Showing posts with label Presiden AMANAH Mohamad Sabu. Show all posts
Showing posts with label Presiden AMANAH Mohamad Sabu. Show all posts

Sunday, December 16, 2018

Mat Sabu akui ceramahnya kini ‘tidak sedap’ seperti dulu

Khairil Ashraf
-December 16, 2018

Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

IPOH:  Presiden Amanah Mohamad Sabu hari ini mengakui ceramahnya “tidak sedap” seperti dahulu kerana beliau kini mempunyai banyak “pantang larang” sebagai menteri pertahanan.

“Misalnya kita ambil apa yang berlaku di perairan Johor dan Singapura. Sekarang ini hanya menteri luar sahaja yang mengeluarkan kenyataan dan cuba menyelesaikan masalah itu.

“Menteri pertahanan takkan keluar sebarang kenyataan lagi. ‘Because it is not my turn’,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Konvensyen Nasional Amanah 2018 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Mohamad, yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu berkata, pihaknya juga mempunyai penasihat yang ramai seperti penasihat awam, ketenteraan, risikan dan sebagainya.

“Sebab itu kalau bersyarah tak macam dulu. Apa yang berlaku (dalam) hal-hal negara jiran kita ada kementerian untuk menyelesaikan masalah itu.

PH akan menang besar dalam PRK Rantau, Cameron Highlands

Dalam ucapannya juga, Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, Pakatan Harapan (PH) akan menang besar dalam pilihan raya kecil (PRK) di kerusi Dewan Undangan Negeri Rantau dan Parlimen Cameron Highlands apabila diadakan kelak dengan syarat gabungan 4 parti itu bersikap berterus terang kepada rakyat.

“Rakyat kita faham kalau kita berterus terang. Kalau tak cukup duit, tak ada duit, kita beritahu tak ada duit.

“Dalam masa 100 hari (pentadbiran PH), ada yang kita dapat tunaikan, ada yang tak dapat tunaikan. Kita terang. Bila kita terang bukan rakyat menolak kita, bahkan undi PH akan meningkat, seperti yang berlaku di Port Dickson,” katanya.

Orang Melayu Kelantan sertai Amanah

Pada masa yang sama, Mat Sabu menolak dakwaan bahawa Amanah kurang mendapat sokongan orang Melayu dengan berkata, ramai rakyat Kelantan yang menyertai parti itu.

“Kita dikatakan kurang mendapat sokongan orang Melayu, tetapi sekarang orang Melayu secara berduyun-duyun menyertai Amanah di Kelantan.

Katanya, semasa lawatan Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar ke negeri itu baru-baru, di sebuah tempat seramai 700 orang menyerahkan borang keahlian Amanah.

“Penduduk kampung itu ada 200 orang sahaja. Semua anak beranak 1 mukim masuk Amanah, ertinya ia sedang berkembang di sana. Terengganu akan ikut selepas itu,” katanya.

“Saya yakin dalam pilihan raya sekali lagi, Kelantan akan berubah wajah,” katanya.

Konvensyen nasional Amanah kali ini dihadiri 1,000 perwakilan dari 156 kawasan. Ia merupakan konvensyen pertama selepas parti itu berjaya membentuk kerajaan bersama-sama Pakatan Harapan berikutan kemenangan dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Sunday, October 22, 2017

Janji manismu takkan ku percaya lagi, kata Mat Sabu kepada PAS

Khairil Ashraf 
October 22, 2017

Mohamad Sabu mendedahkan ada pemimpin PAS Pusat cuba memujuk beliau kembali kepada PAS.
ALOR SETAR:  Presiden Amanah Mohamad Sabu hari ini mendedahkan ada pemimpin PAS Pusat cuba memujuk beliau kembali kepada PAS.

Menurut Mohamad, pemimpin PAS itu selalu “menghentamnya” di luar namun berlaku sebaliknya ketika bersemuka.

