Showing posts with label Low Taek Jho. Show all posts
Showing posts with label Low Taek Jho. Show all posts

Wednesday, October 5, 2022

Saksi nampak Jho Low dalam konvoi kereta ke rumah Najib

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Oct 5, 2022 1:39 PM
KES 1MDB | Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu, ahli perniagaan Low Taek Jho - atau Jho Low - berada dalam salah satu kereta konvoi yang menuju ke rumah Najib Razak pada 2011.

Najib merupakan perdana menteri ketika itu.

Bekas pengarah urusan AmBank Bhd, Cheah Tek Kuang, berkata dia sendiri menyertai konvoi berkenaan kerana mahu mendapatkan tandatangan Najib selaku menteri kewangan ketika itu yang mahu membuka akaun bank.

Akaun semasa Najib - yang berakhir dengan nombor 694 - merupakan salah satu aspek utama kes pendakwaan dalam perbicaraan rasuah RM2.28 bilion Najib.

Ketika Najib melihat dari kandang tertuduh, saksi pendakwaan ke-39 itu berkata sebuah kereta datang ke rumahnya pada Jan tahun itu untuk membawa dia ke rumah tertuduh di Langgak Duta, Kuala Lumpur.

“Apabila kereta datang mengambil saya, ada konvoi dua tiga kereta. Saya berada di dalam kereta bersama pemandu, kereta lain pula ada orang lain.

"Apabila saya tiba di sana (rumah Najib), saya melihat Jho Low di dalam kereta yang lain," kata Cheah semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah.

Apabila peguam bertanya sama ada Jho Low berada di premis rumah Najib, Cheah berkata, dia melihat ahli perniagaan terbabit ada di situ.

Bagaimanapun Cheah memberitahu dia tidak bercakap dengan Jho Low.

Katanya, dia pergi ke bahagian lain rumah itu dan bertemu Najib di situ.

Semalam, Cheah memberi keterangan, semasa di rumah itu Najib memberitahu tujuannya mahu membuka akaun semasa adalah bagi menerima derma AS$100 juta dari Arab Saudi.

Pasukan pembelaan tertuduh sebelum ini telah menunjukkan kepada mahkamah surat didakwa dihantar seorang putera Arab yang mengaku menjanjikan AS$1.17 bilion (RM5.44 bilion) derma kepada Najib.

Prosiding di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah akan disambung petang ini dan juga esok.

Semasa perbicaraan lain melibatkan rasuah RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd pada 2019, Cheah memberi keterangan bahawa dia bertemu Jho Low di rumah Najib dan mempunyai tanggapan negatif terhadap ahli perniagaan itu kerana sentiasa lewat dan tidak menepati masa dalam mesyuarat.

Najib kini dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB.

[Baca berita penuh]

Wednesday, August 24, 2022

Tak adil Najib dipenjara tapi Jho Low masih bebas, DAP gesa cari segera

agendaily.com
24/08/2022
Ahli perniagaan Malaysia dalam buruan Jho Low.

Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low perlu dikesan dengan segera bagi membawanya ke muka pengadilan, gesa Lim Guan Eng.

Pengerusi DAP itu berkata tidak adil hanya Datuk Seri Najib Razak sahaja dihukum penjara tetapi Jho Low sebagai dalang utama dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) juga perlu dibawa ke muka pengadilan untuk dihakimi.

“Arkitek kewangan Najib, Jho Low masih bebas. DAP menggesa kerajaan Malaysia melipat gandakan usaha menahan Jho Low, keluarga dan sekutunya yang dikaitkan dengan skandal 1MDB bernilai RM52 bilion bagi memberi keadilan kepada 32 juta rakyat negara ini.

“Ketika Najib berdepan hari-harinya di mahkamah, adalah tidak adil dan ibarat mempersendakan keadilan bahawa Jho Low, keluarga dan sekutunya yang dikaitkan dengan skandal terbabit, dibenarkan bebas berkeliaran begitu sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Najib semalam memulakan hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan berhubung penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Mengulas lanjut, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, kerajaan seharusnya mengemukakan laporan perkembangan berhubung status usaha bagi menahan penjenayah paling dikehendaki di Malaysia.

Dalam pada itu, beliau berkata, rakyat Malaysia memuji sembilan hakim dari Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan di atas penghakiman mereka terhadap Najib.

Katanya, pasukan pendakwaan juga perlu dipuji kerana berjaya menangani kes sukar itu dengan penuh kepakaran dan profesionalisme.

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan, turut menuntut pihak berkuasa meneruskan usaha mengesan individu lain yang terbabit dalam skandal itu kerana tidak seharusnya episod itu ditujukan kepada Najib sahaja.

“Saya menuntut pihak berkuasa meneruskan usaha menjejak nama lain yang terbabit termasuk manusia digelar Jho Low dan Nik Faisal (bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil), begitu juga Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz (bekas Gabenor Bank Negara) dan suaminya,” katanya.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Thursday, November 11, 2021

Najib pegang kuasa muktamad dalam 1MDB - bekas CFO

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Nov 11, 2021 1:30 PM

Bekas ketua pegawai kewangan (CFO) 1MDB memberi keterangan dia menuruti Low Taek Jho kerana Najib Razak merupakan ‘kuasa muktamad’ terhadap syarikat pelaburan negara ini.

Azmi Tahir memberi keterangan ini semasa perbicaraan rasuah RM2.28 bilion hari ini terhadap bekas perdana menteri itu.

Semasa membacakan kenyataan setebal 127 muka surat, saksi pendakwaan ke-12 itu mendakwa apabila diambil sebagai CFO 1MDB pada 2012, ketua setiausaha sulit Najib ketika itu, Azlin Alias memperkenalkannya kepada Jho Low.

