Sunday, December 16, 2018

Mat Sabu akui ceramahnya kini ‘tidak sedap’ seperti dulu

Khairil Ashraf
-December 16, 2018

Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

IPOH:  Presiden Amanah Mohamad Sabu hari ini mengakui ceramahnya “tidak sedap” seperti dahulu kerana beliau kini mempunyai banyak “pantang larang” sebagai menteri pertahanan.

“Misalnya kita ambil apa yang berlaku di perairan Johor dan Singapura. Sekarang ini hanya menteri luar sahaja yang mengeluarkan kenyataan dan cuba menyelesaikan masalah itu.

“Menteri pertahanan takkan keluar sebarang kenyataan lagi. ‘Because it is not my turn’,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Konvensyen Nasional Amanah 2018 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Mohamad, yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu berkata, pihaknya juga mempunyai penasihat yang ramai seperti penasihat awam, ketenteraan, risikan dan sebagainya.

“Sebab itu kalau bersyarah tak macam dulu. Apa yang berlaku (dalam) hal-hal negara jiran kita ada kementerian untuk menyelesaikan masalah itu.

PH akan menang besar dalam PRK Rantau, Cameron Highlands

Dalam ucapannya juga, Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, Pakatan Harapan (PH) akan menang besar dalam pilihan raya kecil (PRK) di kerusi Dewan Undangan Negeri Rantau dan Parlimen Cameron Highlands apabila diadakan kelak dengan syarat gabungan 4 parti itu bersikap berterus terang kepada rakyat.

“Rakyat kita faham kalau kita berterus terang. Kalau tak cukup duit, tak ada duit, kita beritahu tak ada duit.

“Dalam masa 100 hari (pentadbiran PH), ada yang kita dapat tunaikan, ada yang tak dapat tunaikan. Kita terang. Bila kita terang bukan rakyat menolak kita, bahkan undi PH akan meningkat, seperti yang berlaku di Port Dickson,” katanya.

Orang Melayu Kelantan sertai Amanah

Pada masa yang sama, Mat Sabu menolak dakwaan bahawa Amanah kurang mendapat sokongan orang Melayu dengan berkata, ramai rakyat Kelantan yang menyertai parti itu.

“Kita dikatakan kurang mendapat sokongan orang Melayu, tetapi sekarang orang Melayu secara berduyun-duyun menyertai Amanah di Kelantan.

Katanya, semasa lawatan Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar ke negeri itu baru-baru, di sebuah tempat seramai 700 orang menyerahkan borang keahlian Amanah.

“Penduduk kampung itu ada 200 orang sahaja. Semua anak beranak 1 mukim masuk Amanah, ertinya ia sedang berkembang di sana. Terengganu akan ikut selepas itu,” katanya.

“Saya yakin dalam pilihan raya sekali lagi, Kelantan akan berubah wajah,” katanya.

Konvensyen nasional Amanah kali ini dihadiri 1,000 perwakilan dari 156 kawasan. Ia merupakan konvensyen pertama selepas parti itu berjaya membentuk kerajaan bersama-sama Pakatan Harapan berikutan kemenangan dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-