“Di lapangan terbang, dari jauh dia duduk meja lain (dia datang) duduk dengan saya. Dia kata ‘Bang Mat, kembalilah…’, saya kata ‘janji manismu takkan ku percaya lagi,” katanya disambut tawa para perwakilan di Konvensyen Nasional Amanah 2017 hari ini.

Mohamad semasa ucapan penangguhan mesyuarat berkata “orang-orang PAS” sebenarnya masih menghargai persahabatan mereka dan ada dalam kalangan mereka memberikan dorongan kepadanya untuk meneruskan “perjuangan”.

Mohamad mengingatkan para perwakilan bahawa Amanah kini semakin dikenali dan diiktiraf orang ramai.

“Berapa tahun kita berceramah kalau tak banyak sikit, kita terlibat dalam kutip derma, beri sumbangan. Kalau kita lihat di Shah Alam ada ‘Padang Mat Sabu’ di Seksyen 27,” katanya.

Mohamad, dan beberapa ahli veteran PAS yang tewas dalam pemilihan parti 2015 mengambil keputusan untuk keluar parti dan menubuhkan sebuah parti yang bersekutu dengan PKR dan DAP dalam gabungan pembangkang, Pakatan Harapan.

Jawatan tertinggi PAS yang pernah disandang Mohamad sejak menyertai parti itu pada 1981 ialah timbalan presiden.

Saturday, May 6, 2017

Orang Melayu luar bandar, Felda berubah, Najib takut - Mat Sabu

Posted By: Pentadbir

Presiden Amanah Mohamad Sabu mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berada dalam keadaan takut dengan sokongan yang semakin meningkat kepada Pakatan Harapan khususnya sejak kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kata Mohamad, dengan Dr Mahathir sekarang di pihak mereka, keyakinan Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah pada paras yang tinggi.

“Apabila kita melihat bekas perdana menteri itu, yang kini penasihat Pakatan Harapan, disambut oleh orang ramai yang berbilang kaum pada malam ini, saya pasti Najib takut.

“Dan, jika orang Melayu di kawasan luar bandar dan Felda tidak lagi takut untuk membawa perubahan, pentadbiran Najib akan berakhir,” katanya.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, berkata demikian pada majlis makan malam di Gelang Patah dekat sini, malam tadi.

Lebih 1,600 orang hadir bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan yang lain Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim.

Dalam ucapannya, Mohamad berkata, Umno mungkin terpaksa mengambil jalan keluar dengan bergantung kepada politik perkauman bagi meraih sokongan tetapi Pakatan Harapan akan terus bergerak dengan memperjuangkan pentadbiran bersih dan telus.

Tambah Mohamad, Pakatan Harapan akan menghadapi PRU14 dengan bersandarkan kepada isu-isu utama seperti rasuah dan keadaan ekonomi negara ini.

“Isu-isu perkauman masih meluas dan banyak dimainkan. Kami juga mempunyai intelek Melayu yang datang ke pejabat kami, mereka berkata mereka bimbang jika Barisan Nasional (BN) jatuh, Lim Kit Siang akan menjadi perdana menteri.

“Ini perasaan takut yang Umno telah tanam dalam kalangan kaum Melayu, untuk mendapatkan mereka menyokong parti itu. Mereka menanam rasa takut Cina akan mengambil alih negara ini.

“Tetapi sementara permainan kaum telah berjaya sebelum ini, saya pasti ia tidak lagi pada pilihan raya umum akan datang kerana umum mengetahui jika BN jatuh, Pakatan Harapan akan mentadbir Malaysia.”

Mohamad berkata, tidak seperti BN yang memerintah, bangsa tidak pernah menjadi faktor dalam menentukan sekutu atau lawan dalam Pakatan Harapan.

“Kami menyokong Kit Siang kerana perjuangan berterusan beliau melawan rasuah dan penyelewengan. Kami menyokong Guan Eng kerana beliau mengamalkan tadbir urus yang baik di Pulau Pinang.

“Kami menyokong (bekas ketua pembangkang Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) kerana beliau terus berjuang untuk rakyat walaupun berada di dalam penjara.