Dia mendakwa Azlin memperkenalkan Low sebagai penasihat 1MDB kepada Najib.

Azmi mendakwa ketika bertemu Low di KLCC sekitar Jun 2012, ahli perniagaan itu memberitahu saksi berkenaan semua arahannya (Low) dan Azlin adalah mandat daripada Najib, maka ia mesti dipatuhi.

Saksi itu mendakwa dia juga diberitahu oleh Azlin kemudiannya bahawa Low ialah penasihat atau orang rapat kepada perdana menteri ketika itu dan Low akan memberikan maklumat atau arahan yang perlu dilakukannya kerana datang daripada perdana menteri ketika itu.
Azmi mendakwa semasa memegang jawatan sebagai CFO 1MDB, Low mengatur di belakang tabir atas arahan dan "restu" Najib.

Dakwanya lagi, Low dan Azlin memastikan hanya pegawai tertentu yang dipercayai mengikuti mereka dalam sistem kerja 'sulit' itu.

"Semasa bertugas sebagai CFO 1MDB, terdapat tindakan sulit di belakang yang telah disusun dan dirancang oleh Jho Low melalui arahan dan kelulusan Najib dan orang tertentu dipilih dalam pengurusan tertinggi 1MDB dan ahli lembaga pengarah bagi memastikan arahan tersebut akan dilaksanakan.

"Saya boleh katakan sistem ini adalah berlapis,” kata Azmi.

“Datuk Seri Najib mempunyai kuasa muktamad dalam membuat keputusan terutamanya melibatkan pelaburan, keputusan kewangan dan kepentingan negara.

"Selain saya, antara pengurusan tertinggi yang disusun dalam sistem ‘work in silo’ dalam 1MDB ini adalah bekas Ketua Pegawai Operasi Mohd Hazem Abd Rahman; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi; bekas Ketua Pegawai Pelaburan Vincent Koh; bekas peguam Jasmine Loo dan Timbalan CFO Terence Geh.

“Saya hanya menerima arahan selari dengan pengurusan tertinggi lain dan dalam masa sama Jho Low memberitahu saya semua tugasan adalah berdasarkan need to know basis iaitu kami hanya akan diberitahu mengenai sesuatu perkara berdasarkan skop tugasan dan setakat yang saya perlu tahu sahaja,” kata Azmi.
Kata Azmi lagi, Low akan menghantar e-mel dan Blackberry Messenger (BBM) yang mengandungi nota percakapan dan pelan tindakan kepada beliau dan orang lain dalam lapisan silo ini.

“E-mel ini perlu dipadam segera selepas dibaca kerana Jho Low tidak mahu ia bocor kerana arahan sulit tersebut melibatkan keputusan dan kehendak Perdana Menteri serta perlu melaksanakannya dengan segera memandangkan Najib mahu ia dilaksanakan segera.

“Kebiasaannya keputusan kritikal akan dibuat melalui Resolusi Ahli Lembaga Pengarah (DCR) tanpa melalui mesyuarat ahli lembaga pengarah (BOD) kerana Jho Low akan mengarahkan Loo untuk menyediakan semua DCR.

"BOD hanya perlu menandatangani DCR tersebut tanpa sebarang bantahan kerana ia adalah arahan Jho Low,” katanya.

Menurut Azmi, semua DCR itu disusuli oleh kelulusan Najib melalui sebuah dokumen resolusi pemegang saham yang Najib telah mengetahui lebih awal berdasarkan perbincangannya (Najib) dengan Jho Low.

“Ini berdasarkan dokumen yang telah ditandatangani dan dalam pengetahuan Najib sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri.

“Keseluruhannya, bagi saya, peranan Jho Low amatlah ketara sebagai penasihat kepada Najib dan boleh juga dikatakan Jho Low merupakan orang kanan dan dipercayai Najib dalam urusan 1MDB ini,” katanya.

Bagaimanapun, peguam bela Wan Aizuddin Wan Mohammed membangkitkan pelbagai bantahan terhadap beberapa bahagian keterangan saksi atas alasan khabar angin.

Keterangan Azmi hari ini serupa dengan keterangan saksi kesembilan pendakwaan dan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi, yang memberi keterangan pada 2019 Najib memegang "kuasa muktamad" di sebalik syarikat pelaburan negara itu.

Najib dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB.

Dia juga merupakan menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB ketika itu. 1MDB dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

[Baca laporan asal]

Friday, August 13, 2021

‘Jho Low serah telefon bimbit ketika Najib di talian’ – Saksi

satuberita.my
By Bernama
-August 13, 2021

GAMBAR ARKIB

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis diberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low telah menyerahkan telefon bimbitnya kepada bekas Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan memaklumkan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak sedang berada di talian semasa mesyuarat lembaga pengarah 1MDB.

Bekas Pengarah Pelaburan di Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) Kelvin Tan Kay Jin, 50, berkata Jho Low bertindak demikian semasa mesyuarat pada 26 Sept 2009 yang dihadiri beberapa bekas Pengarah 1MDB iaitu Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, Tan Sri Azlan Mohd Zainol dan Tan Sri Ismee Ismail serta bekas Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan 1MDB Casey Tang Keng Chee.

TIA telah dinamakan semula sebagai 1MDB pada 2009.

Terdahulu, saksi pendakwaan kelapan yang menghadiri mesyuarat itu berkata apabila kehadiran Jho Low dipertikai oleh Che Lodin pada mesyuarat tersebut, Jho Low berkata beliau mempunyai peranan dalam ‘Lembaga Penasihat.’

Tan berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan kes Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy berhubung pertuduhan meminda laporan akhir audit syarikat itu.

