Showing posts with label anggota bomba. Show all posts
Showing posts with label anggota bomba. Show all posts

Tuesday, October 1, 2019

Mana empat suspek kes Adib? Menteri sila jawab semula, kata Noh

News | Diterbitkan Hari ini 1:01 tengahari


Ahli Parlimen Umno, Noh Omar sekali lagi akan mengemukakan soalan mengenai keberadaan empat suspek yang ditahan berhubung kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim pada sidang Dewan Rakyat yang bakal bermula minggu depan.

Ahli Parlimen Tanjong Karang itu berkata beliau tidak berpuas hati dengan jawapan sebelum ini apabila beliau membangkitkan perkara itu pada sidang yang terakhir.

“Pada sidang parlimen yang lalu, saya telah meminta Menteri Dalam Negeri (Muhyiddin Yassin) menjawab di manakah empat orang suspek tersebut. Adakah masih berada dalam negara ataupun tidak. Namun sayangnya soalan saya ini tidak terpilih dan hanya dijawab secara bertulis.
“Saya sememang tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan kerana saya telah meramalkan kes ini akhirnya akan terbukti wujud unsur jenayah dan ternyata ramalan saya tepat.

“Persoalan sekarang ini adalah jika pihak polis mahu memanggil empat orang suspek tersebut, adakah mereka masih berada dalam negara?” katanya yang dipetik oleh portal Umno-Online.

Dalam jawapan bertulis kepada Noh bertarikh 9 Julai, Kementerian Dalam Negeri berkata empat suspek itu telah ditahan dan percakapan mereka telah dirakamkan.

"Kesemua suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis kerana hasil siasatan mendapati tiada keterangan atau petunjuk untuk mengaitkan mereka dengan kes ini.

"Tiada keperluan untuk pihak polis memantau pergerakan keempat-empat individu yang dibebaskan itu kerana mereka tidak lagi berada dalam siasatan pihak polis.

"Namun sekiranya ada petunjuk baru yang boleh mengaitkan keempat-empat atau mana-mana individu dengan kes ini, maka pihak polis akan mengambil tindakan sewajarnya," katanya.
Minggu lalu Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan bahawa kematian Adib adalah disebabkan oleh unsur jenayah yang dilakukan oleh dua atau tiga penyerang yang tidak dapat dikenali semasa rusuhan di luar kuil Seafield November lalu.

Adib, 24, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember akibat kecederaannya.

[Baca berita penuh]

Tuesday, May 28, 2019

Keluarga Adib tuntut penjelasan penarikan diri peguam

Hariz Mohd
Diterbitkan 27 Mei 2019, 9:14 malam


Ahli keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim mengaku keliru dengan penarikan diri peguam Syazlin Mansor yang dilantik kerajaan bagi inkues kematian anggota bomba berkenaan.

Mohd Kamaruzaman A Wahab yang merupakan peguam yang dilantik keluarga Muhammad Adib memaklumkan perkara itu.

"Kita (peguam) sudah beritahu keluarga (Muhammad Adib), tapi kita pun keliru, apa akan jadi.

"Ini berita mengejut kepada kami," katanya kepada Malaysiakini.

"Kami nampak ada sesuatu yang terjadi, tapi kami tak tahu. Jadi kami mahu penjelasan kenapa tiba-tiba(keputusan itu dibuat).

"Kenapa tiba-tiba? Sebab kes ini dah nak habis dah, tiba-tiba berlaku macam ini," katanya.

Kamaruzaman yang mengetuai pasukan yang terdiri daripada lima peguam yang memberi nasihat kepada keluarga Muhammad Adib berkata demikian sebagai mengulas penarikan diri Syazlin dari inkues itu hari ini.

Syazlin dilantik oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi mewakili kementerian itu dan Jabatan Bomba dan Penyelamat sebagai pihak berkepentingan dalam inkues berkenaan.

Pelantikan Syazlin juga sebagai mewakili keluarga Muhammad Adib, selain pasukan peguam yang dilantik keluarga Muhammad Adib sendiri.

