Wednesday, April 10, 2019

Dr M: Parti yang menang tentukan MB Johor

Lu Wei Hoong
Diterbitkan Hari ini 11:08 tengahari


Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad menegaskan partinya mempunyai hak untuk menentukan calon menteri besar Johor dan bukannya pihak istana.

Ini selepas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim semalam berkata Sultan Johor mempunyai kuasa untuk melantik Menteri Besar berikutan peletakan jawatan penyandangnya, Osman Sapian.

"Ini perkara politik, sultan tak ada peranan. Parti yang memenangi pilihan raya tentukan siapa," kata Mahathir kepada pemberita selepas merasmikan Forum Kewangan Islam di Kuala Lumpur pagi ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau atau Sultan Johor akan memutuskan siapa menteri besar yang baru.

Mahathir berkata pihaknya akan memutuskan calon menteri besar yang baru secepat mungkin namun memerlukan sedikit masa.

Ditanya sama ada exco Johor dari Bersatu, Sahruddin Jamal akan mengisi jawatan berkenaan, Mahathir hanya menjawab: "Saya tidak tahu."

Semalam, Mahathir mengesahkan Osman Sapian telah mengemukakan peletakan jawatan sebagai menteri besar.

Beliau berkata Osman mengemukakan surat peletakan jawatan itu kepadanya ketika pertemuan di Putrajaya, Isnin lalu.

Perdana Menteri berkata, Bersatu memiliki tiga hingga empat nama untuk menggantikan Osman.

Bagaimanapun, Tunku Ismail mengingatkan bahawa kuasa untuk menukar menteri besar adalah hak mutlak sultan.

"Titah untuk tukar menteri besar dah lama. Tetapi orang lain pula nak ambil kredit dan mileage, kononnya dia arahkan.

"Ke bawah Duli Tuanku sudah meneliti untuk tukar MB sejak berbulan lalu.

"Jangan lupa, kuasa memilih menteri besar adalah hak mutlak Sultan. Cukup-cukuplah politicking," tulisnya di Twitter baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-