Muhammad Shafee: Mengapa nama Jho Low tidak dinyatakan dalam senarai kehadiran? Apa sumbangan beliau dalam mesyuarat itu?

Tan: Saya tidak ingat.

Muhammad Shafee: Apa yang pasti, beliau bukan datang untuk sekadar menunjukkan muka. Saya terpaksa membantu anda untuk mengingatinya semula. Jho Low pasti mengatakan sesuatu dalam mesyuarat itu. Jika tidak, apa guna beliau menghadirinya?

Tan: Ya, pada suatu ketika, Tan Sri Lodin menyoal Jho Low apa yang dia buat di situ (mesyuarat) dan Jho Low menyerahkan telefon bimbitnya kepada Tan Sri Bakke dengan berkata perdana menteri di talian… dan saya ingat bahawa Tan Sri Bakke terkejut bahawa itu adalah perdana menteri.

Saya tidak ingat apa yang menyebabkan Jho Low menyerahkan telefonnya kepada Tan Sri (Bakke) supaya beliau bercakap dengan PM.

Semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam, saksi itu berkata PM yang beliau maksudkan ialah Najib.

Katanya beliau telah dinamakan sebagai antara defendan dalam saman yang difailkan oleh 1MDB terhadap bekas pekerja dan pengarah syarikat itu.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum ia dibentangkan di hadapan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadap beliau.

Arul Kanda, 44, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil dan jenayah berkaitan 1MDB.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 9 Sept ini.

Thursday, August 12, 2021

Jho Low hadir mesyuarat ahli lembaga pengarah 1MDB, mahkamah diberitahu

freemalaysiatoday.com
Ho Kit Yen
-August 12, 2021 3:10 PM

Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho menghadiri salah satu mesyuarat ahli lembaga syarikat 1MDB, 12 tahun lalu ‘atas jemputan’. (Gambar AP)

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pegawai 1MDB memberitahu Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan laporan audit Najib Razak dan Arul Kanda Kandasamy bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho hadir dalam salah satu mesyuarat ahli lembaga pengarah syarikat, 12 tahun lalu.

Bekas pengarah pelaburan 1MDB, Kelvin Tan, berkata Low atau dikenali sebagai Jho Low menghadiri mesyuarat itu pada 26 September 2009.

Katanya, turut hadir ialah bekas pengerusi syarikat Mohd Bakke Salleh serta beberapa pengarah Ismee Ismail, Azlan Mohd Zainol dan Che Lodin Wok Kamaruddin, ketua eksekutif Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan eksekutif syarikat Tang Keng Chee.

“Saya mengambil minit mesyuarat pada hari itu bagi pihak setiausaha syarikat (Lim Poh Seng). Nama Jho Low direkodkan di bawah senarai ‘atas jemputan’,” katanya.

Bagaimanapun, Tan berkata dia tidak tahu mengenai kewujudan satu lagi salinan minit mesyuarat pada 26 September 2009 yang tidak memasukkan nama Low.

“Saya tidak tahu bagaimana minit dipinda yang tidak memasukkan nama Low Taek Jho.

“Hanya salinan ini ditunjukkan kepada saya oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Hafidz Othman ketika merakamkan kenyataan saya,” katanya.

Tan turut memberitahu mahkamah, Low tidak memegang sebarang jawatan dalam 1MDB untuk membolehkannya menghadiri mesyuarat ahli lembaga pengarah.

“Ketika mesyuarat itu, Tan Sri Lodin mempersoalkan peranan Low dan dia (Low) membalas bahawa dia mempunyai peranan dalam lembaga penasihat syarikat.

“Kami maklum dengan perkara ini dan tiada siapa bertanyakan mengenainya lagi,” katanya.

Najib dibicarkan kerana didakwa menyalahguna kuasa sebagai perdana menteri dan menteri kewangan untuk memperoleh kekebalan undang0undang dan menyebabkan pindaan terhadap laporan audit akhir 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Bekas ketua eksekutif 1MDB Arul Kanda dituduh bersubahat dengannya.

Sebelum ini, mahkamah mendengar testimoni daripada bekas ketua audit negara Ambrin Buang, yang berkata dia diberitahu untuk mengeluarkan nama Low dalam laporan audit 1MDB Jabatan Audit Negara dengan alasan ia adalah “isu sensitif” dan untuk mengelakkan pembangkang memusing fakta.

Dia berkata beberapa perkara lain dikeluarkan daripada laporan audit adalah dua kenyataan kewangan yang bercanggah bagi 2014, bahagian mengenai terbitan nota jangka-sederhana Islam dan pelanggan sekunder bon Islam.

Ketika pemeriksaan soal balas oleh peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah, mengenai sama ada pengarah dan kakitangan pengurusan terkejut dengan kehadiran Low, Tan menjawab dengan tegas.

“Saya tidak membaca air muka orang lain ketika mereka semua menunjukkan ‘muka selamba’. Ia adalah mesyuarat rasmi,” katanya.

Ditanya sama ada dia masih ingat sama ada Low berkata apa-apa, Tan berkata dia teringat Low menyerahkan telefon bimbitnya kepada Bakke sambil menambah individu dalam talian adalah Najib.

“Bakke terkejut PM berada dalam talian,” katanya.

“Saya tidak ingat apa sebenarnya yang menyebabkan Low menyerahkan telefon bimbitnya kepada Tan Sri (Bakke) untuk bercakap dengan PM.”

Tan turut berkata dia dinamakan sebagai salah seorang defendan dalam saman difailkan oleh 1MDB terhadap bekas kakitangan dan pengarahnya.