Dalam memaklumkan penarikan dirinya hari ini, Syazlin memaklumkan Mahkamah Koroner Shah Alam bahawa ia juga bererti tindakan memanggil semula saksi ke-29 iaitu Perunding Kanan Patalogi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid, akan terbatal.

Dr Shahrom sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa Adib mengalami kecederaan selepas ditarik keluar dari kenderaan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) dan dipukul pada 27 November lalu semasa rusuhan di kuil Seafield.

Keterangannya itu bertentangan dengan kenyataan dua pakar lain, yang memberitahu mahkamah bahawa Adib terjatuh dari kenderaan tersebut dan kecederaannya adalah akibat terkena rempuhan dalam usaha cuba melarikan diri.

Ketika ditanya sama ada pihaknya akan melantik Dr Shahrom sebagai saksi, Kamaruzaman berkata mereka tidak mempunyai sumber untuk berbuat demikian.

"Kami boleh (lantik Dr Shahrom sebagai saksi), tapi kita tak ada sumber.

"Kita tak ada duit nak bayar. Saksi pakar ni patutnya ada yang bayar untuk perkhidmatan dia.

"KPKT ada sumber, kita tak ada," katanya.

Bagaimanapun, untuk rekod, Shahrom tidak dibayar untuk memberi keterangan dalam inkues berkenaan. Perkara ini sudah disahkan oleh Syazlin sebelum ini.

Kamaruzaman juga menambah bahawa mereka tidak akan memanggil Shahrom kerana keterangan Shahrom dalam inkues itu sebelum ini masih diambil kira.

"Saya nampak keterangan (saksi ke-24) Dr Ahmad Hafizam tidak begitu kuat. Jadi sebenarnya keperluan tu tak sangat untuk panggil semula (Dr Shahrom)," katanya.

Hafizam sebelum ini dipanggil semula oleh pegawai pengendali inkues untuk memberi kenyataan lanjut menafikan teori Dr Shahrom.

Kamaruzaman menegaskan bahawa pihaknya akan meneruskan inkues itu meskipun dengan penarikan diri Syazlin.

"Apapun kita akan teruskan, bagi kita, kita akan terus lawan untuk keluarga Muhammad Adib. Dengan atau tanpa (peguam) bomba," katanya.

[Baca berita asal]

Tuesday, December 25, 2018

Lebih 1,000 berarak di Klang tuntut keadilan untuk Adib

Faiz Zainudin
-December 25, 2018 6:12 PM

Penunjuk perasaan keluar dari Masjid Bandar Diraja Klang untuk menyertai perarakan 1,000 orang menuntut keadilan untuk Adib.

KLANG:  Lebih 1,000 orang berarak dari Masjid Bandar Diraja Klang ke Dataran Seni Klang petang tadi menuntut keadilan untuk anggota bomba yang meninggal dunia selepas cedera dalam keganasan di kuil Seafield, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Tunjuk perasaan anjuran Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) berarak sejauh 500 meter bermula 5.10 petang, selepas solat Asar, solat jenazah ghaib dan tahlil beramai-ramai.

Penunjuk perasan melaungkan “Hidup Islam” dan “Hidup Melayu” sambil mendesak kerajaan memecat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dan Exco Selangor, V Ganabatirau.

Adib tercedera dalam rusuhan penganut Hindu yang tidak mahu kuil tersebut dipindahkan. Beberapa kereta terbakar dan kompleks One City yang terletak berdekatan dirosakkan perusuh

“Kita nak tuntut keadilan buat Adib dan minta Waytha dipecat,” kata Setiausaha Geras, Wan Asshima Kamaruddin kepada penunjuk perasaan sebelum berarak.

Geras mengemukakan 7 tuntutan dalam tunjuk perasaan hari ini, selain keadilan untuk Adib dan pemecatan menteri dan exco berkenaan

.
Penunjuk perasaan di Dataran Seni Klang mendengar ucapan daripada Presiden Geras, Abu Bakar Mohamed, yang lengkap berpakaian tradisional Melayu.

