Showing posts with label Mufti Perlis. Show all posts
Showing posts with label Mufti Perlis. Show all posts

Thursday, February 6, 2025

'Saya sedia kembali bertempur dengan Ahli Parlimen DAP' - Dr Asri

bharian.com.my
Oleh Aizat Sharif 
bhnews@bh.com.my
- Februari 6, 2025 @ 1:18pm
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin

KANGAR: Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin sedia kembali 'bertempur' menentang Ahli Parlimen DAP yang dilihatnya begitu lantang termasuk dalam Parlimen, apabila mempersoalkan program keagamaan yang dianjurkan beliau di Perlis baru-baru ini.

Ini susulan penganjuran Konvensyen Sunnah Antarabangsa Perlis (PISC) 2025 pada 24 hingga 27 Januari lalu yang menampilkan 18 penceramah antarabangsa terkenal termasuk pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik.

Tanpa menyatakan identiti Ahli Parlimen berkenaan, Mohd Asri menerusi hantaran di Facebook, menyatakan beliau melihat ada Ahli Parlimen DAP berhasrat kembali 'bertempur' dengan dirinya serta Perlis seperti mana kepimpinan terdahulu parti itu pernah lakukan kepadanya.

"Saya melihat program saya di Perlis dipersoalkan dalam media. Saya rasa MP DAP itu berhasrat untuk kembali 'bertempur' dengan saya dan Perlis seperti mana 'gemulah politik' Ramasamy dan beberapa rakannya dahulu pernah lakukan.

"Namun, jika MP DAP itu ingin sangat menjual, saya, Insya Allah saya akan membeli seperti yang pernah saya beli ketika 'gemulah politik DAP' yang lepas menjualnya," katanya.

Katanya, meskipun berlaku beberapa hal termasuk membabitkan DAP mutakhir ini, beliau mengambil pendekatan berdiam diri demi menghormati Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kestabilan negara.

"Beberapa hal termasuk membabitkan DAP, saya diam pada masa ini kerana menghormati Perdana Menteri sekarang dan kestabilan negara.

"Demikian juga saya ada beberapa kawan dalam kepimpinan DAP yang saya rasa menghormati sensitiviti rakyat negara ini," katanya.

Namun beliau melihat tindakan Ahli Parlimen DAP itu yang menjadi-jadi dalam mempersoalkan program beliau serta kehadiran Dr Zakir Naik menyebabkan beliau perlu bersuara dan sedia 'membeli' apa jua persoalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen itu.

Semalam, seorang Ahli Parlimen dari DAP mempersoalkan tindakan polis terhadap kehadiran Dr Zakir Naik yang sebelum ini dikatakan dilarang berceramah di negara ini.

Malah, Ahli Parlimen itu turut mempersoalkan polis berhubung tindakan Dr Zakir yang dibenarkan membuat ceramah di Kangar pada 2 Februari lalu.

Friday, March 20, 2020

Mufti Perlis: Ingkar perintah kawalan pergerakan berdosa


Ketika kerajaan merayu supaya rakyat Malaysia berada di rumah sebagai langkah mematuhi perintah kawalan pergerakan bagi membendung penularan Covid-19, Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini menyifatkan mereka yang enggan mematuhi arahan tersebut sebagai melakukan dosa.

Menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini, Asri berkata ini kerana dalam agama Islam sendiri turut menyatakan mengenai kepentingan memelihara nyawa sendiri serta orang lain.

“Orang-orang yang degil enggan mematuhi arahan kerajaan untuk berada di kediaman masing-masing sebenarnya melakukan dosa.

“Mereka melanggar arahan pemerintah yang bertujuan untuk keselamatan mereka.

“Allah dan rasulnya menyuruh kita mentaati pemerintah dalam perkara yang tidak maksiat atau dosa.

“Inikan pula dalam perkara yang memang disuruh oleh agama untuk kita lakukan iaitu menjaga nyawa sendiri dan nyawa orang lain. Perbuatan ingkar tersebut berdosa di sisi Allah,” katanya.

Hari ini merupakan hari ketiga pelaksanaan perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan sehingga 31 Mac bagi membendung penularan Covid-19.

Malaysia setakat ini mencatatkan 900 kes Covid-19 dan dua kematian.

Sunday, March 8, 2020

Mufti: PM jamin menteri baharu lepas tapisan SPRM, tidak guna sijil palsu

OLEH MUHAMMAD YUSUF IBRAHIM
Ahad, 08 Mac 2020 06:58 PM MYT

Datuk Mohd Asri Zainul Abidin bergambar bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin. 
Foto ihsan Facebook/DrMaza

KUALA LUMPUR, 8 Mac — Mufti Perlis memaklumkan kunjungannya ke rumah Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam atas jemputan Perdana Menteri.

Dalam pertemuan itu, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin diberitahu tentang senarai anggota menteri Kabinet yang melepasi tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain itu Asri turut diberitahu bahawa mereka yang menganggotai kabinet beliau tidak membuat dakwaan palsu tentang sijil akademik.

“Setiap orang hendaklah menyatakan sijil pendidikan sebenar yang dia perolehi.

“Saya memberitahu beliau, saya percaya jika anggota Kabinet terdiri daripada kalangan mereka yang bersih daripada korupsi dan berkualiti, Insya Allah itu adalah hujah yang kuat untuk beliau,” tulis Asri di Instagram hari ini.

Asri turut menyeru Muhyiddin agar bertawakal kepada Allah dan sentiasa memohon petunjuk kepada-Nya.