“Mereka (1MDB) mendakwa saya melakukan penipuan membabitkan kerugian syarikat berjumlah RM1 bilion. Saya rasa kemungkinan besar mereka melakukan kesilapan,” katanya sambil menambah saman itu tidak mempunyai merit.

Pendengaran di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan akan bersambung.

Thursday, February 11, 2021

Minit mesyuarat kabinet Najib tak pernah sebut nama Jho Low - Saksi

malaysiakini.com

Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan 11 Feb 2021, 2:30 pm

Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa nama Low Taek Jho yang berkait dengan 1MDB tidak pernah dijumpai pada minit mesyuarat kabinet semasa pemerintahan bekas perdana menteri Najib Razak.

Bekas timbalan ketua setiausaha kabinet Mazidah Abdul Majid berkata demikian dalam keterangannya hari ini dalam perbicaraan kes rasuah 1MDB berjumlah RM2.28 bilion terhadap Najib.

Mazidah menjawab soalan timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib jika nama ahli perniagaan dalam buruan itu pernah muncul pada minit mesyuarat kabinet.

Terdahulu, semasa pemeriksaan utama hari ini, saksi pendakwaan ke-11 memberi keterangan dia tidak ingat apakah nama Low pernah muncul ketika mesyuarat kabinet yang dihadirinya.

Akram kemudian memberikan sejumlah besar minit kabinet untuk diteliti Mazidah (gambar, bawah) jika nama Low pernah disebut.
Akram: Berdasarkan semua dokumen di hadapan anda ini, adakah Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low, pernah disebut dalam dokumen-dokumen berkenaan?

Mazidah: Tidak.

Semalam, Mazidah membacakan pernyataan saksi mengenai mesyuarat kabinet yang dipengerusikan oleh Najib pada 8 September 2010.

Saksi itu memberitahu mahkamah bahawa Najib memberitahu kabinet bahawa dia telah mengadakan hubungan rasmi dan tidak rasmi dengan pelbagai pihak dari Timur Tengah dan mendapat respons positif mengenai perkara-perkara yang melibatkan kepentingan Malaysia.

Kata saksi itu lagi, Najib memberitahu kabinet bahawa Putera Mahkota Saudi Sultan Abdul Aziz Al-Saud telah menyatakan persetujuan untuk menyerahkan sumbangan kepada Yayasan 1MDB.

"Sumbangan pertama telah diterima dan mereka (yang dikatakan putera mahkota) telah berjanji untuk memberikan lebih banyak sumbangan selepas ini.

"Sultan Abdul Aziz Al-Saud meminta agar sumbangan ini tidak diumumkan (kepada umum)," kata Mazidah mengenai apa yang dikatakan Najib kepada kabinet ketika itu.
Saksi itu menambah bahawa kabinet kemudian bersetuju dengan Najib "supaya sumbangan dari kerajaan Arab Saudi tidak diumumkan".

Najib menghadapi empat tuduhan penyalahgunaan kuasa dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB sebanyak RM2.28 bilion.

Selain bekas perdana menteri, Najib juga merupakan menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

1MDB adalah anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc).

[Baca berita penuh]

Tuesday, December 3, 2019

'Najib mangsa tipu Jho Low, 4 lelaki Arab' - Pembelaan

Diterbitkan Hari ini 7:05 malam

BERITA

KES SRC NAJIB | Najib Razak merupakan mangsa kepada ahli perniagaan Low Taek Jho, empat lelaki misteri Arab, kata pasukan pembelaan bekas perdana menteri hari ini.

Peguam belas utama Muhammad Shafee Abdullah berkata Low yang dikenali sebagai Jho Low ialah "ketua kumpulan" untuk rancangan itu dan berkonspirasi membuatkan Najib, ketika itu menteri kewangan dan perdana menteri tidak tahu menahu mengenai perkara tersebut.

Shafee juga mendakwa keseluruhan pihak pengurusan SRC International dan 1MDB "dibayar" oleh Low yang kini dalam buruan.

Katanya, hal ini berlaku walaupun Najib berkhidmat sebagai penasihat SRC, pemegang saham tunggal dalam SRC juga 1MDB.

Shafee berkata kepada pemberita bahawa anak guamnya ialah mangsa skandal kewangan yang melanda dua syarikat itu.

Beliau bercakap kepada pemberita di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di mana Najib tampil pada hari ini untuk membela dirinya dalam perbicaraan jenayah melibatkan dana RM42 juta SRC International, syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan - yang juga bekas anak syarikat 1MDB.

"Inti pembelaan saya, rancangan keseluruhannya dibuat oleh Jho Low, bersama empat Arab, dua dari Arab Saudi dan dua lagi dari Abu Dhabi.

"Dan seluruh pengurusan 1MDB dan SRC semuanya telah dibayar oleh Jho Low, (mereka) semua makan dari tapak tangan Jho Low," katanya semasa sidang akhbar hari ini.
Bagaimanapun, Shafee tidak mendedahkan identiti empat orang Arab yang dikatakan itu.

Beliau mempersoalkan kegagalan pihak berkuasa dalam mengesan Low yang menjadi buruan, yang dikehendaki di Malaysia dan beberapa negara lain berhubung skandal 1MDB, walaupun mendapat jaminan positif oleh Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador untuk menangkap Low.

"Saya tidak nampak bayangan Jho Low. Jadi apa sudah jadi? Adakah mereka sengaja menyembunyikan Jho Low dari kami? Kerana jika dia (Low) muncul hari ini di mahkamah ini dan ditangkap, pembelaan anak guam saya 100 peratus lebih baik," katanya.

