Sunday, November 4, 2018

'Apa kualiti pemimpin jika pemilihan dicemari pergaduhan?'

Diterbitkan 4 Nov 2018, 10:16 pagi


Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini menyatakan kebimbangan berhubung kualiti pemimpin yang dipilih dalam pemilihan parti politik yang dicemari insiden pergaduhan.

Dalam kenyataan di Facebook, Mohd Asri dipercayai merujuk insiden pergaduhan yang berlaku dalam pemilihan PKR Keningau di Sabah, semalam.

"Melihat rakaman pergaduhan sebuah parti politik dalam pemilihan pemimpin mereka amat merisaukan.

"Biasanya, aksi dan cara sebegitu hanya kita lihat dalam masyarakat yang rendah peradaban dan tamadunnya.

"Malangnya, dalam Negara Malaysia yang terkenal dengan kesantunan terjadi hal seperti itu.

"Ternyata, kuasa telah menjadikan manusia hilang nilai dan akal yang waras. Apakah kualiti pemimpin yang hendak mereka pilih jika demikian keadaannya?" soalnya.

Semalam, calon timbalan presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa diserang di pusat pengundian cabang PKR Keningau.

Bernama melaporkan bahawa kumpulan penyokong calon tertentu tidak berpuas hati apabila proses pengundian di Balai Raya Kampung Marampong itu ditutup walaupun masih ramai anggota parti yang belum mengundi.

Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) tiba untuk meleraikan kekecohan tersebut.

Pemilihan PKR yang bertumpu pada saingan antara penyokong Rafizi dan penyandang jawatan timbalan presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut dicemari beberapa insiden pergaduhan lain sebelum ini termasuk di Selangor dan Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-