Wednesday, November 7, 2018

RM2.6b: Najib kata tak bohong, nafi dirinya pencuri, penyanyak

Diterbitkan 7 Nov 2018, 12:02 tengah malam


Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan beliau "tidak berbohong" dan menafikan dirinya "seorang pencuri, perompak mahu pun penyangak" dalam isu dana RM2.6 bilion yang masuk ke akaun bank peribadinya itu.

Najib mengulang kenyataannya sebelum ini dana itu berpunca daripada almarhum raja Arab Saudi, Raja Abdullah.

"Ingin saya tegaskan di sini saya tidak pernah berbohong dengan isu sumbangan dana RM2.6 bilion tersebut.

"Pada peringkat pertama dana daripada Raja Abdullah itu datang daripada kementerian kewangan Arab Saudi dan juga daripada putera-puteranya.

"Begitu juga dengan sumbangan dana RM2.6 bilion, dana tersebut telah dihantar kepada saya beserta dengan surat-surat yang ditandatangani putera-putera yang sama untuk menjelaskan sumbernya," kata Najib dalam suatu hantaran video di Facebook.

Menurut Najib hasil hubungan akrabnya dengan Raja Abdullah, maka baginda telah bersetuju untuk memberi sumbangan dana supaya BN kekal memerintah

"Saya mula kenal dengan almarhum King Abdullah sekitar tahun 2009. Perhubungan kami semakin akrab semakin mesra.

"Almarhum telah menganugerahkan kepada saya anugerah tertinggi kerajaan Arab Saudi iaitu King Abdul Aziz Order of Merit yang diberikan kepada presiden (AS) Barrack Obama dan presiden (Rusia) Vadimir Putin dan sebelum itu tidak pernah dianugerah kepada mana-mana perdana menteri Malaysia.

"Pada masa itu almarhum bersetuju membantu saya di mana baginda bersetuju memberi sumbangan dalam bentuk dana supaya kerajaan BN kekal memerintah," katanya.

Kenapa Najib pulang wang yang masuk ke akaunnya?

Najib juga menjelaskan mengapa selepas PRU13, beliau telah memulangkan kembali wang yang masuk ke akaunnya kepada pihak yang menghantar.

Katanya, ini bagi mengelakkan kemungkinan "peristiwa 16 September berulang kembali."

"Sejurus selepas PRU13, hampir seluruh dana itu telah saya hantar balik kepada pihak yang telah menghantar dan kepada saya (return to sender).

"Mengapa saya membuat keputusan tersebut? Ini kerana untuk mengelak kemungkinan peristiwa 916 (16 September) berulang kembali.

"Dengan adanya dana tersebut maka kita telah mengelak daripada peristiwa 916 berulang dan suasana politik yang stabil di dalam negara kita ini," dakwanya.

Walau bagaimanapun Najib tidak memperincikan kaitan rancangan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih kuasa di Dewan Rakyat dengan cuba mendapat sokongan MP BN selepas pilihan raya 2008.

Dalam hantaran videonya itu juga, anggota parlimen Pekan berharap kebenaran akan muncul akhirnya bagi membersihkan tuduhan dan dakwaan yang dihadapinya mengenai dana RM2.6 bilion itu.

BACA: Menteri Arab kata RM2.6b tiada kaitan dengan Saudi - Saifuddin

Akhbar Umno: Najib bohong, perlu mohon maaf pada ahli

Kamu tidak adil pada saya - Najib tinggalkan wawancara Al Jazeera

"Saya bukan seorang pencuri, perompak mahu pun penyangak.

"Mudah-mudahan apabila sampai pada masanya kebenaran akan muncul dan tuduhan serta tohmahan akan lenyap," katanya lagi.

Utusan kata ahli Umno tertipu, gesa Najib mohon maaf

Akhbar Utusan Malaysia milik Umno sebelum ini mendakwa Najib berbohong mengenai kemasukan dana RM2.6 bilion ini dan menuntut bekas presiden parti itu memohon maaf kepada anggota Umno.

"Ahli Umno berasa tertipu kerana selama ini mereka menerima kenyataan beliau bahawa wang itu sebenarnya adalah sumbangan daripada kerajaan Arab Saudi.

"Adalah tidak masuk akal yang Najib tidak tahu dari mana sumber sebenar jumlah wang yang besar itu," kata pojok Awang Selamat, terbit pada Mingguan Malaysia, Ahad lalu.

Awang Selamat pembayang pantun dua kerat, "siakap senohong, gelama ikan duri..." sebagai judul pojoknya yang mengkritik Najib itu.

Sementara pada penghujung ruangan itu, Awang Selamat menyimpulkan maksud pembayang pantun yang malar segar itu.

"Bukan semua pencuri itu pembohong tetapi mereka yang berbohong itu selalunya mencuri," katanya.




No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-