“Kami melawan atau menyokong seseorang bukan kerana bangsa atau agama orang itu, tetapi kerana perjuangan mereka menentang rasuah,” kata beliau. 

– FMT

Tuesday, May 2, 2017

Mat Sabu: Dulu miskin, sekarang pemimpin PAS naik 'business class'

FMT Reporters
May 2, 2017

Presiden Amanah itu berkata tuduhan PAS kini berkisar mengenai gaya hidup pemimpinnya, bukan lagi mengenai soal aqidah atau dakwaan menolak pembangunan.
PETALING JAYA: PAS yang satu masa dulu dituduh menolak pembangunan material dan sesat akidah, kini berdepan dengan tuduhan baharu yang berkait dengan gaya kehidupan mewah pemimpinnya, kata Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Bekas timbalan presiden PAS itu berkata, perubahan tersebut mula dirasakan beberapa tahun lalu, apabila gaya hidup mewah beberapa wakil rakyat parti itu menimbulkan tanda tanya di kalangan ahli.

“Kita melihat kelainan setahun dua tahun sebelum 2015. Kita melihat pimpinan yang baru wakil rakyat sepenggal, tetapi hidupnya begitu mewah. Boleh pergi London naik kapal terbang business class, duduk di hotel, kalau di Indonesia, hotel 5 atau 6 bintang,” katanya pada sebuah program ceramah di Kota Bharu malam tadi.

Mohamad, atau Mat Sabu, berkata perkembangan itu sesuatu yang baru untuk PAS yang satu masa dulu terkenal sebagai parti “miskin”.

“Dulu tidak ada tuduhan ini. Sekarang boleh hadiah kepada isteri (Audi) Q7,” kata Mat Sabu, dipercayai merujuk kritikan terhadap pemimpin Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Khairuddin Aman Razali, yang menghadiahkan kereta mewah kepada isterinya.

“Dulu tuduhan PAS dituduh parti miskin, parti menyeleweng aqidah, tolak pembangunan, ini tuduhan kepada kami dulu,” katanya, dan berkata tuduhan seumpama itu giat dilawan oleh pemimpin PAS terdahulu.

“Masakan pohon bergoyang tiada angin,” tambahnya.

Tuduhan gaya hidup mewah pemimpin PAS timbul lagi ketika Muktamar PAS ke-63 di Kedah yang berakhir semalam, di mana poster menunjukkan gaya hidup mewah beberapa pemimpin utama diedarkan kepada perwakilan.

Antara lain, ia menyasarkan Khairuddin dan Ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hassan, dengan gambar kereta yang didakwa ‎dimiliki mereka.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya tahu siapa yang melakukan provakasi tersebut.

“Benda itu benda biasa dengan melakukan tindakan provokasi. Pihak-pihak yang terlibat sebenarnya kami kenal. Kami kenal siapa yang buat itu, sama ada poster oren ke mahupun poster mengenai sebaran-sebaran di sisipan di akhbar itu,” katanya.

Friday, February 24, 2017

Tiada masalah jika Pas mahu sendirian

24 Februari 2017 | ARIF ATAN
Pakatan pembangkang mampu mencabar BN dalam pilihan raya akan datang dengan sokongan rakyat pelbagai kaum.

Sikap Pas yang masih enggan bersama-sama Pakatan Harapan biarpun dipujuk banyak pihak sebelum ini dilihat tidak mendatangkan masalah besar kepada gabungan parti pembangkang, kata Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Beliau dalam ucapannya di Ulu Tiram, Johor semalam turut menyifatkan program anjuran Pas yang menyokong pindaan Akta 355 pada 18 Februari lalu bukannya bertaraf himpunan sebaliknya sekadar majlis ceramah.

"Kalau sekarang (Pas) nak duduk sorang-sorang, silakan. Tiada masalah. Himpunan (RUU) 355? Jangan. Itu ceramah perdana ada nasi bungkus, bas, orang besar makan. Itu bukan demonstrasi.

