Saturday, November 17, 2018

Bersatu bawa isu politik wang PKR pada mesyuarat PH

Kow Gah Chie
Diterbitkan 17 Nov 2018, 1:26 petang


Bersatu akan membangkitkan isu politik wang yang didakwa berlaku dalam pemilihan PKR baru-baru ini pada mesyuarat majlis presiden Pakatan Harapan (PH) yang akan datang, kata setiausaha agungnya, Marzuki Yahya.

Menurut Marzuki, parti itu bimbang dengan tuduhan sedemikian yang boleh menjejaskan pentadbiran kerajaan PH.

Justeru itu, beliau berkata majlis presiden PH akan membincangkan cara untuk menangani isu itu.

"Ya, saya fikir kita ingin mencari penyelesaian untuk ini," kata Marzuki ketika ditanya sama ada tuduhan mengenai politik wang dan perbalahan dalaman semasa pemilihan PKR akan menjejaskan kerajaan hari ini.

Marzuki yang juga timbalan menteri luar berkata Bersatu menentang segala bentuk amalan politik wang dan rasuah sejak hari pertama membentuk kerajaan.

Beliau menghadiri Kongres Nasional PKR ke-13 di Shah Alam hari ini bagi mewakili presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin yang tidak dapat menghadiri acara itu kerana masalah kesihatan.

'Urusan dalaman PKR'

Hadir sama ialah presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Sementara itu Mohamad dakwaan politik wang tersebut merupakan suatu tuduhan dan sekiranya benar ia perlu disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Itu semua tuduhan. Semua itu kalau ada, kita ada pihak SPRM akan menyiasat," katanya.

Guan Eng pula berkata amalan politik wang tidak dipersetujui semua pihak namun menegaskan isu itu membabitkan masalah dalaman PKR.

"Ini politik wang sesuatu yang tak betullah. Tapi itu perkara dalaman PKR, so biar PKR uruskan, dan saya yakin PKR akan ambil tindakan yang sewajarnya.

"Jadi saya tak mahu campur dalam urusan keluarga dalaman PKR," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-