Sunday, April 28, 2019

Muhyiddin: KDN perhalusi cadangan gugur identiti agama dalam kad pengenalan

Bernama
-April 28, 2019 8:09 PM

Muhyiddin Yassin berkata, sementara kerajaan meneliti cadangan itu, identiti agama dalam kad pengenalan akan dikekalkan.

JOHOR BAHRU: Kementerian Dalam Negeri akan memperhalusi semasak-masaknya cadangan mengugurkan perkataan agama dalam kad pengenalan, kata menterinya Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, ini kerana kerajaan tidak mahu menimbulkan sebarang masalah atau isu sensitif kepada sesetengah pihak.

Oleh itu katanya, sementara melakukan penelitian penggunaan perkataan tersebut akan dikekalkan dalam kad pengenalan.

“(Setakat ini) saya belum terima lagi secara rasmi (cadangan). Dulu pernah ada suara (menyatakan cadangan sama), tetapi selepas dibincang, tidak menjadi perubahan itu (tidak dilaksanakan).

“Jadi saya kena pandang perkara ini dengan teliti, sama ada wajar atau tidak wajar. Ada pandangan mengatakan cadangan YB Senator itu (Nga Hock Cheh) bertentangan dengan Perlembagaan, sebab ada melibatkan hak keistimewaan Melayu, iaitu untuk membezakan orang Melayu dan bukan Melayu dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan pemberita mengenai cadangan penguguran perkataan itu selepas merasmikan majlis bersantai bersama pemimpin sempena pelancaran buku “Bersatu Mulanya Di Sini” di sebuah hotel di sini, hari ini.

Rabu lalu, Hock Cheh dalam sidang Dewan Negara berkata, antara sebab yang menghalang perpaduan dalam negara berlaku adalah kerana setiap individu diberikan identiti mengikut kaum, bukan identiti nasional.

Justeru, beliau mencadangkan agar perkataan agama dalam kad pengenalan digugurkan, namun pandangannya itu dikritik banyak pihak.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-