Sunday, March 10, 2019

PTPTN: Polis panggil penganjur himpunan mahasiswi di Sogo

admin 
10/03/2019


KUALA LUMPUR, 3 Rejab 1440H, Ahad – Polis akan memanggil penganjur perhimpunan Mahasiswi Ubah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diadakan di sekitar Kompleks Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman sini, petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah berkata, pihaknya tidak mengeluarkan sebarang permit bagi penganjuran himpunan yang dimulakan dengan peserta berarak dari Masjid Jamek kira-kira 2 petang itu, dan siasatan dibuat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Mereka sebenarnya tidak dibenarkan berarak dan mengadakan perhimpunan di tempat ini,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi perhimpunan itu, di sini hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati lebih 50 mahasiswi berarak sejauh kira-kira dua kilometer dari Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek ke kompleks beli-belah itu.

Difahamkan, himpunan anjuran Sinergi Gerakan Mahasiswi (SIGMA) itu antara lain bagi menggesa kerajaan mewajibkan pembayaran balik PTPTN ke atas individu yang hanya bergaji RM4,000 ke atas.

Sementara itu, sembilan laporan polis dibuat oleh beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi petang ini, berhubung himpunan tuntut hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Dataran Merdeka, semalam.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid Malaysia), Masridzi Sat yang mewakili enam NGO berkenaan, berkata, ​​​​​laporan itu bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat penganjur dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka.

Semalam, beberapa NGO termasuk Women’s Aid Organization dan Sisters In Islam mengadakan Women’s March bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia di ibu negara, namun perarakan itu dicemari dengan penglibatan komuniti LGBT yang turut melaungkan, “jangan kacau LGBT” dan “hidup LGBT” .

Pihak polis dilaporkan berkata perhimpunan yang dihadiri lebih 300 orang itu tidak mempunyai permit dan penganjurnya akan dipanggil untuk diambil keterangan. 

Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-