Showing posts with label menghina Nabi Muhammad. Show all posts
Showing posts with label menghina Nabi Muhammad. Show all posts

Monday, February 10, 2020

Warga emas didenda RM15,000 hina Nabi Muhammad saw dan isteri baginda

Bernama


Seorang lelaki warga emas didenda RM15,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan menghantar komunikasi jelik menghina Nabi Muhammad saw dan isteri baginda, Saidatina Aisyah menerusi akaun Facebook.

Hakim M.M. Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu ke atas Wai Foo Sing, 69, selepas tertuduh mengaku bersalah memuat naik karikatur jelik yang dikatakan Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Aisyah.

“Komen tertuduh yang jelik dan menyinggung disertakan dalam catatannya di media sosial. Tidak dapat dinafikan bahawa dalam kes ini, tindakan tertuduh adalah tidak wajar, menyinggung dan jelik berdasarkan agama dan ia telah melampaui kebebasan bersuara yang dibenarkan mengikut perlembagaan.

“Jenayah menghina agama seseorang tidak hanya bertentangan dengan penganut agama tertentu tetapi juga berlawanan dengan nilai dan fungsi agama tersebut,” kata hakim itu.

Pada 20 Jan, Wai menukar pengakuannya kepada bersalah mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Dia melakukan kesalahan itu pada 5 petang, 17 Feb 2019 dan hantaran itu telah dibaca pada 12 tengah hari, 18 Feb di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, Wangsa Maju.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Annur Atiqah Abdul Hadi manakala Wai diwakili peguam Gabriel Susayan.

— BERNAMA

Berita penuh https://malaysiadateline.com/warga-emas-didenda-rm15000-hina-nabi-muhammad-saw-dan-isteri-baginda/

Friday, March 8, 2019

Tiga didakwa kes hina Nabi Muhammad SAW

MyMetro
Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my

Mohamad Yazid (kiri) Chow (tengah) dan Danny Antoni, 28. (kanan). 
FOTO ASWADI ALIAS

PADAH mencetuskan kontroversi dan kemarahan umat Islam di negara ini dengan menghina Nabi Muhammad SAW dan agama di media sosial, tiga lelaki didakwa dengan 11 pertuduhan memuat naik komen jelik di media sosial di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Penganggur, Mohamad Yazid Kong Abdullah, 52, mengaku bersalah manakala penjaja, Chow Mun Fan, 43, dan pekerja kedai serbaneka, Danny Antoni, 28, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Hasbullah Adam.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan tarikh 11 Mac depan bagi pendengaran fakta kes dan jatuh hukum terhadap Mohamad Yazid.

Mengikut pertuduhan yang dihadapi Mohamad Yazid, dia didakwa menghantar komunikasi jelik dengan niat menyakitkan hati melalui Facebook dengan profil nama ‘Yazid Kong’, pada 8.21 malam 24 Februari lalu yang dibaca oleh pengguna Facebook lain, Mohd Syafiq di Masjid Salahuddin Al-Ayubi, Jalan Taman Melati, Wangsa Maju, pada 12 tengahari, 1 Mac lalu.

Sementara itu, Chow didakwa atas lapan pertuduhan menggunakan aplikasi Twitter dengan akaun profil ‘@alvinchow333’ dengan memuat naik empat hantaran yang berkemungkinan menyebabkan suasana tidak harmoni antara penganut Islam dan bukan Islam pada 2.29 petang dan 7.06 petang, 2 Mac lalu.

Kesemua hantaran itu seterusnya dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ, Kuala Lumpur, pada 8.30 malam, 3 Mac lalu.

Seterusnya, Danny Antoni turut didakwa atas dua pertuduhan menggunakan laman profil ‘Danny A’antonio Jr’ dan memuat naik satu hantaran menghina Nabi Muhammad SAW, agama Islam dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berkemungkinan menyebabkan suasana tidak harmoni antara penganut Islam dan bukan Islam pada 1.21 pagi, 9 Januari lalu.

Hantaran itu seterusnya dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ, jam 10 pagi, 4 Mac lalu.

Kesemua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Selain itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan dan Seksyen 505c Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyraf Md Kamal semasa berhujah berkata, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan tertuduh Chow bertindak menghina agama, nabi dan anggota keselamatan yang meninggal dunia ketika bertugas.