Justeru, Asri menyatakan sokongan kepada kerajaan yang baik demi kepentingan agama dan negara.

“Rakyat inginkan kerajaan yang dianggotai oleh mereka yang jujur, cekap, tidak memusuhi perkara-perkara asas dalam negara terutama Islam dan tidak membuat kenyataan-kenyataan yang memperbodohkan rakyat.

“Rakyat memerlukan kehidupan yang aman, ekonomi yang baik dan persekitaran yang selesa untuk meneruskan kehidupan.”

Tambah Asri, beliau dan rakyat akan terus menyokong selagi kerajaan tidak lari daripada landasan.

“Saya bersama-sama rakyat marhaen yang lain, bersedia menyokong, mendokong dan membantu. Juga saya bersedia untuk mengkritik kerajaan jika hal sebaliknya berlaku,” kata Asri.

Sejam dimuat naik, hantaran Asri bergambar dengan Muhyiddin di meja makan dengan hidangan manggis mendapat 4,142 tanda suka di kalangan pengikut Instagram.

Reaksi pelbagai diberikan pengikutnya, ada yang menyokong dan juga menggesa agar mufti berkenaan mengingatkan tentang janji yang perlu ditunaikan.

Monday, December 30, 2019

‘Kebiadaban takkan padam selagi wujud sekolah Cina’

BERITA

Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin berkata pergeseran dan kebiadaban antara kaum akan berterusan selagi wujudnya “sekolah vernakular yang tidak berbahasa kebangsaan” di negara ini.

Meskipun tidak merujuk kepada mana-mana pihak, tetapi kenyataannya itu dibuat di tengah-tengah isu pembelajaran tulisan Jawi di sekolah Cina dan Tamil yang hangat diperkatakan sehingga membawa kepada bantahan pelbagai pihak.

“Kita melihat kemelut kebiadaban yang tidak putus-putus.

"Selagi sekolah vernakular yang tidak berbahasa kebangsaan tidak dihapuskan dalam negara ini, selagi itulah kemelut pergeseran dan kebiadapan antara kaum tidak akan berhenti.

“Hendaklah kita semua bersatu dan melupakan perbezaan antara kita dalam mengembalikan kekuatan negara dengan kuasa politik yang menjanjikan ketegasan dalam menghadapi kebiadapan ini,” katanya dalam hantaran beliau di Facebook malam semalam.

Kenyataannya itu dibuat selepas berlangsungnya Kongres Kebangsaan Jawi yang dianjurkan oleh Gabungan Seni Khat Action Team (Sekat), petang semalam.

Kongres itu antaranya menggesa agar pelaksanaan tulisan itu dijadikan sebagai pilihan dan bukannya dimasukkan ke dalam Sukatan Pelajaran Tahun 4 Bahasa Malaysia.

Jumaat lalu, polis mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang kongres yang dianjurkan oleh Dong Jiao Zong yang sepatutnya diadakan pada 28 Disember.

Kongres yang sepatutnya dijadualkan berlangsung di Kolej New Era, Kajang itu bertujuan bagi membincangkan pembelajaran Jawi di sekolah vernakular.

Mohd Asri sebelum ini mahu masyarakat di negara ini digembleng untuk menggempur kumpulan pelampau yang menentang pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks bahasa Melayu di sekolah Cina dan Tamil.

Pada 17 Ogos, beliau juga mengajak semua rakyat Malaysia menandatangani petisyen atas talian yang dilancarkan oleh pemuda Bersatu, untuk mengharamkan pertubuhan Dong Zong, yang disifatkannya sebagai pertubuhan yang rasis.

Monday, April 29, 2019

Mufti Perlis persoal penahanan anak murid Zakir Naik

Yasmin Ramlan 
Diterbitkan Hari ini 8:37 malam


Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin mempersoalkan penahanan polis terhadap anak murid kepada pendakwah kontroversi Zakir Naik, iaitu Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu.

Mohd Asri mempertikaikan mengapa ceramah disampaikan Zamri di masjid yang menceritakan pengalaman peribadinya memilih agama Islam menjadi sebab penahanan itu.

“Apakah fakta beliau palsu? Apakah beliau menghina atau sekadar kisah dirinya sendiri? Apakah beliau bertujuan untuk menimbulkan ketegangan seperti kenyataan pemimpin-pemimpin yang telah menyebabkan peristiwa tragedi antara kuil dan pihak bomba?

“Tidak pula mereka itu ditangkap? Bagaimana dengan ucapan pemimpin-pemimpin politik dari agama lain yang sering menimbulkan permusuhan dengan masyarakat Islam?” soalnya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau turut berkongsikan pandangan pendakwah bebas, Firdaus Wong yang memuat naik status berhubung penahanan itu.

Terdahulu, Zamri yang juga pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berpengkalan di Perlis ditahan polis awal pagi semalam atas tuduhan menyebabkan suasana tidak harmoni berkaitan agama.
Menurut Ketua Polis Perlis Datuk Noor Mushar Mohamad, pendakwah berumur 34 tahun itu didakwa memuat naik kenyataan dalam akaun Facebooknya menghina agama lain, yang dibimbangi menyebabkan ketegangan antara kaum.

Tangkapan terhadap Zamri itu dibuat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.

'Islam tak selamat di bawah pentadbiran hari ini'

Dalam hantarannya, Mohd Asri turut membandingkan tindakan pihak berkuasa hanya memanggil untuk memberikan keterangan terhadap ramai pihak yang menghina nabi Muhammad dan mempersendakan ajaran Islam.

