Monday, November 5, 2018

Memang 1MDB punca BN kalah, kata Nazri

Diterbitkan 5 Nov 2018, 1:00 petang
 

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Nazri Aziz dilihat senada dengan bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengenai punca kekalahan BN pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Nazri yang terkenal selalu lantang dan berterus-terang itu berkata tidak seperti kepercayaan sesetengah orang dalam Umno, punca utama majoriti pengundi memilih Pakatan Harapan (HARAPAN) adalah kerana faktor 1MDB.

“Saya bersetuju dengan kenyataan Khairy.

"Skandal 1MDB berlaku dan kabinet hanya tahu mengenai setiap keputusan membabitkan isu itu selepas meletup di media.

“Kita kalah bukan kerana rakyat menolak kita, tetapi kerana 1MDB,” katanya seperti dilaporkan The Star hari ini.

Sabtu lalu Datuk Seri Najib Razak mendakwa kekalahan BN pada PRU ke-14 lalu disebabkan fitnah dan janji palsu ditabur Pakatan Harapan.

Kata bekas perdana menteri itu jika tidak kerana faktor berkenaan BN masih kekal mendapat kepercayaan rakyat untuk menjadi kerajaan.

Gagal di banyak peti undi

Bagaimanapun Khairy tampil - walaupun hanya di media sosial - dengan mengejutkan ramai orang apabila menegaskan punca sebenar kegagalan BN ialah 1MDB.

"Kita kalah disebabkan 1MDB. Sekian," ciapnya di Twitter.

Susulan itu, anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Lokman Noor Adam segera mempertahankan Najib dengan mendakwa Khairy sebenarnya gagal menjalankan tugasnya dengan baik sebagai ketua pemuda Umno pada waktu itu.

Khairy kemudian membalas dengan keras kata-kata Lokman

"Berdoalah supaya saya tidak menjadi presiden Umno.

"(Kalau saya menjadi presiden Umno) Perkara pertama yang saya akan lakukan adalah memecat kamu kerana memiliki IQ bertahap lobak," ciap kemudian.

Sementara Presiden Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil, pula seirama dengan Lokman.

Kata Isham, Khairy gagal menunjukkan prestasi yang baik - sebagai ketua Pemuda Umno - untuk menarik pengundi muda menyokong mereka.

"Hampir semua peti undi di saluran-saluran muda di seluruh negara, BN kalah, berbanding peti-peti undi untuk saluran bagi peringkat umur lain," katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Jelas Isham berdasarkan analisis keputusan PRU lalu, sebab utama gabungan itu kalah ialah kerana pengundi-pengundi muda tidak menyokong BN.

Katanya lagi, walaupun faktor-faktor lain memainkan peranan, namun ia tidaklah begitu besar berbanding faktor penolakan pengundi muda ini.

Untuk rekod, Isham ialah bekas pegawai khas Najib.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-