“Kita juga mahu kerajaan menguatkuasakan Akta Kontrak Sosial kepada generasi akan datang serta meminta mana-mana individu mahupun menteri tidak sesekali menghina agama Islam sebagai agama rasmi yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Selain itu, kita juga meminta kerajaan negeri mahupun pusat mengambil tindakan kepada mana-mana rumah ibadat yang wujud secara haram supaya perkara yang sama seperti di Seafield tidak berulang.

“Kita juga meminta jangan ada cubaan menghina kedudukan raja-raja Melayu serta penjawat awam di negara ini. Geras juga menolak ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum),” kata Presiden Geras, Abu Bakar Mohamed.

Kumpulan itu turut melancarkan tabung bantuan untuk keluarga anggota bomba itu.

Tunjuk perasaan hari ini menyusuli satu himpunan di Pejabat Perdana Menteri pada Jumaat, di mana 200 orang berearak mendesak Putrajaya memecat Waytha.

Waytha dan Ganabatirau dikritik orang ramai kerana reaksi mereka terhadap keganasan yang menyusuli pertikaian antara kumpulan-kumpulan penganut Hindu dan pemaju tentang pemindahan Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 26 dan 27 November lalu.

Adib meninggal dunia selepas mengalami kecederaan dalam rusuhan yang menyaksikan beberapa kenderaan terbakar dan kompleks One City berdekatan dirosakkan perusuh.

Waytha dibidas kerana menuduh polis lambat mengawal keadaan apabila kuil diserang sekumpulan orang pada pagi 26 November. Ganabatirau pula dikecam kerana didakwa, pada peringkat awal, menyalahkan orang Islam atas keganasan di kuil berkenaan.

Waytha juga didakwa gagal meredakan ketegangan kaum yang menyusuli kejadian itu.

Sementara Kula pula dikecam penunjuk perasaan kerana menyertai sidang media menuduh pihak berkuasa lambat bertindak.

Tuesday, December 18, 2018

Pembunuh Adib Wajar Dihukum Bunuh, Harga Nyawa Jangan Dipandang Ringan, Kata Mufti Perlis

SUARA TV
Suara Tanpa Sempadan
Nur Effy December 18, 2018

SHAH ALAM – Kematian Muhammad Adib Mohd Kassim perlu diadili dengan mengheret para pelakunya ke muka pengadilan, demikian pandangan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Mohd Asri berkata, harga sebuah nyawa tidak boleh dipandang ringan, justeru pembunuh anggota bomba itu mesti dihukum bunuh melainkan jika keluarga mangsa memaafkan.

“Dia telah terkorban semasa bertugas demi negara hasil dari perbuatan kumpulan pengganas.

“Pihak berkuasa hendaklah segera membawa kumpulan pengganas tersebut ke pengadilan dan menerima hukuman yang wajar. Harga nyawa tidak boleh dipandang ringan.

“Pembunuh mesti dihukum bunuh melainkan jika keluarga mangsa memaafkan. Jika tidak, rosaklah keseimbangan keadilan dalam hidup ini”, katanya dalam satu catatan di Facebook.
Mohd Asri turut memetik firman Allah dalam Surah Al-Baqarah (ayat 179) yang menghuraikan mengenai hukum bagi perbuatan bunuh menerusi hukum Qisas.

“Jika pembunuh beliau tidak diheret ke muka pengadilan, maka tiada apa lagi yang puak pengganas dan pelampau itu akan akur terhadap undang-undang dalam negara ini,” katanya.

Allahyarham Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.41 malam tadi, selepas 21 bertarung nyawa akibat dipukul perusuh dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, 27 November lalu. 

-SuaraTv

Adib meninggal dunia

Diterbitkan 17 Dis 2018, 10:20 malam


Anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang cedera parah dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman baru-baru ini dilaporkan meninggal dunia 9.41 malam tadi.

Perkara itu turut disahkan melalui kenyataan media yang dikeluarkan Menteri Perumahan & Kerajaan Tempatan malam ini.

"Dukacita dimaklumkan Pegawai Bomba Muhammad Adib Kassim telah meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada jam 9.41 malam.

"Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang yang beriman," kata kenyataan media berkenaan

[Berita lanjut menyusul]

Sunday, December 16, 2018

Adib kritikal, doa rakyat Malaysia diperlukan

Published on December 16, 2018


KUALA LUMPUR – Keadaan kesihatan Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang cedera parah selepas diserang dalam insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman USJ25, Subang Jaya, 27 November lalu, dilaporkan semakin merosot dan membimbangkan.

Hal demikian, doa seluruh rakyat Malaysia sangat diperlukan ketika ini untuk menstabilkan semula tahap kesihatannya.

Institut Jantung Negara (IJN) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, fungsi paru-paru Muhammad Adib mengalami kemerosotan yang progresif.

“Selepas menjalani pemerikasaan, paru-paru Muhammad Adib menunjukkan tanda-tanda penyatuan dan pengerasan pada tisu paru-paru. Kondisi itu menyebabkan pertukaran gas tidak efektif.

“Bukan itu sahaja, fungsi buah pinggangnya juga bertambah buruk, sehingga menyebabkan dia memerlukan semula sokongan dialisis,” kata IJN.

Hal demikian, IJN telah mengadakan sesi perbincangan dengan beberapa disiplin perubatan memutuskan untuk menggunakan semula mesin sokongan Veno-Venous Extracorporeal Membrane Oxygenation (vv-ECMO) pada jam 9 malam semalam bagi membantu paru-parunya berfungsi.

“Dalam situasi ini, penerimaan lawatan sangat terhad.

“Kami (IJN) sangat mengharapkan doa daripada rakyat Malaysia untuk mengembalikan kesihatan Muhammad Adib,” ujarnya.

Source: SH Nasional

Wednesday, December 5, 2018

Reaksi positif, Adib dijangka kahwin hujung Dis - Zuraida

Diterbitkan 5 Dis 2018, 4:10 petang


Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yakin rancangan anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim untuk melangsungkan perkahwinan pada penghujung bulan ini dapat direalisasikan susulan perkembangan positif sepanjang sembilan hari dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur.

Menurutnya, beliau yakin Muhammad Adib akan pulih seperti seorang anak muda sesuai dengan umurnya iaitu 24 tahun hasil rawatan dan pemantauan berterusan IJN.

"Adib menunjukkan perkembangan yang positif dan doktor telah memberikan tumpuan yang sangat baik kepadanya.
"Saya percaya dengan rawatan dan pemantauan, Adib akan kembali pulih seperti sedia kala tetapi kini masih memerlukan rawatan insentif," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Muhammad Adib di IJN, di Kuala Lumpur, hari ini.

Zuraida berkata keluarga Muhammad Adib juga menunjukkan reaksi ceria selepas melihat perkembangan positif anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Klinikal IJN Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim berkata Muhammad Adib akan kekal ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sehingga sembuh sepenuhnya.

"Keadaan Adib semakin pulih, 70 peratus stabil berbanding sebelum ini dan proses pemulihan mengambil masa, kita harus bersabar.

"Kita puas hati dengan perkembangan positif Adib dari semasa ke semasa dan harap perkembangan yang lebih ketara dalam masa dua hingga tiga minggu ini,” katanya.

Terdahulu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba di IJN kira-kira 11 pagi dan meluangkan masa hampir setengah jam melawat Mohammad Adib.

"Hari ini adalah hari yang baik kerana Muhammad Adib buat pertama kali menunjukkan isyarat bagus.

“Dia sedar, tak boleh cakap tapi boleh dengar," ” kata Najib.

Muhammad Adib sebelum ini dilaporkan parah diserang sekumpulan perusuh ketika terlibat dalam operasi memadam kebakaran kenderaan di hadapan Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada 27 Nov lalu.

- Bernama

Saturday, December 1, 2018

'Tak pernah ada dalam sejarah...'

MyMetro
Hasbi Sidek
cnews@nstp.com.my

AHLI keluarga melawat Muhammad Adib. FOTO Arkib NSTP

“PERTAMA kali dalam sejarah di negara ini apabila anggota bomba yang bertugas dibelasah perusuh sehingga separuh mati,” kata bekas Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Dr Soh Chai Hock.