Jelasnya, beliau sama sekali tidak menuding jari kepada pihak polis, tetapi menyifatkan keadaan ini berlaku berikutan realiti politik yang membiarkan umat Islam dibuli.

“Suara-suara mempertahankan Islam sukar kedengaran dalam kalangan yang memimpin pentadbiran hari ini, melainkan jumlah kecil.

“Apakah ini satu keadilan? Realiti ini menjadikan rakyat makin akur bahawa Islam berada dalam keadaan yang tidak begitu selamat di bawah pentadbiran hari ini,” katanya.

Terdahulu hari ini, beliau turut memuatnaik hantaran yang berpendapat bahawa ramai pihak merasakan Islam semakin terancam di bawah pentadbiran sedia ada.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa yang diminta mengulas mengenai kenyataan Mohd Asri itu berkata, beliau belum melihat tulisan mufti berkenaan dan enggan mengulasnya.

“Saya hanya menganggap apa yang orang komen itu, kalau ia suatu perkara yang boleh membantu kita menjadi lebih baik, saya terima sebagai komen positif.

“Tapi saya juga tak boleh halang orang daripada memberi pandangan kepada Islam. Sebab itu dasar rahmatan itu sangat penting,” katanya.

Tuesday, December 18, 2018

Pembunuh Adib Wajar Dihukum Bunuh, Harga Nyawa Jangan Dipandang Ringan, Kata Mufti Perlis

SUARA TV
Suara Tanpa Sempadan
Nur Effy December 18, 2018

SHAH ALAM – Kematian Muhammad Adib Mohd Kassim perlu diadili dengan mengheret para pelakunya ke muka pengadilan, demikian pandangan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Mohd Asri berkata, harga sebuah nyawa tidak boleh dipandang ringan, justeru pembunuh anggota bomba itu mesti dihukum bunuh melainkan jika keluarga mangsa memaafkan.

“Dia telah terkorban semasa bertugas demi negara hasil dari perbuatan kumpulan pengganas.

“Pihak berkuasa hendaklah segera membawa kumpulan pengganas tersebut ke pengadilan dan menerima hukuman yang wajar. Harga nyawa tidak boleh dipandang ringan.

“Pembunuh mesti dihukum bunuh melainkan jika keluarga mangsa memaafkan. Jika tidak, rosaklah keseimbangan keadilan dalam hidup ini”, katanya dalam satu catatan di Facebook.
Mohd Asri turut memetik firman Allah dalam Surah Al-Baqarah (ayat 179) yang menghuraikan mengenai hukum bagi perbuatan bunuh menerusi hukum Qisas.

“Jika pembunuh beliau tidak diheret ke muka pengadilan, maka tiada apa lagi yang puak pengganas dan pelampau itu akan akur terhadap undang-undang dalam negara ini,” katanya.

Allahyarham Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.41 malam tadi, selepas 21 bertarung nyawa akibat dipukul perusuh dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, 27 November lalu. 

-SuaraTv

Sunday, December 2, 2018

Biarlah Himpunan Untuk Suarakan Kepentingan Umat Islam, Di Kala Tokoh Islam Kerajaan Kurang Bersuara – Dr MAZA

SUARA TV
Suara Tanpa Sempadan
Nur Effy
December 2, 2018

 
SHAH ALAM –  Himpunan untuk membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) mungkin sudah tidak relevan selepas perdana menteri menegaskan kerajaan tidak akan meratifikasikannya.

Namun, menurut Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, penganjuran himpunan untuk penegasan isu-isu semasa lain yang membabitkan kepentingan umat Islam adalah relevan dalam suasana umat Islam memerlukan suara siasah yang jelas pada saat ini.

Kata Mohd Asri, ini kerana umat Islam pada masa kini sangat gusar dengan perkembangan mutakhir ini.

“Realitinya, umat Islam hari ini gusar dengan perkembangan mutakhir. Berilah ruang untuk mereka menzahirkan keresahan itu dalam suasana yang aman.

“Pihak lain kelihatan lantang suara mereka menuntut pelbagai hak. Itu pun hak mereka untuk bersuara. Sementara kebanyakan tokoh politik umat Islam dalam kerajaan hanya diam, ataupun kurang bersuara.

“Apatah lagi ada yang begitu apologetik dengan Islam.

“Maka, biarlah jika ada pihak yang mampu dan ingin bersuara bagi menzahirkan rasa hati mereka sebagai penduduk asal dan majoriti dalam negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Mohd Asri, ramai tokoh politik dalam kerajaan hari ini pernah memperjuangkan perhimpunan aman sebelum menjadi pemerintah, maka perkara berkenaan bukanlah sesuatu yang janggal untuk pihak lain pula untuk berhimpun secara aman dengan syarat mereka mengikut lunas undang-undang.

“Apatah lagi jika rekod pihak berkenaan sebelum ini terbukti tidak bertindak ganas dalam perhimpunan-perhimpunan mereka,” kata beliau.

Bagaimanapun tegas Mohd Asri, perhimpunan aman yang hendak dilakukan itu boleh dianggap ikhlas dan bertujuan untuk kepentingan umat jika ia bebas daripada slogan kepartian dan tidak berkempen menaikkan parti-parti politik tertentu.

Kata beliau, ia hendaklah satu perhimpunan rentas parti dan rentas kepentingan kelompok dan objektifnya adalah perhimpunan untuk umat, daripada umat dan kepada umat.

“Saya juga ingin mengingatkan, Islam itu adil untuk semua tanpa mengira latar bangsa dan agama.

“Perhimpunan itu tidak boleh menjadi seruan yang menzalimi mana-mana agama dan bangsa lain yang tidak menzahirkan permusuhan terhadap umat Islam.