“Jika tertuduh diberikan jaminan, dia masih berpeluang tinggi untuk memuat naik status kerana mempunyai akses Internet.

“Selain itu, tertuduh pertama pernah mempunyai kesalahan di Kuala Lumpur dan Muar, Johor membabitkan kesalahan jenis sama berunsur penghinaan, namun dia dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) kerana tidak hadir ke mahkamah sehingga ada beberapa waran tangkap dikeluarkan terhadapnya,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sophian Zakaria juga tidak menawarkan jaminan kerana tindakan dua tertuduh, Mohamad Yazid dan Danny itu seperti ingin meletakkan nabi dan Islam pada tempat yang serendah-rendahnya.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan jaminan terhadap ketiga-tiga tertuduh dan menetapkan 5 April ini sebagai sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 6:01 PM

Thursday, February 28, 2019

Lelaki mohon maaf, tarik balik tuduhan AG 'anti-Islam’

Diterbitkan Hari ini 12:03 tengahari

Seorang pengguna Facebook memohan maaf kepada Tommy Thomas kerana membuat hantaran berunsur fitnah di media sosial yang memaparkan peguam negara itu sebagai anti-Islam.

Lelaki, yang menggunakan nama Mohd Shahrizan, itu berkata hantaranya hanya dimuatnaikkan selama enam minit.

Permohonan maaf itu dibuat hanya beberapa jam selepas peguam negara, semalam mengarahkan laporan polis dibuat berhubung pelbagai tuduhan mengaitkannya dengan sikap anti-Islam beredar di media sosial.

Shahrizan semalam berkata beliau mahu memohon maaf kepada Thomas selepas mengetahui bahawa mesej yang dikongsi di akaun media sosialnya adalah tidak benar.

“Saya, adalah pemilik akaun ‘Mohd Shahrizan’ dan melalui satu kenyataan yang dimuat naik oleh saya pada 27 Februari lalu dengan ini memohon maaf secara terbuka dan menyesali kenyataan yang didakwa dibuat oleh peguam negara dan berbunyi sebagaimana berikut, ‘Penghina Nabi dan Islam bukan penjenayah, mereka berhak lontarkan pandangan’.

“Saya telah difahamkan bahawa kenyataan yang telah tular tersebut adalah tidak benar sama sekali dan kenyataan tersebut juga merupakan satu kenyataan berunsur fitnah kepada peguam negara yang boleh menjejaskan reputasi dan nama baik pihak peguam negara sendiri.

“Saya sedar bahawa saya sepatutnya mengambil langkah berhati-hati dalam memastikan segala maklumat adalah adalah tepat dan benar sebelum memuat naik kenyataan tersebut bagi mengelakkan sebarang fitnah atau sebarang isu berbangkit yang lain,” katanya.

Mohd Shahrizan mendakwa bahawa dia tidak dapat mengawal kemarahannya dan sangat beremosi semasa memuat naik kenyataannya itu susulan hantaran di Facebook oleh seorang warga emas yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW dan Sayyidatina Aisyah RA.

“Saya berharap agar pihak tuan berlapang dada untuk memaafkan kesalahan saya. Saya juga telah insaf dan berjanji untuk tidak akan mengulangi kesalahan ini lagi.

“Saya juga telah memadam kenyataan tersebut setelah enam minit ia dimuat naik dengan segera setelah menyedari kesahihannya. Saya memohon supaya tiada sebarang tindakan lanjut akan dikenakan ke atas saya selepas permohonan maaf ini dikeluarkan,” katanya.

Malaysiakini difahamkan oleh sumber di Jabatan Peguam Negara (AGC) bahawa laporan polis Thomas tidak berkaitan dengan hantaran Shahrizan.

Dilaporkan bahawa pegawai khas Thomas membuat laporan polis di ibu pejabat polis Putrajaya kira-kira jam 3.15 petang semalam.

Laporan itu dibuat berikutan tuduhan dari pemimpin Umno dan PAS bahawa AGC tidak tegas dengan mereka yang dituduh menghina Islam.

Wednesday, February 27, 2019

Anak muda Islam wajib berhimpun Jumaat ini

MUHAMMAD FAIZZUDDIN MOHD ZAI 
27 FEBRUARY 2019


BELIA UMMAH
bersama 300 NGO umat Islam di bawah Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menyeru kepada seluruh anak muda Islam daripada seluruh negara untuk keluar berhimpun pada hari Jumaat ini bagi menyatakan bantahan secara terbuka ke atas tindakan yang tidak bertanggungjawab beberapa rakyat Malaysia yang berani menghina Rasulullah S.A.W secara terbuka.