Dalam pernyataan pembukaan pembelaannya di mahkamah hari ini, Shafee mengkritik keputusan pendakwa untuk menahan kenyataan saksi Low daripada sesi soal siat oleh SPRM tahun lalu.

Mahkamah tinggi pada 15 Nov telah menafikan permohonan Najib untuk meminta pihak pendakwaan menyerahkan kenyataan saksi yang ditemuramah oleh SPRM dan polis tetapi tidak pernah memberi keterangan semasa peringkat perbicaraan oleh pendakwaan. Ini termasuklah kenyataan Low.

Semasa sidang akhbar itu, Shafee terus menunjukkan kesaksian bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping, yang memberi keterangan bahawa Low telah mengarahkannya untuk menyembunyikan butiran akaun Najib daripada perdana menteri itu.
Beliau mempersoalkan jika Najib bukan sebahagian daripada konspirasi, "mengapa Jho Low berminat untuk memastikan Najib tidak melihat penyata akaunnya?

"Ini satu soalan mudah yang perlu kamu tanya sendiri. Oleh itu, Najib bukan sebahagian daripada konspirasi. Najib ialah mangsa, sama seperti mangsa lain di dalam 1MDB dan SRC. "

Yu, saksi pendakwaan, memberi keterangan pada bulan Julai bahawa Low telah menegaskan kepadanya bahaya penyata bank daripada akaun Najib di AmBank tidak boleh dihantar ke rumahnya di Taman Duta di Kuala Lumpur.

Yu juga mendakwa telah diarahkan oleh Low dan bekas ketua pegawai eksekutif SRC Antarabangsa Nik Faisal Ariff Kamil untuk tidak mendedahkan nama Najib apabila dana dimasukkan ke dalam akaunnya.

Sepanjang sidang akhbar, Shafee terus mengekalkan bahawa kakitangan peringkat pengurusan lain di kedua-dua syarikat itu mengetahui rancangan Low.

Beliau mendakwa CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi tidak "diperdaya" (misled) oleh Low tetapi "terbabit" dalam konspirasi yang dikatakan menjadikan Najib mangsa itu.
"Low telah memperdayakan ramai orang (termasuk Yang diPertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin dan Najib).

"Nama 1MSB belum lagi wujud ... Shahrol yang mencadangkan 'mari memanggilnya 1MDB'. Oleh itu, daripada satu penipuan TIA (Lembaga Pelaburan Terengganu), mereka (Loh dan Shahrol) meneruskannya di dalam 1MDB tanpa pengetahuan piha yang berkuasa, "katanya.

Shahrol, bagaimanapun, menafikan dakwaan pembelaan terhadap peranannya dalam konspirasi untuk meletakkan Najib, yang kini masih anggota parlimen Pekan, berada dalam kedudukan yang dikompromi.

Shahrol, saksi kelapan pendakwaan, telah memberi keterangan bahawa 1MDB adalah cetusan gagasan Najib.

TIA diambil alih oleh Kementerian Kewangan pada tahun 2009 dan namanya kemudiannya diubah menjadi 1MDB.

Najib sedang dibicarakan di mahkamah melibatkan tujuh pertuduhan - satu untuk penyalahgunaan kuasa, tiga untuk pecah amanah jenayah dan tiga wang haram - berhubung dakwaan menyelewengkan RM42 juta dana anak syarikat bekas 1MDB.

Perbicaraan memasuki hari ke-59 yang juga hari pertama tertuduh membela dirinya di mahkamah.

[Baca berita penuh]

Najib jelaskan peranan Jho Low dalam 1MDB


BERITA

KES SRC NAJIB | Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini mengaku dia mengenali Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, dan percaya ahli perniagaan itu mampu memudahkan urusan pelaburan Malaysia di Timur Tengah.

Memberi keterangan dalam perbicaraan kes SRC International di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Najib berkata Jho Low menampilkan diri sebagai seorang yang berpengaruh di Timur Tengah.

Menjawab soalan peguam Muhammad Shafee Abdullah berkenaan sama ada Jho Low ada sebarang peranan dalam 1MDB selepas syarikat itu diambil alih kerajaan persekutuan, Najib berkata Jho Low sudah berada di situ sejak syarikat itu ditubuh sebagai Terengganu Investment Authority (TIA) pada 2009.

Katanya lagi, Jho Low ketika itu menjadi penasihat kepada Sultan Mizan Zainal Abidin yang ketika itu merupakan pengerusi lembaga penasihat TIA.

Sultan Mizan juga Yang di-Pertuan Agong pada maa itu.

"Saya dimaklumkan bahawa Jho Low telah dilantik sebagai penasihat kepada pengerusi Lembaga Penasihat TIA yang ketika itu Tuanku sendiri.

"Dia menampilkan dirinya sebagai seorang yang ada pengaruh besar di Timur Tengah, yang membuat saya percaya bahawa dia sepatutnya dapat membantu dalam pelaburan dan perniagaan (saham) dengan mereka (negara Timur Tengah)," kata Najib yang membaca pernyataan saksi.

"Negara-negara ini, yang bermaksud negara-negara Timur Tengah, pada masa itu mengalami limpahan tunai berikutan kenaikan harga minyak (global). Oleh itu, saya berpendapat bahawa pengaruh dan hubungan Jho Low akan memudahkan objektif dan pelaburan 1MDB seperti yang diharapkan."

Ini merupakan hari pertama Najib memberi keterangan di kandang saksi selepas mahkamah mengarahkannya untuk membela diri.

Ini juga kali pertama seorang bekas perdana menteri Malaysia memberi keterangan sebagai saksi dalam perbicaraan di mahkamah.

Najib berkata, Jho Low adalah kenalan rapat Sultan Mizan dan kekandanya Tengku Rahimah Sultan Mahmud.