“Seruan Islam ialah mengajak kepada keharmonian hidup bersama mereka yang cintakan kedamaian. Saya percaya pihak penganjur memahami hal ini.

“Saya ingin mengingatkan mereka yang ingin menyertai perhimpunan aman itu agar mengamalkan akhlak Islam iaitu tidak memaki-hamun, mencarut, melaungkan ungkapan yang menyanggahi prinsip Islam, mengelakkan tingkah laku yang bercanggah dengan ajaran Islam serta menghormati hak jalan.

“Demikian juga hendaklah mereka mematuhi arahan pihak keselamatan demi kebaikan negara,” katanya lagi.

Penganjur himpunan, Gerakan Pembela Ummah (Ummah) sebelum ini menegaskan akan meneruskan himpunan yang dijadualkan pada 8 Disember ini, namun ia bertukar format daripada himpunan bantahan kepada himpunan kesyukuran.

Ketua Sekretariatnya, Aminuddin Yah­ya berkata, pihaknya menjangkakan himpunan tersebut tidak akan menghadapi masalah memandangkan mereka menerima respon positif daripada DBKL dan juga pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi meneruskan himpunan berkenaan.

Ujarnya, pihaknya kini hanya menunggu kelulusan permohonan permit penganjuran perhimpunan daripada DBKL. 

-SuaraTv

Sunday, November 4, 2018

'Apa kualiti pemimpin jika pemilihan dicemari pergaduhan?'

Diterbitkan 4 Nov 2018, 10:16 pagi


Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini menyatakan kebimbangan berhubung kualiti pemimpin yang dipilih dalam pemilihan parti politik yang dicemari insiden pergaduhan.

Dalam kenyataan di Facebook, Mohd Asri dipercayai merujuk insiden pergaduhan yang berlaku dalam pemilihan PKR Keningau di Sabah, semalam.

"Melihat rakaman pergaduhan sebuah parti politik dalam pemilihan pemimpin mereka amat merisaukan.

"Biasanya, aksi dan cara sebegitu hanya kita lihat dalam masyarakat yang rendah peradaban dan tamadunnya.

"Malangnya, dalam Negara Malaysia yang terkenal dengan kesantunan terjadi hal seperti itu.

"Ternyata, kuasa telah menjadikan manusia hilang nilai dan akal yang waras. Apakah kualiti pemimpin yang hendak mereka pilih jika demikian keadaannya?" soalnya.

Semalam, calon timbalan presiden PKR Rafizi Ramli mendakwa diserang di pusat pengundian cabang PKR Keningau.

Bernama melaporkan bahawa kumpulan penyokong calon tertentu tidak berpuas hati apabila proses pengundian di Balai Raya Kampung Marampong itu ditutup walaupun masih ramai anggota parti yang belum mengundi.

Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) tiba untuk meleraikan kekecohan tersebut.

Pemilihan PKR yang bertumpu pada saingan antara penyokong Rafizi dan penyandang jawatan timbalan presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut dicemari beberapa insiden pergaduhan lain sebelum ini termasuk di Selangor dan Pulau Pinang.

Tuesday, July 24, 2018

Kenapa pemimpin DAP membisu sentimen ‘anti-Islam’ Ramasamy, soal Asri

FMT Reporters | July 24, 2018
Mufti Perlis berkata, ada individu yang didakwa dengan tuduhan keganasan hanya kerana memiliki buku IS, tetapi timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu masih bebas walaupun terbabit dengan kumpulan pemberontak Sri Lanka.


PETALING JAYA: Mufti Perlis mempersoalkan kepimpinan DAP mendiamkan diri terhadap dakwaan mengaitkan seorang pemimpin kanannya dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), kumpulan pemberontak yang terbabit dalam perang saudara selama beberapa dekad di Sri Lanka yang mengorbankan ratusan ribu orang awam.

“Saya merasa dukacita dan hairan dalam hal ini kerana tiada pimpinan DAP yang bersuara,” kata Datuk Mohd Asri Zainul Abidin kepada Utusan Malaysia, merujuk laporan polis dibuat terhadap Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy yang didakwa menyokong LTTE yang diisytiharkan organisasi pengganas di banyak negara.

“Saya tidak pasti adakah kerana mereka hendak menunggu siasatan polis atau bagaimana. Namun, sekurang-kurangnya saya berharap pemimpin DAP dapat meminta polis menyiasatnya (pembabitan Ramasamy dengan LTTE).”

Baru-baru ini, Asri dan beberapa individu yang rapat dengannya mendesak Ramasamy menjelaskan gambar pemimpin DAP Pulau Pinang itu dengan pemberontak, termasuk satu daripada gambar itu yang menunjukkan beliau memberi penghormatan kepada imej sepucuk senapang kalashnikov.

Ini disusuli serangan berterusan Ramasamy ke atas Dr Zakir Naik yang dikehendaki atas dakwaan keganasan di India.

Asri mempertahankan Zakir dan mempersoalkan gesaan untuk Putrajaya mengekstradisi pendakwah Islam itu ke India.

Jumaat lalu, sekumpulan umat Islam yang diketuai seorang individu rapat dengan Asri mengadakan protes di luar sebuah masjid di George Town, Pulau Pinang, untuk menyokong Zakir dan menggesa pihak berkuasa menahan Ramasamy atas sokongannya kepada LTTE.

Mereka turut mendakwa Ramasamy hipokrit kerana pernah membantah tindakan kerajaan mengusir lelaki dikaitkan dengan LTTE ke Sri Lanka, tetapi kini menggesa Zakir dihantar pulang ke India.

