Saturday, May 11, 2019

Pemuda PKR: Takiyuddin perlekeh pengampunan Agong pada Anwar

News | Diterbitkan Hari ini 9:18 pagi


Pemuda PKR hari ini menggesa Setiausaha Agong PAS Takiyuddin Hassan menarik balik dakwaan dan memohon maaf secara terbuka kerana menggelar Anwar Ibrahim sebagai seorang banduan.

Kata ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, kenyataan Takiyuddin secara tidak langsung memperlekeh pengampunan diraja yang diberikan kepada presiden PKR itu.

“Kenyataan Takiyuddin ternyata berniat jahat dengan sengaja untuk menimbulkan penghinaan terhadap Anwar Ibrahim dan secara tak langsung memperlekeh perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mengurniakan pengampunan penuh kepada Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Akmal, Takiyuddin gagal memahami maksud perundangan ‘banduan’ biarpun mengakui dirinya sebagai seorang peguam.

“Pada 16 Mei 2018, Yang Di-Pertuan Agong telah memberikan pengampunan penuh tanpa syarat kepada Anwar yang membawa maksud sabitan ke atas kes liwat II telah diketepikan terus dan Anwar dianggap sebagai bukan seorang banduan.

“Beliau juga dibenarkan untuk terus menyertai pilihan raya yang bermaksud sekatan lima tahun di bawah Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan tidak berbangkit,” katanya.

Akmal turut menyifatkan kenyataan Takiyuddin sebagai "berniat jahat, biadab, dan melampaui batas".

Takiyuddin dilaporkan mengeluarkan kenyataan itu pada Rabu ketika menyampaikan ceramah di Taman Indah, Sandakan.
Dalam ceramahnya, Takiyuddin mempersoalkan sama ada Anwar sesuai menjadi perdana menteri kerana menurutnya status banduan adalah status seumur hidup biarpun setelah seorang itu keluar daripada penjara.

Takiyuddin turut mempersoalkan pengampunan diraja yang diberikan kepada Anwar selain menambah bahawa kesalahan liwat yang dijatuhkan ke atas pemimpin PKR itu tidak boleh dipersoalkan kerana keputusannya dibuat oleh Mahkamah Persekutuan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-