"Sebab kalau demonstrasi di Malaysia ini, hang jangan lawan Abang Mat. (Saya) bukanlah pakar tapi balai polis di KL turun naik dah sebab itu polis-polis ramai jadi kawan saya," ujar bekas Timbalan Presiden Pas itu dengan nada berseloroh. 

Menurutnya yang berkecimpung hampir 40 tahun dalam Pas, parti tersebut sebelum ini sama sekali tidak pernah mendapat sokongan majoriti pengundi walaupun puluhan ribu menghadiri program yang dianjurkan.

"Di Kedah selepas peristiwa Memali pada tahun 1986, satu ceramah dibuat di sebuah kampung di Jerai. Penceramahnya adalah Presiden Pas, Yusof Rawa; Timbalannya, Fadzil Noor ketika itu dan Naib Presiden, Tok Guru Hadi bersama pimpinan Pemuda.

"Kehadiran ramai tak tahu puluhan ribu. Kereta terakhir (keluar) pukul 4 pagi. Punya ramainya. Bila datang pilihan raya tahun 1986, Pas hanya dapat satu kerusi di seluruh Malaysia iaitu di Pengkalan Chepa. Kedah langsung tak dapat," jelasnya.

Mengulas lanjut, bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah itu berkata, keputusan tersebut disebabkan pengundi bukan Melayu masih tidak meyakini Pas.

"Waktu itu orang Cina, India, Siam takut nak undi Pas. Memang kita (Pas ketika itu) ceramah ramai, tapi kerusi dapat satu di Pengkalan Chepa, di Kedah dapat tiga," ujarnya.

Bahkan, menjelang tahun 1990, jelasnya, projek besar keluarga Vincent Tan di Gunung Jerai yang mencecah kos RM4.5 bilion juga masih belum memberi kemenangan kepada Pas.

"Tanah-tanah orang Melayu di kaki bukit diambil. Bila kita dapat maklumat itu, Pemuda Pas gerakkan jentera, saya berceramah di kaki Gunung Jerai. Kehadiran puluhan ribu orang tapi datang pilihan raya, Dun (Dewan Undangan Negeri) tempat saya ceramah itu pun tak menang.

"Waktu itu Pas dengan Umno 50-50. Yang jadi penentu (undi) non-Muslim. (Pengundi) Cina 3,000 lebih memihak kepada BN, BN menang. Tahun 2008, orang Cina memihak kepada Pas maka BN kalah di Parlimen Jerai. Itulah hasil muafakat," tambah Mat Sabu lagi.

Saturday, December 10, 2016

Mat Sabu: Jika ekonomi buruk, Najib akan batal 'serang hendap' pembangkang

Anne Muhammad
Unjuran ekonomi global yang tidak menentu tahun depan menghalang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mencari tarikh bagi membubarkan parlimen bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

Katanya, permintaan global yang lembab terutamanya dari rakan dagang terbesar iaitu China, terus suram menyebabkan ekonomi akan terus perlahan.

“Andainya ramalan buruk ekonomi ini menjadi realiti seawal tahun depan, Najib akan membatalkan cita-citanya untuk ‘menyerang hendap’ pembangkang.

“Maka cita-cita Najib untuk membubarkan parlimen dalam suku pertama iaitu sebelum Mei 2017 hanya menjadi omongan kosong beliau sahaja.

“Melambatkan pilihan raya pula mempunyai risiko tersendiri yang tidak kurang mengancam survivalnya,” katanya.

Mohamad berkata demikian dalam ucapan perasmiannya konvensyen AMANAH di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini.

Sunday, October 2, 2016

Mat Sabu yakin Amanah perintah Kelantan penggal akan datang

FMT Reporters
October 2, 2016

Amanah boleh menang Kelantan dengan bantuan DAP dan PKR, tambahnya.
PETALING JAYA: Presiden Amanah Mohamad Sabu percaya partinya boleh mengambil alih pentadbiran Kerajaan Kelantan dalam pilihanraya akan datang.

