Saturday, January 19, 2019

Restoran mamak guna lebih 30 tangkal lariskan jualan

Perusim serah kepada Majlis Agama Islam ambil tindakan

adminweb 19/01/2019

JOHOR BAHRU, 13 Jamadilawal 1440H, Sabtu – Persatuan Usahawan India Muslim Negeri Johor (Perusim) menyerahkan kepada Majlis Agama Islam negeri untuk menentukan tindakan yang akan diambil ke atas seorang anggotanya yang didapati menggunakan tangkal dan azimat dalam melariskan perniagaan.

Setiausahanya, Hussien Ibrahim berkata penggunaan tangkal dan azimat itu adalah isu yang serius dan pihaknya bersedia bekerjasama untuk menyelesaikannya.

“Mereka (ahli) buat senyap-senyap tetapi kami telah menegurnya. Kami ingin menegaskan memang ahli tidak dibenarkan untuk melakukan perbuatan tersebut,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Sidang media itu diadakan susulan pembongkaran pihak berkuasa terhadap sebuah restoran mamak di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, yang dikesan menggunakan lebih 30 tangkal dan azimat sebagai ‘pelaris’ jualan mereka.

Restoran itu yang beroperasi hampir 18 tahun merupakan anggota Perusim.

Dalam pada itu, berhubung isu lain, Hussein berharap nama restoran mamak yang dikompaun pihak berkuasa atas kesalahan tidak memiliki sijil halal dalam Operasi Bersepadu Pemeriksaan Halal di sini pada Selasa lepas dapat didedahkan kepada umum.

Ini bagi memperbaiki persepsi rakyat yang sudah mula memandang serong terhadap restoran mamak asli selepas tularnya isu restoran ‘mamak palsu’ itu dalam laman sosial.

“Kebanyakkan pengusaha restoran kami dituduh sebagai mamak palsu sedangkan 99 peratus daripada restoran mamak adalah mamak asal yang sememangnya beragama Islam.

Jadi kami minta pihak berkuasa sebutkan nama mereka, bukannya dengan hanya menggunakan perkataan mamak secara pukul rata (rawak) kerana ini memberi implikasi negatif kepada pihak kami,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Johor, Aminolhuda Hassan mengesahkan memang wujud kes restoran mamak menggunakan sijil halal palsu di negeri ini.

“Kita akan membawa perkara ini dalam mesyuarat bagi membincangkan langkah untuk membendungnya.

Selain itu, kita akan membuat pemantauan berterusan bagi mengingatkan semua pengusaha restoran sama ada mamak atau restoran Islam lain agar meletakkan tanda halal berdaftar (sah). Ini untuk mengelakkan perkara tidak sewajarnya berlaku,” katanya ketika di hubungi Bernama. 

Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-