Tuesday, January 1, 2019

Armand: Hubungan Hisham-Dr M profesional

Diterbitkan Hari ini 7:53 malam


Anggota Majlis Tertinggi Umno, Armand Azha Abu Hanifah yakin hubungan antara bekas naib presiden parti itu, Hishammuddin Hussein dan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dilakukan secara profesional.

Katanya, walaupun terdapat dakwaan bahawa Hishammuddin merupakan "tangan ghaib" kepada Mahathir, namun beliau tetap meyakini kesetian anggota parlimen Sembrong itu.

“Isu mengenai Hishammuddin merupakan tangan ajaib bagi Dr Mahathir dalam Umno memang menjadi perbualan hangat dalam kalangan ahli.

“Pendapat saya secara positif berkaitan hubungan antara Hishammuddin dan Dr Mahathir ini boleh dilihat sebagai hubungan secara profesional di antara pemimpin Umno dan bekas Presiden Umno.

“Saya yakin Hishammuddin yang berpengalaman dalam parti mempunyai kesetiaan pada parti Umno ini,” kata Armand dalam kenyataanya, hari ini.
Hishamuddin kali pertama dilapor bertemu Mahathir pada September sejak Umno tewas dalam pilihan raya umum pada 9 Mei lalu.

Selepas dihidu pihak media, Hishammuddin mengesahkan pertemuan tersebut namun menafikan akan keluar Umno. Beliau sebaliknya mengatakan hanya menemui Mahathir untuk berbincang mengenai 'masa depan negara'.

Baca: Hishammuddin sahkan jumpa Dr M bincang masa depan negara

Beliau juga dilapor berkata tiada sebab untuk meninggalkan Umno yang diasaskan datuknya, Datuk Onn Jaafar, sementara bapanya pula merupakan presiden keempat parti itu.

Pada 12 Disember lalu, beberapa sumber parti mendakwa Hishammuddin menjadi dalang di sebalik tindakan sekumpulan wakil rakyat Umno yang berpaling tadah dan meninggalkan parti Melayu itu.

Ini termasuklah kenyataan bekas Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin di laman sosial Twitter yang menyebut tindakan itu didalangi 'golongan bangsawan'.
Untuk rekod, sejak pilihan raya umum 9 Mei lalu, seramai 16 orang anggota parlimen Umno keluar parti dan 12 daripada mereka menjadi wakil rakyat bebas dengan menyatakan sokongan kepada Mahathir.

Pada Ahad lalu, gambar keluarga Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali dan Hishammuddin yang bercuti di Maghribi tular sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai perpecahan dalam PKR.

Ia juga dikaitkan dengan pertembungan politik antara Azmin dan presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Sebelum ini, penyokong Anwar mendakwa terdapat usaha menghalang anggota parlimen Port Dickson itu dilantik sebagai perdana menteri ke lapan bagi menggantikan Mahathir.
Gambar keluarga itu dimuat naik di laman Twitter milik anak sulung Azmin, Ameer Azmin, di sebuah resort percutian di Marrakesh, Maghribi dengan kapsyen, ‘Keluarga kami bersatu semula’.

Bagaimanapun, sehari selepas itu, Ameer memadamkan gambar dan catatan tersebut di Twitternya.

Najib maklumkan Hisham akan kekal

Sementara itu, Armand turut berkata beliau telah bertanyakan hal itu kepada bekas Presiden Umno, Najib Razak dan beliau dimaklumkan Hishammuddin akan terus kekal bersama Umno walaupun pelbagai khabar angin melanda.

“Mengenai adakah wajar beliau kekal bersama Umno, saya berpendapat sudah tentu Umno memerlukan semua sokongan dalam parti

"Bagi saya adalah wajar beliau kekal bersama dalam menongkah arus perjuangan dalam landskap baru politik negara sebagai pembangkang.

“Saya secara tegas juga mohon ketetapan dan pendirian secara terbuka memberitahu beliau akan terus kekal setia dalam Umno agar khabar angin bertiup yang menjadi persoalan pada akar umbi akan terjawab,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-