Wednesday, April 17, 2019

PRK Sandakan: PAS gerak jentera bantu kempen pembangkang

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman
wananwar@bh.com.my

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan. 
- NSTP/Syamsi Suhaimi

KUALA LUMPUR:  PAS akan tetap menggerakkan jentera pilihan rayanya pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sandakan bagi membantu kempen calon pembangkang.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata walaupun PAS tidak akan bertanding pada PRK berkenaan, parti itu tetap memberi sokongan kepada calon pembangkang yang menentang calon Pakatan Harapan (PH).

“Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang bersidang pada 15 April membuat keputusan tidak meletakkan calon pada PRK Parlimen Sandakan, 11 Mei ini. Dengan keputusan ini, PAS akan memberikan sokongan kepada wakil pembangkang yang akan meletakkan calon bagi menentang calon PH.

“PAS akan menggerakan jentera pilihan raya setempat bagi membantu calon pembangkang berkempen dalam PRK itu. PAS juga akan mengarahkan ahli dan penyokong di kawasan Parlimen itu memberi sokongan dan mengundi calon mewakili pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, PAS turut mengharapkan calon pembangkang dapat memenangi PRK itu bagi menjadikan proses semak dan imbang lebih efektif di Parlimena.

“PAS mengharapkan keputusan PRK ini akan menguatkan wakil pembangkang, lebih-lebih lagi kerusi Parlimen itu pernah dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) suatu ketika dahulu,” katanya.

Baru-baru ini, Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dilapor mengumumkan UMNO tidak akan bertanding PRK itu, tetapi bersedia membantu calon dari parti pembangkang termasuk PAS yang berhasrat bertanding.

PRK Parlimen Sandakan diadakan selepas kematian penyandangnya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Tien Fatt dari DAP menang dengan majoriti 10,098 apabila memperoleh 19,094 undi menewaskan calon BN dari MCA, Lim Ming Hoo yang memperoleh 8,996 undi.

DAP Sabah dilaporkan sudah menghantar senarai calon kepada ibu pejabat parti itu untuk dipertimbangkan, termasuk anak mendiang Tien Fatt, Vivian Wong, 30, yang sebelum ini pegawai khas di Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-