Saturday, January 19, 2019

Orang Asli, peguam negara bincang saman Kelantan sejak tahun lepas

FMT Reporters
-January 19, 2019 6:18 PM


PETALING JAYA:  Gerakan Orang Asli Kelantan hari ini menepis dakwaan mengaitkan tindakan Putrajaya menyaman kerajaan Kelantan demi Orang Asli mempunyai kaitan dengan pilihan raya kecil Cameron Highlands, menyifatkan ia tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.

Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) mendedahkan perbincangan mereka dengan wakil Peguam Negara Tommy Thomas dan Majlis Peguam Malaysia mengenai tindakan undang-undang itu bermula sejak Oktober tahun lepas lagi.

“Tindakan ini dirancang sebelum PRK Cameron Highlands dan tidak wajar sekiranya perkara ini dipolitikkan bagi kepentingan sesetengah pihak kerana ianya melibatkan kepentingan masyarakat Orang Asli,” kata Pengerusi Mustafa Along.

JKOAK berterima kasih atas tindakan undang-undang yang diumumkan Peguam Negara Tommy Thomas semalam, kerana ia sebenarnya boleh dilakukan oleh kerajaan dulu memandangkan penjagaan kepentingan dan kebajikan Orang Asli bawah tanggungjawab Putrajaya.

“Umum mengetahui isu tanah adat melibatkan Orang Asli Temiar dan kerajaan Kelantan berlarutan sejak 2011,” katanya.

Mustafa berkata gerakan itu akan terus mengambil tindakan yang dirasa perlu bagi menghalang pencerobohan tanah adat Orang Asli, termasuk mendirikan halangan sekiranya kegiatan pembalakan, perlombongan dan perladangan bergiat aktif semula.

Peguam Negara Tommy Thomas semalam mengumumkan Putrajaya memfailkan saman terhadap kerajaan Kelantan yang ditadbir oleh PAS kerana menceroboh penempatan-penempatan Orang Asli.

Ia juga memohon injunksi menghalang syarikat-syarikat swasta menceroboh tanah adat untuk menjalankan aktiviti komersial.

Saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu menamakan kerajaan negeri, pengarah tanah dan galian negeri, pengarah perhutanan negeri dan 5 entiti swasta.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-