Sunday, December 16, 2018

Ambil kira persepsi rakyat jika terima bekas ahli BN

Diterbitkan 16 Dis 2018, 9:54 pagi


Pakatan Harapan (PH) diingatkan supaya berhati-hati menguruskan isu pemimpin dan wakil rakyat Umno yang melompat keluar dari parti mereka.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin berkata buat masa ini memang tidak ada sebarang peruntukan undang-undang yang menghalang seseorang wakil rakyat menyertai mana-mana parti lain selepas dipilih rakyat dalam pilihan raya.

Bagaimanapun kata Hanipa PH tidak boleh mengambil mudah isu berkenaan.

"Kita mesti sangat berhati-hati. Rakyat sedang memerhati kita dengan teliti," katanya dalam satu hantaran di media sosial semalam.

Kenyataan itu dibuat selepas satu demi satu anggota parlimen atau ahli dewan undangan negeri mewakili Umno mengumumkan langkah mereka keluar dari parti berkenaan.

Semalam juga media melaporkan dua anggota PAS bertemu Dr Mahathir Mohamad tanpa pengetahuan parti. Ia menjadi perhatian kerana ada pihak meramalkan langkah pemimpin Umno sebelum ini akan dituruti PAS pula.

Bagaimanapun Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan ia adala pertemuan biasa.

Kebiasaannya anggota parlimen dari Umno itu menjadi wakil rakyat bebas untuk seketika sebelum menyertai Bersatu yang dipimpin Mahathir dan Muhyiddin Yassin.

Menurut Hanipa pada PRU lalu rakyat sudah menolak Umno dan BN untuk memberi mandat kepada PH.

Justeru kata anggota parlimen Sepang mewakili Amanah itu dalam politik aspek persepsi perlu diambil kira oleh pemimpin parti dalam PH.

Katanya langkah menerima anggota parlimen BN menyertai parti dalam PH boleh menyebabkan wujud persepsi negatif di kalangan rakyat.

Pada masa sama Hanipa berkata beliau "menghormati" anggota parlimen yang masih kekal bersama BN.

"Apa pun, saya hormat anggota parlimen BN yang masih stay dalam BN.

"Sekurang- kurangnya anda semua masih mahu pertahankan BN dan mahu makin rapat dengan parti ehem. Teruskan istiqamah," katanya.

Untuk rekod "parti ehem" dinyatakan Hanipa dalam kenyataan itu dipercayai merujuk kepada PAS.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-