Penghinaan yang dilakukan ke atas Rasulullah S.A.W adalah sebuah tindakan di luar batasan dan bersifat provokasi secara terbuka terhadap umat Islam di negara ini. Belia UMMAH menyifatkan bahawasanya tindakan menghina Rasulullah S.A.W ini adalah sebuah gerakan atau usaha untuk menormalisasikan tindakan menghina agama Islam dalam negara kita di atas nama hak kebebasan dan demokrasi.

Himpunan pada hari Jumaat ini adalah penting bagi memberikan amaran kepada pihak yang melakukan provokasi ke atas umat Islam supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama dan menarik perhatian pihak kerajaan supaya mengambil berat isu ini dan tidak membiarkan agama Islam dihina begitu sahaja.

Belia UMMAH menegaskan bahawa himpunan yang akan diadakan adalah bertujuan untuk memberikan sokongan kepada pihak PDRM untuk mendakwa dan memastikan mereka yang melakukan jenayah menghina Rasulullah S.A.W menerima hukuman yang setimpal dan haknya.

PDRM mestilah memastikan 'rule of law' berjalan tanpa ada pihak luar yang campur tangan dan memastikan undang–undang sedia ada mampu mengawal jenayah ini serta menjamin ketenteraman awam sama ada daripada pihak yang melakukan provokasi atau umat Islam itu sendiri.

Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) pada hari Jumaat ini akan mengadakan himpunan serentak di seluruh negara dan UMMAH pusat akan mengadakan himpunan rasmi di Masjid Negara selepas dariapada solat Jumaat.

Sekian. Terima kasih.

MUHAMMAD FAIZZUDDIN MOHD ZAI
Pengerusi Kluster Belia Gerakan Pembela Ummah (UMMAH)

0142374002 - HARAKAHDAILY
27/2/2019

Warga emas 68 tahun pula didakwa kes hina nabi

Hafiz Yatim 
Diterbitkan Hari ini 1:04 tengahari


Seorang warga emas 68 tahun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dua pertuduhan berkaitan penyiaran kartun yang menghina Nabi Muhammad, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Wai Foo Sin dituduh menyiarkan gambar itu dan memuat naik status di media sosial berkaitan agama yang menyebabkan suasana tidak harmoni.

Dia ialah individu kedua didakwa atas kesalahan itu selepas A Taneson, 22, yang dihadapkan di mahkamah di Shah Alam semalam.

Wai didakwa bawah Seksyen 298A(1) Kanun Keseksaan,

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 17 Februari lalu menggunakan akaun Facebook.

Wai turut berdepan pertuduhan kedua bawah Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyiarkan kandungan jelik.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjarakan maksimum lima tahun bagi setiap kesalahan dan didenda RM50,000 bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asyraf Md Kamal mencadangkan ikan jamin RM30,000.

Wai yang tidak diwakili peguam memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan dia menghidap penyakit kencing manis dan tidak bekerja.

Hakim Edwin Paramjothy menetapkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 5 April ini untuk sebutan kes.

'Orang Islam pun ada hina nabi tanpa sedar'

Diterbitkan 26 Feb 2019, 8:15 malam 


Proses keadilan - terutama dalam Islam - perlu dijalankan secara teliti dan adil, bukannya semberono bagi memastikan sesuatu hukuman dikenakan dengan tepat.

Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Zolkharnain Abidin berkata seseorang suspek tidak boleh ditangkap dan terus dijatuhkan hukuman.

Bagi sesetengah orang katanya lebih keras dan berat hukuman dikenakan ia lebih baik.

"Malaysia bukan negara Taliban," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zolkharnain yang juga pengarah Hal Ehwal Syariah Amanah mengulas kes individu tertentu yang disyaki menghina nabi dan mencetuskan kemarahan banyak pihak.

Selain mendesak kerajaan mengambil tindakan segera dan keras, ada antara mereka mempertikaikan mengapa suspek dibebaskan daripada tahanan polis.

Pagi tadi Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun menjelaskan suspek terbabit dibebaskan selepas tempoh reman yang dibenarkan mahkamah tamat.

