepada Anwar pernah memecat beliau daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri kira-kira 20 tahun lalu.

Selain itu, Anwar, sebagaimana pemain politik lain, bukan hanya mempunyai musuh daripada luar, tetapi dalam parti dan pentadbiran kerajaan sendiri.

Tidak boleh dinafikan wujud ‘duri dalam daging’ yang tidak senang dengan kemenangan Anwar di Port Dickson terutama ‘jaminan’ yang diberikan untuk mengambil alih jawatan nombor satu negara.

Dalam erti kata lain, Anwar mungkin menang dengan majoriti besar di Port Dickson, namun itu tidak menjamin beliau akan mendapat laluan mudah menjadi Perdana Menteri.

Pandangan itu diakui oleh penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi yang percaya Anwar terdedah dengan pelbagai bentuk sabo­taj dalam tempoh dua tahun ini, khususnya dalam Pakatan Harapan (PH) sendiri.

Asasnya, kata Awang Azman ialah kerana yang berada di tampuk kekuasaan ketika ini sedar, jika Anwar naik sebagai Perdana Menteri, beliau sudah tentu akan membawa bersama barisan kepemimpinan ba­haru, sesuai dengan ideologi pentadbirannya.

“Ini lazim berlaku dalam mana-mana situasi politik. Justeru, sukar untuk mengatakan Anwar sudah pasti menjadi Perdana Menteri kerana beliau tentunya akan berhadapan dengan pelbagai ‘sera­ngan’ dalam tempoh dua tahun ini daripada luar dan dalam PH,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Utusan

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-