Asri berkata, Ramasamy bersikap dwistandard dan mempunyai sentimen anti-Islam, ciri-ciri yang sama dalam perjuangan LTTE.

“Saya dapat melihat sikap anti-Islam yang ada pada Ramasamy, mempunyai ciri-ciri yang serupa dalam perjuangan LTTE,” katanya sambil menambah kumpulan pemisah itu membunuh ramai penduduk kampung Islam dalam usaha mewujudkan sebuah negara berasingan untuk orang Tamil di Sri Lanka.

Asri berkata, pihak berkuasa sebelum ini mengambil tindakan terhadap penyokong IS, termasuk mereka yang menyokong kumpulan pengganas itu dari jauh.

“Kita lihat ada individu yang hanya memiliki beberapa buah buku berkaitan IS telah dihukum (didakwa) kerana disabitkan dengan keganasan.

“Bagaimana pula individu seperti Ramasamy yang sehingga hari ini belum diambil tindakan sedangkan pembabitannya (dengan LTTE) jauh lebih jelas jika dibandingkan orang yang memiliki buku (IS)?” soal Asri yang menafikan kritikannya terhadap Ramasamy ada kaitan dengan sokongan ke atas Zakir.

Sunday, July 15, 2018

Ramasamy: Saya akan berdebat dengan Zakir jika...

Susan Loone
Diterbitkan 15 Jul 2018, 9:04 pagi


Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy meletakkan syarat untuknya berdebat dengan pendakwah Dr Zakir Naik seperti yang dicadangkan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

"Saya warga Malaysia, saya tak takut berdebat. Tetapi Zakir perlu terlebih dulu pulang ke India, hadapi dakwaan dan bersihkan namanya.

"Mahkamah India sangat terbuka. Bersihkan nama anda (Zakir), kembali dan saya akan berdebat dengan anda," katanya ketika ditemui di Seberang Jaya, Pulau Pinang semalam.

Katanya lagi, beliau sebelum ini bersedia untuk berdebat dengan penceramah warga India itu tetapi "ia tidak berlaku".

Ramasamy mengulas cadangan yang disuarakan Mohd Asri di Facebook semalam agar beliau dan Zakir berdebat dengan tajuk "Siapa pengganas sebenar?".

Dalam hantaran itu, Mohd Asri menyifatkan Ramasamy sebagai individu yang terkait dengan pertubuhan pengganas Tamil antarabangsa, merujuk kepada Harimau Pembebasan Tamil Eelam.
Dalam hantaran sebelumnya, Mohd Asri (gambar) berkongsi gambar Ramasamy yang seolah-olah memberi penghormatan senapang Kalashnikov atau AK-47.

Semalam, Ramasamy yang juga ADUN Perai menafikan menyokong keganasan sebaliknya berkata gambar itu diambil pada 2015 dalam satu majlis anjuran sebuah NGO bagi memperingati mangsa yang terkorban dalam konflik etnik Sri Lanka.

'Cubaan alih isu'

Ditanya sama ada syarat yang diletakkan itu menandakan beliau takut untuk bersemuka dengan Zakir, Ramasamy berkata "mereka boleh kata apa yang mereka mahu".

Beliau berkata isu yang lebih utama pada masa ini bukanlah soal debat tetapi permintaan India untuk mengekstradisi Zakir bagi berdepan dakwaan jenayah di negara itu.

"Jangan cuba alih isu seperti apa yang Asri cuba buat," katanya lagi.

Ramasamy berkata beliau sama sekali tidak menuduh Zakir bersalah atas dakwaan kesalahan ke atasnya tetapi undang-undang perlu dikuatkuasakan.

"Saya tiada isu peribadi dengannya, tetapi ada dakwaan serius terhadapnya dan India telah memfailkan dakwaan terhadapnya...Mengapa dia melarikan diri?"

Zakir sebelum ini berkata dakwaan terhadapnya - melibatkan tuduhan pengubahan wang haram dan mencetuskan keganasan - bermotif politik dan beliau mungkin tidak dibicarakan dengan adil jika kembali ke India.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir juga berkata kerajaan tidak akan tunduk kepada desakan untuk mengusir Zakir yang mempunyai status penduduk tetap di negara ini, selagi beliau tidak menimbulkan masalah.

Monday, December 28, 2015

Asri: Jika akal tak bijak, apa perlu jadi pak menteri

Saranan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan agar rakyat melakukan dua kerja bagi menampung kos sara hidup terus dikritik pelbagai pihak.

Tidak terkeculi, kenyataan tersebut turut mendapat kritikan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam status di laman Facebooknya hari ini.

Meskipun tidak menyebut nama menteri berkenaan secara langsung, Asri dipercayai merujuk kenyataan Ahmad semalam yang meminta supaya rakyat Malaysia melakukan dua pekerjaan sehari.

Menurut Asri seseorang menteri seharusnya bijak dan waras bagi melayakkannya diberikan pelbagai kelebihan termasuk gaji dan keistimewaan lain.

Selain itu katanya, seseorang menteri juga sepatutnya mencari penyelesaian untuk meringankan beban rakyat dan bukan menambahkan lagi beban mereka.

“Menteri itu sepatutnya mencari penyelesaian untuk rakyat, bukan membuat cadangan yang membebankan lagi rakyat.

“Menteri itu hendaklah seorang yang sangat waras, bijak lagi tangkas menyelesaikan permasalahan rakyat dan negara.

