Wednesday, December 19, 2018

Ahli Parlimen UMNO dianggap sampah, bernilai bagi BERSATU

Oleh Fahmy Azril Rosli
cnews@nstp.com.my

DR Asyraf Wajdi Dusuki. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen UMNO yang dianggap sampah oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) sebenarnya menjadi aset paling berharga buat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata sebenarnya BERSATU begitu terdesak merekrut Ahli Parlimen UMNO untuk menyertai parti itu sehingga sanggup menerima individu yang pernah dilabel sampah oleh pemimpin PH.

Beliau berkata, kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Ahli Parlimen UMNO akan menguatkan BERSATU membuktikan bahawa BERSATU terutama pemimpinnya gagal mengukuhkan cengkaman parti itu meskipun sudah bergelar kerajaan.

“Malah, yang sebaliknya berlaku untuk BERSATU termasuk usaha membuka cawangan di negeri termasuk di luar bandar. Kegagalan ini begitu nyata sekali di Sarawak apabila parti itu semakin tidak diterima hinggakan majlis perasmian di negeri itu hanya 30 peratus yang memenuhi dewan perasmian.

“Saya rasa Dr Mahathir selepas pilihan raya, beliau ingat dengan perubahan kerajaan... BERSATU boleh bertapak dengan lebih kukuh. Hakikatnya, beliau amat memerlukan Ahli Parlimen UMNO dengan menggunakan jalan pintas.

“Ia termasuklah menggunakan cara yang beliau cuba buat dengan menekan dan memujuk Ahli Parlimen UMNO walaupun beliau sendiri menyatakan tidak akan terima Ahli Parlimen UMNO yang pernah dianggap sebagai sampah dan tidak ada apa-apa nilai,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Dr Mahathir yang juga Pengerusi BERSATU sebelum ini, mendakwa kemasukan bekas Ahli Parlimen UMNO dalam parti itu akan mengukuhkan lagi kedudukannya di kawasan luar bandar.

Dr Mahathir juga percaya Ahli Parlimen berkenaan mempunyai sokongan yang kuat dalam kalangan akar umbi di kawasan luar bandar yang sudah tentu memberi kelebihan dalam meraih sokongan undi Melayu.

Menurut Dr Mahathir, apabila BERSATU mendapat tempat di hati orang Melayu, maka parti akan menjadi lebih kuat dan ia akan mengukuhkan kedudukan Pakatan Harapan (PH) di kawasan berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-