Berdasarkan pemahamannya, kata Najib, idea TIA tercetus daripada perbincangan antara Sultan Mizan, Jho Low dan kerajaaan Terengganu.

"Saya dimaklumkan bahawa Jho Low telah dilantik sebagai penasihat kepada pengerusi Lembaga Penasihat TIA yang ketika itu Tuanku sendiri," katanya lagi.

Baca laporan langsung keterangan Najib di sini.

Thursday, November 22, 2018

Pemimpin Umno enggan ulas Najib dakwa kerajaan ditipu Jho Low

Mohamad Fadli
-November 22, 2018 6:13 PM

(Dari kiri) Ismail Sabri Yaakob, Noh Omar dan Nazri Aziz.

KUALA LUMPUR: Tiga pemimpin Umno enggan mengulas lanjut berhubung kenyataan Datuk Seri Najib Razak yang mengaku kerajaan pimpinannya ditipu ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low.

Ketika ditanya FMT, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau tidak mahu memberi sebarang komen berhubung kenyataan Najib itu.

“Saya tak baca lagi, saya tak nak komen apa-apa. Tetapi Datuk Seri Najib sudah beri penjelasan, saya rasa pakai itu sahaja,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Hari ini, Najib mengaku kerajaan pimpinannya ditipu Jho Low yang didakwa merupakan perancang skandal 1MDB.

Ketika ditanya Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Karangkraf, Datuk Abdul Jalil Ali, apakah kerajaan ditipu oleh Jho Low, Najib mengakui perkara itu.

“Ya, kalau begitu, itulah kesimpulannya (kita ditipu), kalau kita ambil kira apa yang kita tahu hari ini. Itu sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata, hubungannya dengan Jho Low hanyalah atas dasar profesional semata-mata untuk meningkatkan ekonomi negara.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Noh Omar berkata beliau enggan mengulas mengenai kenyataan Najib kerana tidak mengetahui apa-apa mengenai perkara itu.

“Saya tak boleh nak komen. Ini luar bidang saya. Saya tak tahu, dia (Najib) yang tahu. Saya ingat biar Najib yang buat (kenyataan),” katanya.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz pula enggan mengulas kenyataan Najib itu dan berkata tidak mengenali Jho Low.

“Saya tidak kenal Jho Low,” katanya ringkas di lobi Parlimen.

Thursday, September 20, 2018

Gagal senarai Jho Low notis merah, IGP patut letak jawatan - Kit Siang


Tan Sri Mohamad Fuzi Harun perlu meletak jawatan sebagai Ketua Polis Negara kerana didakwa gagal mematuhi protokol bagi meletakkan Low Taek Jho atau Jho Low dalam Notis Merah Interpol, gesa Anggota Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit SIang.

"Beliau (Fuzi) patut letak jawatan kerana tidak dapat mematuhi protokol Interpol bagi meletakkan Jho Low ke dalam Senarai Notis Merah Interpol.

"Bulan lalu, Mahkamah Sesyen Putrajaya mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low dan bapanya Larry Low Hock Peng bagi membolehkan kedua-duanya di hantar pulang ke Malaysia dan menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan 1MDB.

"Dalam keadaan (mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap) itu, ia gambaran buruk mengenai tahap kemampuan, kecekapan dan profesionalisme PDRM," kata pemimpin veteran DAP itu dalam suatu kenyataan dari Canberra, Australia hari ini.

Kit Siang menyarankan Fuzi membaca dua buku terbaru mengenai skandal 1MDB, “The Sarawak Report – the Inside Story of the 1MDB Expose” tulisan Clare Rewcastle Brown dan buku “Billion Dollar Whale – The Man who fooled Wall Street, Hollywood and the world " karangan wartawan WSJ, Tom Wright dan Bradley Hope.

"...sama ada terdapat sesuatu (bukti) yang baru dalam dua buah buku ini kepada para penyiasat polis ataupun polis memang telah lama tahu kesemua rahsia skandal 1MDB yang didedahkan dalam buku tersebut," katanya lagi.

Semalam, Fuzi Harun mempertahankan kenyataannya berhubung tindakan permohonan notis merah Interpol ke atas Jho Low dan bapa ahli perniagaan yang dikaitkan dengan skandal 1MDB itu.

"...proses yang terlibat dalam permohonan untuk menyenaraikan mana-mana individu di dalam notis Interpol bergantung kepada protokol Interpol dan ia memakan masa serta harus melalui proses teliti yang ditetapkan agensi antarabangsa berkenaan," katanya.

Jun lalu, Jabatan Peguam Negara Singapura, Pasukan Polis Singapura dan Pihak Berkuasa Kewangan Singapura berkata Interpol telah meletakkan ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho dan Tan Kim Loong dalam senarai notis merah pasukan polis antarabangsa itu, sejak Oktober 2016 atas permintaan kerajaan Singapura.

Saturday, August 11, 2018

PM: Jho Low boleh pulang dan tuntut Equanimity

Geraldine Tong
Diterbitkan 11 Ogs 2018, 2:44 petang


Ahli perniagaan yang kini dalam buruan, Low Taek Jho, boleh pulang ke Malaysia dan menuntut Equanimity jika merasakan dirinya pemilik yang berhak ke atas kapal pesiar mewah itu, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Satu-satunya orang yang mahu ambil tindakan undang-undang adalah Low. Untuk ambil tindakan undang-undang, dia boleh datang dan buktikan pada kita (kapal itu) kepunyaannya.

"Ia sangat mahal, kami mahu tahu dari mana dia dapat wang dan bila kita jejak wang itu, akhirnya kita akan dapati ia dari 1MDB,' katanya dalam sidang media di Pelabuhan Kelang, selepas menaiki kapal itu hari ini.