“Jika akal yang bijak dan tangkas tidak diperlukan untuk menjadi seorang 'pak menteri', maka apakah kelebihan jawatan itu sehingga diberikan gaji dan pelbagai peruntukan yang istimewa untuknya?," soal Asri dengan sinis di laman Facebook.

Sebuah portal semalam melaporkan saranan Ahmad supaya rakyat melakukan dua kerja bagi menampung kos hidup di negara lain.

Meskipun dikritik keras kerana cadangan tersebut, Ahmad Maslan sekali lagi tampil mempertahankan kenyataan itu dan mengatakan beliau sendiri melakukan tiga pekerjaan dalam kerajaan dan partinya Umno.

“Saya ada 3 kerja: anggota parlimen, timbalan menteri, ketua penerangan Umno. Ramai dah di Malaysia yang buat #2Kerja," katanya.

“Berusaha gigih cari rezeki yang halal,” kata Ahmad Maslan.

Tuesday, November 17, 2015

Dr Asri Sokong Kerjasama PAS-UMNO

KUALA LUMPUR 16 Nov - Pas disaran membentuk kerjasama politik dengan UMNO memandangkan kedua-dua parti itu sudah ada keserasian dari segi watak dan idealisme.

Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin berkata, ia demi kebaikan rakyat dan negara susulan kegagalan parti Islam itu melakukan kerjasama dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Pembangkang.

“Pas telah cuba bergabung dengan pakatan pembangkang berulang kali tapi nyata gagal. Gagal disebabkan sifat parti dan idealisme yang dipegang. Pas patut mencuba dengan UMNO secara lebih serius. Mana tahu, mungkin di sana ada kebaikan untuk umat dan negara.

“Jika Pas dan UMNO dapat menjadi sahabat baik yang berpesan-pesan kepada kebaikan dan kebenaran, serta mencegah kemungkaran, mungkin banyak manfaatnya,” katanya menerusi status Facebook pada Isnin.

Malah, menurut Dr Asri ia juga akan memakbulkan hasrat Abdul Hadi yang pernah mengakui mahu menwujudkan satu hubungan yang matang di antara kedua-dua parti itu.

“Pas dan UMNO saudara seakidah. Jika kita fahami, mereka sebenarnya tidak jauh dari segi watak dan idealisme. Pas yang dulu mungkin jauh dari UMNO. Pas hari ini hampir menyamai UMNO dari segala segi melainkan perbezaan nama, kopiah dan songkok sahaja. Itupun bukan soal pokok,” katanya.

Monday, August 31, 2015

Tentangan parti politik tidak bermakna tak sayang negara

Dr Mohd Asri berkata, tidak ada pihak yang boleh ditakrifkan sebagai tidak patriotik hanya kerana tidak menyokong kerajaan tertentu yang berkuasa atas negeri atau negaranya.

KUALA LUMPUR, 31 Ogos:

Tidak ada pihak yang boleh memaksa orang lain mencintai parti politik yang berkuasa dalam negaranya atas nama semangat patriotisme.

Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, penentangan terhadap kuasa politik oleh rakyat di negara yang didiami tidak bermakna cinta dan sayangnya terhadap tanah air berkurangan.

Menurutnya, tidak ada pihak yang boleh ditakrifkan sebagai tidak patriotik hanya kerana tidak menyokong kerajaan tertentu yang berkuasa atas negeri atau negaranya.

Jelasnya, kuasa politik boleh datang dan pergi, bertukar ganti manakala sultan dan menteri juga boleh dibuang ataupun dilantik dengan hanya keadaan yang menentukan.

“Namun hakikat bahawa tanah air dan watan ini adalah milik kita, lahir di sini, berketurunan di sini, membesar dalamnya adalah sesuatu yang tidak boleh diubah dan dinafikan oleh mana-mana pihak pun.

“Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat dihalau keluar dari Mekah dan mereka kemudian berpakat dengan orang Madinah memerangi kuasa politik Mekah yang zalim dan bahkan mendapat bantuan luar menawan Mekah sekaligus membebaskan Mekah dari kuasa yang zalim tersebut.

“Itu semua tidak menafikan cinta Nabi kepada Mekah dan orang Kelantan yang tidak suka Pas bukan bererti tidak sayang Kelantan manakala orang Pulau Pinang yang tidak suka DAP bukan bererti tidak sayang negeri berkenaan dan orang Selangor yang tidak suka PKR bukan bererti tidak sayang Selangor serta rakyat Malaysia yang tidak suka Barisan Nasional (BN) bukan bererti tidak cintakan negara,” katanya menerusi Facebooknya, hari ini.

Tambah Dr Asri, mungkin yang rakyat tidak suka itu adalah penyelewengan kuasa dan penyalahgunaan harta rakyat yang dibuat oleh mereka yang memegang tampuk tersebut tetapi sayang negeri dan negara tetap kekal.

“Sesiapa yang sayangkan tanah airnya lalu enggan watannya dirosakkan dan rela mempertahankan kebaikan dan kebenaran yang menjadi hak buminya, maka dia seorang yang cintakan tanah airnya, dia seorang yang patriotik!

“Cara kecintaan itu diterjemahkan mungkin berbeza, tapi cinta tetap di jiwa,” tegasnya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/08/31/tentangan-parti-politik-tidak-bermakna-tak-sayang-negara/#ixzz3kMqYlYNT

Saturday, July 25, 2015

'Hodohnya politik mencagar rumahtangga'

Politik kepartian boleh menjadi begitu hodoh jika cagaran untuk kemenangan sesebuah kumpulan itu adalah rumahtangga.

