Showing posts with label India Muslim. Show all posts
Showing posts with label India Muslim. Show all posts

Saturday, January 19, 2019

Restoran mamak guna lebih 30 tangkal lariskan jualan

Perusim serah kepada Majlis Agama Islam ambil tindakan

adminweb 19/01/2019

JOHOR BAHRU, 13 Jamadilawal 1440H, Sabtu – Persatuan Usahawan India Muslim Negeri Johor (Perusim) menyerahkan kepada Majlis Agama Islam negeri untuk menentukan tindakan yang akan diambil ke atas seorang anggotanya yang didapati menggunakan tangkal dan azimat dalam melariskan perniagaan.

Setiausahanya, Hussien Ibrahim berkata penggunaan tangkal dan azimat itu adalah isu yang serius dan pihaknya bersedia bekerjasama untuk menyelesaikannya.

“Mereka (ahli) buat senyap-senyap tetapi kami telah menegurnya. Kami ingin menegaskan memang ahli tidak dibenarkan untuk melakukan perbuatan tersebut,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Sidang media itu diadakan susulan pembongkaran pihak berkuasa terhadap sebuah restoran mamak di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, yang dikesan menggunakan lebih 30 tangkal dan azimat sebagai ‘pelaris’ jualan mereka.

Restoran itu yang beroperasi hampir 18 tahun merupakan anggota Perusim.

Dalam pada itu, berhubung isu lain, Hussein berharap nama restoran mamak yang dikompaun pihak berkuasa atas kesalahan tidak memiliki sijil halal dalam Operasi Bersepadu Pemeriksaan Halal di sini pada Selasa lepas dapat didedahkan kepada umum.

Ini bagi memperbaiki persepsi rakyat yang sudah mula memandang serong terhadap restoran mamak asli selepas tularnya isu restoran ‘mamak palsu’ itu dalam laman sosial.

“Kebanyakkan pengusaha restoran kami dituduh sebagai mamak palsu sedangkan 99 peratus daripada restoran mamak adalah mamak asal yang sememangnya beragama Islam.

Jadi kami minta pihak berkuasa sebutkan nama mereka, bukannya dengan hanya menggunakan perkataan mamak secara pukul rata (rawak) kerana ini memberi implikasi negatif kepada pihak kami,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Johor, Aminolhuda Hassan mengesahkan memang wujud kes restoran mamak menggunakan sijil halal palsu di negeri ini.

“Kita akan membawa perkara ini dalam mesyuarat bagi membincangkan langkah untuk membendungnya.

Selain itu, kita akan membuat pemantauan berterusan bagi mengingatkan semua pengusaha restoran sama ada mamak atau restoran Islam lain agar meletakkan tanda halal berdaftar (sah). Ini untuk mengelakkan perkara tidak sewajarnya berlaku,” katanya ketika di hubungi Bernama. 

Bernama

Wednesday, July 19, 2017

Kerajaan kaji status bumiputera masyarakat India Muslim

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melambaikan tangan kepada tetamu yang hadir sebaik sahaja hadir di Majlis Sambutan Hari Raya dan Hari Keluarga NGO-NGO India Muslim di MAEPS, Serdang, di sini hari ini. - UTUSAN/ABDUL NAZIR MOHAMED

Safina Ramli
18 Julai 2017 11:32 PM

KUALA LUMPUR 18 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan bersedia mengkaji tuntutan masyarakat India Muslim untuk menjadikan status mereka sebagai bumiputera di negara ini.

Najib berkata, suara masyarakat India Muslim sentiasa didengari oleh kerajaan memandangkan sumbangan mereka kepada pembangunan negara ini amat besar.

“Saya dengar tuntutan yang dibuat oleh masyarakat India Muslim dan saya terima bahawa India Muslim adalah sebagai bumiputera.

“Soalanya sekarang bagaimana untuk dilaksanakan, kita akan kaji lebih men dalam, dari segi pentadbiran atau dikendalikan melalui pewartaan. Hakikatnya tuan dan puan adalah bumiputera,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Raya dan Hari Keluarga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) India Muslim Semalaysia yang berlangsung di Dewan A, Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Ketibaan beliau disambut meriah oleh kira-kira 15,000 masyarakat India Muslim yang bernaung di bawah Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA).

Yang turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Menurut Perdana Menteri, sokongan masyarakat India Muslim kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) juga terus kukuh sejak dahulu malah beliau berharap sokongan berkenaan akan diteruskan sehingga Pilihan Raya Umum Ke- 14 (PRU-14).

