Friday, November 16, 2018

'Jangan main-main dengan manifesto'

Haspaizi Zain 
Diterbitkan 16 Nov 2018, 5:39 petang


Pemuda PKR mengingatkan kerajaan bahawa kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu adalah disebabkan anak muda terpesona dengan "janji-janji manis" yang ditawarkan dalam manifesto.

Justeru, kerajaan PH diingatkan supaya tidak "mempermainkan" janji berkenaan yang ditawarkan kepada rakyat dan perlu berusaha untuk menunaikannya.

Perkara itu disampaikan oleh wakil Pemuda PKR Wilayah Persekutuan, Mohd Fikri Khalid, yang turut memetik hasil kaji selidik Merdeka Centre yang menunjukkan isu 1MDB bukan isu utama yang membimbangkan anak muda.

Sebaliknya, jelas Mohd Fikri, majoriti anak muda tertarik dengan isu ekonomi negara termasuklah tawaran 1 juta peluang pekerjaan yang terkandung dalam manifesto PH.

“Berdasarkan kajian Merdeka Centre, 68 peratus anak muda tertarik dengan janji PH dengan harapan mereka pilih PH hidup mereka akan lebih baik, seperti yang disebut pembangkang mereka tertarik dengan janji manis PH.

“...85 peratus responden mengakui manifesto sangat memberi impak pada kemenangan PH.


“Jadi, jangan memandang remeh perkara ini, kita bimbang jika anak muda yang menyokong kita akan beralih arah sekiranya janji tidak ditunaikan.

“Mereka (anak muda) tidak minat politik, mereka muak dengan politik. Anak muda kita makin kritis…70 peratus anak muda tidak peduli politik dan mereka menyifatkan ahli politik punca kepada masalah negara,” katanya ketika membahas ucapan dasar Ketua AMK pada Kongres Nasional Pemuda PKR 2018 di Shah Alam, hari ini.

Tambah Mohd Fikri, berdasarkan kajian terhadap 3,000 anak muda itu, enam peratus anak muda berusia 21 ke atas tidak melihat 1MDB sebagai satu perkara membimbangkan, sebaliknya lebih memikirkan soal kenaikan harga barangan.

Selain itu, katanya, kajian itu juga menunjukkan 42 peratus anak muda tidak mampu untuk membayar bil elektrik ataupun bil telefon.

Oleh itu, tegasnya, tekanan ekonomi yang dihadapi oleh anak muda perlu ditangani oleh kerajaan PH seperti yang diharapkan mereka.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-