Mufti Perlis, Datuk Seri Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, berpolitik sepatutnya dibangunkan untuk membina masyarakat dan negara yang lebih baik.

Dengan 'mainan' politik kepartian, kata bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia itu, seseorang isteri kononnya boleh tertalak tiga gara-gara tindakan si suami.

"Justeru, teraniayalah isteri dan anak-anak di rumah hanya kerana perbuatan si suami dalam parti," katanya.
Kenyataan umum itu dibuat Mohd Asri dipercayai mengulas polemik antara kumpulan dalam PAS ketika ini yang berselisih pendapat mengenai bai'ah dilafaz wakil rakyat parti berkenaan.

Sesetengah bai'ah itu dikatakan turut 'mencagarkan' isteri seseorang calon pilihan raya apabila ia dikaitkan dengan talak.

PAS dikatakan mewajibkan semua bakal calon melafazkan ikrar itu sebelum dinamakan dalam mana-mana pilihan raya.

Semalam Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ilmuan Malaysia (ILMU), Fathul Bari Jahaya turut memberikan pandanganmengenai isu berkenaan.

PAS kini bergolak apabila kumpulan progresif - termasuk di kalangan wakil rakyatnya - sedang dalam usaha menubuhkan gerakan baru selepas mereka 'dikorbankan' dalam pemilihan parti awal Jun lalu.

Secara umum, kata Mohd Asri, beliau bersetuju dengan pandangan ulama silam, Syeikh Ibn Taimiyyah bahawa seseorang yang melafazkan taklik tanpa niat sebaliknya sekadar untuk meyakinkan atau menakut-nakutkan, talak tidak terjatuh apabila ikrar itu dilanggar.

Bagaimanapun jika taklik itu dilafazkan dengan disertakan hasrat mentalakkan isterinya jika sumpah dilanggar "kerana malu ataupun kecewa", maka talaknya jatuh.

Sunday, April 19, 2015

'First lady' boleh hancurkan kerjaya pemimpin negara

HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Dalam negara tertentu, kerenah wanita yang memakai gelaran ‘first lady’ boleh menghancurkan kerjaya dan masa depan politik seorang pemimpin negara, ujar Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menerusi facebook, semalam.

Demikian, katanya kerenah isteri pemimpin di pelbagai peringkat. Maka, tidak hairanlah jika Elena Ceausescu, isteri bekas diktator Romania Nocolae Ceausescu dihukum mati mati bersama suaminya oleh rakyat Romania disebabkan peranannya dalam pemborosan harta negara dan kezaliman kuasa.

Berikut tulisan penuh beliau yang bertajuk 'Wanita dan pengaruhnya terhadap lelaki'.

Umat Islam atau lelaki muslim tidak akan menganggap bahawa punca kejatuhan lelaki kesemuanya bermula dari wanita. Walaupun wanita itu memang mempunyai pengaruhi yang kuat ke atas lelaki, seperti mana pengaruh lelaki terhadap wanita, namun kejatuhan lelaki atau wanita dari kelemahan diri sendiri yang kadang-kala dieksploitasi oleh pasangannya.

Muslihat Wanita

Namun masa yang sama, al-Quran juga menyatakan kehebatan ‘usikan’ wanita atau lebih jelas ‘muslihat’ mereka jika mereka bermaksud ingin melakukan ‘perancangan halus’. Wanita jika kena gaya memang boleh menjadikan lelaki ‘mengidaminya’ angau dan terpengaruh atas segala kehendaknya.

Perancangan atau ‘plot’ wanita begitu hebat sehingga al-Quran merakamkan ungkapan yang ditujukan kepada isteri Menteri Mesir (riwayat Israiliyyat konon menamakannya Zulaikha) dalam kisah Yusuf: “Ini adalah perancangan kamu (kaum wanita), dan sesungguhnya perancangan kamu (kaum wanita) itu hebat”. (Surah Yusuf: 28)

Perkataan Arab yang al-Quran gunakan dalam dalam ayat berkenaan ialah Kaid yang bermaksud perancangan yang mempunyai unsur licik dan muslihat. Sebab itu Louay Fatoohi dalam bukunya The Prophet Joseph menterjemahkan perkataan Kaid sebagai scheme yang bermaksud tindakan yang licik dan perancangan sulit yang kadang-kala membabitkan tipu daya. Kata beliau: “..this word, which I have translated as scheme means guile and plotting that could involve lies, as in this case”. (ms 86. Kuala Lumpur: Islamic Book Trust)

Maka, atas kelicikan itu, ramai lelaki yang tewas. Wanita ada kuasa ‘licin’ dan licik. Walaupun Nabi Yusuf tidak tewas, tetapi ramai lelaki selain nabi yang tewas dengan ‘kaid’ atau perancangan halus dan ‘sulit’ wanita. Senjata rahsia wanita pada tubuh, bahasanya dan jelingannya. Walaupun bukan semua mereka ada kelebihan itu, namun bagi yang berkelebihan jika perangkapnya mengena, sukar untuk lelaki terlepas daripadanya, kecuali mereka yang memenangkan takwanya atas godaan atau kaid tersebut.