“Saya diberitahu bahawa generasi baharu India Muslim sudah ramai yang beralih daripada bidang tradisi kepada bidang profesional dan ada yang bekerja sebagai akauntan, peguam dan sebagainya.

“Meskipun telah melalui perubahan tetapi masyarakat India Muslim tetap tidak berubah sokongan mereka kepada kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Najib memberitahu, masyarakat India Muslim terus memberi sumbangan kepada masyarakat apabila PRESMA bersetuju untuk memberikan diskaun kepada golongan orang kurang upaya (OKU), siswazah dan pemegang kad pengguna Friends of Kementerian Perdagangan Dalam Ne­geri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di semua premis perniagaan PRESMA.

Najib berkata, golongan OKU akan menikmati diskaun sebanyak 20 peratus, siswazah pula sebanyak 10 peratus manakala pemegang kad pengguna (Friends of KPDNKK) akan menikmati diskaun sebanyak 5 peratus.

“Ini sumbangan yang diberikan oleh PRESMA kepada masyarakat kita dan saya berharap hubungan ini akan berterusan,” ujarnya.

Wednesday, June 24, 2015

Dah beratus tahun, sekarang baru nak bantah.....?

Komuniti India Muslim 
bantah guna nama ‘MAMAK’
KUALA LUMPUR – Sebanyak 12 persatuan mewakili komuniti masyarakat India Muslim menyerahkan memorandum bantahan kepada Utusan Malaysia berhubung penyiaran laporan khas berkenaan harga makanan dan minuman melibatkan restoran mamak, di Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Berhad, di sini hari ini.

Memorandum bantahan itu di serahkan oleh Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim (Presma), Noorul Hassan Saul Hameed kepada wakil Utusan Malaysia, Mohd. Asron Mustapha.

Menurut Noorul Hassan, antara bantahan utama adalah berhubung penggunaan gelaran ‘restoran mamak’ yang dianggap sensitif dan rasis.

“Ini jelas mengundang kesan buruk kepada keseluruhan masyarakat India Muslim. Artikel yang diterbitkan oleh pihak Utusan Malaysia telah mengundang kemarahan seluruh warga India Muslim.

“Saya harap pihak Utusan Malaysia tidak menggunakan gelaran restoran mamak sebaliknya restoran nasi kandar adalah lebih baik, malah dalam penyiaran artikel sebelum ini tiada pula penggunaan gelaran restoran Melayu, restoran Cina atau restoran India,” katanya di sini hari ini.

Majlis penyerahan itu turut disertai oleh wakil daripada Inspirasi Muhibbah India Muslim (IMIM), Persatuan Perintis Malabari Malaysia (PMMM), Jemaah Malabar Muslim Negeri Johor (JMMNJ), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) serta Kelab Belia Muslim Malaysia.

Yang turut hadir ialah wakil daripada Komuniti India Muslim (Imcom), Persatuan Jalinan Mesra India Muslim (PJMIM), Persatuan Pertubuhan Nurul Amin (PPNA), Gerakan Pemuda India Muslim (Gepima), Kerala Muslim Jama’at (KMJ), Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (Permim) dan Dewan Perindustrian India Muslim (Mimcoin).

Mengulas penawaran harga makanan dan minuman di restoran nasi kandar, Noorul Hassan menjelaskan, pengguna tidak tahu tentang kos tersembunyi yang perlu ditanggung oleh pengusaha yang didakwa meletakkan harga berbeza.

“Saya ambil contoh mudah, sebuah kedai di KLCC menjual sekeping roti canai pada harga RM1.50 berbanding sebuah kedai nasi kandar di Banting pula menjual harga roti canai dengan harga RM1.

“Sebenarnya restoran nasi kandar di KLCC itu menjual harga yang lebih murah berbanding di Banting kerana sewa kedai di KLCC mencecah RM80,000 sebulan berbanding premis di Banting yang hanya pada kadar RM3,000 sebulan.

“Ini bermakna pengusaha itu masih mampu memberikan harga yang murah walaupun terpaksa menanggung bebanan sewa yang beratus kali ganda lebih tinggi dengan premis yang kadar sewanya murah,” ujarnya.

Justeru tambahnya, pada dasarnya, pengusaha terpaksa menanggung kos sewa, bahan mentah, utiliti dan pembayaran gaji pekerja yang berbeza.

Katanya, faktor berkenaan mempengaruhi penetapan harga makanan dan minuman di restoran nasi kandar seluruh negara. - UTUSAN

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=293062:komuniti-india-muslim-bantah-guna-nama-%E2%80%98mamak%E2%80%99&Itemid=2#ixzz3dwTUQTUy
Follow us: @MsiaChronicle on Twitter

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-