Beliau bersama-sama sekumpulan pengiring - termasuk Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu - membuat lawatan itu selepas mendapat kebenaran mahkamah semalam.

Baca: Dr M akhirnya naik Equanimity

Mahathir mendakwa Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) telah memberi jaminan kapal itu memang milik Low tetapi dibayar menggunakan wang daripada 1MDB.

"Mereka (DOJ) kata jika kita mahu simpannya, kita berhak kerana ia milik kita, dibeli menggunakan wang rakyat yang dicuri dan apabila kita akhirnya menjual (Equanimity), kita berhak ke atas hasilnya.

"Tetapi Low dakwa kapal itu miliknya. Dia boleh pulang dan tuntutnya," katanya.

Pada 7 Ogos lalu, Low menerusi peguamnya dilaporkan berkata, Malaysia mendapatkan Equanimity "secara tidak sah" daripada pihak berkuasa Indonesia serta mencabuli undang-undang negara itu dan keputusan mahkamah.

Wednesday, July 11, 2018

Jho Low tinggalkan Macau - KPN

Sinar Harian |Julai 11, 2018 10:27 MYT
   
Mohamad Fuzi berkata, lokasi terbaru Jho Low setakat ini belum dapat dipastikan lagi. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan kontroversi yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Low Taek Jho atau Jho Low dipercayai telah meninggalkan Macau tanpa diketahui lokasi terbarunya.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Menurutnya, pihaknya dimaklumkan perkara itu melalui emel yang diterima daripada pihak berkuasa Macau.

“Emel itu memaklumkan bahawa Jho Low telah meninggalkan Macau dan pergi ke destinasi yang tidak disebutkan,” katanya dalam sidang media selepas Program Derma Darah Sempena Peringatan Hari Polis Ke-211, di Bukit Aman, hari ini.

Turut hadir adalah Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Pengarah Pusat Darah Negara, Dr Noryati Abu Amin.

Mengulas lanjut ketika ditanya pemberita lokasi terbaru Jho Low, Mohamad Fuzi berkata, perkara itu belum dapat dipastikan lagi.

“Pada Jun lalu, dia (Jho Low) berada di Hong Kong dan kita telah hantar pegawai kita ke sana, tapi dia telah meninggalkan negara itu sebelum ke Macau.

"Kemudian, dua hari lalu kita terima emel beritahu dia telah tinggalkan Macau,” katanya.

Jelasnya, notis merah Polis Antarabangsa (Interpol) telah dikeluarkan untuk beliau (Low) dan harap itu memadai untuk negara berkenaan memberi maklum balas bagi mengesan di mana beliau berada.

5 Julai lalu, polis mengesahkan Jho Low yang sedang diburu berhubung siasatan skandal 1MDB sudah melarikan diri ke Macau.

BACA: Tunggu 'lampu hijau' dari Macau sebelum cekup Jho Low

BACA: SPRM buat pemeriksaan di rumah dipercayai milik Jho Low

Semalam, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata, Jho Low dipercayai menggunakan pasport negara lain pada masa ini selepas Jabatan Imigresen Malaysia membatalkan pasportnya pada 15 Jun lepas.

Friday, June 29, 2018

Najib jawab kenapa Jho Low diberi peranan penting

Sinar Harian | Jun 29, 2018 08:53 MYT

NAJIB: Jho Low mewakili rakan-rakan kongsi di Asia Barat dan rundingan serta perkongsian dengan 1MDB, dia berjaya kagumkan banyak pihak, termasuk saya dalam hubungannya dengan Asia Barat. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendedahkan alasannya memberikan peranan penting kepada Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kata Najib, Jho Low mempunyai hubungan strategik dengan kepimpinan Raja Arab Saudi, Allahyarham Raja Abdullah Abdulaziz dan kerabatnya serta juga istana beberapa negara terutamanya di UAE yang mungkin memberi faedah kepada Malaysia.

Malah, menurutnya, sebelum 1MDB wujud, Jho Low sudah mengawal tiga syarikat tersenarai di Malaysia dan mempunyai pelaburan dalam projek Iskandar Johor dengan dana dikatakan dari Asia Barat.

“Dia membina hubungan ini yang boleh memberikan nilai kepada Malaysia. Itu konteksnya. Apa yang dia buat dengan mereka di luar pengetahuan saya. Dalam konteks itu Jho Low mewakili rakan-rakan kongsi di Asia Barat dan rundingan serta perkongsian dengan 1MDB.

“Dia ketika itu berjaya kagumkan banyak pihak, termasuk saya dengan hubungannya dengan Asia Barat,” katanya dalam temubual eksklusif dengan Malaysiakini.

Najib juga berkata Allahyarham Raja Abdullah memberikan sokongan supaya 1MDB menjalankan kerjasama dengan PetroSaudi.

“Malah, kedutaan Arab Saudi di Malaysia, termasuk beberapa bank utama di sana, menulis surat sokongan untuk PetroSaudi,” katanya.

PetroSaudi dimiliki oleh Putera Turki Abdullah Al Saud, putera ketujuh Raja Abdullah. Putera Turki kemudian menjadi timbalan gabenor dan kemudian gabenor Riyadh, kota paling besar di Arab Saudi.

Selain penjelasan hubungan itu memberi faedah kepada Malaysia, Najib tidak menghuraikan lanjut perkara itu.

Bagaimanapun, Najib berkata hubungan erat dengan Arab Saudi turut membantu permohonan tambahan kuota haji untuk Malaysia.

Mengulas soalan sama ada beliau ada berhubungan dengan Jho Low ketika dakwaan terhadap bilionair itu muncul, Najib berkata ia sudah lama berlalu.

