Thursday, November 22, 2018

Pemimpin Umno enggan ulas Najib dakwa kerajaan ditipu Jho Low

Mohamad Fadli
-November 22, 2018 6:13 PM

(Dari kiri) Ismail Sabri Yaakob, Noh Omar dan Nazri Aziz.

KUALA LUMPUR: Tiga pemimpin Umno enggan mengulas lanjut berhubung kenyataan Datuk Seri Najib Razak yang mengaku kerajaan pimpinannya ditipu ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low.

Ketika ditanya FMT, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau tidak mahu memberi sebarang komen berhubung kenyataan Najib itu.

“Saya tak baca lagi, saya tak nak komen apa-apa. Tetapi Datuk Seri Najib sudah beri penjelasan, saya rasa pakai itu sahaja,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Hari ini, Najib mengaku kerajaan pimpinannya ditipu Jho Low yang didakwa merupakan perancang skandal 1MDB.

Ketika ditanya Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Karangkraf, Datuk Abdul Jalil Ali, apakah kerajaan ditipu oleh Jho Low, Najib mengakui perkara itu.

“Ya, kalau begitu, itulah kesimpulannya (kita ditipu), kalau kita ambil kira apa yang kita tahu hari ini. Itu sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata, hubungannya dengan Jho Low hanyalah atas dasar profesional semata-mata untuk meningkatkan ekonomi negara.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Noh Omar berkata beliau enggan mengulas mengenai kenyataan Najib kerana tidak mengetahui apa-apa mengenai perkara itu.

“Saya tak boleh nak komen. Ini luar bidang saya. Saya tak tahu, dia (Najib) yang tahu. Saya ingat biar Najib yang buat (kenyataan),” katanya.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz pula enggan mengulas kenyataan Najib itu dan berkata tidak mengenali Jho Low.

“Saya tidak kenal Jho Low,” katanya ringkas di lobi Parlimen.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-