Menurutnya, beliau amat sedih apabila anggota berkenaan, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, dipukul dengan begitu teruk oleh perusuh dalam insiden di di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 24, Subang Jaya, Selasa lalu.

Menurutnya, perkara sedemikian juga tidak pernah berlaku sepanjang 36 tahun beliau berkhidmat dalam JBPM.

“Saya kini sudah berusia 74 tahun, tidak pernah ada orang belasah anggota bomba begitu teruk,” katanya.

Beliau ditemui selepas melawat Muhammad Adib di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, hari ini.

Soh berkata, Seksyen 5 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 menyatakan tugas bomba adalah untuk memadam kebakaran, melindungi harta benda dan nyawa, menjalankan khidmat kemanusiaan serta tugas lain seperti arahan menteri.

“Anggota bomba adalah friend of people (rakan kepada orang awam) dan mereka tidak terbabit dengan apa-apa yang menentang perusuh, tugas mereka adalah memadamkan kebakaran.

“Orang awam atau perusuh kena ambil tahu bahawa menyerang anggota bomba tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta tindakan tegas perlu diambil terhadap perusuh yang mencederakan Muhammad Adib

“Saya mahu perusuh mendapat hukuman setimpal atas kelakuan mereka," katanya,” katanya.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Disember 2018 @ 2:39 PM

Friday, November 30, 2018

Alhamdulillah, Adib mula sedar...

MyMetro
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@nstp.com.my


KEADAAN anggota Bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang parah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Selasa lalu mula sedar dan faham arahan yang diberikan.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN) Datuk Seri Dr Azhari Yakub berkata, keadaan Muhammad Adib masih dikategorikan sebagai kritikal namun stabil.

“Pagi tadi dia mula sedar dan faham arahan yang diberikan. Itu adalah tanda positif yang menunjukkan otak berfungsi.

“Bagi kecederaan organ, Muhammad Adib masih menggunakan mesin Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO) yang membantu fungsi paru-paru,” katanya pada sidang media di IJN, Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Datuk Mohammad Hamdan Wahid dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mohamed Farid Md Rafik.

Dr Azhari berkata, pemeriksaan tekanan darah masih rendah bermaksud buah pinggang beliau rosak dan memerlukan rawatan dialisis.

“Kami menjangkakan beliau memerlukan penggunaan mesin ECMO kira-kira beberapa hari lagi.

“Kita harap masyarakat terus berdoa supaya keadaan Muhammad Adib terus bertambah baik,” katanya.

Terdahulu Kementerian Kesihatan dan Institut Jantung Negara (IJN) masih dalam proses untuk menyediakan laporan perubatan Muhammad Adib.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, pihaknya yakin ia dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

Katanya, laporan itu penting bagi mengenal pasti tahap dan punca kecederaan dialami mangsa.

Dalam kejadian pada awal pagi Selasa lalu, Muhammad Adib anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya parah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 November 2018 @ 10:29 AM

Sultan Nazrin doakan Adib sembuh

MyMetro
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@nstp.com.my

TIMBALAN yang di Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menziarahi Anggota Bomba dan Penyelamat, Muhammad Adib Mohd Kassim di Institut Jantung Negara selepas diserang oleh perusuh di Kuil Maha Mariamman. FOTO Syarafiq Abd Samad

PEMANGKU Yang di Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan rasa sedih atas kejadian yang menimpa anggota Bomba dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 24, Subang Jaya, Selasa lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, baginda turut mendoakan kesihatan Muhamad Adib Mohd Kasim, 24, sembuh.

“Hari ini kita menerima kunjungan Pemangku Yang di Pertuan Agong, baginda meluangkan masa kira-kira 15 minit untuk melawat anggota Bomba.

“Baginda turut diberi taklimat mengenai keadaan kesihatan Muhammad Adib oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Jantung Negara (IJN) Datuk Seri Dr Azhari Yakub dan doktor pakar yang lain,” katanya pada sidang media di IJN, disini hari ini.

