Showing posts with label Gerakan Rakyat Malaysia (Geras). Show all posts
Showing posts with label Gerakan Rakyat Malaysia (Geras). Show all posts

Tuesday, December 25, 2018

Penganjur himpunan kecam ucapan Azwanddin

Diterbitkan 25 Dis 2018, 10:37 malam


Presiden Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) Abu Bakar Mohamed mengecam Presiden Jaringan Melayu Malaysia Azwanddin Hamzah yang membuat ucapan provokasi pada himpunan di Klang hari ini.

Azwanddin, yang dijemput berucap di pentas, menggunakan istilah "pariah" merujuk kepada menteri perpaduan P Waythamoorthy. Istilah berkenaan dianggap menghina kaum India.

Selain itu, Azwanddin juga mengugut menyerang Balai Polis Klang sekiranya pihak berkuasa tidak menangkap pihak yang menjadi "penyebab" kepada rusuhan di Kuil Seafield Sri Maha Mariamman, Subang Jaya 25 dan 26 Nov lalu.

Diminta mengulas perkara itu, Abu Bakar berkata, beliau tidak bersetuju dengan ucapan Azwanddin.

"Mengenai ucapan tadi, saya pun tak setuju. Kita pun dah bagitahu kepada dia bahawa kita tak setuju pada perkara yang mendatangkan provokasi kepada mana-mana bangsa, agama dan juga organisasi.

"Tapi bila dia cakap (perkara itu ketika berucap) kita tak boleh kawal," katanya kepada pemberita selepas himpunan berkenaan.

Tambah Abu Bakar lagi, beliau beredar dari pentas ketika Azwanddin membuat ucapan itu.

"Pasal itu saya tadi terus tak nak duduk situ, saya duduk belakang dan saya terus turun," katanya.

Terdahulu, kira-kira 2,000 peserta hadir menyertai himpunan anjuran Geras yang diadakan bagi menuntut keadilan untuk anggota bomba yang Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dan mendesak pemecatan P Waythamoorthy.

Kerajaan diberi tempoh 40 hari pecat Waythamoorthy

Haspaizi Zain
Diterbitkan 25 Dis 2018, 7:42 petang


Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) memberi tempoh 40 hari kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi memenuhi tujuh tuntutan mereka.

Tuntutan itu dinyatakan pada himpunan menuntut keadilan untuk anggota bomba yang Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dan mendesak pemecatan P Waythamoorthy yang diadakan di Dataran Seni Klang, hari ini.

Antara tuntutan itu ialah pemecatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy sebagai menteri perpaduan yang disifatkan menjadi penyumbang berlakunya rusuhan di Kuil Seafield Sri Maha Mariamman 25 dan 26 Nov lalu.

Bercakap di hadapan 2,000 peserta himpunan itu, Presiden Gerakan Rakyat Malaysia (Geras), Abu Bakar Mohamed berkata pihaknya akan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

“Kita desak petualang ini (Waythamoorthy) supaya dia letak jawatan. Layak ke dia jadi menteri perpaduan? Layak ke?.

"Jadi, kita beri tempoh 40 hari kepada kerajaan untuk memenuhi tujuh tuntutan ini, demi perpaduan negara serta keadilan untuk Allahyarham Muhammad Adib," katanya.

Selain Waythamoorthy, Geras juga turut mendesak supaya Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dan Exco Selangor, V Ganabatirau turut disingkirkan kerana didakwa turut terbabit "mengapikan" isu rusuhan kuil berkenaan.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam Isnin minggu lalu, selepas hampir tiga minggu bertarung nyawa.

Allahyarham merupakan anggota bomba yang cedera parah akibat dipukul perusuh pada hari kedua rusuhan di Kuil Seafield Sri Maha Mariamman.

[Berita lanjut menyusul]

Lebih 1,000 berarak di Klang tuntut keadilan untuk Adib

Faiz Zainudin
-December 25, 2018 6:12 PM

Penunjuk perasaan keluar dari Masjid Bandar Diraja Klang untuk menyertai perarakan 1,000 orang menuntut keadilan untuk Adib.

KLANG:  Lebih 1,000 orang berarak dari Masjid Bandar Diraja Klang ke Dataran Seni Klang petang tadi menuntut keadilan untuk anggota bomba yang meninggal dunia selepas cedera dalam keganasan di kuil Seafield, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Tunjuk perasaan anjuran Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) berarak sejauh 500 meter bermula 5.10 petang, selepas solat Asar, solat jenazah ghaib dan tahlil beramai-ramai.

Penunjuk perasan melaungkan “Hidup Islam” dan “Hidup Melayu” sambil mendesak kerajaan memecat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dan Exco Selangor, V Ganabatirau.

Adib tercedera dalam rusuhan penganut Hindu yang tidak mahu kuil tersebut dipindahkan. Beberapa kereta terbakar dan kompleks One City yang terletak berdekatan dirosakkan perusuh

“Kita nak tuntut keadilan buat Adib dan minta Waytha dipecat,” kata Setiausaha Geras, Wan Asshima Kamaruddin kepada penunjuk perasaan sebelum berarak.

Geras mengemukakan 7 tuntutan dalam tunjuk perasaan hari ini, selain keadilan untuk Adib dan pemecatan menteri dan exco berkenaan

.
Penunjuk perasaan di Dataran Seni Klang mendengar ucapan daripada Presiden Geras, Abu Bakar Mohamed, yang lengkap berpakaian tradisional Melayu.

“Kita juga mahu kerajaan menguatkuasakan Akta Kontrak Sosial kepada generasi akan datang serta meminta mana-mana individu mahupun menteri tidak sesekali menghina agama Islam sebagai agama rasmi yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Selain itu, kita juga meminta kerajaan negeri mahupun pusat mengambil tindakan kepada mana-mana rumah ibadat yang wujud secara haram supaya perkara yang sama seperti di Seafield tidak berulang.

“Kita juga meminta jangan ada cubaan menghina kedudukan raja-raja Melayu serta penjawat awam di negara ini. Geras juga menolak ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum),” kata Presiden Geras, Abu Bakar Mohamed.

Kumpulan itu turut melancarkan tabung bantuan untuk keluarga anggota bomba itu.

Tunjuk perasaan hari ini menyusuli satu himpunan di Pejabat Perdana Menteri pada Jumaat, di mana 200 orang berearak mendesak Putrajaya memecat Waytha.

Waytha dan Ganabatirau dikritik orang ramai kerana reaksi mereka terhadap keganasan yang menyusuli pertikaian antara kumpulan-kumpulan penganut Hindu dan pemaju tentang pemindahan Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 26 dan 27 November lalu.

Adib meninggal dunia selepas mengalami kecederaan dalam rusuhan yang menyaksikan beberapa kenderaan terbakar dan kompleks One City berdekatan dirosakkan perusuh.

Waytha dibidas kerana menuduh polis lambat mengawal keadaan apabila kuil diserang sekumpulan orang pada pagi 26 November. Ganabatirau pula dikecam kerana didakwa, pada peringkat awal, menyalahkan orang Islam atas keganasan di kuil berkenaan.

Waytha juga didakwa gagal meredakan ketegangan kaum yang menyusuli kejadian itu.

Sementara Kula pula dikecam penunjuk perasaan kerana menyertai sidang media menuduh pihak berkuasa lambat bertindak.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-