“Ya, saya ada (berhubungan dengan dia) dan dia kata bukan untuknya. Katanya dia bertindak bagi pihak istana Timur Tengah. Itu jawapannya,” katanya.

Najib berkata, beliau tidak bertanya tentang kapal layar mewah Equanimity ketika itu kerana tidak menyedari kewujudannya.

Tuesday, March 27, 2018

Kerajaan AS tak mampu jaga The Equanimity, kata peguam


Pemilik dan pengendali The Equanimity memohon bagi kapal persiaran mewah itu di letakkan di Indonesia bersama-sama dengan anak kapal untuk menjaganya sepanjang penyiasatan berlangsung.

Dalam pemfailan pembelaan kepada Mahkamah Daerah Amerika Syarikat bagi Daerah Pusat California semalam, mereka tidak bersetuju dengan cubaan Jabatan Keadilan AS (DOJ) menjadikan kerajaan AS sebagai penjaga kapal tersebut.

Mereka memohon Perintah Kecemasan Ex parte yang menghalang kerajaan AS daripada sebarang tindakan yang akan 'menjejaskan nilai' kapal bernilai RM1 bilion itu.

"Pihak penuntut meminta mahkamah untuk secara khususnya mengarahkan sebagai bahagian Perintah Kecemasan...bahawa aset defendan perlu kekal di Indonesia bagi sepanjang tempoh perintah itu, kecuali mahkamah memerintahkan yang sebaliknya.
"(Dan) pihak penuntut dibenarkan untuk terus menyelia aset defendan dengan cara yang paling baik bagi memelihara nilainya," kata Naeun Rim, peguam yang mewakili kapal mewah tersebut, dalam dokumen yang dilihat Malaysiakini.

Ahli perniagaan Low Taek Jho yang dikenalpasti DOJ sebagai orang yang membeli kapal mewah dengan dana 'yang dicuri dan diselewengkan daripada 1MDB' sedang berusaha untuk membatalkan rampasan tersebut melalui empat buah syarikat.

Empat syarikat itu ialah Equanimity (Cayman) Ltd, Equanimity Crew (Cayman) Ltd, Equanimity Lifestyle (Cayman) Ltd dan Equanimity Operations and Maintenance (Cayman) Ltd.

Rim berhujah rampasan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) pada 28 Februari lalu di Bali itu sebagai 'tidak sah di sisi undang-undang' dan dilakukan dengan cara 'perkiraan bagi mendapatkan pendedahan media yang seluas mungkin.

Beliau mendakwa FBI 'tidak mempunyai bidang kuasa' di Indonesia dan berdasarkan hal ini tidak memiliki 'asas undang-undang' untuk menuntut pemilikan The Equanimity.
Rim turut mendakwa kerajaan AS mahu menggantikan anak-anak kapal The Equanimity seramai 55 orang dengan lapan orang yang tidak berpengalaman dan kemudian mengangkutnya ke AS tanpa menyiapkan kerja-kerja pembaikan terhadap kapal itu.

Beliau juga berkata kerajaan AS juga berniat untuk menjual kapal mewah itu melalui jualan interlokutori (berdasarkan keputusan mahkamah) yang akan 'gagal untuk meningkatkan nilainya'.

Peguam itu melabelkan hasrat itu sebagai 'rancangan yang berniat jahat' dan berkata tindakan itu bukan sahaja mengancam keselamatan anak-anak kapal tetapi juga nilai kapal persiaran mewah tersebut.

"Rancangan ini jelas menunjukkan kerajaan AS tidak tahu cara menjaga atau memasarkan kapal mewah The Equanimity sebagai unik dengan ciri-ciri tersendiri.

"Pihak yang membuat tuntutan ini mencadangkan kerajaan membenarkan anak-anak kapal sekarang untuk terus menyelia kapal itu di perairan Indonesia sementara pihak terlibat bersama-sama menentukan jualan interlokutori yang akan memelihara nilai dan jika perlu, mencabar hak penyitaan kerajaan," kata beliau dalam dokumen yang dilihat Malaysiakini.

Jho Low melalui jurucakap pada 28 Februari lalu dilaporkan kesal dengan rampasan asetnya kerana dibuat tanpa sebarang pembuktian.

Katanya, rampasan itu berdasarkan tuduhan salah serta bermotifkan politik.

[Baca berita penuh]

Monday, March 12, 2018

Amaran kepada media asing jangan siar berita palsu 1MDB

Kategori Berita Utama
12 MAC:    Media luar negara diminta tidak menyiarkan berita palsu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari berkata ia susulan beberapa pengamal media berkaitan dikatakan cuba menyemarakkan isu 1MDB selepas sebuah kapal layar mewah yang didakwa milik ahli perniagaan, Low Taek Jho dirampas di Indonesia pada 28 Feb lalu.

“Kementerian sudah mengenal pasti beberapa portal berita dalam talian seperti Wall Street Journal, New York Times, The Economist, Australian Broadcasting Corporation (ABC) dan terbaharu MSNBC,” katanya di Sik hari ini.

Tambah beliau, pihaknya percaya penyebaran berita palsu itu dilakukan bagi menjatuhkan kredibiliti Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kita percaya ini adalah sebahagian daripada usaha pihak tertentu yang mempunyai agenda politik, yang cuba fitnah dan mencemar nama baik Perdana Menteri kita menjelang PRU14 tidak lama lagi.

“Namun kementeriannya melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang memantau perkara ini dan menasihatkan portal terbabit segera menghentikan penyiaran berita palsu, terutama berhubung kes 1MDB,” kata Johari.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-