Dakwa nabi begitu begini

Kata Mohamad Fuzi, keputusan untuk mendakwa atau tidak suspek terletak pada Jabatan Peguam Negara dan bukannya Polis Diraja Malaysia.

Pemuda Umno dan PAS pula mengancam untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran jika suspek - berusia 68 tahun - tidak diambil tindakan.

Kata Zolkharnain apabila seseorang itu ditahan dia tidak boleh terus dihukum sebaliknya perlu disiasat dengan saksama.

Baca 'Ambil tindakan isu hina nabi atau kami berhimpun'

"Setelah terbukti kesalahan dibuat dengan sedar dan sengaja, hukumlah," katanya.

Beliau memberi contoh bagaimana Nabi Muhammad tidak terus menghukum seseorang yang mengaku salah depan baginda.

Sebaliknya kata Zolkharnain Rasulullah menjalankan siasatan dengan teliti dan melihat pelbagai kemungkinan supaya keadilan dapat ditegakkan.

Beliau juga mengingatkan perbuatan menghina nabi bukan saja berlaku dalam kalangan orang bukan Islam.

Sebaliknya kata Zolkharnain ada orang Islam juga menghina nabi secara tidak sedar.

"Misalnya, ada agamawan yang berkata, nabi berkata begitu dan begini, padahal baginda tidak berkata begitu pun.

"Itu suatu pembohongan dan juga penghinaan ke atas nabi. Tapi oleh kerana penghina itu agamawan, ia tidak dianggap menghina oleh sesetengah orang, sebab dalam dunia ini ada pihak yang berasa dirinya suci," katanya.

Monday, February 25, 2019

Ratusan demo depan balai polis desak penghina Nabi didakwa segera

 25 February 2019
Oleh Abdul Rahim Sabri

Ratusan penganut Islam berhimpun di depan balai polis Ipoh malam tadi bagi mendesak polis segera mendakwa seorang lelaki didakwa menghina Nabi Muhammad.
— Foto ihsan Facebook/Shyfull Yazan

IPOH, 25 Feb — Ratusan orang Islam berhimpun di depan ibu pejabat polis daerah Ipoh bagi mendesak pendakwaan disegerakan terhadap warga emas yang menghina Nabi Muhammad.

Kumpulan itu memenuhi Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di depan balai tersebut dan terpaksa ditutup sejauh 200 meter selama sejam malam tadi, lapor Utusan Online.

Ada juga peserta yang cuba mencetuskan provokasi namun ketua polis daerah ACP Mohd Ali Tamby berjaya mententeramkan suasana sebelum beberapa wakil membuat aduan polis.

Dalam himpunan itu, presiden Jaringan Bersatu Sahabat Perak (Jabat) berkata mereka tidak berpuas hati terhadap lelaki 68 tahun itu yang dibebaskan dengan jaminan polis.

“Jadi manusia kurang ajar sepatutnya diajar ...,” kata Amiruddin Mohd Daud, yang mendesak kerajaan memandang serius kes tersebut. “Jangan lagi sama sekali bermain wayang.”

Mendakwa wujud pilih kasih apabila “orang Islam ditahan dengan tempoh yang lama”, beliau memberi amaran perhimpunan itu akan lebih besar dan “mungkin banyak kerosakan”.

Rabu lalu, seorang pengguna Facebook ditahan kerana menghina Nabi Muhammad dan isteri baginda melalui karikatur tetapi dibebaskan selepas tiga hari disiasat.

Sunday, February 24, 2019

'Ambil tindakan isu hina nabi atau kami berhimpun'

Diterbitkan Hari ini 6:39 petang


Pemuda Umno dan Pemuda PAS mendesak agar peguam negara mengambil tindakan segera terhadap individu yang didakwa menghina Nabi Muhammad.

Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan rakan sejawatanya dalam PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sekiranya pihak berkuasa mengambil sikap sambil lewa, kedua-dua parti itu tidak teragak-agak untuk mengadakan perhimpunan aman.

Dalam kenyataan media hari ini, kedua-dua sayap Pemuda parti itu bersepakat untuk mendesak peguam negara agar segera mendakwa individu yang telah dibebaskan atas jaminan polis selepas ditahan kerana memuat naik status Facebook menghina junjungan mulia Nabi Muhammad.

"Perbuatannya bukan sahaja mengguris perasaan bahkan menyemarakkan kemarahan umat Islam di Malaysia.