Terdahulu Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menziarahi anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, di Institut Jantung Negara (IJN), di Kuala Lumpur, hari ini.

Baginda yang berangkat tiba 9.10 pagi itu diiringi Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Mohammad Hamdan Wahid ke bilik pesakit di tingkat 1 Unit Rawatan Rapi (ICU), IJN.

Turut mengiringi baginda Ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mohamed Farid Md Rafik.

Baginda turut diberikan taklimat oleh Doktor Pakar Kardiotorasik Datuk Dr Mohamed Izani Md Taib.

Terdahulu, NSTP melaporkan Kementerian Kesihatan dan Institut Jantung Negara (IJN) masih dalam proses untuk menyediakan laporan perubatan Muhammad Adib.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pihaknya yakin ia dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

Katanya, laporan itu penting bagi mengenal pasti tahap dan punca kecederaan dialami mangsa.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 November 2018 @ 10:44 AM

Wednesday, November 28, 2018

'Kami memang diserang'

Anne Muhammad
Diterbitkan 28 Nov 2018, 10:10 malam |


"Begitu kelam kabut dan panik," kata seorang anggota bomba menceritakan pengalamannya ketika bertugas di tengah-tengah rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, awal pagi Selasa lali.

Salah seorang daripada lapan anggota yang ditugaskan, Mohd Hazim Mohd Rahimi berkata pasukannya memang telah diserang perusuh.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, tugas saya untuk turun daripada jentera dan terus ke tempat simpanan salur bantu mula (hose reel). Jika kebakaran di sebelah kiri, saya akan tuju tempat simpanan di sebelah kiri untuk memadam api.

"Tapi belum sempat keluar, kami sudah diserang. Saya terus lari dan masuk ke dalam jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di belakang jentera Fire Rescue Tender (FRT)," katanya dalam sidang media di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur, hari ini.
Hazim (duduk, dua dari kanan)

Namun, katanya lagi, pintu jentera EMRS itu turut diserang sehingga tercabut, dan kini menjadi sebahagian bahan bukti polis.

Dalam sidang media itu, Ketua Pengarah Bomba Mohamad Hamdan Wahid menampilkan Hazim, 31, sebagai individu yang dilanggar belakang jentera bomba seperti yang dipaparkan video yang tular hari ini.

Baca: Serang bomba: Perusuh akan dibawa ke muka pengadilan, kata menteri

Hamdan berkata Hazim yang bertugas di Balai Bomba Subang Jaya terselamat dalam kejadian itu.

Ia bagi menafikan dakwaan pihak kuil bahawa individu itu adalah Muhammad Adib Mohd Kassim yang sebelum ini dilaporkan diserang perusuh sehingga cedera parah.

Hamdan berkata anggotanya berdepan situasi sukar apabila perusuh melemparkan peralatan seperti kayu, parang, besi dan paip kepada anggotanya.

"Bila sampai ke lokasi, pemandu EMRS beritahu parang, kayu, besi menghentam pintu jenteranya.

"Kalau ini yang dikatakan sambutan dan layanan yang baik, anda sendiri boleh menilainya," katanya lagi.

Rusuhan kuil: 'Muhammad Adib bukan dipukul...'

MyMetro
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@nstp.com.my

JENTERA FRT milik BBP Subang Jaya mengalami kerosakan apabila perusuh bertindak memecah cermin hadapan serta belakang selain cermin tingkap jentera di sisi kiri dan kanan dalam kejadian di sekitar Kuil Maha Mariamman. FOTO NSTP

BADAN bertindak Kuil Sri Maha Mariamman mendakwa anggota Bomba yang parah dalam insiden rusuhan berhadapan kuil berkenaan awal pagi semalam adalah disebabkan kemalangan jalan raya.

Setiausaha Badan Bertindak Kuil, V K Regu mendakwa, kejadian dipercayai berlaku apabila jentera Bomba mengundurkan kenderaannya dengan laju sebelum sekumpulan individu menjerit memberitahu ada seseorang di belakang.