Nabi s.a.w pernah bersabda: “Aku tidak tinggal cubaan yang lebih hebat ke atas lelaki lebih dari wanita”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sabda baginda juga: “Sesungguhnya dunia itu manis lagi hijau dan Allah menjadikan kalian berketurunan di atasnya. Allah melihat apa yang kalian perbuat. Takutlah kamu kepada (fitnah) dunia dan takutlah kamu kepada (fitnah) wanita, karena sesungguhnya awal fitnah yang menimpa Bani Israil dari wanitanya”. (Riwayat Muslim)

Maka, tidak hairan berapa ramai pemimpin yang gagah, tetapi ditewaskan oleh wanita idamannya, atau isteri kesayangannya. Betapa banyak reputasi pemimpin dirosakkan disebabkan isteri mereka, sehingga rakyat membenci seseorang pemimpin kerana gelagat isterinya.

Dalam negara tertentu, kerenah wanita yang memakai gelaran ‘first lady’ boleh menghancurkan kerjaya dan masa depan politik seorang pemimpin negara. Demikian kerenah isteri pemimpin di pelbagai peringkat. Maka, tidak hairanlah jika Elena Ceausescu, isteri bekas diktator Romania Nocolae Ceausescu dihukum mati mati bersama suaminya oleh rakyat Romania disebabkan peranannya dalam pemborosan harta negara dan kezaliman kuasa. Maka, jika suami tidak berperanan sebagai pembimbing dan pengawal yang soleh terhadap isteri mereka maka pelbagai kemungkinan boleh berlaku atas kemahiran wanita dalam perancangan atau kaid mereka.

Perhiasan Terindah

Namun wanita itu apabila solehah, mereka kadang-kala lebih baik daripada lelaki. Kehidupan yang buruk seseorang lelaki boleh diubah dengan kehalusan budi dan nilai yang ada pada seorang wanita. Nama baik seorang lelaki bertambah indah dengan kebaikan isterinya. Wanita benar-benar hiasan kehidupan lelaki.

Lelaki tanpa wanita adalah lelaki yang cacat tabiatnya. Allah menjadikan wanita pasangan lelaki. Mereka tempat lelaki bermanja dan mendambakan perasaan kelakian. Nabi s.a.w bersabda: “Dunia perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia ialah wanita yang solehah”. (Riwayat Muslim)

Ada harta tiada wanita dalam kehidupan tiada ertinya. Ada rupa, tiada wanita tiada maknanya. Namun, wanita bagaimana yang lelaki perlukan dalam hidupnya dalam mengharungi bahtera kehidupan? Ya, wanita solehah yang membahagiakan suami, menjaga nama baik dirinya dan suaminya.

Sabda Nabi s.a.w: “Sebaik-baik wanita dia mengembirakan suami apabila engkau melihat kepadanya, mentaatinya apabila menyuruhnya, tidak menyanggahi suami dalam diri dan hartanya”. (Riwayat al-Nasai, Ahmad dan al-Hakim, dinilai hasan)

Sabda Nabi s.a.w juga: “Tiga dari kebahagiaan: “Wanita yang apabila engkau melihatnya, ia mengkagumkan engkau, apabila engkau tiada bersamanya dia menjaga dirinya dan harta engkau”. (Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, dinilai hasan)

Untuk menjadikan wanita itu berfungsi dengan baik, suaminya juga hendaklah baik. Jika tidak, kebaikan wanita akan hilang pada padangan suami yang songsang, seperti mana hilangnya kebaikan Asiah di mata firaun yang zalim. Suami yang baik juga, tidak akan dapat dilihat kemuliaannya di mata isteri yang jahat seperti isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut a.s.

Wednesday, March 4, 2015

Dr Maza tolak Kazim jadi panel forum perdana

Mohamad Fadli
Tidak bersetuju dengan pemilihan panel tertentu atas alasan riwayat-riwayat palsu yang pernah disebarkan.
PETALING JAYA: Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan pandangannya untuk tidak setuju dengan keputusan membenarkan penceramah bebas Datuk Mohamad Kazim Elias menjadi panel dalam Forum Perdana Ehwal Islam sempena hari keputeraan Raja Perlis yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Dr Asri juga mengesahkan surat rasmi yang semakin tersebar di laman sosial media itu sebagai benar.

Bagaimanapun Dr Asri menjelaskan surat tersebut tidak menyebut untuk menghalang Kazim untuk berceramah di Perlis.

“Surat itu tidak menyebut penceramah berkenaan dihalang berceramah di Perlis tetapi menyatakan tidak bersetuju untuk menjadi panel forum berkenaan yang bersempena Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Perlis,” kata beliau melalui status Facebooknya.

Surat rasmi Jabatan Mufti Perlis kepada Pejabat Menteri Besar mengatakan tidak bersetuju dengan pemilihan panel tertentu atas alasan riwayat-riwayat palsu yang pernah disebarkan, dan menambah, “Ini selaras dengan kehendak keilmuan dan masyarakat sendiri untuk memastikan kesahihan riwayat.”

Dr Asri juga telah memuat naik dalam Facebooknya mengenai teks ceramah Kazim Elias yang didakwa menggunakan riwayat palsu.

“Manakala kenduri Rasulullah s.a.w yang paling mahal pula adalah roti jala dicelup dengan kuah kari,” katanya, memetik ucapan Kazim Elias yang didakwa sebagai palsu.

Bagaimanapun kata Dr Asri, sepatutnya surat dalam pentadbiran itu tidak perlu disebarkan dan disebabkan ramai yang ingin bukti, beliau menyertakan satu salinan muka surat berkenaan ucapan Kazim.

“Ia adalah surat dalaman pentadbiran Jabatan Mufti yang merupakan Jawatankuasa Penganjur. Maka, penyebarannya tidak sepatutnya berlaku. Oleh kerana surat itu telah tersebar dan ramai bertanya bukti, maka di sini disertakan satu salinan muka surat buku pihak berkenaan,” ujarnya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-