"Malah perbuatan tersebut jelas boleh disabitkan sebagai kesalahan jenayah di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara mandatori hingga 5 tahun.

"Sesungguhnya penghinaan yang dilakukan terhadap Nabi Muhammad adalah suatu yang amat serius dan tidak boleh dimaafkan begitu sahaja," kata kenyataan media bersama itu.

Pada 20 Februari lalu, seorang lelaki berusia 68 tahun yang dipercayai memuat naik status menghina Nabi Muhammad di akaun Facebooknya direman selama tiga hari.

Suspek tersebut kemudiannya dilaporkan dibebaskan dengan jaminan polis.

Sementara itu, Pemuda Umno dan PAS juga meminta PDRM supaya memaklumkan status terkini siasatan kes berkenaan kepada rakyat khususnya umat Islam.

"Justeru sekali lagi kami mendesak agar pihak peguam negara menyegerakan pertuduhan terhadap pelaku di mahkamah dan mendakwa beliau di bawah kanun keseksaan bagi memberikan isyarat tegas bahawa sebarang penghinaan bukan sahaja kepada Islam bahkan kepada mana-mana agama sekalipun adalah suatu yang tidak boleh dikompromikan dan perlu dihukum dengan hukuman yang paling keras agar perbuatan jenayah seperti ini tidak berulang.

"Pemuda Umno dan PAS tidak akan teragak-agak untuk kembali menggerakkan rakyat berhimpun secara aman di Kuala Lumpur dan seluruh Malaysia bagi menzahirkan ketidakpuasan hati sekiranya wujud sikap pilih kasih dan tindakan sambil lewa terhadap penjenayah yang menghina Islam dan Nabi Muhammad," tegas kenyataan tersebut.

Saturday, February 23, 2019

Perkasa kecewa individu hina Nabi dibebas tanpa pendakwaan

By Manzaidi Mohd Amin
- 23 Februari 2019

Foo Sing Wai (muka dibulatkan) dibebaskan dengan jaminan polis, semalam

KUALA LUMPUR  –  Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) kecewa apabila lelaki yang ditahan kerana menghina Nabi Muhammad menerusi akaun Facebook baru-baru ini, telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam

Tindakan membebaskan Foo Sing Wai tanpa sebarang pendakwaan disifatkan sebagai satu lagi penghinaan terhadap orang Islam di negara ini.

Jelas Naib Wira Perkasa, Syed Mohd Shahriman Syed Badrishah, bagaimana seseorang yang secara biadab dan kurang ajar menghina Nabi Muhammad boleh dibebaskan tanpa sebarang pendakwaan.

“Sedangkan, perbuatan keji dan biadab Foo Sing Wai itu telah menghina serta menimbulkan kemarahan umat Islam,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia, Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad dilaporkan berkata, warga emas berusia 68 tahun itu dibebaskan pada jam 11 pagi.

Suspek ditahan pada 19 Februari lalu di rumahnya di Mentakab, Pahang, sebelum direman tiga hari untuk membantu siasatan kes menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aisyah, melalui Facebook.

Kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan, iaitu atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain.

Justeru, Syed Mohd Shahriman menggesa polis meneruskan pendakwaan dengan kadar segera dan wajib ke atas lelaki itu bagi memulihkan rasa marah umat Islam.

Ia juga katanya, sebagai pengajaran kepada orang ramai agar tidak menyalahgunakan media sosial dengan memuat naik sebarang bentuk provokasi yang menyentuh dan mengguris sensitiviti agama serta perkauman.

 – MalaysiaGazette

Friday, February 22, 2019

Lelaki hina Nabi dibebaskan dengan jaminan polis

MyMetro
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my

PENGERUSI Jaringan Muslim Pulau Pinang Azmi Jaafar (kanan) berhimpun bersama orang ramai di Masjid Al-Huda, Sungai Ara, Bayan Lepas, Pulau Pinang bagi menyatakan kemarahan berhubung penghinaan terhadap Rasulullah SAW. 
FOTO Mikail Ong

LELAKI yang ditahan kerana menghina Nabi Muhammad SAW menerusi Facebook, Rabu lalu, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Difahamkan lelaki berusia 68 tahun itu dibebaskan sebaik tempoh reman tiga hari dikenakan terhadapnya tamat hari ini.

