Friday, March 8, 2019

Tiga didakwa kes hina Nabi Muhammad SAW

MyMetro
Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my

Mohamad Yazid (kiri) Chow (tengah) dan Danny Antoni, 28. (kanan). 
FOTO ASWADI ALIAS

PADAH mencetuskan kontroversi dan kemarahan umat Islam di negara ini dengan menghina Nabi Muhammad SAW dan agama di media sosial, tiga lelaki didakwa dengan 11 pertuduhan memuat naik komen jelik di media sosial di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Penganggur, Mohamad Yazid Kong Abdullah, 52, mengaku bersalah manakala penjaja, Chow Mun Fan, 43, dan pekerja kedai serbaneka, Danny Antoni, 28, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Hasbullah Adam.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan tarikh 11 Mac depan bagi pendengaran fakta kes dan jatuh hukum terhadap Mohamad Yazid.

Mengikut pertuduhan yang dihadapi Mohamad Yazid, dia didakwa menghantar komunikasi jelik dengan niat menyakitkan hati melalui Facebook dengan profil nama ‘Yazid Kong’, pada 8.21 malam 24 Februari lalu yang dibaca oleh pengguna Facebook lain, Mohd Syafiq di Masjid Salahuddin Al-Ayubi, Jalan Taman Melati, Wangsa Maju, pada 12 tengahari, 1 Mac lalu.

Sementara itu, Chow didakwa atas lapan pertuduhan menggunakan aplikasi Twitter dengan akaun profil ‘@alvinchow333’ dengan memuat naik empat hantaran yang berkemungkinan menyebabkan suasana tidak harmoni antara penganut Islam dan bukan Islam pada 2.29 petang dan 7.06 petang, 2 Mac lalu.

Kesemua hantaran itu seterusnya dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ, Kuala Lumpur, pada 8.30 malam, 3 Mac lalu.

Seterusnya, Danny Antoni turut didakwa atas dua pertuduhan menggunakan laman profil ‘Danny A’antonio Jr’ dan memuat naik satu hantaran menghina Nabi Muhammad SAW, agama Islam dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berkemungkinan menyebabkan suasana tidak harmoni antara penganut Islam dan bukan Islam pada 1.21 pagi, 9 Januari lalu.

Hantaran itu seterusnya dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ, jam 10 pagi, 4 Mac lalu.

Kesemua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Selain itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan dan Seksyen 505c Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyraf Md Kamal semasa berhujah berkata, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan tertuduh Chow bertindak menghina agama, nabi dan anggota keselamatan yang meninggal dunia ketika bertugas.

“Jika tertuduh diberikan jaminan, dia masih berpeluang tinggi untuk memuat naik status kerana mempunyai akses Internet.

“Selain itu, tertuduh pertama pernah mempunyai kesalahan di Kuala Lumpur dan Muar, Johor membabitkan kesalahan jenis sama berunsur penghinaan, namun dia dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) kerana tidak hadir ke mahkamah sehingga ada beberapa waran tangkap dikeluarkan terhadapnya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sophian Zakaria juga tidak menawarkan jaminan kerana tindakan dua tertuduh, Mohamad Yazid dan Danny itu seperti ingin meletakkan nabi dan Islam pada tempat yang serendah-rendahnya.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan jaminan terhadap ketiga-tiga tertuduh dan menetapkan 5 April ini sebagai sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 6:01 PM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-