Sunday, January 20, 2019

'DAP anti-Islam' - Pendirian kami tak berubah, kata pemuda PAS

 Diterbitkan Hari ini 12:31 tengahari 


Pemuda PAS mencabar Pemuda DAP untuk membuat pengisytiharan terbuka bahawa parti itu menghormati "tanpa berbelah bahagi" kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera serta Raja-raja Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ia susulan laporan polis yang dibuat Ketua Pemuda DAP Howard Lee terhadap Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi selepas Khalil menuduh parti itu mahu menggugurkan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.

Menyifatkan tindakan itu sebagai tindakan "kehabisan modal untuk melawan fakta", Timbalan Ketua Pemuda PAS Khairil Nizam Khirudin berkata Lee cuba menyekat Khalil dengan dakwaan fitnah dan melalui undang-undang.

"Kami juga mencabar DAP secara terbuka mengisytiharkan dengan berani telah melucutkan idea 'Malaysian Malaysia' daripada agenda perjuangannya.

"Selama ini berpaksikan tuntutan kesamarataan itulah DAP cuba membuang atau melucutkan asas dan tonggak penting dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk Islam sebagai agama persekutuan. Hinggakan perjuangan itu dibawa bersama rakan Pakatan Harapan (PH) lainnya untuk meratifikasi Icerd," katanya dalam kenyataan.

Howard membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlads semalam berhubung kenyataan Khalil dalam ceramahnya ketika kempen PRK Cameron Highlands di Jelai.

Beliau menyifatkan tuduhan Khalil sebagai sangat serius dan melanggar Seksyen 499 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan fitnah dan menggesa ia disiasat secara mendalam.

Khairil berkata Pemuda PAS tidak naif dan kekal berpendirian DAP memang anti-Islam dan tidak sering membantah serta memperlekeh hal ehwal Islam.

"DAP sering menunjukkan tidak senangnya pada hudud atau Enakmen Kanun Jenayah Syariah, Akta Mahkamah Syariah, Negara Islam, azan, solat Jumaat, zakat, Mufti dan tokoh Islam," katanya.

Pada masa sama, Khairil menuduh pemimpin parti itu sering terlibat dengan usaha seperti "dakyah evangelis Kristian, Liberal, Comango (Gabungan Badan Bukan Kerajaan Hak Asasi Manusia) dan IFC (Jawatankuasa Pemandu Suruhanjaya Antara Agama)."

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-