Tuesday, December 25, 2018

Lebih 1,000 berarak di Klang tuntut keadilan untuk Adib

Faiz Zainudin
-December 25, 2018 6:12 PM

Penunjuk perasaan keluar dari Masjid Bandar Diraja Klang untuk menyertai perarakan 1,000 orang menuntut keadilan untuk Adib.

KLANG:  Lebih 1,000 orang berarak dari Masjid Bandar Diraja Klang ke Dataran Seni Klang petang tadi menuntut keadilan untuk anggota bomba yang meninggal dunia selepas cedera dalam keganasan di kuil Seafield, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Tunjuk perasaan anjuran Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) berarak sejauh 500 meter bermula 5.10 petang, selepas solat Asar, solat jenazah ghaib dan tahlil beramai-ramai.

Penunjuk perasan melaungkan “Hidup Islam” dan “Hidup Melayu” sambil mendesak kerajaan memecat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dan Exco Selangor, V Ganabatirau.

Adib tercedera dalam rusuhan penganut Hindu yang tidak mahu kuil tersebut dipindahkan. Beberapa kereta terbakar dan kompleks One City yang terletak berdekatan dirosakkan perusuh

“Kita nak tuntut keadilan buat Adib dan minta Waytha dipecat,” kata Setiausaha Geras, Wan Asshima Kamaruddin kepada penunjuk perasaan sebelum berarak.

Geras mengemukakan 7 tuntutan dalam tunjuk perasaan hari ini, selain keadilan untuk Adib dan pemecatan menteri dan exco berkenaan

.
Penunjuk perasaan di Dataran Seni Klang mendengar ucapan daripada Presiden Geras, Abu Bakar Mohamed, yang lengkap berpakaian tradisional Melayu.

“Kita juga mahu kerajaan menguatkuasakan Akta Kontrak Sosial kepada generasi akan datang serta meminta mana-mana individu mahupun menteri tidak sesekali menghina agama Islam sebagai agama rasmi yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Selain itu, kita juga meminta kerajaan negeri mahupun pusat mengambil tindakan kepada mana-mana rumah ibadat yang wujud secara haram supaya perkara yang sama seperti di Seafield tidak berulang.

“Kita juga meminta jangan ada cubaan menghina kedudukan raja-raja Melayu serta penjawat awam di negara ini. Geras juga menolak ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum),” kata Presiden Geras, Abu Bakar Mohamed.

Kumpulan itu turut melancarkan tabung bantuan untuk keluarga anggota bomba itu.

Tunjuk perasaan hari ini menyusuli satu himpunan di Pejabat Perdana Menteri pada Jumaat, di mana 200 orang berearak mendesak Putrajaya memecat Waytha.

Waytha dan Ganabatirau dikritik orang ramai kerana reaksi mereka terhadap keganasan yang menyusuli pertikaian antara kumpulan-kumpulan penganut Hindu dan pemaju tentang pemindahan Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 26 dan 27 November lalu.

Adib meninggal dunia selepas mengalami kecederaan dalam rusuhan yang menyaksikan beberapa kenderaan terbakar dan kompleks One City berdekatan dirosakkan perusuh.

Waytha dibidas kerana menuduh polis lambat mengawal keadaan apabila kuil diserang sekumpulan orang pada pagi 26 November. Ganabatirau pula dikecam kerana didakwa, pada peringkat awal, menyalahkan orang Islam atas keganasan di kuil berkenaan.

Waytha juga didakwa gagal meredakan ketegangan kaum yang menyusuli kejadian itu.

Sementara Kula pula dikecam penunjuk perasaan kerana menyertai sidang media menuduh pihak berkuasa lambat bertindak.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-