Perkara itu disahkan Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Urusetia Ketua Polis Negara (KPN) Datuk Asmawati Ahmad ketika dihubungi, hari ini.

“Lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis pada jam 11 pagi tadi,” katanya.

Terdahulu, suspek terbabit ditahan di rumahnya di Mentakab, Temerloh, Pahang, Selasa lalu.

Suspek direman selama tiga hari bermula 20 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

Pada 18 Februari lalu, dia memuat naik gambar karikatur berunsur penghinaan ke atas Nabi Muhammad SAW dan isteri, Saidatina Aisyah sebelum tular di media sosial.

Gambar itu ditulis dengan perkataan Muhammad pada lelaki dewasa dan kanak-kanak berusia enam tahun sebagai Aisyah.

Penularan status berkenaan mengundang kemarahan dan rasa tidak senang umat Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 3:35 PM

Wednesday, February 20, 2019

‘Rakyat sedang perhati tindak-tanduk pemimpin Islam PH’

Isu penghinaan terhadap Rasulullah ï·º seperti rancangan yang disengajakan, mempunyai rangkaian dari dalam dan luar negara

siti hafidah 20/02/2019


BANGI, 15 Jamadilakhir 1440H, Rabu – Kerajaan Malaysia ditadbir Pakatan Harapan (PH) digesa mengambil tindakan yang tegas terhadap individu menghina Nabi Muhammad ï·º dan isteri, Saidatina Aishah.

Dewan Ulama PAS Pusat menyifatkan, tindakan pemilik akaun Facebook, Foo Sing Wai menghina Rasulullah ï·º menerusi karikatur yang mempersendakan perkahwinan baginda ï·º adalah sebagai melampaui batasan, malah tidak boleh dimaafkan.

“Tindakan penghina tersebut juga hakikatnya tidak menghormati Perlembagaan dan ruang demokrasi apabila mengundang kemarahan majoriti rakyat, serta mengguris perasaan lebih 17 juta penganut agama Islam yang mana majoriti rakyat di Malaysia.

“Justeru, Malaysia yang dipimpin oleh pemimpin beragama Islam serta wujud jawatan khas yang menjaga hal ehwal Islam digesa mengeluarkan segera kenyataan tegas dalam hal ini.

“Selain itu, tindakan tegas mesti diambil. Ini kerana karikatur menghina Rasulullah ï·º bukanlah isu baru dan kali pertama. Ia bagaikan suatu rancangan yang disengajakan dan mempunyai rangkaian luar dan dalam negara,” kata Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Mohd Asri Mat Daud.

Asri berkata demikian mengulas isu penularan gambar kartun dalam keadaan berbogel dikongsi di laman sosial pemilik akaun Foo Sing Wai, yang digambarkan sebagai junjungan besar dan isteri baginda.

Perbuatan itu menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini kerana disifatkan amat keterlaluan dan melampau.

Beberapa laporan polis dibuat berhubung kes itu sehingga membawa kepada penahanan seorang warga emas berusia 68 tahun bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Superintendan Zuhdin Mahmud mengesahkan, lelaki itu ditahan di rumahnya di sebuah taman perumahan di Mentakab, Temerloh.

“Suspek akan dihantar ke Johor memandangkan laporan polis dibuat di Batu Pahat,” katanya.

Mengulas lanjut, Asri berkata, di peringkat antarabangsa sekalipun tindakan sedemikian tidak diterima sebagai kebebasan bersuara kerana melampaui batasan kemanusiaan.

“Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) pada 2018 memutuskan bahawa adalah menjadi satu kesalahan berat memfitnah Nabi Muhammad ï·º .

“Ia merujuk kepada kes di Austria apabila seorang wanita berusia lewat 40-an yang hanya dikenali sebagai ES membuat dakwaan dalam dua seminar awam pada 2009 bahawa perkahwinan Nabi Muhammad ï·º dengan Siti Aishah sebagai perbuatan pedofilia,” katanya.

Selain itu, Asri turut mengingatkan pemimpin Islam dalam kerajaan PH bahawa tindak-tanduk mereka diperhatikan rakyat secara keseluruhannya.

“Awas! Pemimpin Islam dalam kerajaan PH, anda sedang diperhatikan oleh rakyat kalangan penganut Islam khususnya sama ada anda mampu menjaga kesucian agama Islam atau sebaliknya,” katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-