Thursday, February 14, 2019

Mujahid minta maaf, sahkan kereta miliknya di parkir OKU

FMT Reporters
-February 14, 2019 7:29 AM
Kereta yang diparkir di ruang yang dikhaskan kepada golongan OKU di hadapan sebuah restoran. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Menteri Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa mengesahkan gambar tersebar di media sosial membabitkan kereta yang parkir di petak khas orang kelainan upaya (OKU) adalah kenderaannya.

Menteri di Jabatan Perdana itu berkata, anak-anaknya menggunakan petak khas parkir OKU kerana merasakan ia dapat memberi kemudahan kepada ayah mertuanya yang uzur.

“Saya menjaga ayah mertua yang keuzuran dan berkerusi roda. Sewaktu kejadian ini anak-anak saya membawa datuk mereka untuk makan di restoran.

“Mereka menggunakan kemudahan parkir OKU kerana merasakan ia dapat memberi kemudahan kepada datuk mereka yang uzur.

“Saya mewakili anak-anak memohon maaf atas apa yang berlaku dan mengucapkan terima kasih atas teguran ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Sebelum itu, seorang pengguna Facebook memuat naik sekeping gambar sebuah kereta berjenama Honda yang lengkap memaparkan emblem ahli Parlimen di laman sosialnya.

“Mereka kata kereta plat PLH 4466 ini milik menteri agama (menteri di Jabatan perdana menteri). Tidak tahu pula dia OKU,” katanya.

Tidak diketahui bilakah kejadian itu berlaku.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-