Beliau menambah perkara itu boleh tercapai dengan sokongan Pakatan Harapan, yang dianggotai DAP, dan PKR yang mempunyai kerjasama politik dengan PAS.

“Di Malaysia, kalau kamu nak politik berseorangan, eloklah duduk bersendirian, jadi kera sumbang,” katanya lapor portal pro-Amanah Malaysia Dateline.

Beliau berkata demikian di ceramah kemuncak ulangtahun penubuhan Amanah di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru, Kuala Lumpur.

PAS memerintah Kelantan selama 26 tahun sejak 1990. Amanah dibentuk oleh pimpinan PAS yang dikecewakan dalam pemilihan parti tahun lepas.

Amanah bersama DAP dan PKR membentuk Pakatan Harapan selepas Pakatan Rakyat dibubarkan angkara pergaduhan antara parti komponen. PKR mengekalkan kerjasama dengan PAS, manakala PH dilaporkan sedia bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diasaskan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Dalam politik tidak ada musuh yang tetap, tidak ada kawan yang tetap,” ujarnya sambil menyebut beliau pernah dipenjara di bawah pemerintahan Dr Mahathir.

“Sekarang dia (Tun Mahathir) tiada kuasa, dia mahu BN jatuh dan dia nak berkawan dengan kita.

“Berkatalah yang hak depan pemerintah yang zalim bukan dengan pencen yang zalim,” katanya.

Semalam, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin menawarkan kerjasama kepada PAS. Pembangkang cuba untuk memastikan pertandingan satu lawan satu menentang BN dalam pilihan raya akan datang.

Muhyiddin menawarkan 3 bentuk kerjasama iaitu pembentukan pakatan pembangkang baharu, kerjasama antara mereka dan PH, atau persefahaman antara mereka dan PH dalam pilihan raya akan datang.

Meneruskan ucapanya, Sabu berkata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim seorang pemimpin berjiwa besar dan calon Amanah untuk perdana menteri.

“Pakatan Harapan dalam mesyuarat pertama di Subang Jaya masih lagi mengiktiraf kalau Pakatan Harapan menang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal Perdana Menteri,” tegasnya.

PAS dilaporkan mahu melihat presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dipertimbangkan untuk jawatan itu, manakala Dr Mahathir menamakan Muhyiddin.

Thursday, June 2, 2016

Azhar diumum calon AMANAH di Sungai Besar

Yap Jia Hee
Pakatan Harapan mengumumkan Pengerusi AMANAH Sungai Besar Azhar Abdul Shukur sebagai calon pada pilihan raya kecil (PRK) parlimen Sungai Besar.

Presiden AMANAH Mohamad Sabu membuat pengumuman tersebut malam tadi di Dewan Sri Sekinchan, Sekinchan.

"Kita perlu seorang wakil rakyat yg memahami suara naluri petani nelayan dan penternak, faham kehidupan masyarakat supaya suara penduduk Sungai Besar akan ke parlimen nanti.

"(Kita) tak mahu calon menang tidur di parlimen. Harap dia memainkan peranan membongkar masalah dan membela rakyat," katanya.

Turut hadir adalah Ketua Pembangkang merangkap Presiden PKR Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat Umum AMANAH Ahmad Awang, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke, Naib presiden PKR Rafizi Ramli, Bendahari Agung PKR Tan Yee Kew, Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan Saifuddin Abdullah dan lain-lain.

Bagaimanapun Menteri Besar Selangor merangkap Timbalan Presiden PKR Azmin Ali tidak hadir pada majlis pengumuman calon Pakatan Harapan ini.

Dewan dipenuhi oleh kira-kira 500 penyokong Pakatan Harapan dan orang ramai yang menyaksikan pengumuman tersebut.

Azhar, 50, yang berasal dari Sungai Besar merupakan seorang bekas guru dan kini menjalankan perniagaan sendiri.

[Berita penuh menyusul]

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-