“Tindakan mereka mengetuk cermin adalah untuk memberitahu ada seseorang di belakang, namun jentera bomba berkenaan mengundur dengan laju.

“Dia (Muhammad Adib) bukan dipukul, malah kami yang berada di situ membantu mengeluarkannya,” katanya pada sidang media di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, hari ini.

V K Regu berkata, pihaknya mempunyai bukti berhubung kejadian, namun tidak membuat laporan polis.

“Kami sudah beritahu kepada kementerian, kami juga baru dapat tahu, setakat ini tidak membuat laporan kerana tidak ada kena mengena dengan pihak kuil.

“Mereka (kumpulan yang berkumpul) menunjukkan teladan yang baik kami bantu mereka, tapi kami yang diserang,” dakwanya.

Dalam kejadian pada awal pagi semalam, seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya parah, manakala jentera dinaiki turut dirosakkan kumpulan perusuh yang berhimpun di sekitar Kuil Maha Mariamman, dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu.

Anggota berkenaan diserang selepas pasukan bomba dari balai terbabit tiba di lokasi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata, mangsa, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang duduk di bahagian penumpang hadapan unit EMRS ditarik keluar oleh kumpulan perusuh sebelum dipukul.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 1:57 PM

Video rakam detik-detik cemas Adib di tapak rusuhan

Diterbitkan 28 Nov 2018, 2:33 petang


Video detik-detik cemas dipercayai membabitkan anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang cedera parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman pada awal Selasa kini beredar di laman sosial.

Menerusi video itu, sekumpulan lelaki dilihat cuba membantu Muhammad Adib dengan mencari sebuah kenderaan untuk membawanya ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Detik cemas itu dirakam menggunakan telefon pintar dan video dua minit lebih yang menunjukkan sekumpulan individu untuk membantu anggota bomba terbabit di tengah-tengah rusuhan.

"Lihat, ini bomba," kata sebahagian mereka yang meminta supaya laluan diberikan bagi membawa keluar anggota bomba terbabit.

Ketika usaha membawa keluar anggota bomba berkenaan, orang ramai cuba menenangkan Muhammad Adib, memberitahunya:

"Abang bertenang, bertenang, kamu OK, kamu OK,” katanya.

"Bomba Melayu, kami bantu, itu saja," kata salah seorang dalam video berkenaan.

"Anda semua kata kami jahat, tetapi kami bantu dia. Polis yang ada di sini, apa mereka buat?" soalnya lagi.

Thursday, January 21, 2016

Tedung selar berkepala merah ditangkap

Ular tedung selar sepanjang empat meter dengan berat 27 kilogram ditangkap selepas memasuki kilang tisu di Benus, Bentong, semalam.

BENTONG 20 Jan. – Seekor ular tedung selar seberat 27 kilogram yang memasuki sebuah kilang membuat tisu di Benus, di sini berjaya ditangkap anggota bomba hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, Zainal Abidin Nong Chik berkata, tiga anggotanya bergegas ke kilang berkenaan selepas menerima laporan daripada orang awam berhubung penemuan reptilia berbisa sepanjang empat meter itu.

“Apabila tiba di bahagian pejabat penyelia kilang itu pada pukul 3.35 pagi, ular berkenaan didapati berada di bawah meja sebelum usaha menangkapnya dilakukan.

“Alhamdulillah, kita dapat menangkap ular ini dalam masa kira-kira 45 minit tanpa sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Menurut Zainal Abidin, ular tedung selar yang kepalanya berwarna merah dan sebesar lengan lelaki dewasa itu dibawa ke Balai Bomba dan Penyelamat Bentong sebelum dihantar ke Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh untuk tindakan lanjut.

Katanya, pada masa ini ular berkenaan berada di bawah jagaan Unit Khas Kawalan Ular Temerloh yang mempunyai kepakaran menjaga dan mengawal reptilia tersebut.

Beliau berharap orang ramai segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya terjumpa haiwan berbisa seperti ular di dalam premis atau rumah masing-masing.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/tedung-selar-berkepala-merah-ditangkap-1.181700#sthash.CQnZQgOl.dpuf

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-